Bab 4
"Tiara, tu..." Muncung Reena sudah terhala ke arah satu sudut. Serentak itu juga, Tiara kalihkan wajah lalu memandang apa yang sedang diperhatikan oleh rakan baiknya itu.
"Mamat tu handsome, kan?" giat Reena sambil tersenyum-senyum.
"La... Itu aje yang kau nak cakap? Aku ingatkan apalah tadi." Dengan senyuman manis, Tiara menggeleng perlahan. Pinggan yang sudah dicuci, dilap sehingga kering sambil melayan bual bicara rakan serumahnya itu.
Reena memang begitu, pantang melihat lelaki kacak. Mudah cair dan jatuh suka. Tapi, dalam mudah cair Reena, rakannya itu masih belum berpunya. Masih solo dan kata Reena lagi, dia belum bersedia untuk bercinta dan dicintai.
"Tapi kan Tiara... Dari tadi lagi aku tengok mamat tu asyik termenung. Muka dia serabut," komen Reena sambil mencuri pandang wajah pelanggan yang duduk di sudut restoran paling hujung.
"Entahlah, Reena. Mungkin dia ada masalah dengan kerja. Tak pun, dia tengah bergaduh dengan girlfriend. Siapa tau?" Tiara meneka masalah yang melanda jejaka berkening lebat itu.
"Aku rasa tekaan kau memang betul. Kalau bukan sebab kerja, mesti sebab perempuan. Yalah, lelaki handsome macam mamat tu, takkanlah tak ada girlfriend. Ya tak?"
"Ya, Reena. Betul aku setuju," gumam Tiara seraya memanggung wajah lalu mengukir senyuman manis.
Sesekali dia memerhatikan figura lelaki yang menjadi topik perbualan mereka lewat tengah hari itu. Berkemeja dengan lengan disingsing ke hujung siku serta rambut yang kemas bersisir. Hati kecilnya turut mengakui kekacakan lelaki yang disebut-sebut Reena.
"Tiara, kamu dengan Reena tak habis-habis bergosip?" sergah seseorang memeranjatkan mereka yang sedang rancak berbual.
"Sorry, Kak Zah," balas Reena, perlahan.
"Dari tadi lagi Kak Zah perhatikan perangai kamu berdua. Tak habis-habis bersembang, kerja buat cara kerja! Jangan mencuri tulang!"
Tiara dan Reena senyap membisu. Sarang tebuan jangan dijolok, karang mereka juga yang kena sengat. Biarlah Kak Zah mahu membebel, yang penting mereka dapat terus bekerja demi menampung kos hidup yang tinggi di bandar raya ini.
"Ni, tolong hantar pada customer."
"Biar saya hantarkan," tawar Reena yang bekerja sebagai pelayan disambut dengan wajah kelat Kak Zah.
"Tak perlu! Kak Zah mahu Tiara yang hantar pesanan ni."
Reena terdiam seraya memerhatikan Tiara yang terpinga-pinga. Pembantu dapur diminta menghantar pesanan kepada pelanggan. Di mana logiknya?!
"Pergilah cepat!" tekan Kak Zah sedikit tinggi.
Tiara menoleh sejenak.
"Baiklah, Tiara hantar sekarang!" Kerja mengelap ditinggalkan. Lalu dulang yang tersusun pinggan berisi mi rebus disentuh cermat.
Kak Zah yang sedang bercekak pinggan dikerling melalui hujung mata. Ah, hari ni sahaja sudah dua hingga ke tiga kali menjadi mangsa buli wanita itu. Entah apa yang tidak kena, dia sendiri tidak pasti.
"Hah, menonong aje! Kau tahu ke pesanan tu untuk siapa?" Sekali lagi disergah. Tiara terdiam, langkah terhenti manakala Reena yang mendengar, sekadar mampu menelan liur.
"Maaf, Kak Zah. Saya terlupa."
"Cuai! Macam manalah bos boleh ambil kau bekerja, hah? Menyusahkan!" cemuh Kak Zah dengan riak wajah menjengkelkan.
"Maaf, Kak Zah." Tiara memohon maaf. Enggan memanjangkan cerita.
"Sudah, pergi hantar pesanan ni ke meja 16. Cepat, jangan lembab sangat. Jangan nak makan gaji buta!" herdiknya menyakitkan hati Tiara yang mendengar.
Malas hendak bertegang urat, wanita yang baru menyandang jawatan ketua hidangan sajian itu cepat-cepat ditinggalkan. Kaki pula diayun mendekati meja bernombor 16.
"Mi rebus dan teh O ais limau untuk cik?" ujar Tiara sewaktu berdiri di sisi meja bernombor 16.
Gadis yang membuat pesanan mendongak sejenak.
"Ya, letak situ," tuturnya seraya tunduk semula memeriksa iPad di tangan. Kelihatan beberapa helai kertas turut berada tidak jauh dari tas tangan gadis itu.
Baru sahaja Tiara mahu meletakkan di tempat yang diarahkan, gadis tadi mendengus.
"Situlah, bukan sini!" omelnya perlahan. Sikit pun tak pandang Tiara yang masih statik.
"Maaf, cik." Kedudukan mangkuk berisi mi rebus dikalihkan. Dan sekali lagi, kompelin pelanggan diterima.
"Hei... You ni tak faham bahasa ke tidak? I suruh letak di situ, bukan di sini!" Tiba-tiba cik gadis berambut paras dada memekik lantang. Hampir satu restoran memerhati.
"Maaf, cik. Saya ingat cik suruh letak dekat sini."
"You nampak tak meja ni besar? I suruh you letak dekat situ sebab I nak buat kerja. Kalau tumpah atas paper work I macam mana? Ada otak fikirlah sikit!" sergahnya dengan mata membulat.
Nah, sekali lagi Tiara menjadi mangsa amukan!
Hai, kenapalah nasib kau selalu begini, Tiara, keluh hati kecilnya perlahan.
"Maaf, cik... Boleh saya bantu?" Kak Zah muncul di tengah kekalutan yang berlaku.
Alamak, habislah kau, Tiara! Dia dah datang, pasti sekali lagi kau kena 'bambu' dengan dengan dia ni! desis hati yang mula dihambat rasa gusar.
"Pekerja you ni... Tahu buat kerja ke tidak? Bahasa mudah pun susah nak faham. Dia ni habis sekolah ke tidak?" Gadis tadi bangkit dan berdiri menghadap Kak Zah yang berdiri di sisi Tiara.
"Saya minta maaf bagi pihak pekerja saya."
"No, I dah tak ada selera nak makan di sini. Servis out!" tegas si gadis memucatkan wajah Tiara.
"Maaf, cik. Kami ganti yang lain atau cik boleh makan tanpa bayaran. Anggaplah ini sebagai ganti rugi daripada pihak kami," pujuk Kak Zah bersungguh.
"Tak ingin aku nak makan dekat sini lagi." Tas tangan digapai lalu disangkut ke bahu. Sesudah itu pula, kertas-kertas di atas meja dikutip pantas. Usai mengemas barang-barang miliknya, wajah Kak Zah dan Tiara dipandang silih berganti.
"I akan kompelin dekat pengurusan you!" ugut si gadis buat Kak Zah tidak keruan.
"Maaf, cik. Jangan buat macam tu. Kami sanggup bayar ganti rugi!"
"Ganti rugi pun tak boleh nak recover hati I yang dah sakit ni! Ah, tepilah sikit! Makan di tempat lain lagi bagus! Tak menyakitkan hati!" Bahu Kak Zah ditolak agar dia dapat berlalu dari restoran.
"Cik... Cik... Tunggu dulu," seru Kak Zah memanggil pelanggannya itu. Namun tiada respons yang diperoleh. Gadis tadi terus berlalu tanpa menoleh ke arahnya. Beberapa saat kemudian, pandangan tajam dikalih ke arah Tiara yang termangu.
"Apa yang kau dah buat ni, Tiara? Kalau macam inilah prestasi kerja kau, lama-lama boleh bankrap restoran ni!" marah Kak Zah sudah tidak terkawal hingga terlupa kepada pelanggan lain yang masih berada di dalam restoran yang sama.
"Maaf, Kak Zah. Saya tak sengaja, lagipun pelanggan tadi cerewet."
"Itu bukan alasannya!"
"Saya tak salah." Pertahan Tiara, perlahan.
"Dasar budak kampung. Bekerja main-main, tak pernah serius. Makan gaji buta!"
"Kak Zah jangan hina saya. Memang saya budak kampung, tapi saya ada maruah."
"Maruah apanya? Kerja mudah macam ni pun tak boleh nak buat? Bukan makan gaji buta namanya? Bapak kau tak ajar?" Laju sahaja bibir Kak Zah melontar kata hingga ada hati yang sudah tergores.
"Cakap sikit nak sentap. Tegur sikit nak menangis!" herdik Kak Zah tanpa rasa simpati. Mulutnya lebih pantas berkata-kata tanpa memikirkan perasaan insan yang dicemuh.
Tiara senyap lagi, namun air jernih sudah bertakung di tubir mata.
"Hei, aku tanya ni... Bapak kau tak ajar ke?" soal Kak Zah masih belum puas hati.
"Bapak saya dah lama meninggal," jawab Tiara perlahan. Serentak itu juga, Reena yang sedari tadi memerhati, melangkah mendekati. Telinganya sudah bengkak mendengar cemuhan wanita itu.
"Tiara, jomlah berambus dari sini! Aku dah bosan dengan cara kerja restoran ni. Pelanggan yang bermasalah, kita juga yang kena. Cef masak tak sedap, kita juga yang kena 'bambu'. Pinggan sompek, kita juga yang kena hamun. Jomlah berambus, aku dah tak tahan!" Reena muncul lalu menghambur rasa amarah yang selama ini ditahan-tahan. Dengan bersahaja, tali apron yang melilit pinggang ditanggalkan lalu dicampak ke atas meja. Sengaja memprovokasi wanita itu.
"Kak Zah, saya nak cakap sikit!" gumam Reena sambil bercekak pinggang menghadap Kak Zah yang perasan bagus.
"Kau nak cakap apa? Kalau nak kerja lama, jangan masuk campur!" tutur Kak Zah, bongkak.
Reena mendengus kasar. Kak Zah perlu diajar.
"Kalau saya tahu perangai Kak Zah macam ni, mati hidup semula pun saya tak teringin nak kerja dekat sini!"
"Kau jaga mulut kau, Reena!"
"Baru naik pangkat jadi ketua sajian hidangan, dah lupa diri dan menyombong tak bertempat."
"Hei, kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Reena."
"Kenapa? Tak boleh? Kalau Kak Zah kurang ajar dengan staf, tak apa pula?" hambur Reena buat wajah Kak Zah bertukar menjadi merah padam.
"Kau, kalau nak berambus silakan! Pergi! Jangan nak naikkan darah aku!"
"Memang saya nak berambus! Apa hal? Kak Zah ada masalah?" balas Reena cuba menaikkan darah Kak Zah sepertimana darahnya yang sedang menggelegak.
"Tapi Reena... Gaji kita macam mana? Sewa rumah nak kena bayar hujung bulan ni," bisik Tiara, perlahan. Tanpa sedar, belakang tangan kanan sudah mengelap air mata yang hampir gugur.
"Sudahlah, Tiara, Anggap ajelah rezeki kita di tempat lain. Bukan di sini," pujuk Reena seraya menyentuh lengan Tiara agar rakan baiknya itu bersetuju untuk pergi.
"Jom..." gesanya disambut dengan anggukan. Perlahan-lahan, apron di tubuh ditanggalkan lalu diletak cermat di atas meja.
"Ha, baguslah kalau kamu berdua keluar dari restoran ni. Tak rugi apa-apa pun!" sampuk Kak Zah pedih menampar gegendang telinga mereka berdua.
"Restoran ni yang rugi kerana menggaji pekerja macam Kak Zah. Tak ada budi bahasa dan tak beretika!" herdik Reena melepaskan rasa sakit di sudut hati.
"Kau diam. Jangan menyibuk, cepatlah berambus!" balas Kak Zah dengan suara tak tertahan-tahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co