Truyen3h.Co

Pink Smile

Bab 1

karyaseni2u

Hujan lebat di luar. Kaz masih sibuk menggarap kertas putih dengan beberapa lakaran rambang. Point note kuning terang melekat kemas di dinding berhadapan meja kerjanya tertulis deadline komik bersiri Disappear, komik bersiri yang keluar di majalah Fusion setiap bulan.

"Arghhh!" Kepala digaru-garu kasar. Rambut dah mula serabai. Wajah diraup beberapa kali. Kopi panas yang dibancuh tadi kini bertukar sejuk. Betapa ia sudah lama dilupakan dek keasyikan Kaz dengan dunia fantasi komiknya.

Saat itu juga loceng pintunya ditekan. Ditekan dan ditekan beberapa kali. Siot! Mana Ari ni? Tak reti nak buka pintu!

Selamat sudah Ari dimaki dalam hati. Kaz membuka pintu bilik, melangkah laju ke pintu utama apartmen tiga bilik itu. Daun pintu dibuka.

"Assalamualaikum." Seorang gadis bertudung litup tersenyum nipis.

"Waalaikumussalam, Rysa. Kejap ya?" Pintu dibiarkan terbuka. Kaz melangkah laju ke bilik Ari. Pintu bilik Ari diketuk beberapa kali.

"Ari! Rysa kat luar tu ha," ujar Kaz sebaik pintu bilik terbuka.

"Kau tidur tak ingat dunia ke?"

"Penat semalam belum habis daaa." Matanya dipisat-pisat. Jersi Argentina berwarna biru lembut disarung ke badan, padan dengan seluar pendek putih. Penat seharian menguruskan futsal tournament dua hari berturut-turut belum usai. Ari kemudian berlalu meninggalkan Kaz, menuju ke arah Rysa. Kaz kembali ke biliknya.

"Awak." Ari tersenyum nipis. Gadis itu membalas senyuman seraya mengunjuk beg plastik KFC.

"Apa ni?"

"Bonusnya soalan! KFC la. Apa lagi?"

"Maksud Ari, untuk apa ni?"

"Dinner untuk Ari dan Kaz malam ni."

"Buat susah-susah aje. Kita orang boleh makan kat luar nanti."

"Nak tunggu Kaz keluar dari bilik ke? Kebulur la tunang Rysa." Ari tersengih. Dalam hati rasa amat beruntung kerana memiliki tunang sebaik Rysa.

"Rysa balik dulu."

"Nak balik dah?"

"Abang Mie tunggu kat bawah."

"Oh, Abang Mie temankan Rysa ke sini rupa-rupanya." Ari lihat Rysa mengangguk.

"Kalau macam tu, sampaikan salam Ari pada Abang Mie."

"Okey! Assalamualaikum!"

"Waalaikumussalam! Take care!" Sebaik Rysa hilang dari pandangan, pintu segera ditutup. Ari duduk di ruang tamu. Butang Power pada remote control televisyen ditekan. Terpampang wajah Nicole Kidman di televisyen. Filem Bewitched sedang ditayangkan di TV3.

"Apa pasal Rysa tadi?" Muncul Kaz dengan muk kosong di tangan. Kopi O sudah selesai tugas membasahkan tekak dan membekalkan kafein di badan, bekalan untuk sesi stay up untuk menyiapkan komik.

"Hantar dinner." Seketul ayam goreng spicy mula diratah.

"Kau tak nak ke?"

"Kau makanlah dulu. Lepas tu, tinggal dua ketul untuk aku."

"Dua ketul aje?"

"Kenapa? Ada banyak ketul ke?"

"Satu, dua, tiga, hmmm, enam! Kau tiga, aku tiga."

"Ikut suka kaulah. Rysa beli untuk kau, bukan untuk aku."

"Dia beli untuk kitalah."

"Baik betul tunang kau tu, kan?"

"Tengok kaki la, bro!"

"Berlagak." Kaz segera ke dapur, membancuh kopi buat kali ke berapa entah, dia sendiri tidak tahu. Dia kemudian melabuhkan punggungnya di atas sofa bersebelahan Ari.

"Disappear tak siap lagi ke?" soal Ari sambil matanya tidak beralih dari memandang skrin televisyen dengan mulut sibuk mengunyah cebisan-cebisan ayam goreng spicy.

"Another two episodes." Ayam bahagian kepak dikunyah.

"Yang kau tengah siapkan ni episod ke-28, which means next month dah complete habislah, kan?" Bulat mata Ari memandang Kaz di sisinya. Kaz angguk.

"Nak Pepsi kau sikit." Gelas kertas segera bertukar tangan.

"Rysa datang dengan siapa tadi?"

"Abang dia."

"Abang dia yang tak suka dengan kau tu ke?"

"Hmmm... Dia tu la."

"Masih lagi dengan perangai pelik dia tu?"

"Memang takkan habis punyalah dendam dia kat aku."

"Pelik betul. Macam budak kecik."

"Memang pun. Malas aku nak fikir. Asalkan aku dengan Rysa baik-baik aje. Rysa pun tahu abang dia tu macam mana..."

"Jadi ke langsung tahun depan?"

"Kalau ikut plan, macam itulah, Kaz. Doa-doa ajelah tak ada apa-apa."

"Amiiin!" Kaz angkat punggung, selesai meratah dua ketul ayam.

"Aih! Dua ketul aje?"

"Satu simpan dapur. Karang aku makan. Aku nak sambung kerja." Muk kopi di atas meja dicapai sebelum pemuda yang hanya mengenakan board short dan baju T putih kosong itu berlalu pergi meninggalkan Ari sendirian di ruang tamu.

"Kaz! Esok jangan lupa appointment!" jerit Ari tiba-tiba. Kaz yang baru sahaja melangkah masuk ke bilik, undur beberapa tapak ke belakang.

"Appointment apa?"

"Doktor gigi!"

"Ah!" Kaz menepuk dahi.

"Thanks, bro!"

"Aku kan secretary kau! Tu la. Suruh cari girlfriend, tak nak. Kan senang kalau kau ada girlfriend. Taklah menyusahkan aku!" bebel Ari berbaur gurauan.

Kaz tergelak sebelum melangkah masuk semula ke biliknya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Girlfriend? Buat susah aje. Tambah pening adalah. Tak nak aku!

"Kau nak ke mana?" Ari yang sedang tekun menonton perlawanan bola sepak di televisyen menoleh ke muka pintu di mana Kaz sedang menyarung selipar hitam Teva ke kaki.

"Nak keluar kejap." Beg silang Nike Oranje berwarna hitam dipaut ke bahu.

"Ke mana?"

"Hmmm... Duncan kut!"

"Kenapa? Tak cukup ke kopi kat rumah ni?"

"Dah kering idea, Ri. Apa-apa hal, cari aje aku kat situ."

"Kunci Duncan ada kat kau ke?" soal Ari lagi.

Kaz seluk saku depan beg sandang.

"Ada, bro!"

"Kunci kereta? Karang tak pasal-pasal ulang alik kau naik lif ke sini. Sakit pelupa kau tu bukannya aku tak tahu!" Kata-kata Ari membuatkan Kaz tersengih seraya menayang kunci Mini Austin kepada Ari.

"Hm..." Ari buat muka bersahaja.

"Aku pergi dulu!" Kaz berlalu pergi meninggalkan Ari sendirian di apartmen tiga bilik itu. Apartmen itu sudah dua tahun mereka diami bersama. Dulu, ada seorang lagi rakan serumah mereka, Dean, tetapi pemuda itu pindah setelah mendapat pekerjaan tetap di luar negara. Apartmen itu milik Kaz tetapi bilik yang lagi dua disewakan kepada Ari dan Dean, sahabat baik Kaz sejak di universiti lagi.

Lima belas minit memandu, Kaz selamat tiba di tempat parkir kereta, tidak jauh dari blok kedai Duncan Coffeehouse. Sebaik pintu kereta kesayangan dikunci, Kaz mengatur langkah ke kedai kopi miliknya yang terletak di Blok 14, di hujung sekali. Dia masuk menggunakan pintu belakang. Lampu bahagian dapur kedai dibuka. Mesin pembancuh latte dipasang. Malam ini, dia ingin bekerja di Duncan CoffeeHouse sahaja, bertapa di tempat sunyi dengan aroma kopi dalam sesi mencari idea memang satu perkara biasa bagi Kaz.

Lampu di sudut kanan kedai dibuka sebaik saja secawan kopi latte siap dibancuh. Aroma kopi berkrim menerawang ke ruang kedai. Komputer riba segera dikeluarkan dari beg sandangnya.

"Idea searching..." Kaz menarik nafasnya dalam-dalam sebelum memejam matanya rapat. Kertas A4 putih dan pensel mekanikal kegemarannya tersedia di atas meja.

Tiba-tiba, cermin kedai diketuk. Hampir tersedak Kaz yang sedang menghirup kopi latte. Lagu No One Knows nyanyian Queen Of The Stone Age yang ke udara sedari tadi melalui speaker komputer riba diperlahankan. Kaz mengeluh berat. Ni siapa pula yang ketuk pagi-pagi buta ni?

Kaz membiarkan ketukan itu berterusan sebelum dia bingkas bangun, melangkah ke tingkap. Perlahan, langsir putih dikuak sedikit. Seorang gadis berhoodie hitam dan berseluar jean biru pudar berdiri di tepi tingkap. Sebaik Kaz menampakkan mukanya, gadis itu nampak begitu terperanjat dan jatuh pengsan. Kaz bergegas ke luar, mendapatkan gadis itu lalu didukung masuk ke dalam kedai.

Kaz segera ke dapur, mengisi mangkuk dengan air sebelum direnjis ke arah gadis itu. Gadis itu akhirnya terjaga. Kaz segera menjauhkan diri.

"Kenapa dengan awak? Apa awak buat time macam ni kat sini?" soal Kaz lantas memeluk tubuh. Dia sedikit terperanjat saat gadis itu menyeringai tersenyum, menampakkan pendakap gigi berwarna merah jambu di giginya, membuatkan Kaz tergelak kecil. Tiba-tiba, hatinya digeletek. Gadis itu pantas berubah wajah lantas Kaz berhenti ketawa.

Perlu pertolongan ke budak ni? Kaz mengerling ke arah jam di dinding berdekatan meja kaunter. Tepat pukul 1.15 pagi. Kaz kemudian kembali menatap wajah gadis itu yang sedang memandang ke arahnya.

"Kenapa?"

"Help!" Gadis itu menyusun sepuluh jari. Hood dibuka dari terus menyelubungi kepala, menampakkan rambutnya yang ikal berwarna hitam pekat itu.

Kaz masih ragu-ragu. Nampak macam innocent. Kaz tarik nafas dalam-dalam. Mintak-mintak bukan hantu. Heh!

"Nak apa?" Kasar Kaz menyoal.

"Pinjam phone boleh? Kereta saya rosak kat depan tu ha." Gadis itu menjuihkan bibir.

"My handphone low batt!" Gadis itu mengangkat iPhone dengan casing merah jambu.

"Saya nak balik rumah, dari rumah kawan tadi, lepak. Tertidur kat sana. Then, saya terbangun, saya nak balik. Saya perlu balik, kalau tak parents saya marah. Sebab itulah, saya drive sensorang. Tiba-tiba pula kereta mati tengah jalan. Saya nak call pun tak dapat. Jadi saya jalanlah sampai sini. Tengok lampu kedai ni yang masih buka. Sorrylah kalau ganggu. But I really need help."

"Dah habis?"

"Hm?"

"Cerita awak dah habis?" soal Kaz sinis. Gadis itu tersengih.

"Awak boleh tolong saya?"

"Nah." Telefon bimbit Nokia 3310 diunjuk kepada gadis di hadapannya. Gadis itu tiba-tiba tergelak.

"Kenapa gelak?"

"Zaman macam ni pun masih ada orang pakai telefon bimbit ni ke? Mereka masih keluarkan ke model ni?" Gadis itu gelak lagi.

"Tak rosak ke?"

Amboi, budak gigi besi pink ni! Berderau darah Kaz terus ke muka.

"Ni nak mintak tolong ke program hina-bina ni?"

Kecut perut gadis itu terpampang di riak wajahnya. Tawanya terus padam.

"Er, maaf!"

"Ni nak guna handphone ke tak nak? Kalau tak nak, boleh blah," tegas Kaz.

"Nak! Nak!" Telefon bimbit itu bertukar tangan. Gadis itu melangkah jauh sedikit daripada Kaz sebelum membuat panggilan. Lima minit kemudian, dia kembali mendekati Kaz yang bersandar di pintu yang memisahkan dapur dan ruang makan Duncan CoffeeHouse.

"Terima kasih!" ucap gadis itu dengan senyum mesra di bibir mungilnya.

Kaz menyimpan telefon bimbit ke dalam poket seluar pendek.

"Dah ada orang nak jemput?" Kaz lihat gadis itu mengangguk.

"Kalau macam tu, awak boleh pergi sekarang!"

"Eh, eh! Kejap!"

"Nak apa lagi?"

"Nak kopi, boleh?" Bulat mata Kaz memandang wajah gadis di hadapannya itu.

"Sementara menunggu, elok minum kopi. Saya memang selalu ke Duncan ni. Sedap kopi kat kedai ni. Awak buat apa selalu kat sini? Awak owner kedai ni ke?"

Kaz pandang wajah gadis di hadapannya tanpa riak. Banyak cakap perempuan ni. Karang aku tinggal macam tu, aku ni lelaki tak baik pula. Terngiang-ngiang pula di telinga pesan mak, lindungi kaum Hawa. Tetapi kenapalah Hawa yang sorang ni tiba-tiba jadi sangat menyakitkan hati?

"Tunggu sini! Jangan masuk. Nanti tak pasal-pasal kena cekup!" Gadis itu menurut. Kaz datang semula mendapatkannya dengan secawan kopi latte.

"Terima kasih," ucap gadis itu gembira.

"Awak siapa nama?" Kaz tidak menghiraukan soalan itu.

"Awak cepat minum dan pergi dari sini. Saya banyak kerja awak tahu tak? Saya bukan datang sini nak berkenalan ke apa. Saya dah tolong awak, saya harap awak faham. Awak tu perempuan, dan saya ni lelaki. Kalau orang jumpa macam mana?"

"But I'm a girl in need. Tentu mereka akan faham. Takkan nak biarkan gadis macam saya ni seorang diri time macam ni? Kalau jadi apa-apa kat saya, awak tak rasa tanggungjawab ke?" tanya gadis berkulit cerah itu bersungguh-sungguh. Kaz dilihat terdiam.

"Ha! Betul kan cakap saya? Baik awak temankan saya sampai orang jemput saya kat sini. Awak tunggu kat dalam, saya tunggu kat luar ni. Tak apa. Saya tak sejuk. Saya ada hoodie!" Hood kembali disarung di kepala.

"Hmmm, awak tunggu kat dalam. Biar saya kat luar!"

Gadis itu tersengih. Aku tahu kau tu baik. And kopi ni memang sedap! Tak sangka, ini rupanya hikmah kereta rosak. Hehehe. Tak pasal-pasal dapat jumpa my dream boy. Oh, my dream boy!

Kaz duduk di luar pintu kedai sebelum telefon bimbitnya berdering. Dia mendapatkan gadis itu yang sedang duduk di atas kerusi berhadapan meja bar.

"Awak Luna ke?" soal Kaz dingin. Gadis itu angguk.

"Panggilan untuk awak."

Setelah berbual seketika, gadis itu memulangkan telefon bimbit itu kepada Kaz.

"Saya pergi dulu! Thanks for the accompany, and the latte!"

"Dah ada orang jemput?" soal Kaz masih dingin.

"Saya dah bukan tanggungjawab awak lagi. Don't worry!" Gadis itu tersenyum sebelum berlalu pergi.

Kaz mengunci semula pintu sebaik gadis pelik itu hilang dari pandangan. Dia kemudian mengeluh kecil sebelum berlari anak ke meja kerjanya.

"Get back to work! Work! Work!"

Terkocoh-kocoh Kaz masuk ke lobi Klinik Pergigian Shine. Semua mata memandang ke arahnya. Kaz kembali tenang.

"Appointment..." Kaz mengunjuk kad klinik gigi kepada jururawat yang bertugas di kaunter.

"Sepatutnya encik datang awal. Appointment encik ni two hours ago."

"Tulah. Masalahnya, saya ada hal yang tak dapat nak dielakkan tadi. Bukan saya suka-suka nak datang lewat ni." Kaz memberi alasan. Walaupun hakikatnya aku lambat sebab overslept and then aku lupa. Aku siap duk lepak main PS3 lepas bangun tidur tadi! Heh!

"Hmmm. Encik duduk dulu." Wanita lingkungan 30-an itu senyum segaris. Kaz mengambil tempat duduk di hujung sekali, tidak jauh dari mesin gula-gula. Klinik gigi dengan mesin gula-gula? Sehingga hari ini Kaz tidak pasti dengan motif kenyataan itu.

"Dare TO HAVE, DARE TO LOSE."

Kaz tersenyum sendirian mengamati nota kecil di atas mesin gula-gula tersebut. Sarkastik buat penggemar gula-gula yang boleh merosakkan gigi dengan pengambilan berlebihan. Semua orang tahu tentang kenyataan itu tetapi mengambil kenyataan itu acuh tak acuh.

"Eh, awak!"

Kaz angkat muka sebelum tersentak saat seorang gadis bergaun labuh lengan panjang warna turquoise berdiri di hadapannya. Kaz mengangkat muka. Gadis itu hampir jatuh longlai tetapi sempat disambut oleh Kaz. Apa pasal dengan budak ni? Kenapa dia selalu nak pengsan?

"Awak ni okey ke tak okey?" Kaz mendudukkan Luna ke kerusi bersebelahannya.

"Ah, okey, okey!" Luna telan air liur. Tak okey, siot! Lemah lutut. Jantung macam lepas race 1000 pusingan, laju aje. Dah macam tak sempat nak pam darah dan rasa nak pitam setiap kali tengok kau! Kau tanya aku okey ke tak okey? Kenapalah aku boleh jatuh cinta dengan kau? Padahal aku bukannya kenal kau pun!

"Awak buat apa kat sini?" soal Luna selepas melihat Kaz tidak mengucap sepatah kata pun kepadanya.

"Appointment. Cuci gigi." Kaz rasa hairan. Yang aku sibuk nak jawab juga soalan budak ni buat apa? Isy.

"Saya cek my braces," tukas Luna tanpa ditanya.

"Lama dah ke tunggu kat sini?"

"No." Ringkas jawapan itu. Harap-harap dia ni sedar, yang aku tak ada masa nak layan dia. Menyibuk aje la!

"Ah, sekejap!" Luna mengeluarkan sekeping not RM10 kepada Kaz. Pemuda dengan baju T merah hati dan seluar pendek hitam itu kehairanan.

"Ini duit latte malam tu!"

"It's okay." Kaz bingkas bangun, ingin pergi dari situ.

"Eh, nak ke mana tu?"

"Nak lari jauh dari awak."

"Apa salah saya?"

"Salah awak sebab nak berkawan dengan saya. Saya tak perlukan kawan perempuan macam awak."

"Tapi..."

"Enough." Kaz terus berlalu pergi.

Luna mengeluh berat.

"Mak cik." Luna menoleh ke arah seorang wanita lingkungan 40-an dengan seorang budak lelaki dengan seragam tadika yang duduk selang satu kerusi daripadanya.

"Saya ni hodoh ke mak cik, sampai dia tak nak kawan dengan saya?"

Wanita dan kanak-kanak itu tersenyum.

"Kamu cantik. Cuma dia belum nampak," balas wanita itu ikhlas.

Luna tersengih, menampakkan pendakap gigi berwarna merah jambunya. Luna rasa sedikit hampa. Semalam merupakan kali pertama dia bercakap dengan pemuda yang selama ini menjadi pujaan hatinya tetapi hari ini telah membuktikan pemuda itu langsung tidak berminat dengannya. Kenapa dengan budak Duncan tu agaknya? Apa masalah dia dengan aku ni? Kenapa dia tak nak kawan dengan aku?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co