Bab 1
Prolog
"KAMI minta maaf. Cik Nadia tak dapat kami selamatkan."
Terjelepok Zenia ke lantai sebaik kata itu menampar telinga. Lesu air mata menuruni pipi. Esak tangis ahli keluarga Nadia yang turut menunggu sejak tiga jam yang lalu di luar bilik pembedahan turut bergema di lorong sunyi itu. Pilu mencengkam jiwa.
Fahad terpempan. Hilang segala ekspresi di wajahnya. Nadia dah tak ada?
Air mata mengalir tanpa segan silu. Mata dipejam. Setiap kenangan manis antara dia dan Nadia diulang tayang seakan-akan pita rakaman. Gelak tawa, rajuk dan tangis yang selama ini mewarnai hidupnya kini sudah hangus terbakar dan melayang bagai debu. Dada rasa ditoreh-toreh kejam. Punah segalanya... Punah gara-gara Zenia!
"Semuanya sebab kau..." Perlahan dan keras dia menutur. Tangan dikepal kuat hingga timbul urat-urat. Jiwa menggelegak. Tangisan yang menampan telinganya itu tak ubah seperti tawa sindiran yang kian menumbuk lumat hatinya. Betapa bagusnya kalau dia tak pernah kenal gadis bernama Zenia Imani selama ini!
"Puas hati kau sekarang?"
Terdongak Zenia sebaik mendengar kata keras bercampur sebak itu. Wajah kacak si suami ditatap dalam kabur mata. Kepalanya menggeleng laju bersama curahan air mata.
"Fahad, aku..."
"Puas kau sekarang Nadia dah tak ada?!" Bertempik suara Fahad menggegar seluruh ruang sunyi itu.
Tergamam Zenia menerima tempikan kuat yang hampir meluruhkan segala organ dalamannya itu. Pertama kali dirinya diherdik sebegitu tinggi. Sampai hati Fahad menuduhnya. Dia sendiri tak pernah mengharap semua ni berlaku...
"Memang ini yang kau nak selama ni, kan? Sebab kau memang dah lama cintakan aku. Kau memang tunggu masa aje untuk hapuskan Nadia dari hidup aku!"
"Tak, Fahad..." gelengnya laju, menidakkan.
"Tak apa, Zenia?! Kalau kau sendiri hentikan semua benda ni, Nadia takkan mati. Kau pembunuh!" Tajamnya lidah itu melempar tuduhan paling berat.
Sesak dada Zenia. Kejamnya tuduhan itu ibarat pedang yang menembus tepat ke jantungnya. Tiba-tiba dilihat tubuh sasa itu meluru laju ke arahnya. Lengannya ditarik kasar supaya berdiri dan dihempas kuat ke dinding belakang. Kedua-dua pipinya dicengkam kuat tangan itu.
"Sakit, Fahad..." rintihnya apabila rahang terasa sakit dicengkam. Makin membuak air matanya terhambur. Hilang sudah pandangan Fahad yang dia kenal selama ini. Cuma kebencian yang terbias di mata merah itu.
"Sakit? Hati aku lebih sakit, Zenia!" jerit Fahad bagai nak terkeluar anak tekak. Hilang segala belas kasihan dalam diri. Kesedihan dan kebencian mengatasi segalanya.
"Kau jangan ingat aku akan terima kau lepas Nadia pergi. Cinta kau ibarat racun, Zenia. Kalau bukan sebab kau, aku dah bahagia dengan Nadia!" hamburnya lagi. Ditunak raut itu penuh benci dan meluat. Pipi itu dilepas kasar. Jijik rasanya. Dikesat air mata dengan lengan baju Melayunya yang sudah mengering.
"Kau teringin sangat nak kahwin dengan aku, kan?"
Membulat mata Zenia. Pantas tangan itu digapai bersama gelengan laju.
"Tolonglah, Fahad... Jangan buat aku macam ni," rayunya. Dia sanggup tubuhnya dikasari, tapi bukan bercerai. Masjid mereka baru saja terbina...
"Maaf kau dah tak ada makna, Zenia. Tapi kau jangan risau... Aku takkan ceraikan kau."
"Terima kasih, Fahad," ucapnya lega.
"Tapi aku akan gantung kau tak bertali! Hiduplah kau dalam perkahwinan ni selama mana pun yang kau nak!" putus Fahad.
Akhirnya terlepas jua pegangan Zenia. Terkulai layu di sisi. Langkah lelaki itu dihantar pergi. Dia digantung tak bertali? Sesak dadanya mengatur hela yang seakan-akan tak sudi masuk ke ruang dadanya.
Kalau umur dah 30 masih tak ada lagi lelaki nakkan kau, Zen... Kau jadi ajelah isteri kedua aku eh?
Kata gurauan Fahad dulu terngiang di telinga. Sedihnya hidup seorang Zenia... Ditinggalkan ibu bapa dan kini suaminya pula melakukan hal yang sama. Tak sampai 24 jam lafaz akad terucap, dia sudah digantung tak bertali. Menggigil rasa seluruh tubuhnya.
"Yan..." Haryani datang dan terus memeluk. Menampung tubuhnya yang terasa longlai.
"Sabar, Zen." Turut mengempang tangis dari jatuh. Tak nak Zenia semakin sedih.
"Fahad dah pergi, Yan. Aku takkan dapat jumpa dia lagi..."
"Mungkin itu yang terbaik. Sebab lelaki macam Fahad tu tak layak dapat cinta kau!" balas Haryani keras.
Mata itu dipandang lama. Betul ke Fahad tak layak untuknya?
Fahad Iswan. Lelaki dan sahabat baik yang dicintainya dalam diam selama ini. Tak pernah terluah, menyedari kekurangan dalam diri. Kini segalanya sudah hancur menyembah bumi. Tiada lagi persahabatan, apatah lagi cinta yang tak pernah wujud untuknya...
BAB 1
8 bulan lepas...
Pintu dewan kuliah tiga, Fakulti Seni Bina itu ditolak Zenia. Sempat lagi dia menahan pintu memberi laluan kepada kawan baiknya Haryani, merangkap housematenya sepanjang 4 tahun pengajian ijazah mereka di Universiti Teknologi Mara itu dalam bidang arkitek.
"Thank you, Zen," ucap Haryani seraya mengelip matanya beberapa kali.
"Welcome, Princess Haryani. Lain kali lupa lagi buat assignment, ya?" balas Zenia memerli. Haryani ketawa kuat. Punyalah menggelupur dia subuh tadi, sibuk sangat dengan aktiviti persatuan pelajarnya sampai tugasan Prof. Malik pun dia boleh lupa. Sudah subuh 'kuman', Zenia dikejutnya agar membantu.
"Alah... Macam tak biasa," balasnya tersengih.
"Haah, dah biasa sangat sampai aku rasa kecik besar, kecik besar aje kau ni." Hujung tudung Haryani ditarik sampai tersenget. Mengganggu tidurnya aje!
"Weh! Benda lain kau boleh tarik ek, bukan shawl aku." Sejam dia berdiri di depan cermin semata nak belit tudung ni. Baru belajar dari YouTube semalam. Boleh pula dia main tarik-tarik!
"Lain kali pakai aje tudung sarung macam Mak Pisah nasi lemak tu! Tiup taufan pun maintain keras aje awning tudung dia," perli Zenia.
"Eee... Tak vogue langsung! Ini fashion namanya. Kau apa tau!" Cap merah atas kepala Zenia ditepuk kuat sampai menyumpah si kawan. Bengang.
"Nasib tak putus nafas aje kau duk belit-belit macam ni." Rimas dia tengok terbelit macam nak gantung diri saja.
"Shhh... Kau orang berdua ni boleh senyap sikit tak? Tak nampak ke orang dah ramai dalam dewan ni? So kampung!"
Terus terdiam kedua-duanya bila Hani Dania, rakan sekelas mereka yang acah diva mengalahkan model antarabangsa menegur mereka dengan pandangan sinis.
Pelik, macam mana dengan jadual padat mereka sebagai pelajar seni bina, tapi minah sorang ni masih ada masa lagi nak berlawa-lawa? Tak ada eye bag bawah mata pun, mereka dah cukup bersyukur!
"Kau apa hal. Aku tak kacau kau pun, kan?!" kata Zenia dengan mata membulat besar. Cari pasal betul perempuan ni.
"Ada aku cakap kau kacau aku ke? Kau kacau orang sekeliling aku ni. Lain kali otak tu pakai sikit!" balas Hani dengan muka berlagaknya.
"Eh... Melampau pula minah ni."
Cepat-cepat lengan ternaik itu dipegang Haryani. Karang tak pasal-pasal ada yang keluar dewan dengan pipi merah pula!
"Tak payah la cari pasal, Zen. Dia memang sengaja nak buat kau marah tu. Cool, okey?" pujuk Haryani. Tangan Zenia ditarik menuruni tangga menuju ke kerusi belah kanan dewan kuliah. Port biasa mereka.
Dia kenal sangat dengan si 'honey' tu. Sejak semester pertama, tak pernah sebulu dengan mereka. Nak-nak lagi dengan Zenia. Entah apa yang didengkikan sangat pun dia tak tahu. Dengki sebab sebenarnya Zenia lagi cantik daripada dia agaknya walaupun tomboi sebegini. Dasar bimbo!
Hani menjeling ke arah sahabat berdua itu. Haryani boleh tahan lagi, biasa-biasa aje. Tapi yang si tomboi Zenia tu, sakit matanya tengok dengan sneakers, jeans lusuh dan kemeja gedabak kotaknya. Tambah lagi dengan rambut ala boy cut tu. Sakit hati kerana dengan penampilan begitu pun Zenia masih nampak cantik di pandangannya. Tapi ada bagusnya juga Zenia macam tu, tak adalah dia rasa tergugat. Bibirnya tersenyum sinis.
"Pagi-pagi dah buat aku naik angin! Kita tak kacau dia pun, kan?" Beg galas dihempas Zenia ke atas meja. Dari elok moodnya, terus kena langgar ribut.
Haryani senyap tak balas. Tak pasal-pasal lagi berkajang minah ni bebel. Tomboi-tomboi pun, kalau bab membebel boleh kalah uminya dekat kampung sana. Kemudian matanya melilau ke sekeliling dewan kuliah yang hampir dipenuhi rakan sekelas.
"Wehhh..." Bahu Zenia ditepuk. Mata masih ligat mencari kelibat dua manusia di celah ramai.
"Apa la kau ni?!" Suara Zenia bunyi bengang. Sakit bahunya.
"Fahad dengan abang aku tak datang lagi ke? Kuliah dah nak start kot." Dijeling kejap Prof. Malik di meja bawah sana. Laptop sudah dibuka. Mungkin sedang mencari nota kuliah untuk hari ini.
"Kereta masuk gaung agaknya." Selamba Zenia jawab. Kertas dan bekas pensel dikeluarkan dari beg galas.
"Kau ni agak-agak la Zen, kau kata tu abang aku tau!" marah Haryani. Ada ke doakan abangnya dan Fahad masuk gaung?
Hairi dan Haryani pasangan kembar, tapi perangai macam langit dengan bumi. Mulut Haryani macam bertih jagung, kalau tak disuruh berhenti sampai esok dia boleh membebel pasal benda remeh-temeh. Hairi pula lebih cool. Tapi bila masing-masing bergaduh, memang boleh meletup telinga yang mendengar.
Fahad dan Hairi menyelinap masuk ke dalam dewan kuliah lagak pencuri. Terbongkok-bongkok kedua-duanya berjalan. Prof. Malik sudah memulakan kuliah.
Fahad terpandang dua buah kerusi di sebelah Zenia sana masih kosong, cepat-cepat Hairi digamit. Sebaik punggung mencecah kerusi, terus cap merah yang menutup muka Zenia itu ditarik Fahad.
"Morning," tegurnya ceria seraya mengenyit sebelah mata. Perlahan saja mata Zenia naik menikam mukanya. Liur ditelan berpasir.
"Sorry la Zen, aku bukan sengaja tak nak ambil kau semalam. Tengah final MU kot semalam!" Malam tadi, pukul 9.30 malam Zenia ada menelefonnya. Minta ambilnya di kedai fotostat, motor tak boleh start. Tapi kebetulan pula malam semalam final liga England.
"Alasan kau la kan. MU tu lagi penting dari keselamatan aku la? Dibuatnya aku kena culik ke... Kena perkosa ke..."
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi ketawa kecil. Fahad dipandang sebal.
"Aku rasa tak ada siapa kot nak perkosa kau," gumam Fahad perlahan tapi masih dapat ditangkap telinga Zenia.
Sentap. Tahu apa yang dimaksudkan lelaki itu. Yalah... Dia ni tomboi, tak ada siapa kot yang bernafsu tengoknya. Dengan baju loose gedoboh, rambut pendek macam lelaki. Tengok sekali imbas memang orang ingat lelaki agaknya. Nasib baik ada Wawa rakan sekelas mereka yang kebetulan lalu depan kedai fotostat tu, boleh la juga dia tebalkan muka minta hantarkan sampai ke rumah. Nak harapkan Fahad, sampai pagi la dia merempat depan kedai tu agaknya.
"Sorry la Zen, aku tak bermaksud pun..." Tersedar keceloparan mulutnya.
Zenia meniup kuat rambut di depannya yang terjuntai jatuh, buku notanya diselak kuat tanda protes. Dia ingat sebab aku penampilan macam ni, aku bukan perempuan dan tak ada hati agaknya!
Kepala digaru Fahad. Aduh... Merajuk la pula minah ni! Tak pernah-pernah nak merajuk selama ni.
"Zennn...." Lengan itu digoyang-goyangnya memujuk. Zenia masih dengan muka stone.
Tiba-tiba..
"Ya, Fahad. Ada apa-apa yang awak nak share dengan kawan-kawan semua?"
Terus turun semua darah dari muka Fahad. Suara Prof. Malik bergema dari corong mikrofon. Mencerun tajam ke arahnya dari celah kaca mata bulat itu. Cepat-cepat dia bangun. Telan air liur. Apa aku nak cakap ni?!
Dicuit Hairi meminta bantuan, tapi laju saja mamat tu menutup mukanya dengan kertas di tangan. Hampeh punya kawan!
"Errr... Prof. nampak handsome hari ni." Tiba-tiba kaki disepak Hairi. "Errr... Tak ada apa, prof.," sambungnya kalut sebelum menunduk. Hampir separuh dewan mengetawakannya. Zenia di sebelahnya turut menutup mulut tahan gelak.
"Hurmmm... Duduk," arah Prof. Malik bersama gelengannya.
Cepat dia duduk semula. Zenia dijeling. Berani ketawakannya. "Apa hal! Lawak la?"
"Eh... Emo pula! Aku tak cakap apa-apa pun." Zenia menjawab selamba.
"Assignment aku mana?" soal Fahad nada bengang.
"Oh... Banyak cengkadak kau. Semalam aku suruh ambil aku kejap aje pun, bukan main berkajang alasan kau. Tak ada!"
Terbeliak mata Fahad bagai nak tersembul. "Kau biar betul, Zen. Aku nak kena hantar tengah hari ni kot. Kalau tak, fail aku nanti!" Gelabah.
"Time-time tersepit macam ni, pandai la kau cari aku, kan!" Satu fail nipis di dalam beg galas ditarik dan dihempas ke atas meja Fahad.
"Upah seratus!"
"Bapak mahal! Kau kutip hutang along ke apa?! Tak ada... Tak ada... Mi Goreng Mamak aje aku belanja malam ni."
"Banyak la handsome muka kau..."
"Fahad... Zenia."
Kedua-duanya sudah gigit bibir sebaik suara itu mencecah gegendang telinga. Mata ditutup kuat. Masak...
"Lepas kelas jumpa saya," suara Prof. Malik seraya memandang kedua-duanya tajam.
Zenia mengeluh.
"Baik, prof.," sahut kedua-duanya serentak.
Zenia menjeling Fahad. Tajam, tak puas hati.
"Apa hal kau jeling-jeling?!" Fahad masih buat muka tak bersalah.
Zenia tarik nafas. Cuba menyemai sabar dalam dada. Tak apa, Zenia... Sabar. Tahulah macam mana aku nak balas nanti!
"OKEY... Kita berhenti sampai sini aje dulu. Assignment minggu lepas sila hantar ke depan. Siapa yang masih belum siapkan, saya bagi masa sampai pukul 3.00 petang ni saja. Sila letak dalam kotak depan pintu pejabat saya." Panjang lebar Prof. Malik bersuara menamatkan kelasnya buat hari ni.
"Baik, prof.," sahut sebahagian pelajar.
"Fahad, Zenia. Saya nak kamu berdua jumpa saya esok pagi. Petang ni saya ada meeting."
"Baik, prof.," jawab Zenia reda.
Fahad di sebelah hanya angguk serupa burung belatuk. Setelah tugasan diletak di depan, mereka semua bangun untuk keluar dari dewan kuliah.
"Makan jom," ajak Haryani sebaik mereka menapak keluar.
"Kau orang pergi la dulu. Aku nak pergi student centre kejap, ada barang tinggal," kata Zenia seraya menggalas beg birunya ke bahu.
"Ala... Benda tu kejap lagi pun boleh ambil. Kita makan dulu," rengeknya. Tanpa menunggu jawapan, terus lengan Zenia ditarik Haryani dan mereka berempat bergerak ke arah kafe yang terletak di bangunan satelit itu.
Tiba-tiba kaki Fahad terhenti bila bola mata menangkap kelibat seseorang di salah satu meja di kafe itu. Cepat saja matanya melilau mencari tempat kosong macam mata helang.
"Sana jom!" gamitnya seraya laju saja menyusun langkah ke arah meja kosong tak jauh dari situ. Ketiga-tiga mereka hanya mengekor.
Melihat Zenia yang sudah bersedia nak duduk ke atas salah satu kerusi di situ, pantas lengan itu dipegang Fahad, menghalang.
"Kau duduk depan ni. Aku nak duduk sini," kata Fahad tanpa memandang gadis itu. Selamba saja begnya diletak ke atas meja terlebih dulu. Berkerut dahi Zenia.
"Kau ni apa hal? Nak duduk mana pun jadi isu ke?!" Zenia sebal. Bila melihat mimik muka Haryani di sebelah, sudahnya dia mengalah jua. Begnya dihempas ke meja bengang.
"Aku selesa duduk sini."
Berkerut hebat muka Zenia. Kerusi semua sama aje kot!
Hairi yang tahu punca Fahad berkelakuan begitu hanya menggeleng kepala. Dia mengambil tempat di kerusi kosong sebelah Fahad.
"Kau ajar sikit kawan kau ni, Ri... Bengang pula aku jadinya!" Belum habis sebalnya pasal hal semalam, dah bertambah pula dengan hal hari ni. Belum lagi kena jumpa Prof. Malik esok. Meletup juga agaknya dia esok.
"Relaks la, Zen... Orang tengah dilamun cinta memang la macam ni." Hairi tergelak. Selamba pecah rahsia.
Serentak Haryani dan Zenia memandang sesama sendiri. Dilamun cinta? Dengan siapa?
"Eh... Jom la, tadi kata lapar, kan." Cepat-cepat Hairi pusing cerita. Lengan si adik ditariknya laju supaya bangun. Zenia turut bangkit walaupun masih bingung dengan kata-kata Hairi tadi. Sempat lagi dia memandang kejap ke belakang, mencari mana-mana raut yang dikenalinya.
Melihat kedua-duanya yang sudah bergerak ke deretan kedai sana, belakang badan Fahad yang masih mengeras di tempat duduk ditepuk Hairi kuat, sampai nak gugur jantung dibuatnya. Mati terus renungan si kawan.
"Dah-dah la tu, woi. Tak kenyangnya kau tengok muka perempuan tu. Jom makan!" ajak Hairi. Sempat lagi memerli.
Fahad garu kepala. Tersengih seraya bangun mengikut langkah Hairi.
Sedang Zenia menyuap nasi ke mulut, tiba-tiba lengannya disenggol. Haryani dipandang sebelum melihat mulut itu memuncung pada Fahad di depan. Dilihat lelaki itu hanya menguis lauk di pinggannya yang tak luak. Mata itu asyik memandang ke arah lain. Fahad pandang siapa?
Kepala ditoleh ke belakang. Dari arah mata itu, dia dapat mengagak kalau lelaki itu sedang memandang dua orang perempuan yang duduk di meja berdekatan tiang sana. Seorang bertudung kelabu dan berkulit sawo matang dan seorang lagi free hair dan berkulit cerah. Fahad pandang yang mana satu?
Kalau ikut logik akalnya, mestilah Fahad pandang yang lebih cantik antara kedua-duanya. Dan yang lebih cantik mestilah gadis tak bertudung tu.
"Woi..." Pinggan Fahad diketuknya namun tak bersahut. Mata itu tetap tak berkalih. "Woi Fahad!" sergahnya sekali lagi. Terus mata itu berkelip memandangnya.
"Apa hal?"
"Kau tengok apa?" soal Zenia terus terang.
Tiba-tiba idea Fahad timbul. Terlorek senyum kecilnya. Zenia dipandang lama sebelum pantas tangan di atas meja itu dipegang. Terkejut kawan itu dibuatnya.
"Zen... Kau kena tolong aku!"
Zenia tersentak bila tiba-tiba kata itu terpacul dari mulut Fahad. Pantas tangannya yang berada di bawah tangan kasar itu ditariknya laju. Tak selesa disentuh sebegitu. Apa yang Fahad nak dia tolong? Wajah penuh mengharap itu dipandang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co