Bab 14
MELIHAT Raid menyarung jaket ke tubuh, Noah yang baru masuk bersama nampan hidangan, mengerutkan dahi.
"Kau nak ke mana?" tanya Noah seraya meletakkan nampan ke meja.
"Keluar."
"Ranggi sangat ni." Mata Noah melirik penampilan Raid dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Rasanya sudah lama dia tidak melihat Raid mengenakan jean dan bergaya lasak. "Nak ke mana sebenarnya?" tanya Noah begitu menyelidik.
"Keluar jadi manusia normal." Raid menjawab tanpa memandang Noah. Terus mendekati meja dan mengambil pinggan makanannya. Sekian lama, Raid hanya menyentuh makanan dan minuman yang disediakan oleh Noah dan Gambit. Orang lain, dia tidak percaya. Ke parti business mana sekalipun, dia mengelak daripada menyentuh sebarang hidangan.
"Janji temu? Dengan Yasmin Qawlah Azwar?"
Kali ini dahi Raid berkerut. "Kenapa kau rasa dia?"
"Setakat ni dia satu-satunya perempuan yang aku rasa mampu buat kau jadi manusia normal."
Tak ayal, Raid mendesit, mendenguskan tawa lucu. "Celah mana dia buat aku jadi manusia normal? Dia sendiri tak normal, boleh buat aku jadi bengong kalau jumpa dia," guraunya. "Lagi gila kalau dengar dia mengutuk Ziyad El Zamri."
"Ziyad?" Noah mengerutkan dahi. "Maksud kau, Ziyad orang kanan D.A tu?"
"Hmmm..." Raid mengangguk. "Aku doakan biar mereka bertemu jodoh. Biar rengsa D.A bila orang kanan dia bersama dengan Yasmin."
"Huish, jangan sampai D.A simen Ziyad dan campak dalam Sungai Klang, sudah!"
Raid terkekeh. "Ah, tak akan sampai macam tu sekali. Lagipun Ziyad tu bukan calang-calang orang juga tu..."
Noah mengangguk sahaja. Tapi sekejap kemudian, dahinya berkerut merenung Raid yang sedang menikmati makanannya. "Pandai kau ubah topik cakap pasal Yasmin dan Ziyad ya? Kau tu, nak ke mana?"
"Sibuklah kau!"
Noah segera menuangkan minuman tapi bibirnya mengorak senyum jail. "Hmmm... Mengaku ajelah kau nak pergi jumpa dia."
Raid keselak. Tangannya pantas melepaskan sudu lalu merampas gelas dari tangan Noah dan terus menggogoknya. Habis minum, Raid meletakkan gelas ke meja dan matanya tajam menjeling Noah.
"Pandang aku tak puas hati, apa hal? Betul kan, kau nak pergi jumpa dia?" giat Noah lagi.
"Kalau betul, kenapa?" Raid menggetus geram lalu menyambung makan.
"Hmmm... Baguslah. Bila lagi kau nak berkenalan dengan perempuan? Lebih-lebih lagi dengan perempuan yang dah buat sikap kau jadi begitu dingin dan tak mudah didekati perempuan lain selama ni..."
Kenyataan dari Noah itu begitu menusuk hati Raid. Suapannya tiba-tiba jadi perlahan. Makin perlahan dan dia terus berhenti menyuap.
Napkin ditarik, buat mengelap mulut. "Sikap aku tak ada kena-mengena dengan dia!"
"Sekeras mana pun kau menafi, Raid... Aku yang jaga kau selama ni. Sama ada kau sedar atau tak, tapi aku perhatikan, sedikit sebanyak, dia adalah antara pemangkin yang membentuk siapa kau hari ini."
"Sudahlah!" Raid bingkas berdiri. Duduk di sini lama-lama dengan Noah yang suka berhujah, boleh menghakis pertahanan diri. Dengan Noah dan Gambit, dia selalu tidak dapat berbohong. Kalau pun dia berjaya menipu, selalunya tidak bertahan lama kerana dia akan rasa berdosa dan segera meminta maaf kepada mereka.
"Aku nak keluar sekarang."
"Tunggu dulu!" Noah menahan. "Siapa yang akan hantar kau? Gambit tak ada. Aku pula ada janji temu dengan Mr. Thomas sekejap lagi."
"Aku pergi sendiri dengan motor."
Air muka Noah semerta berubah cemas.
"Raid! Kau nak cari nahas ke? Kalau ada yang kenal kau, macam mana?"
Raid mengerling dengan hujung bibir sebelah kanannya terjongket. "Ala, motor aku tu motor biasa aje. Takkan menarik perhatian orang pun. Lagipun senang sikit aku nak lari kalau ada apa-apa yang berlaku."
Noah mendesit. Senyuman itu selalu menjadikan wajah Raid kelihatan sinis dan jahat! Melalui pengamatan Noah sejak 15 tahun dulu, Raid seolah-olah tidak tahu lagi bagaimana mahu menyumbang senyuman manis.
"Belum serik rupa-rupanya!" rengus Noah.
"Noah, kau risau mengalahkan orang tua!" Di hujung katanya Raid gelak-gelak mengejek seraya meraih bahu Noah.
"Aku memang dah tua pun! Tak nampak ke uban dah mula tumbuh atas kepala ni." Noah menolak tangan Raid.
"Nampak." Raid memandang sekilas rambut Noah yang memutih bahagian tepinya. "Bukan setakat tumbuh uban, tapi makin tua, makin kuat pula kau sentap dengan aku."
Noah diam tidak bereaksi.
Raid menghela nafas panjang. Tahu kalau Noah jauh hati. Kadang-kadang dia rasa ada masanya, Noah yang terlebih trauma. "Noah, kau jangan risau. Aku bukan budak lagi. Ini urusan peribadi, makanya aku tak perlukan sesiapa ikut aku. Aku harap kau faham..."
"Telefon bimbit kau, mana?" soal Noah, garang.
"Ada." Raid menarik keluar telefon bimbit dari beg pinggangnya. Ditayang ke udara.
"Pastikan rangkaian data dan maklumat lokasi telefon kau hidup!" perintah Noah.
"Baik." Raid segera menekan sesuatu pada skrin. Kemudian dihalakan ke depan Noah. Mata Noah mencerun, mengamati titik merah yang berkelip-kelip statik dalam peta.
"Puas hati?" tanya Raid.
"Jam kau? GPS hidup?"
"Ya." Raid mengangkat tangan kanannya, menayangkan jam kronograf rekaan khas yang dilengkapi peranti GPS.
Noah angguk-angguk kepala tanda puas hati.
"Selagi dua benda ni tak hilang, kau dan Gambit tahu mana nak cari aku, kan?"
"Okey, kau boleh pergi... Hati-hati... Dan jaga diri!" Barulah Noah berkeyakinan melepaskan Raid keluar sendiri.
RAID keluar dari kedai serbaneka di lot hujung bangunan bersama hasil belian di tangan. Adat mahu bertandang ke rumah orang, haruslah membawa buah tangan. Tapi entah kerana degil tidak mahu mendengar cakap Noah yang melarangnya pergi sendiri atau memang nasibnya malang, dia mendapati ada lima orang lelaki mengelilingi KTM 690 Enduro R miliknya. Mungkin kata dia, motor itu biasa-biasa. Tapi tidak bagi mereka.
Dengan langkah waspada, Raid mendekati. Matanya liar mengawasi pergerakan mereka. Salah seorang lelaki telah bertindak naik dan pura-pura menunggang motor itu. Siap meniru bunyi deruman enjin motor dengan mulut. Rakan-rakannya tertawa melihat aksi itu.
Memandangkan tidak ada dari mereka yang menyedari kehadirannya, Raid berdeham. Buat seketika, mereka tampak terkejut, namun tidak seorang pun menunjukkan perilaku takut.
"Siapa kau?!" soal si kurus dengan angkuh, enggan turun dari motor.
"Tuan punya motor yang kau tunggang tu."
Sedikit melopong, si kurus turun dengan muka bera. Raid terus meletakkan topi keledar yang dikeleknya ke atas tangki, sebelum menyangkut jabir penuh barang belanja ke hendal motor.
Tiba-tiba lelaki berambut remos maju, menghalang Raid daripada menyarungkan topi keledar. "Bang, kau tak boleh pergi macam tu aje. Dalam kawasan ni, motor pun kena bayar parkir."
Raid menoleh dengan dahi berkerut. "Kau kerja dengan majlis perbandaran ke? Kenapa tak pakai uniform?"
"Wah! Dia buat lawak garing, sial! Heret dia ke tepi, kita kasi ajar sikit!"
Lelaki yang berbadan paling gendut, mara lebih cepat bukannya mahu membantu rakan-rakan menyergap Raid, tapi merentap jabir yang tergantung. Dengan rakus, mengeluarkan salah satu tin coklat dan melahapnya.
Raid bersungut perlahan tapi tidak melawan ketika mereka menggelandang dia ke lorong bangunan. Mereka cuma budak hingusan, Raid. Sabar!
"Semua orang tahu kami penguasa di sini! Baik kau bayar kalau nak selamat!"
Spontan Raid menyemburkan tawa. Merasa lucu mendengar ancaman itu. Dia sudah jenuh mendengar ugutan penyangak dalam dunia korporat. Bila bertemu dengan samseng tahi kucing, tidak dapat tidak hatinya merasa bagai digeletek.
"Kurang ajar! Dia boleh ketawa pula! Hoi! Kami serius! Baik kau bayar cepat." Si kurus menepuk-nepuk tapak tangannya dengan botol kaca yang dikutip dari tepi longkang.
"Lebih baik kalian balik rumah dan siapkan kerja sekolah!" sindir Raid dalam senyum sinisnya.
"Weh! Dia ni nak kita main kasar nampaknya!"
"Ajar sikit... Baru dia tahu ni tempat siapa!"
Mereka bersedia menyerang.
Tiba-tiba...
"Hoi! Kamu semua buat apa tu?!" Satu suara nyaring dari belakang Raid, mengalihkan perhatian mereka semua.
Raid menoleh dan dia melihat kehadiran seorang gadis bersama dua orang remaja lelaki. Tangan masing-masing menjinjing beberapa jabir penuh barangan.
Mata Raid langsung membulat saat terpandangkan wajah si gadis. Itu dia!
"Eh! Ada awek cunlah!"
"Jom buat lauk, kita makan ramai-ramai!" Terbahak-bahak mereka ketawa.
Perhatian lelaki-lelaki samseng itu mula teralih kepada gadis tersebut. Berbanding memeras duit daripada lelaki seperti Raid, mereka lebih berselera mendapatkan gadis itu. Boleh 'dimakan' kemudian 'dijual' kepada bapa ayam. Lebih lumayan!
Mereka mara.
Memahami pandangan bernafsu mereka, Raid segera menghalang laluan dengan mendepakan tangan. Lagaknya menyebabkan mereka semua terbahak tawa.
"Hoi, ke tepilah! Setakat hadang macam tu, kau fikir kami takut? Aku pepah kau nanti! Berambuslah!"
"Langkah mayat aku dulu," gumam Raid dengan suara mendatar.
"Nak sangat jadi mayat? Nah, rasakan ni!" Si lelaki kurus melemparkan botol yang ada di tangannya.
Raid tidak mengelak. Bunyi kaca pecah berderai dan perlahan-lahan Raid merasakan kepalanya basah. Akan tetapi, dia masih tegak membiarkan darah mula meleleh ke tepi dahi bahagian kirinya.
Si lelaki gendut mengambil kesempatan meluru bagai ahli sumo. Tapi belum sempat dia memaut pinggang Raid, satu tendangan terlebih dahulu menerjah tubuhnya. Terhumban dia ke belakang lalu jatuh terlentang.
Gadis tadi sudah mendarat di hadapan Raid dengan kaki membuka kekuda kukuh. Gaya siap siaga menanti serangan musuh.
Si kurus yang melempar botol tadi, terus meluru. Gadis itu pantas menarik kaki kanannya ke belakang dan memancung tangan kirinya, melepaskan pukulan padu ke rusuk lelaki tersebut. Tidak cukup dengan itu kaki kanannya tangkas mengayun sepakan ke dada. Kaki kiri bergilir memijak pelipat kanan lelaki itu sekaligus menjatuhkannya berlutut ke tanah.
Tendangan dihentak ke belakang badan menyebabkan lelaki kurus itu tersembam mencium tanah. Si gadis bingkas memijak leher lelaki tersebut. Terus menguncinya ke tanah.
Raid ternganga melihat aksi tangkas depan mata. Sungguh dia tidak menjangkakan gadis genit itu pandai bersilat. Dalam masa yang sama, dua remaja lelaki yang menemaninya, mula mara, membuka kekuda di sisi si gadis.
"Kamu semua tak serik-serik lagi ke tunjuk samseng di kawasan ni, hah?" tanya si gadis dengan kaki terus menekan batang leher lawan yang tumbang tapi mata tajam menatap satu per satu lelaki-lelaki di hadapannya.
"Aaa... Ampun, kak long! Kami janji tak buat lagi," seru wakil mereka tergagap-gagap.
"Pergi! Kalau aku nampak muka kamu semua lagi, siap!" Tegas si gadis seraya mengalihkan kakinya.
Takut-takut mereka meluru lalu menarik si kurus dan si gendut yang terlentang tepi longkang.
Apabila mereka beredar, si gadis berpaling menghadap Raid yang terus terdiam.
Dia mendesit tatkala melihat darah yang meleleh di tepi dahi Raid. "Dan encik... Buat apa tepi lorong ni?"
Raid terus terpaku menatap wajah gadis penyelamat yang sedang mendongak kepadanya. Meskipun pemakaian gadis itu sederhana, berkemeja labuh dengan jean dan bertudung bawal, mata lelaki Raid tetap dapat menangkap sisi kewanitaannya. Raid langsung terpesona. Gadis itu lebih cantik di luar gambar. Apatah lagi, di sebalik kelembutan wajahnya, tersimpan keberanian yang bukan calang.
"Eh, abang ni dah mati berdiri ke, kakak?" tegur salah seorang remaja sambil terjengket-jengket cuba merenung ke dalam mata Raid yang tidak berkelip.
"Iskkk, kau ni Adli... Mana ada orang mati berdiri!" Si gadis mengangkat tangan ke udara seolah-olah mahu menjitak dahi remaja yang dipanggil Adli itu.
Raid pura-pura terbatuk. "Errr... Sebenarnya aku nak ke rumah Ummu Maziah."
"Eh, dia nak datang ke rumah kitalah, kakak!" seru kedua-dua remaja itu serentak.
"Itu rumah umi saya. Jalan kaki dalam 10 minit lagi, sampailah," jelas gadis itu. Tapi sekejap kemudian, matanya mencerun merenung Raid, lalu bertanya, "eh... Siapa awak ni?"
"Raid Arjuna."
"Wow! Klasiknya nama abang ni! Macam nama orang bangsawan dahulukala!" Adli terkagum memandang Raid.
"Isk, sibuk betul kau ni. Pergi tolong Ajie angkat barang-barang nun!" Si gadis mengarahkan sebelum kembali memandang Raid.
"Memang kenal umi ke?" soal si gadis, curiga.
Raid cepat-cepat menggeleng. "Aku dengar, dia jaga anak-anak yatim. Jadi, aku berhajat nak hulurkan sumbangan."
"Oh, begitu rupa-rupanya. Tapi kenapalah awak lalu ikut lorong ni, kan dah dapat penyakit!"
"Errr... Tak. Sebenarnya, aku singgah beli barang, nak bawa ke rumah Ummu Maziah. Tapi mereka tarik aku waktu nak naik motor tadi." Tergugup-gugup Raid menjelaskan.
"Oh, maknanya motor hitam oren macam motor belalang tempur di depan kedai Seven Eleven tu, abang punya?" tanya Adli yang kembali mendekati dengan jabir di tangan.
Raid mengangguk.
"Wah! Waktu lalu tadi, kami pun tertanya-tanya motor siapalah yang perkasa sangat tu," sampuk Ajie.
Si gadis mendesit mendengar keterujaan mereka. "Kau berdua ni, sibuk pasal motor pula. Tak nampak ke kepala dia ni berdarah?" Dia menggeram, tidak tahan melihat darah yang meleleh tanpa berhenti di tepi dahi Raid.
"Ah ya tak ya. Abang... Laplah dulu kepala tu dengan tisu ni," kata Ajie. Dikoyakkannya satu bungkusan berisi tisu bersaiz 6x6. Raid menyambut lalu segera mengelap lukanya.
"Kakak! Luka dia besarlah!" Ajie menuding jari.
Si gadis berjengket mengamati dahi Raid. Baru dia menyedari yang luka itu memang agak besar. Melebihi dua inci. Tapi, anehnya, Raid langsung tidak mengeluarkan sebarang suara kesakitan.
"Saya bawa awak pergi klinik!" saran si gadis. Riak kerisauan begitu jelas pada wajahnya.
Raid menggeleng. "Tak payahlah. Sikit aje ni. Lagipun aku takut dengan jarum," dalihnya tanpa segan-silu.
Tersembur tawa mereka bertiga.
"Laaa... Badan aje tinggi besar, tapi takut jarum!" Berbinar-binar mata gadis itu mentertawakannya.
Raid terpegun lagi. Dia tidak pernah menjangka anak kecil itu, tumbuh dewasa menjadi gadis yang periang. Bagai tidak menanggung sebarang beban hidup.
"Nama kau siapa?" tanya Raid tiba-tiba, inginkan kepastian.
"Asyanur binti Azimudin..."
Raid tertelan liur. Betullah... Memang dia... Dia yang saban tahun hanya mampu aku lihat perkembangannya melalui gambar tanpa suara...
"YA TUHANKU, ke mana kamu semua pergi? Kenapa lambat sangat balik? Risau umi! Kata nak meniaga?" Seorang wanita berjubah dengan tudung labuh bersuara cemas dari muka pintu rumah dua tingkat itu. Terkocoh-kocoh dia menyarung selipar, mendekati mereka.
"Maaf, umi. Kami lambat sebab tolong abang ni." Adli menjawab bagi pihak.
Wanita itu segera memanjangkan leher. Terus matanya terpandangkan Raid yang menghela motor di belakang anak-anak. Matanya bertemu dengan renungan Raid yang jelas mengharapkan pengertian.
"Eh? Kenapa kepala berdarah?" tegur wanita itu dengan mata membelalak. Kelam-kabut dia menarik tuala bersih dari besi penyidai tepi pagar lalu dihulurkan kepada Raid.
"Biasalah, umi. Budak-budak samseng tu buat hal lagi. Tak serik-serik masuk lokap!" rungut Asyanur.
Adli dan Ajie sudah masuk ke dalam rumah bersama barangan yang dibeli.
"Ini Raid Arjuna, umi." Asyanur memperkenalkan. "Dia nak jumpa umi. Nak bagi sumbangan katanya. Tapi budak-budak samseng tu dah mencilok barang yang dia beli," jelas Asyanur.
"Haaa, awak..." Asyanur kembali memandang Raid. "Inilah Ummu Maziah, yang awak nak jumpa sangat tu."
"Eh, soal nak bagi sumbangan ke apa, tolak tepi dulu. Sekarang, Asyanur bawa dia masuk, tolong cucikan luka tu. Bahaya kalau dijangkiti kuman." Ummu Maziah mengibas-ngibaskan tangan, mendorong Asyanur dan Raid masuk ke dalam rumah. Dengan sebelah tangan menekapkan tuala ke bahagian luka, Raid mengekori Asyanur.
"Duduklah," pelawa Asyanur apabila mereka berjalan ke ruang tamu.
Setengah rikuh, Raid melabuhkan duduk di atas sofa lusuh berhampiran pintu gelangsar.
"Buka jaket awak tu, saya suruh adik-adik bersihkan."
Patuh arahan, Raid menanggalkan jaket dengan sebelah tangan dan dihulurkan pada Asyanur. Mujur T-shirt yang dipakainya sebelah dalam tidak terkena titisan darah.
"Awak baringlah dulu," pesan Asyanur sebelum meninggalkan Raid sendirian di ruang tamu.
Tanpa mengalihkan tuala dari dahinya, mata Raid menerawang ke sekitar ruang rumah. Perasaan nyaman membaluti jiwanya melihat ruangan kemas dan berbau harum biarpun hanya dihiasi perabot-perabot lama.
"Hei! Kan saya suruh awak baring!"
Terkejut mendengar sergahan itu, Raid berpaling. Dia mendapati Asyanur muncul bersama kit pertolongan cemas dan baldi. Beberapa helai kain tersampir di atas bahunya.
Raid memandang sekeliling dengan dahi berkerut. Duduknya terpusing-pusing di atas sofa. Dia suruh aku baring? Nak baring di mana?
"Baring ajelah atas sofa tu. Kaki awak terjuntai keluar sofa pun tak apa, asalkan kepala awak relaks, barulah darah cepat berhenti," ujar Asyanur seraya meletakkan barang-barang yang dibawanya ke atas meja.
Salah tingkah, Raid memaksa dirinya berbaring dengan kepala beralasan bantal hiasan. Asyanur pula duduk bertimpuh atas ambal menghadapnya.
"Alih tangan, saya nak ambil tuala. Tekap luka tu dengan ais ni pula," arah Asyanur, menghulur tuala yang diisi dengan ketulan ais.
Macam robot, Raid mengalihkan tangan, ganti mengambil tuala ais. Asyanur segera mencampakkan tuala yang hampir penuh dengan kesan luka itu ke dalam baldi.
"Dah lama ke kau tinggal dengan umi?" Raid bertanya sebagai usaha mengusir rasa kekoknya.
"Sejak umur lima tahun."
Raid lantas menoleh. Pandangannya melata ke seluruh wajah Asyanur. Tiada bayang kesedihan. Air mukanya tetap tenang dan manis.
"Kita pernah jumpa ke sebelum ni?"
Raid tersentak mendengar pertanyaan tiba-tiba itu. "Ke... Kenapa kau tanya macam tu?"
Dahi Asyanur mengerut dan merenung tepat ke wajah Raid. Entah mengapa, sejak terserempak di lorong tadi, renungan mata Raid yang dalam itu menarik perhatiannya. "Mata awak tu... Buat saya teringatkan seseorang."
Jantung Raid berhenti berdegup seketika. Cepat-cepat dia meluruskan pandangan ke siling.
"Eh, ini... Kali pertama kita jumpa," kilahnya, dengan rasa berdosa.
Dahi Asyanur masih berkerut ragu, namun dia tidak melanjutkan lagi isu itu. "Dah boleh angkat tuala tu."
Raid patuh. Tuala itu diambil oleh Asyanur lalu diletakkan dalam baldi. Kemudian dia mengelap bahagian luka itu dengan kain bersih.
"Jangan bergerak, saya nak tengok luka." Masih dalam keadaan bertimpuh, Asyanur menegakkan tubuh dan mengamati luka di dahi Raid. Sekejap dia miringkan kepala, sekejap dia mendekatkan wajah bersama kanta pembesar.
Raid cuba bersikap tenang walaupun jauh dalam hatinya dia berdebar setengah mati. Melihat wajah bersih Asyanur yang hidup, yang bercakap, dekat depan mata, bersama aroma dari tubuhnya seperti bau strawberi dicampur dengan bunga ceri, membuat jantung Raid terasa seperti mahu meledak keluar.
"Bagus! Pendarahan dah berhenti. Tak ada kaca tertinggal."
Fuh! Raid berkeluh lega dalam hati bila Asyanur menjauhkan kepalanya.
"Sekarang saya letak minyak gamat. Tapi, saya tak jamin luka awak boleh baik cepat. Awak yang degil tak nak pergi klinik takut jarum. Apa-apa hal, saya tak tanggung, okey?" Tangan Asyanur ligat menuangkan minyak ke kapas penutup luka. Bila ditekapkan ke dahi Raid, Asyanur kehairanan.
Raid langsung tidak mampu berkuit.
"Awak ni dah hilang deria rasa ke apa?" tanya Asyanur dengan pandangan pelik.
"Kenapa tanya macam tu?" Raid balik menyoal.
"Saya tengok awak macam tak sakit langsung!"
"Sakitlah!" kilah Raid. "Tapi takkanlah aku kena meraung baru kau percaya aku tengah sakit? Anak jantan, harus kuat tahan sakit." Padahal dia berbohong. Luka seperti itu tidak seberapa baginya.
Asyanur mengernyit, tunjuk muka menyampah. "Oh, nak buktikan diri anak jantan rupa-rupanya. Patutlah bila samseng baling botol, awak langsung tak mengelak. Nak buktikan kepala awak keras macam konkrit ya?"
Sekali lagi, ocehan Asyanur buat Raid mahu melepaskan tawa. Ya Tuhan, kenapalah dia ramah sangat?
"Kau... Belajar silat dari mana?"
"Dengan Persatuan Seni Silat Lincah di kawasan ni. Bila masuk darjah satu, umi akan hantar anak-anak belajar silat. Umi kata supaya dapat pertahankan diri kalau kena buli."
Hujung bibir Raid menyungging senyum samar. Terkejut tapi lega. Noah tidak pernah memaklumkannya tentang itu. Tapi sekurang-kurangnya dia sudah melihat dengan mata kepala sendiri, Asyanur bukan gadis lembik! Patutlah tahan lama duduk bertimpuh macam tu... Mata Raid mengerling.
Detik berikutnya, Raid jadi gugup lagi bila mendapati Asyanur kembali terdiam mengamati wajahnya.
"Sunyi rumah ni. Berapa orang tinggal di sini?" tanya Raid, seraya bangun. Secepatnya, Asyanur mengesot sedikit ke belakang.
"10 orang termasuk umi. Waktu-waktu macam ni memang tinggal umi, saya, Adli dan Ajie. Adli dan Ajie tu anak kandung umi. Mereka kembar. Yang lain, ada sekolah petang, ada yang ke sekolah agama," ramah Asyanur menjawab.
"Jadi, kau yang tua?"
"Sulung!" tingkah Asyanur. "Saya masih muda, okey... Baru 20 tahun." Dia menjeling tanda tidak puas hati.
Raid nyaris mahu tergelak lagi tapi mulutnya keras menahan senyum. "Kalau rasa diri tu muda, kenapa tak panggil aku abang? Aku jauh lebih tua. 34."
Sejenak, Asyanur melebarkan mata, tanda terkejut. "Saya tak akan panggil orang lain abang walau tua macam mana sekalipun orang tu. Kalau rasa tua sangat, baru saya panggil orang tu pak cik sebagai tanda hormat. Awak nak saya panggil awak pak cik ke?" Asyanur tersenyum jail.
Terkerut-kerut kening Raid dek sikap suka mengusik Asyanur. Seolah-olah mereka sudah lama saling mengenali.
"Aku tak cukup tua untuk kau panggil pak cik. Beruban pun belum!" getus Raid, dalam masa yang sama teringat Noah ketika mereka bergurau tentang uban di kepala.
Asyanur mencebik. "Yalah tu belum beruban. Entah-entah awak warnakan rambut jadi coklat sebab nak tutup uban."
Perasaan Raid semakin senang. Buat pertama kalinya, dia berkeinginan berbual dengan makhluk bernama perempuan. Sikap bersahabat Asyanur membuat hatinya lapang.
"Warna rambut ni asli. Ayah aku orang British."
"Oh..." Asyanur spontan menutup mulut dengan hujung jari. Pipinya memerah tanda bera dek keterlanjurannya menuduh Raid mewarnakan rambut.
Raid ingin tersenyum melihat reaksi comel Asyanur tapi hatinya takut dan melarang keras. Lalu wajahnya tetap tidak beriak menatap Asyanur.
"Tapi kau kena tahu, sunat inaikan rambut untuk uban."
"Yalah tu! Bukan haram ke?"
"Ada beberapa hadis Nabi yang galakkan para sahabat menginai rambut bila usia meningkat. Aisyah pernah meriwayatkan Nabi ada bersabda, bunyinya lebih kurang begini, ubahlah rambut yang beruban dengan berinai, tapi janganlah menyerupai golongan Yahudi dan Nasrani yang suka membiarkan rambut mereka putih."
Mulut Asyanur membulat, terpegun.
"Kalau warna selain inai, pastikan halal. Itu saja. Tapi bagi orang perempuan, hadis tu tak menghalalkan mereka warnakan rambut sesuka hati. Kalau yang belum kahwin, kena izin ibu bapa. Macam kau, kalau ada hati nak warnakan rambut, tunggu dah kahwin, bila suami izinkan baru boleh buat."
"Eh? Ke situ pula!" Asyanur menggeram, namun gagal menyembunyikan pipinya yang berona daripada menjadi tatapan Raid.
Baru hendak tersenyum kecil, bibir Raid mengeras saat mendengar kata-kata Asyanur berikutnya.
"Tapi kan, sungguhlah... Bila pandang mata awak yang macam air tasik tu, saya rasa macam kita pernah jumpa... Tapi rasa macam bukan..." Dahi Asyanur berkerut-kerut menggali ingatan.
Perasaan cemas kembali menggigit hati Raid. "Sekejap macam pernah, sekejap macam bukan... Kau teringatkan siapa sebenarnya?"
"Seorang abang."
Raid langsung terdiam, jantung semerta berdegup kencang. Asyanur mengemaskan perkakas tapi lipatan pada dahinya yang belum hilang, menandakan dia masih berfikir-fikir.
"Siapa nama dia?" selidik Raid, cuba menguji.
Asyanur jongket bahu. "Seingat saya, abang tu tak pernah beritahu nama dia siapa, tapi dia kata dia kawan abang kandung saya. Dia selalu jenguk saya di rumah anak yatim. Dia juga yang bawa saya tinggal dengan umi. Tapi tak tahu kenapa, setiap kali dia jumpa saya, lepas berbual sekejap, dia mesti peluk saya, menangis, lepas tu pengsan... Kadang-kadang umi kena telefon ambulans."
Ulu hati Raid rasa bagai dicekik sehingga dia kesulitan bernafas mendengarnya. Berusaha keras mengawal air muka yang terasa memanas, dia menduga lagi, "habis tu, kau rasa kami orang yang sama ke?"
Spontan, Asyanur mengangkat muka, merenung Raid lagi. Membelek wajah Raid dengan muka berkerut-kerut. "Tak. Warna mata awak aje yang buat saya teringat abang tu. Tapi saya masih tak lupa, abang tu kurus dan pucat macam orang sakit. Awak pula badan tegap macam tentera elit."
Nyaris terbahak Raid mendengar perbandingan itu. Diketapnya bibir bawah menahan suara.
"Agaknya memang dia sakit kut? Sebab tu asyik pengsan lepas menangis. Mungkin dia dah meninggal dunia."
Telahan itu membuat Raid terkedu. Buat dia rasa mahu ketawa sekaligus menangis. Ya Tuhan... Tolong selamatkan aku. Raid menahan diri daripada menebah dadanya yang terasa senak.
Namun rasa ingin tahu yang meluap-luap membuat mulutnya ringan bertanya, "habis tu, kenapa dia, kau boleh panggil abang? Aku yang lebih tua ni kau tak nak pula panggil abang?"
"Sebab... Saya serik! Dulu saya mula rasa gembira bila abang tu datang jumpa saya... Saya sangka dia akan gantikan abang saya. Tapi bila dia dah tak datang lagi, saya sedar sebenarnya abang saya tetaplah cuma seorang..." Asyanur tidak meneruskan kata-kata, tiba-tiba menunduk.
Raid terkedu melihat perubahan mendadak pada air muka Asyanur. Muncul bayang kesedihan! Ketika Asyanur mengangkat semula wajahnya, Raid terngadah bila mendapati sepasang mata Asyanur, berkaca-kaca.
Dengan suara gementaran, Asyanur menyambung percakapannya yang tergantung sebentar tadi.
"Abang saya dah lama meninggal dunia. Saya tak nak lagi panggil orang lain sebagai abang... Takkan ada sesiapa pun dapat ganti tempat abang dalam hati saya... Walaupun dia pergi... Waktu saya... Masih kecil!"
Dan pengakuan itu, mengoyak hati Raid tanpa ampun!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co