Bab 1
"You, jangan lambat tau! Esok I tunggu you dekat airport."
Amaran mesra kekasih yang teramat dicintai terngiang-ngiang di cuping telinga. Danny ketap bibir sambil tersenyum walaupun diberi amaran.
"Ya, I tahu! Jangan risau ya, sayang?" Itu janjinya sewaktu pertemuan mereka lewat malam tadi. Namun, hari ini dia sendiri tidak dapat menjanjikan apa-apa.
Kring! Kring! Bunyi mesej masuk menyapa pendengaran. Cepat-cepat dia membuka peti simpanan untuk melihat kandungan mesej yang diterima.
Mana you ni, tak nampak-nampak dari tadi? – Nadine
Kejap lagi I sampai. – Danny
Danny hela nafas. Ternyata hari ini hari yang paling sibuk dalam hidupnya. Masakan tidak, dari pagi lagi dia sudah menghadiri mesyuarat penting dan diikuti beberapa pertemuan dengan klien.
Usai tugasan pejabat, dia bergegas ke rumah datuk dan nenek, bertemu dengan insan yang selama ini memikul tugas menjaga kebajikan dirinya sejak kedua-dua orang tua yang dikasihi pergi menghadap Ilahi.
Pulang sahaja dari rumah datuk dan neneknya, dia bergegas ke pusat penyediaan cenderahati, melihat contoh cenderahati untuk diberikan kepada tetamu majlis perkahwinannya nanti.
Dan akhir sekali, dalam kesibukan melampau, masih sempat kakinya menyinggah di premis tempahan kad perkahwinan untuk melihat dan meneliti contoh reka bentuk kad yang dibincangkan tempoh hari.
Dalam kesibukan itu, sempat juga tangannya menyambar beberapa keping contoh kad yang sudah siap dicetak sebagai simpanan sendiri.
Kring! Kring! Sedang kalut memandu menuju ke lapangan terbang, telefon bimbitnya berdering lagi. Lamunannya terhenti dan minda terus sahaja teringatkan tunang yang tercinta. Pastinya Nadine sudah tidak senang duduk.
"Helo, you dekat mana?" tanya Nadine saat talian disambungkan.
"I tengah memandu."
"Jauh lagi ke? Sempat ke tidak?"
"Dekat aje, sayang. Dah nak sampai ni."
"Yalah tu. Dari tadi lagi you cakap benda yang sama! Tapi tak sampai-sampai pun!" bebel Nadine memeritkan telinga Danny yang mendengar.
"Ya, I tahu! You tunggu dekat situ. Kejap lagi I terus ke sana. Dah nak sampai ni."
"Berapa banyak masa yang you perlukan?" Nada Nadine kedengaran bosan.
"Dah hampir sepuluh minit, sayang."
"Okey, jangan lambat! Kalau you lambat, I tinggalkan you."
"Ya, sayang," balas Danny, tenang melayan kekalutan Nadine yang sudah tidak sabar-sabar.
Apa susahnya, kalau mereka tertinggal kapal terbang, esokkan masih ada! Ambil tiket baru dan terbanglah ke Bandung, Indonesia. Bukannya jauh mana, seberang laut aje pun!
"Ingat, jangan lambat! Kalau you lambat, I tinggalkan you." Sekali lagi Nadine mengugut.
"Ya, I tahu!"
"Semuanya you tahu! Tapi, sampai sekarang, batang hidung you pun tak nampak-nampak! I dah tak sabar nak ke Pasar Baru Trade Center. Banyak barang kahwin kita yang I nak beli dekat sana. Kalau lambat, I tinggalkan you. Jangan ingat I takut nak buat semua tu!"
"Ya, I tahu! Trip kali ni teramat penting bagi you. Lagipun you nak beli kain les, you nak beli barang-barang hantaran dan kalau boleh you nak beli semua yang dijual dekat sana, kan?" Danny sudah tergelak-gelak.
"Ai, perli nampak?"
"Mana ada I perli you, sayang. I gurau aje. Jumpa kejap lagi, okey?"
"Okey, tapi ingat kata-kata I, kalau you lambat...
Cepat-cepat Danny menyambung.
"Kalau I lambat, you tinggalkan I."
"Tahu tak apa!" Nadine di sebelah sana sudah tersenyum tetapi tidak pada Danny.
Danny sudah menggeleng, mahunya tidak, Nadine asyik dengan kata-kata ugutannya. Namun, kerana perasaan sayang yang mendalam, tingkah laku yang menjengkelkan itu dibutakan mata dan dipekakkan telinganya.
"Okey... Okey! I nak memandu ni! Kejap lagi kita borak sampai bosan, okey?" ujarnya mahu menghentikan perbualan dan fokus kepada pemanduan.
Faham dengan kehendak Danny, Nadine menurut.
"Okey, jumpa you kejap lagi! Love you."
"Love you too, darling!" Setelah itu Danny menamatkan panggilan. Telefon di dalam pegangan tangan dijauhkan dari telinga lalu diletakkan di atas dashboard kereta.
Sedang dia ralit memandu, getaran kecil yang menandakan ada mesej masuk ke dalam aplikasi WhatsApp membuatkan telefon itu jatuh ke atas lantai kereta. Tanpa berlengah, kepala terus ditunduk dan tangan meraba-raba lantai kereta mencari gadget berwarna hitam itu. Sehinggalah...
Dummm!!!
Danny terkedu. Cepat-cepat pedal brek ditekan dan kepala diangkat sambil memerhatikan apa yang sedang berlaku.
"Gosh!!! Macam mana aku boleh langgar kereta orang ni?" Dia gelabah. Tambah-tambah melihat bahagian belakang Proton Iswara yang dilanggar sudah kemik di sana sini.
Tok-tok... Cermin kereta diketuk. Cepat-cepat dia menoleh. Seorang lelaki berjambang dengan riak wajah yang bengis terpamer di ruang mata. Tanpa berlengah, punat kecil ditekan bagi merendahkan cermin yang tadinya tertutup rapat.
"Keluar!" arah seorang lelaki. Kemungkinan pemandu kenderaan yang dilanggar olehnya sekejap tadi.
"Okey... Okey!" Dengan segera, Danny menurut.
Sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta. Bibir terus bersuara.
"Sorry, bro... Aku tak sengaja!" ucapnya memohon maaf atas kesilapan dan kelekaan yang mengundang padah kepada orang lain.
"Banyaklah tak sengaja! Ni macam mana? Kemik sana sini, siapa nak tanggung rugi?!"
"Tak apa... Tak apa... Biar aku yang tanggung! Aku yang langgar!"
"Bayar sekarang! Aku nak lima ribu!" gumam lelaki tadi mengejutkan Danny.
"Eh, takkan kemik macam ni sampai lima ribu kut? Agak-agaklah, bro!" balas Danny tak puas hati. Yalah, Iswara jenis lama, takkanlah sampai lima ribu ringgit. Tak logik langsung!
"Kalau macam tu, ikut aku buat repot polis!"
"Wait... Aku dah lambat ni, bro! Flight aku kejap lagi. Tak sempat nak buat repot segala!"
"Habis, kereta aku ni macam mana? Boleh elok sendiri?" tanya lelaki tadi, bengang.
"Apa kata kita settle luar? Tak payah libatkan polis bagai. Boleh?"
"Boleh! Kau bayar aku?"
"Lima ratus cukup?"
"Kemik sana sini, kau nak bayar lima ratus? Mana cukup! Kau ingat, kereta aku ni besi buruk?" bentak lelaki tadi membuatkan Danny terpaksa bertindak segera. Di sana Nadine sudah menanti. Di sini pula dia terlibat dengan kemalangan. Ah, serabut sungguh!
"Macam inilah, bro. Aku dah lambat ni! Apa kata kau ambil nombor telefon aku dan nanti kau call aku! Aku nak kejar flight ni. Dah lambat!"
"Kau nak lari ke apa ni? Jangan ingat aku bodoh!"
"Tak... Bukan nak lari! Flight aku kejap lagi, bro! Okey, pendekkan cerita, berapa aku kena bayar?"
"Aku nak lima ribu, bukan lima ratus! Cash!"
Danny ketap bibir. Teringatkan wang di dalam beg duit. Mana cukup lima ribu. Gila ke apa menyimpan lima ribu, boleh kembung dompet dia yang mahal tu!
"Sorry, bro. Aku mana ada cash sebanyak tu."
"Aku peduli apa! Aku tetap nak lima ribu. Kereta aku dah rosak teruk. Lagipun kau yang langgar aku! Kau yang cuai! Kau nak cepat. Aku pun nak cepat! Senang cerita, kau bayar lima ribu, masalah ni selesai. Tak payah libatkan polis bagai."
"Sumpah, bro. Lima ribu memang aku tak ada. Kalau seribu lebih tu adalah!" beritahu Danny, jujur.
Lelaki tadi terdiam sambil berfikir-fikir.
"Baiklah, seribu lebih pun bolehlah! Tapi, masih tak cukup! Aku nak lima ribu!"
"Apa-apalah, bro! Janji aku tak terlepas flight," gumam Danny malas mahu tawar-menawar. Dia tahu, individu jenis ini sememangnya akan mengambil kesempatan di sebalik kekalutan yang berlaku. Lihat sahaja cara dan pembawakan dirinya, langsung tidak mahu bertimbang rasa.
Dompet di dalam poket belakang ditarik keluar. Wang tunai sebanyak seribu lebih dikira sebelum not-not itu berpindah tangan.
"Macam mana aku nak contact kau? Nak tuntut baki yang tak cukup ni?" tanya lelaki itu sambil mengira jumlah wang yang diterima.
Danny mengeluh perlahan. Dengan malas-malas, dia bergerak ke kereta sambil mencari kertas. Tak jumpa! Tanpa berfikir panjang, sekeping kad kahwin yang diambil seketika tadi terus disambar. Nombor telefonnya ditulis laju. Entah lelaki ini boleh faham atau tidak, dia sudah tidak peduli. Nadine lebih penting daripada segala-galanya.
"Ni nombor telefon aku. Lima hari lagi baru aku balik ke sini," ajunya seraya menyerahkan nombor telefon yang ditulis kepada lelaki yang tidak diketahui namanya.
"Nombor ni aktif ke tidak?"
"Cubalah call kalau nak tahu." Danny malas mahu melayan kerenah lelaki yang banyak fiilnya itu.
"Handphone aku habis bateri, tapi tak apa... Aku percayakan kau. Kalau kau tipu, siap!"
Danny mencemik. Sudahlah diberi wang sebanyak itu, nombor telefonnya juga diserahkan dan kini dia diugut lagi. Asyik diugut sahaja. Ah, bosan!
"Okey, ada apa-apa lagi? Aku dah lewat ni."
Danny pandang jam tangan memberi isyarat kepada lelaki tadi supaya faham situasinya sekarang.
"Settled! Okey, lepas lima hari aku call kau. Tuntut baki ganti rugi kereta aku ni," ucap lelaki tadi seraya menjeling sepintas ke arah Proton Iswaranya yang remuk di bahagian belakang. Danny turut memandang, BMWnya tidak berapa ketara kerosakannya. Hanya calar dan kemik sedikit.
"Okey, kalau macam tu... Tak ada masalah! Aku blah dulu."
"Okey! Ingat, lima hari lagi aku call."
Danny diamkan diri. Tanpa membalas, dia terus masuk ke dalam perut kereta. Dengan hati yang membengkak, duit yang sudah melayang, enjin kereta dihidupkan dan lalu kenderaan merah garang itu diundur sedikit ke belakang sebelum terus dipandu laju menuju ke lapangan terbang.
"Ha, you ke mana? Nasib baik sempat, kalau tidak... I tinggalkan you," omel Nadine saat terpandangkan wajah tunangnya, Danny.
"Sorry, sayang. Tadi I accident!"
"You accident? Teruk tak?" Nadine sibuk memerhatikan fizikal Danny. Tidak lama kemudian, dia mencemik.
"Tak nampak luka pun! Baju pun tak koyak! Tak teruk pun?"
Memanglah tak teruk. Tak nampak luka, tapi luka kat hati siapa yang tahu! Poket yang koyak rabak, siapa yang nampak? dengus Danny jauh di sudut hati.
"You ni senyap aje, kenapa? Buang tabiat ke apa?"
Nadine masih membebel.
"I penat!"
"Dengan I asyik penat memanjang. You ni, happylah sikit! Kita nak beli baju kahwin kut! Tu... Sepupu I semua perhatikan you. Tak boleh maniskan wajah? Happykan sikit muka you tu," omel Nadine perlahan.
"Yalah, I senyum." Danny buat-buat tersenyum sebelum memandang Nadine sekali lagi.
"Sekarang puas hati you, sayang? I dah senyum ni."
"Senyuman yang tak ikhlas!"
"Ikhlas tu ibarat semut hitam berjalan di atas batu hitam, pada malam yang hitam pekat. Susah nak nampak, susah hendak dilihat." Danny berfalsafah!
"Hesy, you ni! Ada saja nak balas apa yang I cakap!"
Danny tersenyum dengan omelan Nadine. Walaupun gadis ini sering kali menduga hati, namun rasa kasih dan cintanya tak pernah berkurang. Sentiasa mekar dan wangi. Tambahan pula, dua bulan lagi majlis perkahwinan mereka akan berlangsung. Pastinya, ini salah satu dugaan bertunang yang harus dilalui oleh mana-mana pasangan. Yang bezanya, jenis dugaan yang diterima dan bagaimana mereka menghadapi ujian ini sebelum melangkah ke fasa seterusnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co