Truyen3h.Co

Saya Kan Ada

Bab 4

karyaseni2u

AKU sampai rumah dalam pukul 10.00 malam. Sebaik sahaja masuk ruang tamu, aku letak tiga bungkus strawberry kering atas meja sofa. Kemudian menyandar di sofa. Kepenatan. Kata Hairiz, mahu makan aiskrim strawberry sahaja, sudahnya habis satu Cameron Highlands kami jelajah.

Walaupun penat, tetapi masa-masa bersama Hairiz adalah masa yang sangat menggembirakan. Terlupa dengan semua masalah. Seolah-olah hanya ada aku dan Hairiz sahaja di dalam dunia ini. Gelak tawanya, senda guraunya dan apa saja yang Hairiz lakukan sangat menyenangkan. Takutnya kalau aku benar-benar terjatuh cinta dengan Hairiz tanpa sengaja. Memang parah nanti.

"La, mana datangnya strawberry kering ni?" Ekin, selaku anak tuan rumah dan juga merangkap tuan punya butik tempat aku mencari rezeki hampir enam tahun muncul dengan tali pengukur di lehernya. Dia yang bertubuh tinggi lampai berambut pendek dan hitam manis orangnya, nampak terkejut bila melihat bungkusan strawberry kering siap tersusun.

"Aku dengan Hairiz singgah Cameron Highlands." Tiada apa yang hendak aku rahsiakan daripada Ekin. Dia tahu segalanya tentang aku dan tentu saja aku tahu tentang Ekin. Memang tiada rahsia di antara kami. Sebab itu kami kekal sebagai sahabat walaupun dia sudah bergelar bos aku.

"Sempat lagi tu."

"Panjang ceritanya." Bila aku kenang semula apa berlaku semalam, rasa sakit sangat hati. Rasa tak mahu mengaku saudara pun ada. Tapi bila ingat betapa manisnya kenangan bersama Hairiz, rasa berbaloi pula. Ada hikmah rupanya di atas apa yang berlaku.

"Aku dah agak. Kau pergi rumah mak long kau tu sekadar cari bala saja. Aku dah cuba halang kau, tapi kau degil. Sekarang padanlah muka kau. Cakap aku langsung tak nak dengar." Selesai berkata-kata, Ekin duduk bersebelahan denganku. Kemudian dia ambil sebungkus strawberry kering. Dia buka dan mula masukkan strawberry kering ke dalam mulut. Dia kunyah satu demi satu.

Sebenarnya aku langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Ekin. Sudah terbiasa. Dialah sahabat paling baik yang pernah aku ada. Walaupun mulutnya sedikit kurang ajar, tapi apa yang dia cakap selalu betul. Bersungguh dia menghalang aku pergi, tapi aku tetap pujuk hati. Mahu diberi peluang untuk bertempat di dalam keluarga sendiri. Tapi sayang, memang tak bermakna. Sia-sia belaka.

Aku mengenali Ekin ketika sama-sama ambil kursus menjahit anjuran Giatmara. Walaupun ayah Ekin mampu untuk menghantar Ekin ke tempat lain, namun Ekin tetap memilih untuk menyertai kursus yang dianjurkan oleh Giatmara memandangkan kos yang perlu kami tanggung sangat berbaloi. Kata Ekin, duit yang ada dia boleh buat modal untuk membuka kedai jahitan.

Perancangan Ekin terlaksana bila dia menjadikan impiannya satu kenyataan. Dalam tempoh 6 tahun ini, Ekin atau pemilik nama sebenarnya Nurasyikin binti Hambali, tua dua tahun daripada aku, mampu memiliki sebuah butik yang boleh membanggakan keluarganya. Kalau dulu dia adalah antara anak yang tercicir di dalam pelajaran, namun sekarang Ekin tidak malu untuk berdiri sama tinggi dengan kakak-kakak dan abang-abangnya yang lebih berjaya di dalam bidang akademik. Dalam usia semuda ini, Ekin sudah bergelar bos.

"Aku cuma nak berbaik dengan mereka saja, tak sangka dapat layanan macam ni." Satu keluhan akhirnya terluah juga. Aku cuba untuk tidak rasa menyesal, tetapi seakan ada suara-suara halus yang menjadi batu api agar aku rasa menyesal kerana ke rumah mak long.

"Tak guna kau nak berbaik-baik dengan mereka, Mai. Kaum keluarga kau tu memang jenis tak boleh dibuat baik. Masing-masing tak ada akal." Kerap benar menjadi pembela aku, membuatkan Ekin tambah meluat dengan kerenah sanak saudaraku.

"Selepas ni memang aku fikir dua tiga kali juga nak datang rumah mereka."

"Kali ni apa kes pula?"

"Kau bayangkan, aku kena bersihkan ayam sebanyak lima pikul. Aku dengan Hairiz saja buat kerja tu."

"Gila kau, Mai. Lima pikul tu. Tak masuk akal kalau kau orang berdua buat kerja." Ekin juga tidak percaya, tapi itulah hakikatnya. Bukan aku sengaja nak ada-adakan cerita. Dah memang betul pun.

"Serius, mak long aku cakap lima pikul. Lima pikul la. Takkan aku nak tipu pula. Aku sampai dalam pukul empat pagi lebih kurang. Hairiz yang datang jemput aku. Lepas tu, dari subuh sampai zuhur kami bersihkan ayam."

"Habis, saudara-mara kau yang lain mana? Takkan tak menolong? Jiran-jiran mak long kau takkan tak ada?"

"Kerja bersihkan ayam aku dengan Hairiz sahaja. Saudara-mara lain semua buat kerja di rumah. Mak long aku pula jenis tak campur orang. Mana ada jiran-jiran nak menolong. Ada pun sorang dua buat kerja goreng ayam. Tengah hari mereka pun balik. Aku dengan Hairiz pula yang kena sambung kerja menggoreng. Buat kerja dari subuh sampai isyak. Non stop. Berhenti pun makan dengan solat saja. Memang betul-betul aku jadi hamba." Serius aku cakap, memang tak ada pahala langsung aku dapat.

"Gila betul. Memang mereka suruh kau datang tu nak hambakan kau saja."

"Malam tu, aku dah tak larat sangat. Aku baringlah dulu. Tapi mak long suruh aku buat kerja lagi. Hairiz naik angin. Terus dia ajak aku balik malam tu juga."

"Betul ke? Kau orang balik malam tu?" Ekin nampaknya semakin berminat mendengar cerita aku.

"Disebabkan aku rasa sedih sangat, aku ikutkan saja rancangan Hairiz. Malam tu juga kami balik. Tapi kami singgah kat Ipoh. Hairiz tak larat nak pandu kereta. Aku lagilah. Penat gila."

"Kau orang share bilik?" Ekin angkat badan.

"Agak-agaklah. Sepupu aku tu..."

"Sepupu pun boleh jadi kekasih halal."

"Dia dah banyak tolong aku, Ekin. Tak sanggup nak macam-macam dengan dia. Lagipun kau bukan tak kenal Hairiz. Dia bukan ke kepala angin sikit. Petang tu dia dah siap belasah Hanis sebab Hanis buat dia naik angin."

"Tapi aku tahu ada sesuatu yang Hairiz simpan dan tak sanggup beritahu kau." Ekin meneka. Tekaannya tu nanti akan jadi spekulasi. Penat mahu menjawab jadi aku tak nak fikir apa yang menjadi tekaan Ekin.

"Aku tak nak fikir apa-apa. Hairiz dah baik dengan aku pun aku rasa dah cukup."

"Okey, sambung balik cerita pergi Cameron Highlands."

"Pagi tadi, lepas subuh dia call aku. Ajak naik Cameron Highlands. Mulanya aku malas nak pergi, tapi dah merayu-rayu. Alasannya nak makan aiskrim strawberry, jadi aku ikutkan ajelah. Kesian pula."

"Nak makan aiskrim tu sebenarnya alasan aje. Yang sebenarnya dia nak berdua-duaan dengan kau. Kau tu yang tak faham." Sekali lagi Ekin serkap jarang. Memang aku perasan, Ekin selalu sangat cakap begitu. Seolah-olah aku dengan Hairiz ada hubungan sulit pula.

"Taklah. Dia memang serius nak makan aiskrim strawberry. Aku kenal Hairiz. Jadi aku memang faham apa yang dia suka."

"Kau tengoklah nanti..."

Aku bangun. Nak masuk bilik dan mahu berehat. Badan masih terasa sakit-sakit.

"Mai, Hairiz tu sukakan kau sebenarnya," kata Ekin waktu aku sampai di muka pintu bilik bersama kelesuan.

"Mengarutlah!" balasku sepatah.

"Kita tengoklah nanti, siapa yang mengarut."

Sampai bilik, aku terus terbaring. Baru pukul 10.30 malam. Kejap lagilah solat isyak. Nak rehat sekejap.

"Wei, tu mat romeo kau dah sampai." Ekin muncul di hadapan muka pintu.

"Firash?" soalku.

"Siapa lagi kalau bukan dia? Eh, menyampahlah aku tengok muka dia tu. Kau boleh tak jangan bagi muka kat mamat tu? Tu jenis lelaki yang memang tak layak langsung buat suami tau tak?" bebel Ekin. Kalau Ekin pun tak suka dengan Firash, ada sebab ke untuk aku suka dengan Firash? Memang taklah!

"Kau ingat aku nak sangat ke buat dia suami? Kalaupun dia lelaki terakhir dalam dunia ni, fikir seribu kali juga nak ambil dia jadi suami."

"Habis tu, yang kau layan kenapa?"

"Mana ada aku layan dia, dia yang terhegeh-hegeh nak kat aku." Aku sarung semula tudung dan keluar bilik. Kemudian terus menuju pintu. Entah apa lagi yang Firash nak.

Firash tercegat di depan pintu pagar.

"Awak nak apa?" soalku sebaik sahaja berdiri di hadapan pintu pagar. Aku nampak Fuzah ada di dalam kereta Firash. Rasanya mak-mak saudaraku masih tak balik lagi. Sebab itulah anak-anak balik dulu.

"Keluar kejap. Ada benda nak cakap," arah Firash.

"Saya baru saja sampai. Penat pun tak hilang lagi. Lain kalilah kalau nak cakap apa benda pun." Aku cuba mengelak. Bukan sebab Fuzah ada di dalam kereta Firash, tapi memang betul-betul tak ada semangat mahu bercakap dengan Firash.

"Oh, awak keluar dengan Hairiz boleh pula?" Suara Firash kuat sedikit.

"Jadi apa masalahnya saya keluar dengan dia?" soalku pula.

"Awak ni memang betul-betul tak tahu malulah..." Firash mencebik. Gaya menghina sudah jelas terpamer. Ini seorang lagi nak kena dengan aku. Ayam kutip jagung, dia ni karang mahu kutip gigi.

"Kalau saya tak tahu malu sekalipun, apa kena- mengena dengan awak? Tak ada masalah buat awak, kan? Tak perlulah nak sibuk-sibuk pasal saya." Aku berusaha untuk mengawal perasaan. Menunjukkan kemarahan pada orang yang tidak faham bahasa bukanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah.

"Tapi semua keluarga kita mengutuk awak. Mereka langsung tak mengutuk Hairiz. Mereka tuduh awak mempergunakan Hairiz. Jadi, saya rasa malu."

"Oh, awak rasa malu sebab Hairiz bawa saya balik? Tapi awak tak rasa apa-apa ke bila mereka buat saya macam hamba? Awak langsung tak ada belas kasihan tengok saya separuh mati buat kerja?" soalku dengan berani. Memanglah dia tak nampak sebab asyik berbual dengan Fuzah.

"Awak yang sukarela nak tolong, bukan? Sekarang ungkit pula. Memang nampak sangat awak tak ikhlas nak menolong. Menolong hanya mahu mengambil perhatian orang lain. Kononnya awaklah yang rajin..."

Makin mendidih perasaanku. Rasa macam nak tampar-tampar saja mulut Firash. Sesuka hati saja tuduh aku macam-macam.

"Terpulanglah pada awak nak cakap apa pun. Saya malas nak cakap apa-apa lagi. Sekarang ni saya nak berehat. Saya penat sebab temankan Hairiz pergi Cameron Highlands." Langkah terbaik ialah dengan mengalah. Bukan bermakna aku kalah tapi malas hendak bertekak lagi. Buang masa sahaja.

"Cameron Highlands?" soal Firash. Muka macam tak tahu saja aku dengan Hairiz pergi Cameron Highlands. Takkan tak ada orang cerita? Ke disebabkan masa terlalu banyak sangat dihabiskan dengan Fuzah sampai tak ambil tahu kekecohan yang terjadi.

"Haah, Cameron Highlands. Kita orang pergi lepak Cameron Highlands. Makan angin. Makan aiskrim. Melawat kebun teh. Masa balik tu sempat lepak Lata Iskandar. Best sangat." Bersungguh aku bercerita.

"Jadi betullah apa yang aku sangkakan. Ini semua memang rancangan Hairiz. Memang tak guna!" Firash tendang pagar dengan kuat.

"Hairiz hanya nak tolong saya tinggalkan majlis mak long tu sebab tak sanggup tengok saya penat. Tu saja. Malam tadi kami singgah rehat kat Ipoh. Baru pagi tadi Hairiz beritahu saya nak pergi Cameron Highlands. Saya rasa tak salah, kan?" Sebahagian rasa mahu tampar mulut Firash seperti hilang begitu saja. Rasa suka pula melihat Firash begitu. Biar dia meroyan.

"Memanglah tak salah sebab dia cuba pikat awak. Awak tu yang bodoh, tak sedar semua tu!" Tengking Firash.

Aku cekak pinggang. Depan-depan dia cakap aku bodoh. Ingat dia cerdik sangat ke? Dia tu lagi bodoh dari aku, tak sedar pula.

"Kalau dia nak pikat saya pun, itu urusan dia. Saya rasa tak ada masalah, kan? Lagipun apa hak awak nak marah-marah dia? Suka hati dialah dia nak buat apa." Lagi mahu sakitkan hati Firash. Biar dia mendidih.

"Okey, mulai sekarang kita putus secara rasmi. Kita tak ada sebarang hubungan kecuali sebagai sepupu."

"Eh, bukan ke selama ini pun kita hanya sebagai sepupu. Tak lebih dari tu? Awak yang melebih." Puas hati aku. Akhirnya berjaya juga buat Firash putus asa. Memang betul, ada hikmahnya kenapa aku kena pergi rumah mak long.

"Ingat Mai. Awak akan menyesal nanti." Firash terus ke keretanya. Selepas hempas pintu kereta dengan kuat, dia terus pecut dengan laju.

Macam-macam betul. Buat sakit jiwa saja.

BARU nak lelap mata, Hairiz pula telefon. Aduhai, sepupuku sayang. Tak bosankah seharian masa yang dihabiskan bersama? Malam pun nak dengar suara aku jugakah?

"Awak, ada tak masuk grup WhatsApp family?" soal Hairiz.

"Tak pun, kenapa?" Malas nak masuk sebab aku tengok notification dah lima ratus lebih. Pasti saja pasal majlis perkahwinan Kak Aishah.

"Firash mengamuk. Dia macam marahkan seseorang. Kesat betul bahasa dia."

Ini ada kena-mengena dengan kejadian sebentar tadi ke? Rasanya ya kut sebab tadi Firash memang nampak marah betul. Siap berani putuskan hubungan lagi. Bab putus hubungan tu memanglah aku suka.

"Baru sekejap tadi dia ada datang rumah saya dengan Fuzah. Mulanya dia marah sebab saya balik dengan awak. Lepas tu saya terbagi tahu kita pergi Cameron Highlands."

"Padanlah macam kata-kata tu tuju kat saya saja."

"Tapi saya pelik, mustahil dia baru tahu."

"Biar dialah. Tak penting pun. Yang dia nak marah sangat tu kenapa? Suka hati sayalah nak bawa awak ke mana pun. Pelik betullah mereka ni. Sibuk sangat pasal kita. Dari mak, sampai ke anak. Tak boleh ke biarkan kita aman sikit? Kita tak kacau sesiapa pun." Kedengaran Hairiz seperti bengang saja.

"Biarlah awak. Memang dah perangai mereka macam tu, nak diapakan lagi. Kalau awak lawankan, makin menjadi nanti. Saya fikir, eloklah kita senyap saja. Dia nak cakap apa pun, biarlah dia. Yang penting kita gembira." Aku cuba kurangkan rasa membara Hairiz dengan berusaha memujuk.

"Tidaklah, geram betul saya. Siap tuduh saya perampas."

"Awak tak rampas apa-apa pun. Dia tu yang tak nak faham keadaan sebenar. Kalau betul awak sayang saya, tolong jangan marah-marah. Saya dah cukup gembira pergi Cameron Highlands dengan awak, sekarang awak macam ni pula."

"Maaflah, saya emosi sikit. Ikutkan hati memang saya dah serang dia."

"Hesy, janganlah sampai serang menyerang. Nanti lagi panjang cerita. Awak diam-diam sudah."

"Yalah, saya nak cakap benda tu saja. Okeylah, saya tau awak penat. Perlukan rehat. Selamat malam."

"Selamat malam..." balasku. Harap sangat kalau Hairiz sebut selamat malam sayang. Suka pula dengar perkataan sayang tu. Terasa seperti benar-benar disayangi. Tapi Hairiz takkan sebut kut.

"Mai, saya sayang awak tau."

Ah! Seperti melayang-layang pula. Jangan cepat ditimpa perasaan, Mai. Ingat, Hairiz tu sayang tak lebih dari sayang seorang sepupu.

"Sayang awak juga."

"Betul ke?" soal Hairiz.

"Betullah. Sayang sebagai se..."

"Okey, okey. Selamat malam, sayang..."

Belum sempat aku nak cakap sayang sebagai sepupu, terus dia pintas kata-kataku. Kemudian matikan panggilan macam tu saja. Tapi ayat terakhir tadi bukankah ayat yang aku dambakan dan akhirnya aku dengar juga? Tak apalah, sepupu pun sepupulah. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahu sayang aku.

Pergi tidurlah, Maisarah. Jangan nak berangan sangatlah! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co