Bab 4
AIR mata dibiarkan jatuh menuruni pipi. Hatinya terasa bagai ditikam berkali-kali dengan pedang yang tajam. Nafasnya sesak. Dunianya hancur sekelip mata. Segalanya terasa seakan-akan tidak bermakna lagi.
"Ya Allah, along. Along kena terima semua yang jadi. Along tak kesian kat anak along ke?" Hancur hati tua Wardah melihat anak sulungnya menangis tidak henti di penjuru bilik sejak tadi.
"Mama, Haifa..." Dzafri cuba bersuara tetapi suaranya tersekat di kerongkong. Suaranya tenggelam dalam esak tangisnya yang berpanjangan.
"Sabar, along. Allah lebih sayangkan Haifa," pujuk Wardah lembut. Dia tidak tahu apa lagi yang perlu diperkatakan untuk menenangkan hati Dzafri. Hati anaknya saat ini bagaikan daun kering yang hancur berdebu selepas digenggam.
Dzafri menumbuk-numbuk dadanya yang terasa sesak berkali-kali. Hanya Allah yang tahu perasaannya saat dia menerima panggilan daripada mamanya tadi mengatakan Haifa jatuh di dalam bilik air.
Ketika Haifa sampai di hospital, dia sudah kehilangan banyak darah. Doktor terpaksa membuat pembedahan untuk menyelamatkan anak di dalam kandungannya yang masih belum cukup bulan. Mereka telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Haifa, tetapi Allah lebih menyayanginya. Dia pergi buat selama-lamanya.
"Along, jangan buat mama macam ni. Along kena kuat." Wardah menarik tubuh Dzafri ke dalam pelukannya. Apa lagi yang boleh dilakukannya untuk menenangkan hati anak lelakinya itu? Dia buntu.
Dzafri menangis semahu-mahunya di bahu mamanya. Dia rindukan Haifa. Andai sahaja dia boleh memutarkan waktu ke belakang, dia akan meluangkan lebih banyak masa bersama Haifa.
Setiap detik dia akan nyatakan kepada Haifa betapa dia menyayangi permaisuri hatinya itu. Dia akan pastikan semua impian Haifa dipenuhi. Tetapi dia tahu semua itu mustahil untuk dilakukan. Hakikatnya Haifa telah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Haifa tidak akan kembali lagi.
DZAFRI MATEEN melangkah ke bilik tidurnya setelah semua tetamu yang datang berziarah pulang ke rumah masing-masing.
Jenazah Haifa Farhah telah selamat dikebumikan pagi tadi. Dia sendiri yang menurunkan jenazah Haifa ke dalam liang lahad. Dia sendiri yang membuka ikatan kain kafan pada wajah Haifa. Dan dia juga yang menutup kubur Haifa dengan tanah yang memerah. Hanya Allah yang tahu betapa hatinya pecah berderai seperti kaca terhempas ke batu. Dunianya hancur sekelip mata.
Dia berbaring di atas katil. Katil itu terasa besar tanpa peneman di sisi. Air mata mengalir lagi ke pipi. Dia rindukan senyuman Haifa. Dia rindukan belaian Haifa. Dia rindukan gelak tawa Haifa. Dia tidak pernah menyangka yang semalam adalah kali terakhir dia dapat melihat senyuman manis isterinya.
Dzafri bangun dan mengesat air mata di pipi apabila pintu biliknya diketuk sebelum terkuak dari luar. Dia menarik senyum nipis apabila melihat wajah papanya yang terjengul di muka pintu.
"Along okey?" soal Anuar selepas melabuhkan duduk di birai katil.
Dzafri hanya menundukkan wajah ke lantai cuba melindungi kesan air mata di pipi.
"Along, papa tahu along sedih dengan pemergian Haifa. Walau macam mana sedih pun papa, kesedihan papa takkan pernah sama dengan kesedihan yang along tanggung. Tapi along kena ingat, yang semua ni adalah ketentuan Allah. Kita sebagai manusia tak boleh menidakkan apa yang dah ditentukan oleh Allah. Tak salah bersedih, tetapi jangan sampai merosakkan diri sendiri. Along kena kuat untuk anak along." Anuar berpesan panjang.
Dia tidak mahu anaknya terus tenggelam dalam kesedihan. Dia bimbang jika rasa sedih yang terus membelenggu akan menghancurkan hidup anak lelakinya itu.
"Along faham, papa," jawab Dzafri pendek. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh papanya. Dia tahu yang dia perlu reda dengan ketentuan Allah. Cuma saat ini, dia tidak dapat menahan rasa sedihnya itu. Pemergian Haifa berlaku tanpa disangka.
"Dah, jom keluar makan. Mama, angah dengan adik dah tunggu kat luar tu. Semua risaukan along dari semalam tak makan," ujar Anuar.
"Kejap lagi along keluar," balas Dzafri perlahan. Dia masih belum mempunyai selera makan. Tetapi dia tidak mahu keluarganya risaukan dirinya. Dia perlu kuat.
"Papa keluar dulu." Anuar menepuk bahu Dzafri perlahan sebelum melangkah keluar dari bilik Dzafri.
Dzafri menarik nafas dalam. Dia melangkah ke bilik air untuk membasuh mukanya yang sembap. Dia perlu kuat. Dia perlu kuat untuk puteri mereka yang masih berada di hospital. Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu perlukan kasih sayang daripadanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co