Bab 13
Ketika Aki bergesa-gesa pulang ke rumah, di pintu pagar kediaman Tuan Ghaffar, sebuah kereta sedan berwarna hitam memecut pergi. Tanpa diketahui siapa gerangan di dalamnya, Aki memanjat ke tangga rumah. Dia terduduk melengung di bilik air, menghadap cermin besar. Mukanya comot, berwarna abu. Lalu dilalukan air ke wajah agar selut itu hilang.
"Penin..." Tersembur nama itu di bibirnya.
Tatkala itu bibirnya terburai dengan senyuman, seperti ada sesuatu yang menyorot ke hatinya saat tangannya disambut genggaman Penin di sawah. Ada arusan yang menyuluh gelita dalam hatinya. Entah mengapa, Aki rasakan bahagia.
Melalui cermin jendela itu, pandangan Ghaffar terarah kepada Aki yang tampak berlari-lari anak pulang ke rumah. Nafasnya dihembus kasar. Lelaki yang mengunjungi tadi telah berlalu pergi. Kian berkecamuk perasaan Ghaffar. Setiap kali dia dikunjungi lelaki itu, beban di bahunya semakin berat. Selepas lelaki itu beredar, pintu pejabat ditutupnya rapat. Ghaffar mahu bersendiri. Sementelah ada sesuatu yang membuatkan dia tidak keruan begitu.
Kertas yang renyuk di genggamannya itu dihuraikan. Lalu dibaca apa yang tertera.
Anak-anakmu akan mati. Keluargamu akan mati. Jaga-jaga.
Kertas itu ditemukan beberapa hari lalu oleh pembantu rumah, Dylan ketika dia membuka pintu itu pada waktu pagi. Tiada sesiapa yang dibenarkan memasuki ruang pejabat itu tanpa kehadiran Ghaffar sendiri. Dylan hanya akan mencuci ruang itu di bawah pemerhatian Ghaffar sahaja. Sejurus menatap patah perkataan yang tertera, romanya berceracak. Dia sendiri gemang. Patah perkataan itu bertintakan dakwat merah umpama darah. Ghaffar bingung. Kepala Ghaffar berpusing. Pening dia memikirkan perihal ugutan itu. Siapakah yang mahu bermain api dengannya tatkala ini? Ketika hatinya terbeban dengan pelbagai rasa yang memberat. Tidak tertanggung lagi dugaan yang dia hadapi. Kini ada pula yang mahu melancar dendam terhadapnya.
Ghaffar kira nota itu dikirim dari luar. Entah siapa-siapa yang menceroboh ke rumahnya tatkala seluruh isi rumah tidak sedar. Terpaksa Ghaffar mengesyaki semua orang. Dalam diam dia menggeledah bilik pembantu rumah. Namun tiada sebarang penemuan yang mencurigakan atau menyabitkan Dylan dengan utusan misteri itu. Jika difikirkan, pembantu itu tiada motif untuk berbuat demikian. Malahan dia masih seorang budak hingusan yang sudah tiga tahun berkhidmat untuk Ghaffar sekeluarga.
Ingatan Ghaffar terarah pula kepada Ghani, abangnya. Mungkin ini kerja Ghani. Hanya dia seorang yang berani bertindak gila andai terdesak. Atas dasar wang, tidak mustahil Ghani mengirim sebuah ugutan sedemikian. Bukan dia tidak kenal abangnya yang mendendami Ghaffar sekian lama.
Hati Ghaffar menahan gentar. Tangannya menggigil memikirkan perkara itu. Fikirannya menerawang mengenal pasti setiap nama rakan dan lawan demi menjejaki empunya angkara. Namun dia gagal juga. Kerana setahunya, dia tidak mempunyai lawan. Dalam bidang kerja juga tidak mungkin dia berperang dengan orang lain. Apatah lagi bidang kerjanya banyak melibatkan organisasi luar negara dan pertubuhan asing. Bertikam lidah tentang ketidaksefahaman kerja itu perkara biasa, tiadalah mendatangkan dendam. Ghaffar mula buntu. Sebolehnya dia mahu menyelesaikan perkara itu. Ugutan itu umpama satu cangkuk yang membiarkan dia tergantung tinggi, tidak berupaya.
Aki menutup daun jendela di kamar itu. Tubuh Mafliya terbaring diam di katil. Di dadanya terletak sebuah buku yang dipeluk erat. Seperti tidak dapat lagi dipisahkan dari buku kesayangan itu. Aki melabuhkan duduknya di birai katil. Kulit buku itu diurap lembut.
"Abraham Lincoln, The Prairie Years," baca Aki.
Mafliya menggerakkan tangan. Buku itu dihulurkan kepada si anak. Aki menyambutnya. Sebuah buku tua yang berusia lebih daripada usia Aki sendiri. Kulitnya berwarna biru gelap dengan judul tertera berwarna keemasan. Dia menyelak helaian itu. Sebuah buku klasik yang menggunakan pengantar bahasa Inggeris lama.
"Tentu sudah lama buku ini."
Mafliya mengangguk perlahan. Tangannya tampak mengurai hujung rambut di kepala.
"Buku ini istimewa bagi bonda. Dihadiahkan nenda ketika bonda seusia kamu. Nenda seperti kamu Aki, suka benar membaca."
"Kenapa buku ini begitu dekat dengan bonda?"
Ya, benar. Sehingga dipeluk erat pada waktu malam. Menjadi selimut badan dan pemikiran buat Mafliya.
"Buku itu menceritakan tentang kehidupan keluarga Abraham Lincoln yang bermula di sebuah padang rumput atau prairie."
"Bonda sukakan padang rumput... prairie..."
Mafliya menganggukkan kepala disusuli sebuah senyuman. Matanya bersinar seperti menggambarkan kehidupan sendiri di sebuah padang rumput yang menghijau dan luas. Sejauh mata memandang, batang-batang rumput yang berdansa taktala dirempuh angin. Bayu yang bertiup lembut ke wajahnya, seakan-akan membawa segala kesakitan yang merundung, lalu dibawa pergi. Ingatan sebegitu mendatangkan ketenangan. Sejurus membawa kebahagiaan buat Mafliya.
"Kalau dapat bonda cari sebuah padang rumput begitu dan hidup seperti itu, Aki... Aman, bahagia. Sakit pun tidak mengapa."
Aki mengurap jemarinya ke wajah Mafliya. Seperti dapat dia selami keinginan sebegitu. Seperti juga dirinya yang mahu melarikan diri ke satu daerah asing. Biar terasing dari sebuah dunia yang dipenuhi kesakitan, kebencian dan ketidakpastian.
"Suatu hari nanti, Aki akan bawa bonda ke sebuah padang rumput. Mungkin kita boleh bawa khemah. Di sana nanti, kita hanya duduk-duduk, menikmati pemandangan," janji Aki.
Tangan Mafliya digenggam erat. Saat itu terburai sebuah senyuman di bibir Mafliya.
"Suatu hari nanti..."
Aki mengangguk.
"Mungkin bonda perlukan 100 nyawa baru dapat ke sana, Aki."
Pandangannya berkalih ke luar jendela yang kegelapan. Di hujung matanya, seperti ada titis air yang mahu menujah keluar.
"Tidak, bonda. Aki takkan benarkan sakit bonda ini, menghalang mimpi kita."
Sejurus genggaman tangan Mafliya kian erat. Malam itu Aki tertidur di sisi bonda, bermimpikan sebuah padang prairie yang menghijau.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co