Bab 9
Penat. Sepanjang minggu FunDuncan Week, Duncan CoffeeHouse memang sentiasa sesak dengan pelanggan hampir setiap hari. Pink Smile betul-betul mendapat sambutan. Justeru, Kaz memberi cuti bermula hari ini sehingga Selasa, tanda penghargaan kerana bertungkus-lumus sepanjang FunDuncan Week.
Selalunya, cuti di Duncan CoffeeHouse hanya pada hari Ahad. Hari ini baru hari Sabtu. Masih ada tiga hari lagi untuk Kaz berehat secukupnya.
Kaz kini mampu menarik nafas lega. Galaksi Amin dan U-Turn juga sudah siap diterbitkan di Fusion. Maknanya, dia boleh rehat sehingga hampir hujung bulan nanti. Idea untuk episod seterusnya sudah siap ditulis pada memo di meja kerjanya di rumah. Selalunya kalau idea sudah tersedia, Kaz tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan komiknya.
"Mak ada jumpa Ari pagi tadi?" soal Kaz seraya meletakkan pinggan nasi goreng ke atas meja. Bangun saja dari tidur pagi tadi kelibat Ari langsung tidak kelihatan.
"Ada. Sempat dia sarapan nasi goreng mak pagi tadi. Kaz aje yang bangun lambat."
"Overslept la, mak. Dia ada cakap dia pergi mana?"
"Katanya ada meeting dengan klien kat Golf Club."
Kaz mengia dalam hati. Nak masuk projek barulah tu. Mesti dengan orang kenamaan lagi. Makin nak kahwin, makin melimpah ruah rezeki Si Ari ni. Untung-untung, dapat naik pangkat.
"Sayangnya babah, mak dan Ery tak dapat join FunDuncan Week. Kenapa tak sambung minggu ni?"
Ery sudah menghentak kaki sebelum melompat duduk di sisi Hajah Aini. Flyers FunDuncan Week di tangan diletakkan di atas meja. Entah dari mana dia menjumpainya, Kaz tidak tahu.
"Abang memang sengaja tau!" Gadis berbaju T putih dan berseluar jean kelabu itu tarik muka masam sebelum menjeling Kaz di hadapannya. Hilang terus kisah Ari.
"Laa. Abang dah call babah dah, bagi tahu pasal ni. Babah kan ada meeting dengan penghulu-penghulu kampung lain."
"Ya ke, bah?" Ery memandang wajah Haji Mahdi pula di sebelahnya.
"Ya, Ya..." Haji Mahdi balas acuh tak acuh. Surat khabar di tangan masih ditelaah penuh minat. Malam tadi mereka selamat sampai di SummerShine. Kebetulan Ery sudah mula cuti sekolah. Sebab itu, Haji Mahdi mengambil kesempatan ini untuk menjenguk Kaz di SummerShine.
"Abang punya strategi tak boleh pakai tau. Kenapa tak buat alang-alang masa cuti sekolah?" Ery masih tidak berpuas hati. Mocha yang disediakan oleh Kaz khas buatnya dihirup perlahan.
"Ya tak ya!" Kaz menepuk dahi.
"Kenapa abang boleh lupa pasal tu?" Kaz menepuk dahi.
"Tu la, abang. Ada adik yang cerdik macam Ery tak nak minta pendapat Ery dulu." Ery mendabik dada.
"Mungkin sebab abang tahu kalau cuti sekolah, Ery tentu sibuk jadi bos kat kedai abanglah abang tak jadi buat masa cuti sekolah kut! Hahaha!" gurau Kaz.
Hajah Aini turut tergelak melihat Ery yang sudah mengetap bibir geram.
"Dahlah tu."
Akhirnya Hajah Aini bersuara. Bahu Ery yang duduk di antara dirinya dan Haji Mahdi di sofa berbentuk L itu ditepuk-tepuk. Anaknya yang lelaki itu memang kaki sakat, yang perempuannya pula cepat naik marah. Memang macam-macam kerenah kalau mereka duduk sebumbung.
"Abang, pinjam laptop!" Ery sudah bangun dengan muk Mocha di tangan.
"Nak buat apa?" Sengaja Kaz menyoal, padahal dia tahu, Ery mesti hendak online.
"Online."
"Tak online tak boleh ke? Dahlah nak PMR. Asyik menghadap tu aje!"
"La... Urgent ni! Nanti quest expired, banyak nak kena kumpul duit beli katil cantik tu. Bolehlah, bang..." rayu Ery.
"Sims la tu. Nanti abang nak saman Electronic Arts sebab buat adik abang jadi gila."
Ery sudah tersengih.
"Bolehlah..." rayunya lagi.
"Kalau result buruk, jangan buat-buat menangis menyesal! Laptop ada dalam bilik. Bawah meja kerja."
"Terima kasih, Encik Kazreeq." Ery melonjak gembira.
"Sama-sama, Cik Erika." Ery terus berlalu meninggalkan ruang tamu.
"Ni Kaz, ada jumpa dengan Uncle Irshad lagi?" Haji Mahdi sudah meletakkan surat khabar di atas meja. Kaz yang sedang hendak menyuap nasi goreng ke mulut mengangkat muka.
"Tak ada, bah," balas Kaz sebaik habis mengunyah.
"Anak dia Luna tu adalah." Perlahan saja suara Kaz masa itu, dengan harapan Haji Mahdi tidak bertanya lebih lanjut lagi.
"Luna? Selalu ke Kaz jumpa dia?"
Kaz terdiam sejenak. Selalu, bah. Kalau Kaz cakap hampir setiap hari budak tu skodeng kedai Kaz, macam mana? Huh, mahunya babah buat soal siasat habis-habisan. Luna susah, aku pun jadi susah. Baik diam aje.
"Kadang-kadang dia ada beli donut kat kedai Kaz," balas Kaz.
"Budak tu, macam tak percaya pula budak kecik yang selalu nak tidur dengan Kaz dah besar macam tu."
Memang tersedak terus nasi yang dikunyah sebentar tadi. Hingga merah dan berair mata Kaz terbatuk-batuk. Hajah Aini segera beralih tempat duduk ke sisi Kaz. Belakang anaknya diusap-usap. Muk air kosong di sisi pinggan nasi segera disua ke arah Kaz. Pantas Kaz menyambut lalu air itu diteguk laju. Barulah tekak dan dadanya yang pedih terasa sedikit lega.
"Apa babah cakap ni?"
"Kenapa Kaz macam terkejut sangat?" Haji Mahdi menyoal kembali.
"Kaz sebenarnya ingat ke tak dengan Luna?"
"Tak." Sepatah Kaz menjawab.
"Luna tu rapat dengan Kaz masa dia kecik dulu. Masa tu, dia tinggal di rumah kita seminggu. Memang tak nak main dengan orang lain dah masa tu. Tidur pun nak dengan Kaz. Sampai ke papa dan mama dia pun dia tak berapa nak layan. Dia asyik nak dengan Kaz aje." Giliran Hajah Aini bercerita.
"Lama dah tak tengok Luna. Hari tu, masa Myra kahwin, mak tak dapat pula nak pergi sebab Ery demam. Agaknya, macam manalah rupa budak tu sekarang? Bukan main comel dia masa kecik dulu." Hajah Aini tersenyum sendirian.
Kaz berkerut dahi. Nostalgia pula mak aku ni. Apa pasal aku tak ingat langsung pasal budak kecik nama Luna?
Tiba-tiba, telefon bimbit Haji Mahdi berbunyi. Kaz terus membisu.
"Waalaikumussalam, panjang umur. Kami baru bercakap pasal Luna tadi." Haji Mahdi sudah tersenyum lebar.
Kaz pasang telinga. Panjang umur? Siapa yang call? Luna ke?
"Baru sampai semalam. Ha, itulah. Nak jenguk Kaz. Kebetulan, Ery tengah cuti. Dinner?"
Kaz menyuap lagi baki nasi dari pinggan sambil tekun mendengar perbualan Haji Mahdi. Dinner?
"Baiklah. Kita jumpa malam nanti. Dah lama tak berbual panjang dengan kau, Irshad. Hahahaha!"
Kaz mengangguk-anggukkan kepalanya tanpa sedar. Oh, rupanya Uncle Irshad yang call. Aku ingat Luna.Entah apa yang digelakkan babah. Gelak apa tu, bah? Ya, kadang-kadang aku suka jadi penyibuk!
"Yalah. Nanti aku sampaikan. Assalamualaikum." Haji Mahdi memasukkan semula telefon bimbit Samsung ke dalam poket seluarnya. Ya, telefon bimbit milik Haji Mahdi jauh lebih maju daripada telefon milik Kaz!
"Siapa tu, bang? Irshad?" soal Hajah Aini ingin tahu.
"Haah. Amina kirim salam."
"Waalaikumussalam."
"Malam ni, Irshad jemput kita dinner di rumah dia."
"Ya ke, bang? Seganlah saya."
"Segan apanya? Bukan orang lain."
Kaz masih menelan butir bicara itu satu per satu. Bukan orang lain? Rapat sangat ke? Kalau rapat, kenapa tak pernah tengok sebelum ni?
"Hmmm, babah dengan mak pergilah bersiap. Kaz bawa pergi jalan-jalan." Kaz sudah bangun dari tempat duduknya.
"Tak nak makan tengah hari dulu ke?" soal Hajah Aini sambil membetulkan sanggulnya.
"Tak payahlah, mak. Kita makan kat luar aje la nanti. Lepas tu, kita beli barang-barang untuk masak makan malam. Mak masak malam nanti ajelah, okey?"
"Eh, malam nanti kan nak pergi dinner di rumah Uncle Irshad?"
"Haaa, ya tak ya." Kaz angkat punggung.
"Tak apalah. Mak cuti masak hari ni." Dia tersengih sebelum melangkah ke dapur menuju ke singki. Fikirannya merewang jauh pada kisah dia dan Luna masa dia masih kecil seperti yang diceritakan oleh Hajah Aini sebentar tadi. Kenapa dia tidak ingat langsung akan kehadiran Luna?
Kaz berdiri di tepi muka pintu. Kelihatan Ery sudah bersalaman dengan Tuan Irshad dan Puan Amina. Haji Mahdi kemudian bersalaman dengan Tuan Irshad manakala Hajah Aini berpelukan dengan Puan Amina. Ada titisan air mata di pipi kedua-dua wanita itu.
"Apa khabar, uncle?" Tangan Tuan Irshad segera dicium. Begitu juga dengan tangan Puan Amina. Lantas Puan Amina menepuk-nepuk bahu Kaz. Pemuda itu mengukir senyuman.
"Siapa datang, ma!" laung Luna dari dalam bilik. Sebentar kemudian, dia berlari anak menuruni anak tangga. Dan apabila sepasang mata di muka pintu itu bertembung dengan pandangan matanya, Luna kaget. Langkah jadi tidak seimbang dan entah bagaimana dia tergelincir jatuh.
"Lailahaillallah! Luna!" Puan Amina dah terkocoh-kocoh bangun mendapatkan anaknya. Gadis berbaju T dan berseluar panjang serba putih itu tersengih sambil mengurut kaki.
"Tak apa-apa ke?" Hajah Aini datang menghampiri.
"Boleh berdiri?"
"Boleh lagi ni." Luna berdiri dengan berpaut pada lengan Puan Amina.
"Salam Mak Cik Aini. Lupa pula mama nak bagi tahu, malam ni papa jemput mereka dinner sini."
"Oh!" Macam mana mama boleh lupa nak bagi tahu aku? Ke mama sengaja buat-buat lupa? Aku bukan tak kenal mama yang kadang-kadang plan ala-ala Kak Myra. Aku ingat, bunyi bising-bising tadi Kak Myra balik buat surprise, kan dia aje yang suka nak buat kerja-kerja surprise bagai macam tu.Isy!
"Apa khabar, mak cik?" Tangan Hajah Aini dicium.
"Khabar baik. Luna ingat mak cik tak?"
"Errr."
"Ini Mak Cik Aini, Luna. Isteri Pak Cik Mahdi." Puan Amina segera memperkenalkan.
Luna menelan air liur. Isteri Pak Cik Mahdi, yakni... Mak Kaz?
"Tak apa kalau tak ingat. Dah besar dah pun. Cantik orangnya." Hajah Aini mengusap lembut pipi Luna. Gadis itu hanya tersenyum.
"Kak Aini duduklah dulu. Biar saya dengan Luna siapkan meja."
"Eh, tak apalah. Kita buat sama-sama. Ery..." panggil Hajah Aini. Ery minta diri dari Tuan Irshad dan Haji Mahdi sebelum mengiringi Hajah Aini, Puan Amina dan Luna ke dapur.
Sepanjang makan malam, Luna hanya mendiamkan diri. Begitu juga dengan Kaz. Ery pula tekun menghabiskan ayam masak merah dengan udang goreng butter kegemarannya yang sedia terhidang. Barulah Kaz tahu sejarah sebenar persahabatan antara Haji Mahdi dengan Tuan Irshad. Bagaimana mereka boleh terputus hubungan, dan bagaimana mereka kembali menyambung tali persahabatan itu.
Elok selesai makan malam, mereka semua duduk semula di ruang tamu. Puding karamel air tangan Puan Amina segera Ery hidangkan di atas meja dengan dibantu Hajah Aini. Ery yang peramah itu senang sahaja membiasakan diri.
"Boleh ke?" Mendatar suara itu menyapa gegendang telinga Luna. Kaz yang baru selesai mencuci tangan di singki selepas mengelap meja kini sudah pun berdiri di belakangnya yang sedang menatang dulang berisi cawan kosong. Puan Amina sudah berlalu dengan teko air kopi. Sengaja Kaz menawarkan diri untuk membantu mengemas di dapur kerana tidak mahu mengganggu Haji Mahdi dan Tuan Irshad yang masih rancak mengimbau kenangan silam.
Luna tersengih. Hanya itu yang mampu dia lakukan. Kakinya yang terhencot-hencot akibat jatuh tangga tadi masih terasa sakit setiap kali dia memijak lantai.
"Bawa sini." Kaz mengambil dulang di tangan Luna. Gadis itu belum mahu melepaskan.
"Tak apalah. Awak kan tetamu."
"Saya tetamu. Awak pesakit. Jangan degil." Nada kata-kata ringkas itu masih mendatar dengan wajah yang tak beriak.
Luna terus membisu. Adakah itu satu arahan? getusnya dalam hati. Tanpa berkata apa-apa lagi, Kaz sudah pun mengambil dulang dari tangan Luna.
"La... Apa pasal Kaz pula yang hantar? Luna mana?" soal Puan Amina kehairanan seraya menjengah ke muka pintu dapur. Kaz hanya tersenyum. Anak gadisnya itu sedang melangkah terhencot-hencot ke arah mereka. Cepat-cepat Puan Amina bangun dan membantu Luna.
"Sakit lagi ke kaki tu?" soal Haji Mahdi sebaik sahaja Luna melabuhkan punggungnya ke sofa di antara Puan Amina dan Hajah Aini. Kaz sudah pun mengambil tempat di sisi Ery. Luna hanya menjawab soalan itu dengan senyuman nipis.
"Luna ni memang macam tu, Mahdi. Clumsy! Dari kecik sampai besar, macam itulah perangai dia." Tuan Irshad tergelak kecil.
"Boleh lagi papa gelak?" Luna mencebik. Makin galaklah Tuan Irshad ketawa. Haji Mahdi turut sama tertawa.
"Dah. Jangan tarik muka merajuk macam tu. Dah besar-besar pun nak merajuk bagai ke?" Puan Amina menggosok lembut rambut Luna.
"Kak Luna nak Ery urutkan kaki?" Tiba-tiba Ery bersuara sebaik menghabiskan puding karamel dari piringnya. Dia memang berbakat dalam mengurut. Bakat yang mungkin diturunkan daripada arwah Nek Salmiah, ibu Haji Mahdi. Luna angkat muka.
"Boleh ke?"
"Boleh aje!"
"Ery memang pandai urut. Pergilah urut kaki Kak Luna tu," arah Hajah Aini. Ery angguk.
"Jom ke bilik akak." Luna sudah berdiri.
"Minta diri dulu pak cik, mak cik." Wajah Kaz hanya direnung seketika sebelum pandangan segera dilarikan apabila pemuda itu juga turut memandang ke arahnya. Ery segera membantu Luna melangkah menaiki anak tangga menuju ke biliknya.
Dan tinggallah Kaz, satu-satunya orang muda di kelompok orang tua itu. Dia hanya duduk mendengar perbualan yang entah sampai bila akan berhenti. Jam Fossil di tangan dipandang sekilas. Sudah pun pukul 9.30 malam.
"Luna selalu ke Duncan?" Tuan Irshad tersenyum memandang ke arah pemuda berbaju T Star Wars biru muda dan berseluar jean kelabu itu.
Dan apabila nama itu disebut di hadapan Kaz, dia tersedak lagi. Kali ini bukan butir nasi goreng Hajah Aini yang tersangkut, tetapi giliran air kopi yang salah masuk corong tekak. Terbatuk-batuk dia dek terkejut dengan soalan yang entah dari mana itu.
"Hmmm. Adalah juga, uncle," balas Kaz apabila batuknya reda. Nasib baik kali ini tidak seteruk pagi semalam. Takkan nak jawab Luna ke sana hampir setiap hari? Apa pula kata orang tua ni nanti?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co