Bab 4
Dua orang pekerja baharu pereka grafik masuk hari ini menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Che Mat yang berhenti untuk membuka syarikat sendiri dan juga Reduan yang mengalami masalah kesihatan. Pada dua bulan yang lepas, semua orang teruja melihat beberapa calon datang untuk temu duga. Kebanyakannya masih belia. Encik Hilmi tiada kerana urusan dengan pencetak. Jadi mereka satu jabatan pergi cuci mata melihat calon-calon tersebut.
Semua orang tertanya-tanya antara calon-calon tersebut, yang mana satu akan menjadi rakan sekerja mereka?
"Assalamualaikum..."
Semua orang menoleh ke arah pintu yang dikuak dari luar. Seorang lelaki awal 20-an berdiri di tepi pintu dengan senyuman manis. Dia menyandang beg galas sambil menjinjing satu bungkusan plastik. Salwa yang selalu bermata kuyu setiap pagi itu terus segar-bugar.
"Nama saya Daniel. Saya pereka grafik yang baru." Lelaki itu memperkenalkan diri dengan tertib.
"Oh, orang baru. Masuk... Masuk..." Akma segera datang mengalu-alukan pekerja baharu itu.
Lelaki bernama Daniel itu masuk dengan senyuman yang menyerlahkan lesung pipitnya. Dia menyeluruhi ruang pejabat itu sekilas sebelum mengunjuk bungkusan plastik yang dibawanya.
"Errr, ini saya bawa kuih untuk breakfast."
"Wah... Terima kasih." Akma menyambut. "Baiknya awak."
"Belanja ke ni? Banyaknya kuih." Syak menguak isi plastik di tangan Akma.
"Satu pack untuk seorang." Daniel menjawab.
"Ini first time pekerja baru belanja breakfast," komen Salwa sambil berlari-lari anak mendekati Akma. Dia turut melihat isi plastik.
Hari pertama datang bekerja, Daniel sudah menunjukkan impresi yang baik. Dia belikan kuih-muih untuk sarapan satu pejabat. Bijak dia ambil hati rakan sekerja, fikir Ulfa.
Pekerja baharu yang lulus temu duga itu rupa-rupanya baru sahaja tamat konvokesyennya dua bulan lalu. Muda lagi. Tidak hairanlah kawan-kawan sekerja Ulfa memandang pekerja baharu tidak berkedip. Tinggi dan kacak. Lesung pipit itu pastinya satu lagi bonus yang melengkapkan pakej sebagai calon menantu. Sekali dia senyum, terpanar semua perempuan agaknya. Serupa watak hero drama keluar ke dunia realiti.
"Saya masih baru lagi dan banyak yang saya tak tahu. Mohon ajar saya budaya kerja yang baik di sini," kata Daniel.
Akma cepat saja menggamit pekerja baharu tersebut. "Meja Daniel dekat sini. Yang ini Adha, senior graphic team kita dan senior Daniel nanti."
"Assalamualaikum, bang. Saya Daniel."
Adha hanya angguk tanpa tunjuk sebarang minat. Ulfa tahu sangat yang Adha itu masih lagi belum dapat melepaskan Che Mat, seniornya yang berhenti tanpa mempelawanya kerja bersamanya. Kini dia pula perlu mengambil alih tugas Che Mat. Namun, makanan percuma siapa tidak mahu. Kalaupun Adha mulanya kurang senang dengan keramahan Daniel, namun dia pejam mata saja apabila Daniel datang ke mejanya dan menghulur sebekas kuih.
"Abang Adha, ini kuih untuk abang."
Adha berdehem dan angguk. "Letak aje situ."
"Abang ke yang akan ajar saya nanti?" soal Daniel sambil meletak bekas kuih itu di hujung meja yang tidak ditimbuni sebarang kertas atau barang rencam Adha.
"Hurm..." Adha membalas malas seperti tergantung ayatnya. Tanpa memandang Daniel, dia menebar pandang sebelum meluruskan jari telunjuknya ke arah Ulfa.
Ulfa sedikit terpinga-pinga.
"Huh?" Ulfa menunjuk diri sendiri dan membalas pandang Adha minta kepastian.
"Yalah, kau. Kau tolong ajar dia." Adha menutur kata tanpa sebarang riak rasa bersalah.
"Kenapa pula aku?"
"Kau kan rajin."
"Kak Lin dengan Kak Molly?"
"Sorry, Ulfa. Kita orang busy hari ni." Kak Lin menggamit Ulfa perlahan.
"Jangan kacau Kak Molly hari ni. Dia tengah stres sebab dia kena betulkan layout semula."
Ulfa turut menyorot pandangan Kak Lin. Kelihatan Kak Molly berkerut-kerut di hadapan monitor bersilih ganti dengan lembaran pruf di atas mejanya. Patutlah dari tadi senyap saja.
Ulfa kembali ke meja Adha semula.
"Dah tu kau buat apa? Bukan dia team kau ke?"
"Tolonglah. Kau kan tahu semua benda dekat sini. Kerja aku banyak lagi. Tak sempat." Adha separuh merengek dengan mimik muka minta penampar Jepun.
Ulfa sebaliknya tunjuk penumbuk.
"Dengan ini aku beri mandat pada kau untuk buat orientasi. Kau ajarlah apa yang patut yang dia kena tahu dekat sini," kata Adha lagi tanpa sedikit pun terkesan dengan amaran Ulfa itu.
Daniel berkalih pandang ke arah Ulfa pula. Wajahnya nampak penuh mengharap. Ulfa jadi serba salah pula walau mata memicing geram ke arah Adha.
"O... key..." Ulfa mengalah dan kembali ke mejanya.
Daniel tersenyum gembira. Cepat-cepat dia ambil sebungkus kuih dan letak di meja Ulfa.
"Cik Ulfa?"
Ulfa angguk. Dia lihat Daniel meletak dua bungkus kuih di atas mejanya.
"Umur kau berapa?" Ulfa menyoal.
"23 tahun."
Budak baru nak kenal dunia, getusnya.
"Aku lebih senior daripada kau. Panggil aku Kak Ulfa," kata Ulfa tegas. Dia sengaja menegaskan peraturan tidak rasmi itu awal-awal kerana dia mahu menjaga senioriti antara mereka. Dari segi umur dan juga karier.
"Aku salah seorang editor dekat sini. Kerja aku banyak berurusan dengan bahagian grafik."
Daniel menguntum senyum manis. Matanya tidak lepas memandang Ulfa.
"Kenapa kau pandang aku macam tu? Ada sesuatu dekat muka aku ke?" Ulfa spontan meraba pipinya.
"Taklah. Manis sangat nama Ulfa," jawabnya. Masih dengan senyum manisnya.
Puji manis-manis begini, pandai mengipas?
"Dekat sini, semua benda kau kena tahu. Aku tahu kau apply for graphic designer tapi kerja-kerja editor dan juga proses penerbitan yang lain kau kena tahu juga."
"Kenapa?"
Ulfa angkat bahu. "Saja." Selamba.
Pereka grafik pun perlu tahu juga tentang isi pruf yang sedang ditukangi reka bentuk kulit bukunya.
Tiba-tiba pintu terkuak lagi. Muncul seseorang di balik pintu.
"Assalamualaikum. Maaf, saya lambat."
Semua orang menoleh ke arah pintu. Seorang lelaki dengan beg tersandang di bahu mengulum senyum sopan.
"Saya Idlan, graphic designer yang baru."
Ulfa terpempan melihat lelaki itu. Spontan dia berdiri. Perbualannya dengan Daniel tadi terus kabur daripada kesedarannya. Senyuman lelaki yang baru masuk itu buat ritma jantungnya mula tidak sekata.
Idlan. Dia itu pernah menghuni kenangan lamanya. Turut menghuni hatinya sejak sekian lama.
Perhatian semua orang tertumpu kepada Idlan. Masing-masing memperkenalkan diri. Sekali lagi Akma sibuk tunjukkan meja Idlan. Idlan dengan sopan santun sedang berbasa-basi dengan semua orang. Kemudian Idlan menoleh ke arah Ulfa.
Berlama-lama memandang Idlan dari jauh semacam mengalirkan kejutan elektrik di tubuh Ulfa apabila pandangan mereka berlaga. Dia tunduk sembunyikan wajah. Tangan pada kiri dada.
Oh, hati. Tolong jangan berdegup kuat sangat.
"Ulfa, kan?"
Apabila dia angkat wajah, Idlan sudah pun berada di hadapannya.
Eh?
Entah bila masanya Idlan bawa diri ke hadapan Ulfa. Mereka hanya dipisahkan dengan dinding kubikel saja. Ini pertama kali jarak mereka begitu rapat.
Idlan lekas tersenyum. Paling manis yang pernah Ulfa nampak dalam ingatannya. Serta-merta darah menyerbu ke wajah. Hangat. Degupan jantungnya semakin culang-caling melihat iris coklat Idlan. Seolah-olah ada lohong hitam yang sedang menyedutnya ke dalam mata itu.
"Patutlah macam kenal. Awak rupa-rupanya, Ulfa. Awak kerja sini?"
Ulfa cuma mampu tersengih.
"Kenal ke?" Akma menghampiri mereka.
"Haah. Satu universiti." Idlan menjawab dengan nada ceria.
Tiba-tiba perasaan yang dia rasa ketika di universiti dahulu bertandang kembali. Seperti baru semalam rasa itu pernah singgah dalam hatinya.
Apabila kita sukakan seseorang, kita jadi dungu dan lupa diri. Kita buat sesuatu atau fikirkan sesuatu yang bukan kebiasaan kita.
Dahulu, setiap kali dia lihat Idlan, bibirnya automatik menggarit senyum tanpa sebab. Kemudian, apabila mereka sama-sama menyertai kelab drama, perasaannya bertambah kuat. Tapi sebenarnya dia sukarela menyertai kelab drama pun sebab Idlan salah seorang ahli kelab tersebut. Tapi dia hanya bertepuk sebelah tangan. Sampai tahun akhir pengajian pun dia tidak dapat menyatakan perasaannya. Setiap kali berhadapan dengan Idlan, jantungnya berdebar macam hendak tercabut sampai dia lupa yang dia sebenarnya masih ada mulut untuk berkata-kata.
Dia ingatkan perasaan itu telah lama hilang. Tapi dia silap. Bunga-bunga masih berkembang dalam hatinya. Rupa-rupanya bunga-bunga itu belum layu lagi.
"Hai, Idlan..." Ulfa angkat tangan separa dada dan menggarit senyum simpul. Segan.
Idlan tertawa. "Hai. Kita jumpa lagi."
Patutlah terasa dingin saja di belakangnya. Ingatkan sebab ada orang ubah suhu pendingin hawa. Dia tersedar apabila semua orang mula tergesa-gesa duduk di tempat masing-masing. Lantas dia memusing tubuh. Encik Hilmi sedang berdiri bercekak pinggang memerhatikan situasi itu dengan wajah seriusnya. Entah bila masa pula bosnya itu sampai. Matanya itu selalu saja memancarkan hawa dingin yang membekukan semua keriangan di ruang pejabat itu.
Hikkk!
Terasa air liur tersangkut di kerongkong apabila pandangan Encik Hilmi mencerlung ke arah Ulfa. Ada beberapa helai kertas di tangannya. Dia rasa tidak sedap hati. Matanya terlihat jam dinding yang tergantung di belakang Encik Hilmi telah menunjukkan 8.10 minit pagi.
Ah! Rupa-rupanya sudah masuk waktu kerja sejak 10 minit yang lalu. Sesi bersarapan sudah tamat.
"Orang baru dah sampai?" tegur Encik Hilmi. Suaranya datar. Pandangannya pada Daniel dan Idlan silih berganti.
"Mana satu..."
"Saya Daniel. Saya graphic designer yang baru." Daniel spontan angkat tangan memperkenalkan diri dan memotong ayat Encik Hilmi.
"Saya akan bekerja bersungguh-sungguh sebab saya suka semua buku terbitan syarikat ni."
Encik Hilmi kelihatan tidak berminat dengan kata-kata semangat Daniel, sebaliknya tumpuannya pada Idlan.
"Kau?"
"Nama saya Idlan." Idlan menjawab tenang.
"Aku dengar kau kerja dengan Firefly Publisher sebelum ni. Lama juga kau dalam hiatus lepas kau berhenti kerja. Company tu bagus tapi kenapa kau berhenti?"
"Saya perlu uruskan hal keluarga untuk jangka masa yang lama. Sebab itulah saya ambil keputusan berhenti kerja."
"Sekarang?"
"Sekarang... Alhamdulillah. Saya boleh kembali bagi komitmen pada kerja."
Encik Hilmi hanya angguk sedikit tapi matanya lama memerhati Idlan.
Ulfa pasti bukan dia seorang saja yang rasa situasi mereka sekarang agak janggal. Ulfa nampak riak wajah Encik Hilmi sedikit tegang. Entah kenapa Ulfa rasakan dadanya penuh debar. Macam menyaksikan dua cowboy sedang saling berhadapan dan bersedia dengan pistol masing-masing yang tersisip di pinggang. Bertarung siapa dulu yang paling pantas memicu pistol dan siapa dulu yang akan rebah menyembah bumi.
"Teruskan prestasi bagus kau dekat sini juga," kata Encik Hilmi kemudian. Secara tidak langsung memecahkan ketegangan itu.
"Baik," balas Idlan pendek.
Ulfa melepas nafas panjang. Rupa-rupanya sejak tadi dia menahan nafas. Entah kenapa.
Tanpa berkata apa-apa lagi, Encik Hilmi kemudian meluruskan jari telunjuknya ke arah Ulfa pula. Ulfa tunjuk diri sendiri dan pandang bosnya itu minta kepastian. Encik Hilmi dengan muka sebal mengangguk dan memberi isyarat supaya datang kepadanya. Cepat-cepat Ulfa menghampiri Encik Hilmi, bersedia untuk mendengar tempikan walau dia tidak tahu lagi apa salahnya.
Encik Hilmi hela nafas panjang. Dia memberi isyarat lagi dengan jari telunjuknya supaya mengikutnya sebelum dia berpaling mengorak langkah ke pejabatnya.
Eh! Tak jadi kena tempik dekat sini?
Dengan perasaan gusar, Ulfa mengheret langkah mengekori Encik Hilmi ke dalam pejabatnya.
"Ya, Encik Hilmi?" soal Ulfa setelah dia menutup pintu bilik.
"Kenapa aku tak dengar lagi cerita pasal manuskrip Kesumat Dewi tu? Kau dah contact penulisnya ke belum?"
"Dah. Tapi dia berkeras tak nak ubah apa-apa. Tapi saya dah pujuk dia beberapa kali untuk buat penambahan bab. Dia kata nak fikir dulu dan cari idea."
Encik Hilmi hela nafas panjang. Dia bercekak pinggang.
"Kau tau tak sepanjang kita tunggu dia, kita rugi dan tanggung kos. Pembaziran sumber. Kalau jadi dia edit draf tu tak apa lagi. Kalau tak? Daripada tunggu dia kita dah boleh proceed dengan perancangan lain. Kalau tak kita akan lari daripada jadual penerbitan." Suara Encik Hilmi semakin meninggi.
"Saya faham. Saya pasti penulis pun faham juga sebab dia dah lama menulis dengan kita. Lagipun kebanyakan karya dia semuanya best seller. Dia cuma perlukan masa sikit."
"Aku tahu esok semua settle. Aku tak nak dengar alasan."
Dalam keadaan begini, dia terus berasa lapar. Dia perlu menggigit sesuatu untuk melepaskan geram. Ulfa paling tak suka situasi 'sandwic' - terperangkap antara menjaga hati penulis dan juga menurut arahan orang atasannya. Seboleh-bolehnya, dia mahu kunyah-kunyah 'situasi' ini dan simpan di dalam perut untuk dihadam.
Oh! Tiba-tiba dia mengidam mahu makan sandwic dari Subway. Ulfa telan air liur.
Keluar saja dari bilik bosnya, dia mengagau ke dalam begnya kalau-kalau ada biskut atau gula-gula yang tersimpan. Nasibnya baik. Dia menjumpai sebungkus kecil biskut oat yang masih menginap di dalam dasar begnya. Cepat-cepat dia meretas bungkusannya. Biskut di dalamnya sudah terpecah-pecah kerana sudah lama diabaikan dan terdindih dengan barang lain. Dia kumpul biskut oat yang sudah pecah itu ke atas tapak tangan dan memasukkannya ke dalam mulut. Dikunyah-kunyah biskut itu sampai lumat sebelum menelannya.
Keluar dari bilik Encik Hilmi, semua orang masih dengan kerja masing-masing. Staf yang lama sudah biasa dengan amukan Encik Hilmi yang sesekali datang itu. Mereka buat bodoh saja. Tapi wajah yang kelihatan terkejut ialah Daniel dan Idlan. Sebaik saja sampai ke tempat duduknya, Daniel datang menghampiri.
"Kak Ulfa, okey?" soal Daniel. Ada garis kerutan di wajahnya.
"Kenapa kau tanya?"
"Encik Hilmi marah akak?"
"Akak okey aje. Dah biasa."
"Garangnya Encik Hilmi tu."
Kak Maya tiba-tiba mencelah. "Kenapa, kau dah kecut perut ke? Tak jadi kerja sini?"
Daniel telan air liur dan sengih.
"Baliklah ke meja kau." Ulfa mengarah.
Dengan Daniel, dia tidak kesah. Tapi dengan Idlan, dia jadi segan kalau-kalau Idlan pun terdengar dia kena marah dengan Encik Hilmi. Ulfa tunduk menyembunyikan wajah di sebalik kubikelnya. Dia melepas keluh.
Buku nota dicapai. Dia menyelak halaman yang berisi contengan seekor beruang grizzly sedang bercekak pinggang tetapi dengan rupa dan taring yang menakutkan. Contengan yang saban hari semakin menakutkan dengan tambahan pelbagai kapsyen di sekelilingnya. Sekali tengok macam beruang yang sudah bertukar jadi Zombie. Sambil itu mulutnya mengomel sendirian dengan buku notanya itu seolah-olah buku itu boleh mendengarnya.
"Stupid, Beruang Psiko. Aku tak takutlah dengan kau..."
"Eee, geramnya aku..." Dia mencucuk-cucuk lakaran mata beruang itu dengan mata pen.
"I'm watching you..." Dia menggertak lukisan tersebut dengan isyarat mata dan dua jarinya.
"Aku harap kau akan jatuh tangga hari ni."
Dia terhenti apabila terasa ada seseorang di belakangnya. Pantas dia menoleh.
Daniel lagi. Lekas-lekas dia menutup buku notanya.
"Kau nak apa?" soalnya tegas. Berang apabila hobinya melepaskan kemarahan itu ketahuan dek orang baharu.
Daniel lekas tertawa manis bagai tidak terkesan dengan reaksi Ulfa. Pandangannya jatuh ke atas buku nota Ulfa.
"Akak buat apa ni? Akak ni comellah."
Hikkk! Dia telan air liur.
Comel ke perempuan yang sedang membuat kutukan ke atas lukisan serta menikam lukisan itu dengan pen? Sudah serupa perempuan sihir voodoo sedang menjampi objek sumpahannya.
Ini kali pertama ada orang puji dia comel. Sudahlah orang yang puji itu pula kacak dan murah senyuman. Tapi dia lekas tersedar.
Ah! Daniel ini memang terang-terang kategori lelaki mulut manis. Entah-entah sudah banyak kali dia tabur kata-kata manis dekat ramai perempuan.
"Kau nak apa?" Ulfa angkat kening.
"Nak bagi tahu yang Abang Adha suruh akak bagi briefing dekat kita orang."
Pantas Ulfa memanjang leher ke arah Adha di mejanya. Adha buat isyarat bagus dengan kedua-dua ibu jarinya.
Bagus apanya? Aku tengah bad mood ni, gerutunya dalam hati.
Dia sudah tawar hati hendak buat konon-konon orientasi kepada pekerja baharu mereka. Ulfa kalih pandang ke rakan sekerja yang lain. Akma dan Salwa masih tertoleh-toleh ke arah mejanya. Mengharap mereka dapat membantu. Kalau minta tolong mereka memang mereka lebih daripada sudi. Tapi alamatnya nanti mereka bukan beri tunjuk ajar tetapi sebaliknya buat sesi blind date pula.
Menyelam sambil minum air.
Yang normal sikit, Syak dan Farha tapi dia tahu mereka masing-masing sedang dihambat dengan pruf galei akhir manuskrip masing-masing.
Dia toleh belakang Daniel. Idlan sedang tercegat berdiri tersenyum tawar kepadanya.
Oh, ya. Dia hampir terlupakan Idlan. Ugh! Hari pertama lagi Idlan sudah nampak sisi lemahnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co