Truyen3h.Co

Pujaan Hati Kanda

Bab 6

karyaseni2u

"Jemput makan! Sambil makan bolehlah kita bincang," pelawa Danny tenang memerhatikan raut wajah kedua-duanya.

"Saya rasa lebih baik Encik Danny beritahu perkara yang encik nak bincangkan tadi. Kami dah tak sabar nak tahu apa yang encik nak bincangkan," tutur Reena meminta agar perbualan santai itu menjurus kepada topik utama perbincangan mereka.

"Baiklah, kalau itu yang you all nak tahu. I boleh beritahu. Tapi, I harap you all tak terkejut!"

"Maksud encik?" Tiara pula mempersoal. Seram sahaja nada yang dilantunkan oleh Danny. Hesy, janganlah mereka diapa-apakan! Simpang malaikat 44!

"Tapi sebelum kita bercakap lebih lanjut, you all boleh panggil I dengan panggilan Danny, atau kalau you all rasa tak selesa... Boleh saja panggil abang." Perlahan-lahan belakang tubuh disandarkan di penyandar kerusi menanti respons kedua-duanya.

Tiara pula mengangguk faham. Ada benarnya, takkan dia nak biarkan Danny berencik dengan dirinya sepajang masa. Persis berada di majlis formal pula.

"Kalau macam tu, boleh panggil saya Tiara, dan kawan saya ni Reena. Kami berdua housemate," terang Tiara, pendek.

"Oh, I see." Danny mengangguk seraya memandang jus oren miliknya. Dengan bersahaja, dia menyentuh penyedut minuman di dalam gelas lalu dikacau perlahan-lahan. Beberapa saat kemudian, wajah diangkat dan kedua-duanya diperhatikan.

"Okey... Tiara dan Reena, sebenarnya saya ada satu masalah dan perlukan pertolongan. Saya harap, awak berdua sudi membantu." Dengan sekali lafaz kata-kata itu dilontar tenang. Huh, lega rasanya!

"Tolong apa ni, Encik Danny?" tanya Tiara masih selesa menyebut perkataan encik di pangkal nama lelaki itu.

Dek panggilan itu, bibir Danny terus sahaja tersenyum.

"Panggil saja Danny. Tak perlu berencik-encik. Nak panggil abang pun boleh. Saya percaya, saya lebih berusia daripada awak berdua."

"Abang?" Reena sudah tayang wajah loya. Yalah, sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga yang dikelilingi empat orang abang, dia merasa tidak wajar memanggil lelaki lain selain daripada abang kandungnya dengan panggilan abang. Hesy, kekok rasanya!

"Kenapa? Tak selesa? Kalau tak selesa, panggil sahaja Danny," balas Danny sambil ketawa kecil hingga membuatkan si gadis yang mempersoal, menunjukkan senyuman senget.

"Saya tak biasa!"

"It's okay! Take your time, Reena."

"Thanks," ucap Reena disusuli dengan anggukan kecil. Beberapa ketika kemudian, suasana menjadi hening. Enggan membuang masa, Tiara bingkas bertanya tentang tujuan lelaki itu membawa mereka berdua ke kopitiam yang semakin dipenuhi para pengunjung.

"Tadi Encik Danny ada sebut tentang pertolongan. So, pertolongan macam mana yang encik perlukan?" aju Tiara masih belum bersedia memanggil lelaki itu dengan panggilan abang ataupun menyebut nama lelaki itu dalam perbualan mereka. Cukuplah sekadar berencik di awal perkenalan.

"Sebenarnya saya nak minta tolong awak berdua untuk jagakan baby!" terang Danny buat kedua-duanya tersentak.

"Jagakan baby? Baby siapa? Anak awak ke?" Reena pula menyoal bertubi-tubi.

"Eh, bukan! Bukan anak saya." Cepat-cepat dia menggeleng. Jatuh sahamnya andai pengakuan itu dibuat. Ah, berahsia itu lebih baik daripada berterus terang lalu mengaibkan diri sendiri.

"Habis, anak siapa?"

"Anak kawan saya. Dia... Dia... Erm, sebenarnya saya perlukan pengasuh!"

Danny tukar topik. Tentang anak siapa si kecil itu, dan bagaimana dia dan bayi tersebut bertemu, itu semua tidak perlu dinyatakan. Dia hanya memerlukan pengasuh untuk menjaga bayi yang berusia dua bulan itu dengan sebaik mungkin sementara penyiasatan dilakukan. Itu sahaja!

"Oh, macam tu! Habis, ke mana mak dan ayah baby tu?" Tiara menyoal ingin tahu.

"Ayah baby tu kerja dekat overseas, berlayar! Mama dia pula sakit! So, buat sementara waktu ni saya carikan penjaga untuk baby tu." Nada yang terlontar kedengaran yakin walaupun dia sendiri tidak tahu asal usul keluarga Rara dan juga ibu kepada si kecil itu. Ah, persetankan! Masalah utama ialah mencari pengasuh Rara. Yang selebihnya tidak perlu difikirkan lagi.

"Saudara-mara dia pula? Takkan tak ada?" Reena pula mengajukan soalan yang memerangkap Danny. Pelik! Takkan si kecil itu tidak punya datuk dan nenek? Atau paling tidak sekali pun bapa dan ibu saudara.

"Sebenarnya member saya tu anak yatim piatu. Bertemu pun di rumah anak yatim dan berkahwin pun di sana. Cuma selepas kahwin, suaminya bekerja di atas kapal dan kawan saya ni pula sakit dan ditahan di wad," gumam Danny membalas perlahan. Memberi jawapan selamat yang dia sendiri tidak tahu kebenarannya.

"Oh, kesiannya baby tu. So, apa yang perlu kami buat?" Giliran Tiara pula bertanya. Entah mengapa, rasa simpati ke atas bayi tersebut datang dengan sendiri.

"Saya nak minta Tiara dan Reena jadi pengasuh sementara. Boleh?"

"Tapi kami studen! Mana ada masa nak buat semua tu." Tanpa diduga, jawapan Reena buat Danny terkedu seketika. Betul juga kata gadis berambut separas leher ini. Nama pun studen. Bolehkah bahagikan masa menjadi pengasuh kepada si kecil yang kini ditinggalkan bersama Kasyah?

"Sementara sahaja! Since kawan saya tu dah sedar, dah pulih... Saya akan serahkan baby tu kepada ibunya. Please!" rayu Danny, bersungguh-sungguh.

"Erm..."

"Sekejap aje! Saya janji bila kawan saya tu sedar, saya akan serahkan semula baby tu kepada dia. Buat masa ni, saya tak ada pilihan. Hanya awak berdua sahaja tempat saya bergantung harap," beritahu Danny tentang kesulitan yang ditanggung sejak kemunculan Rara dalam hidupnya.

"Saya tumpang simpati. Tapi, kami tak boleh nak tolong! Siang malam ada kuliah, macam mana nak jadi pangasuh?" terang Tiara, ringkas. Harapannya agar Danny mengerti tentang kehidupan sebagai seorang pelajar yang sentiasa sibuk dengan tugasan dan juga kuliah yang wajib dihadiri.

"Awak berdua ambil course yang sama?"

"Tak!" sahut kedua-duanya serentak.

"Good!"

"Maksud awak?" Tiara menyoal.

"Bergilir-gilir jadi pengasuh Rara, boleh tak?" soal Danny dengan kening terjongket sebelah.

"Apa? Bergilir-gilir?" Berkerut dahi Reena mengulangi semula kata-kata lelaki di hadapannya.

Danny mengangguk perlahan.

"Ya! Saya terpaksa buat semua ni. Saya harap sangat Tiara dan Reena dapat membantu. Hidup dan mati saya bergantung kepada kesudian awak berdua."

"Hah? Kenapa sampai macam tu sekali? Seram pula saya dengar."

Apabila menyebut soal hidup dan mati, hati kedua-duanya rasa tidak keruan. Isy, mamat ni ada buat jenayah ke apa?

"Jangan salah faham. Sebenarnya, saya bekerja..." Danny telan liur sebelum menyambung kata-katanya yang terhenti.

"Kerja saya tak menentu. Kadang-kadang outstation. Kadang-kadang balik lewat! Dan ada masanya, saya terpaksa bermalam di pejabat atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan. Jadi, waktu untuk saya menjaga baby tu terlalu terhad. Takkan saya nak bawa baby tu ke ofis? Kesiankan pada baby tu. It is right?"

Tiara dan Reena senyap.

"Saya betul-betul tak ada pilihan," ujar Danny tunak memerhatikan raut kedua-duanya.

Tiara masih lagi terdiam, namun Reena pula sebaliknya. Bibir mungil bersaiz kecil itu segera melontar pertanyaan.

"Apa kata awak hantar ke nurseri? Tak pun minta isteri awak yang jagakan baby ni? Pasti dengan penjagaan isteri awak, kebajikan baby tu akan lebih terjaga. Maklumlah, kami ni bujang! Belum berkahwin dan tiada pengalaman menjaga bayi," cadang Reena selang beberapa saat kemudian.

Sengaja dia menggunakan frasa isteri, dengan tujuan untuk mengetahui sama ada lelaki berwajah kacak ini sudah berkahwin atau pun belum.

Dek pertanyaan Reena, tawa kecil Danny meletus. Dia menggeleng sebelum menjawab ringkas.

"Isteri? Kahwin pun belum, macam mana nak ada isteri?" sangkal Danny, pendek. Tahu sangat taktik Reena. Nak tahu status dialah tu.

"So, macam mana? Boleh accept my request?"

Tiara menghela nafas sebelum memberi jawapan.

"Kami tak boleh nak jaga baby tu. Kami studen dan kami perlu buat kerja part-time untuk cari duit poket. Kalau kami jaga baby tu, macam mana kami nak bekerja dan dalam masa yang sama perlu attend kuliah yang tak menentu tu?"

"Saya akan bayar upah untuk kerja mengasuh baby ni. Anggaplah ini sebagai salah satu kerja part-time untuk awak berdua."

"Maksudnya?" Tiara ingin tahu dengan lebih jelas lagi.

"Saya akan bayar gaji untuk awak berdua sekiranya sudi jaga baby ni. Soal lampin, susu dan segala keperluan baby ni tak perlu risau kerana saya yang akan tanggung kesemuanya. Awak berdua hanya perlu jaga baby ni dengan baik. Itu sahaja."

"Berapa yang awak mampu bayar?" duga Reena masih sempat melirik pada jam di pergelangan tangan kiri Danny. Wah, jenama mahal tu! Tak mampu dia nak beli.

"Buat masa ni, berapa banyak gaji part-time yang awak berdua terima?"

"Tujuh ratus lima puluh ringgit sebulan!" sahut kedua-duanya serentak.

"Okey." Danny mengangguk perlahan.

"Apa kata saya bayar RM1500 seorang. Sekali ganda daripada gaji sambilan yang awak berdua terima sebelum ni. Tapi dengan syarat, baby ni harus tinggal dengan awak berdua. Siang dan malam. Bermakna, awak berdua kena bergilir-gilir untuk jaga baby ni," terang Danny satu per satu tentang syarat menjadi pengasuh Rara.

Bukan mahu lepas tangan, tetapi ini adalah satu-satunya cara untuk memastikan Rara terjaga dan terpelihara.

"Boleh?" Mata bundar Danny merenung wajah dua gadis manis ini dengan harapan kata-kata positif meniti di bibir kedua-duanya.

Tiara dan Reena saling berpandangan. Mencari persepakatan. Dan kerana tindak balas sebegitu, Danny cepat-cepat menawarkan sesuatu yang dilihat sebagai kesungguhannya mendapatkan khidmat gadis-gadis ini.

"Saya akan beri kad kredit untuk awak. Tapi limit kad kredit ni hanya lima ribu sahaja. Gaji awak berdua, lampin, susu, perubatan dan juga segala keperluan baby termasuk dalam nilai kad kredit ni." Sekeping kad kredit tertera perkataan Visa dikeluarkan dari dompet sebelum diletakkan di atas meja dan ditolak ke arah kedua-duanya.

"Kad kredit?" soal Reena hampir tidak percaya. Belum mula kerja, kad kredit sudah pun ditawarkan. Hesy, ni yang buat mata hitam bertukar menjadi kelabu.

"Menarik, kan?"

Tiara dan Reena tidak terus menjawab, hanya bahasa mata yang sedang berbicara.

"Saya harap awak setuju dengan tawaran saya. Saya beri awak kerja, dan awak berdua bantu saya jaga baby Rara. Deal?"

"Tunggu... Misal kata baby ni sakit? Macam mana kami nak uruskan? Kami tak ada transport! Takkan nak naik bas kut?" Reena bertanya lanjut. Yalah, jika berlaku perkara tidak diingini, bagaimana pula untuk mereka pergi mendapatkan bantuan.

"Jika baby tu sakit, atau ada apa-apa kecemasan, awak berdua boleh call saya secepat mungkin dan saya akan berusaha untuk datang. Andainya saya tak dapat beri komitmen, saya sibuk atau berada di luar kawasan, saya harap awak berdua boleh cari alternatif lain dengan menelefon teksi."

"So, tambang teksi tu siapa pula nak bayar?" Soalan kedua Reena buat senyuman Danny tersungging.

"Saya yang akan bayar! Awak minta resit, nanti claim pada saya." Senyuman Danny terlukis lagi saat melayan pertanyaan si gadis manis di hadapan matanya kini. Banyak soal dan terlalu berhati-hati.

"Berapa lama kami perlu jaga baby ni?" Dalam tidak pasti menerima atau menolak tawaran ini, Tiara pula menghambur pertanyaan.

"Sehingga ibu baby tu sihat atau ayah baby tu pulang ke sini."

"Agak-agak berapa lama?" soal Reena.

"Saya sendiri tak pasti. Tapi awak berdua jangan risau, insya-Allah setiap minggu saya akan datang lawat baby ni. So, macam mana? Setuju?"

Tiara dan Reena saling berpandangan.

"Diam tandanya setuju, so kita proceed, ya?" tukas Danny membuat keputusan segera agar keraguan kedua-duanya tidak menjadi punca segala yang diperbincangkan menjadi sia-sia.

"Proceed?"

"Yup! Nanti saya akan bawa Rara kepada awak berdua."

"Bila?"

"Malam ni. Oh, sebelum terlupa..." Danny menyentuh dagu sebelum menghambur kata-kata berikutnya.

"Awak berdua tinggal di mana?"

"Kami tinggal di flat PKNS. Dekat area Seksyen Tujuh juga. Menyewa!"

"Berapa ramai menyewa?"

"Tinggal kami berdua aje. Yang lain buat perangai, keluar dari rumah walaupun kontrak belum tamat," adu Reena masih tidak puas hati dengan tindakan tiga lagi rakan serumahnya yang keluar tanpa memaklumkan apa-apa.

"So, dia orang tak ambil deposit?!" tanya Danny sedikit hairan.

Kedua-duanya menggeleng.

"Kalau keluar sebelum cukup kontrak, of course tak layak dapat deposit. Deposit rumah tu ada di tangan owner rumah. Tapi, kerana tindakan mereka, kami berdua yang dapat susah. Sewa setiap bulan tetap kena bayar! That's why kami terpaksa buat kerja part-time cari duit untuk cover duit sewa yang melampau tu," gumam Reena dengan hati yang membengkak.

Sewa rumah flat kos rendah sahaja, namun harga sewa sudah mencecah RM700 ringgit sebulan. Sudahlah mahal, tinggal di tingkat lima tanpa lif itu turut dicaj dengan harga yang tinggi. Siapa yang tak sakit hati!

"Mahal sangat ke sewa dekat kawasan tu?" tanya Danny sekadar berbasa-basi.

"Biasalah, kawasan studen. Rumah sewa jadi demand dan sebab demandlah harga sewa rumah flat kos rendah boleh cecah tujuh ratus sebulan!"

"Kesian you all! By the way... Setuju tak dengan offer saya ni? Kalau setuju malam ni saya bawa Rara jumpa awak berdua."

"Kalau dah tak ada pilihan, kami pun baru kena pecat. Rasa-rasanya..." Reena memandang Tiara dan dari pandangan rakannya itu, dia tahu Tiara juga sudah bersetuju dengannya.

"Kami setuju seperti yang kita bincangkan tadi!"

"Really? Nice! Alhamdulillah!" ucap Danny penuh rasa syukur lantas meraup wajahnya dengan tapak tangan. Nyata Allah mempermudahkan urusannya pada hari ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co