BAB 14
ZAFEEYA duduk di atas sehelai tikar yang dia bentangkan di situ. Warna langit pada pagi Isnin ini cukup indah. Ronanya bercampur dari warna emas ke jingga. Ada sedikit rona ungu dan seterusnya warna biru. Cahaya matahari yang baru mula mengambil alih waktu malam menjadikan warna awan sedikit kekelabuan namun semuanya tetap nampak indah.
Setiap hari, warna langit berlainan. Begitu juga dengan corak dan kedudukan awan. Tak pernah sama. Kombinasinya infiniti.
Matanya jauh merenung ke langit, cuba membuat catatan mental ke atas warna-warna yang dilihatnya. Dia mahu cuba merakamkan pemandangan kawasan perumahan mewah yang terbentang di hadapannya yang dihiasi rona-rona indah langit itu ke atas kanvas lukisan.
Di zaman teknologi ini, ramai saja orang yang kata dia kolot. Kalau rasa langit tu cantik, tangkap sajalah gambar guna kamera telefon. Tapi, Zafeeya punya pandangan yang berbeza. Imej dalam kamera tak sama dengan imej lakaran minda.
Dari mata, pemandangan yang dirakam dalam minda akan diterjemahkan oleh jiwa untuk menghasilkan lukisan yang bersulamkan pendapat dan perasaan pelukis.
Pendapat seperti ini subjektif. Tapi, setidak-tidaknya inilah sebahagian daripada jiwa seni yang dimiliki Zafeeya.
Dari atas itu juga, dia dapat melihat rumah Andriy. Dari situ, banglo besar itu kelihatan kecil sahaja.
"Cik buat apa dekat sini?"
Suara seorang perempuan yang tiba-tiba menyapanya menyentakkan lamunan. Hampir tergugur jantung apabila ketenangannya tak semena-mena diganggu.
Tak pernah ada orang lain yang berkunjung ke situ selainnya dan ini membuatkannya kaget.
Zafeeya segera bingkas dan berpaling. Tertancap di hadapan lubang pintu seorang wanita lengkap berpakaian seperti seorang kontraktor dalam usia awal 40-an yang tak dikenalinya. Jantungnya mula berdegup kencang.
"Cik tak boleh ada dekat sini. Cik ni dah kira menceroboh ni," ujar wanita itu apabila Zafeeya masih terlalu bungkam untuk berkata-kata.
Zafeeya melihat wanita itu dengan mata yang terkebil-kebil. Ketika itu dia terdengar beberapa suara lelaki yang datangnya dari tingkat bawah.
Dia mula rasa tak sedap hati.
Dia tahu selama ini dia menceroboh tetapi bukan perkara ini yang dirisaukan. Nalurinya memberitahu, ada perkara yang lebih buruk dari tuduhan menceroboh yang bakal berlaku.
"Baik cik balik sekarang. Cik boleh didakwa tau," amar wanita tadi dengan nada yang tenang.
"Apa yang puan buat dekat sini?" Zafeeya memberanikan diri bertanya.
"Buat apa? Kerjalah. Tuan tanah ni nak robohkan rumah ni. Dia nak buat rumah baru."
Zafeeya tergamam. Tekaknya serta-merta terasa kering dan berpasir. Dadanya pantas terasa sebak. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Ini tak mungkin terjadi.
Selama ini dia selalu tenang berada di situ. Tetapi hari ini, tempat itu bakal lesap dari muka bumi. Itulah kenyataan yang paling dia tak ingin percaya.
"Dah, baliklah. Nanti awak ganggu kerja kami."
"Tolonglah, jangan... Janganlah runtuhkan rumah ni," pinta Zafeeya walau dia tahu permintaannya tak akan membuahkan hasil. Suaranya yang bergetar membuatkan wanita tadi kelihatan sedikit panik dan keliru.
"Ini bukan keputusan saya."
"Tak bolehkah buat rundingan dengan tuan tanah untuk tak robohkan rumah ni?" soal Zafeeya. Dia tahu soalannya bodoh tetapi dia sudah buntu dengan kata-kata untuk mempertahankan tempat kesayangannya.
"Rundingan apa lagi? Tengok pun tahu rumah ni memang patut dirobohkan."
"Bagi saya tak patut."
"Tak ada siapa yang peduli apa yang cik fikir kalau cik bukan pemilik tanah ni. Sudahlah... Baliklah. Kami tak boleh mula bekerja kalau cik terus ada kat sini."
"Kalau macam tu, saya takkan berganjak dari sini."
"Janganlah degil. Cik sudahlah menceroboh, mengganggu kerja orang lain pula. Kena tangkap nanti baru tahu." Wanita itu memberi amaran.
"Saya tak peduli."
"Saya telefon polis betul-betul nanti."
"Telefonlah. Saya takkan berganjak macam mana pun."
Wanita itu mengeluh sambil menggeleng-gelengkan kepala. Zafeeya mengelipkan matanya beberapa kali, cuba menahan air mata yang mula tertakung.
Hatinya terasa berat. Dia tak sanggup melepaskan tempat yang menjadi kesayangannya itu. Selepas beberapa tahun, mengapa baru sekarang rumah itu perlu dirobohkan?
Malangnya, bukan dia yang memegang jawapan kepada persoalan itu.
"HOW'S your life?" tegur Harraz sebaik melangkah masuk ke dalam bilik pantri.
Andriy yang sedang duduk bersendirian di meja kecil dalam bilik itu mengeluh.
Dia menyandarkan tubuh di kerusi lalu mengangkat surat khabar yang dipegangnya selari dengan pandangan mata. Mata Harraz yang sedang memerhatikannya tak sedikit pun diberi perhatian.
"Miserable," balas Andriy sepatah sambil menghirup perlahan kopi panas yang baru dibancuh.
"Zafeeya menyusahkan kau ke? Aku ingat kau beritahu aku, dia lain daripada perempuan lain. Kau kata hati dia keras."
Andriy memandang ke arah Harraz namun wajah rakannya yang sedang membancuh kopi itu tak kelihatan di matanya. Yang dia nampak cuma belakang kepalanya sahaja. Renungan tajam yang diniatkan untuk Harraz tak kesampaian.
"Apparently, all women are the same." Andriy mengeluh. Matanya dikembalikan ke surat khabar.
"Menyesal ke? Aku dah kata. Perempuan yang kau cari tu robot aje namanya. Mana ada manusia yang tak berperasaan."
"Yes, I can see that now."
"Apapun, kau tetap kena hidup dengan keputusan yang kau dah buat, kan? So, good luck," kata Harraz. Sebelum dia berlalu keluar, sempat dia menepuk bahu Andriy beberapa kali.
Andriy menghela dan menghembus nafasnya. Kopinya dihirup sekali lagi. Dia tak mahu pedulikan apa yang Harraz katakan tadi.
Biarpun Harraz kawan baiknya, dia tak berupaya untuk memahami perasaan cinta Andriy yang mendalam terhadap Shasha.
Apa yang dia lakukan terhadap Zafeeya mungkin salah tetapi dia tak peduli. Bukan Zafeeya yang dia cintai.
Dia mula jatuh hati pada Shasha sejak kali pertama mereka bertemu, semasa di tingkatan empat. Shasha seorang yang pintar dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi.
Walaupun dia dilahirkan dari keluarga yang berada, dia mempunyai cita-cita yang hebat.
Dia tak mahu mewarisi kekayaan keluarganya. Sebaliknya, Shasha berimpian untuk membina empayar fesyennya sendiri.
Kenangan waktu itu sangat manis buat Andriy. Mereka berdua tamatkan zaman persekolahan di sisi satu sama lain dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Mereka juga tamat persekolahan sebagai ketua pengawas dan penolong ketua pengawas. Mereka berdua bagaikan raja dan permaisuri dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.
Andriy memang sukakan wanita yang mempunyai cita-cita. Namun, lambat untuk dia sedari. Masalahnya berpacaran dengan wanita sebegini adalah karier akan lebih diutamakan berbanding cinta.
Kadangkala Andriy merasakan dirinya tak dianggap penting oleh Shasha. Tetapi, boleh salahkan siapa? Bukankah dia yang sukakan perempuan sebegitu?
Deringan telefon mengembalikan Andriy ke dunia realiti, dunianya tanpa Shasha. Dia menyeluk ke dalam kocek seluar. Telefon dicapai. Andriy dapati dia akan mengeluh setiap kali skrin telefon pintarnya memaparkan nama Zafeeya.
Apa pula halnya kali ni? Andriy bermonolog dalam hati. Telefonnya dibiarkan berbunyi. Dia tak berniat mahu menjawab.
Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Waktu minum pagi sudah pun berakhir. Maka, kopi yang tinggal separuh di dalam cawan dia teguk laju.
Setelah membasuh cawan yang digunakan, dia segera melangkah keluar dari bilik itu. Saat itu, telefonnya berdering untuk kali yang kedua oleh pemanggil yang sama.
Telefon yang sedang berbunyi di dalam genggaman diletakkan ke dalam laci di meja pejabatnya. Sekali lagi dia enggan menjawab. Dia ingat, dengan membenarkan Zafeeya singgah di rumahnya setiap pagi Selasa, tiadalah gadis itu mengganggunya dengan panggilan telefon lagi. Sangkaan itu nampaknya meleset sahaja.
Agaknya dia naik selesa kut sebab aku tak tolak kedatangan dia. Sekarang dia berani telefon-telefon balik. Andriy buat andaian sendiri.
Hatinya terdetik lega apabila deringan tadi kembali senyap. Sayangnya, kelegaannya tak bertahan lama. Deringan untuk kali ketiga bergema pula.
Dia mula naik berang namun hatinya pantas terpujuk apabila dia terfikirkan kemungkinan panggilan itu dibuat.
Angkat ajelah. Mana tahu dia ada emergency. Bahagian hatinya yang lembut membisikkan kata. Andriy terpaksa akur. Perlahan-lahan, telefon pintarnya diambil lalu panggilan dijawab.
"Andriy, tolonglah..." Suara Zafeeya di hujung talian kedengaran bergetar.
Tersentap sebentar jantung Andriy. Perkara pertama yang terlintas di mindanya adalah Encik Zariff. Mungkinkah ada apa-apa terjadi kepada ayah Zafeeya itu? Atau mungkinkah Zafeeya sendiri yang berada dalam bahaya?
"Kenapa, Zafeeya?" tanya Andriy sambil cuba mengawal perasaan panik yang mula mencuit dalam dirinya.
"Dia orang nak robohkan tempat ni..."
"Tempat apa?"
"Tempat biasa saya la..."
Andriy mengetap bibir. Menyesal pula dia mengangkat telefon. Ketika hatinya berlembut mahu melayan kerenah Zafeeya, begini pula nasibnya.
Perasaan kaget yang mula menyusup ke dalam jiwa tadi serta-merta diganti dengan perasaan geram. Dia biarkan perasaan itu menakluk diri.
"Awak balik ajelah..."
Tanpa perasaan bersalah, dia memutuskan talian. Seterusnya, alat itu terus dimatikan dan dicampakkan ke atas meja. Dia merehatkan diri di atas kerusi pejabatnya sambil mengurut-urut dahi.
Dia sangka Zafeeya la gadis yang paling sesuai untuk rancangannya. Rupa-rupanya, dia telah memilih gadis yang paling teruk sekali untuk menjayakan pelannya. Baru sebentar tadi, terserlah satu lagi keanehan sikap gadis itu.
Tak ada apa yang istimewa pun tentang tempat macam tu. Hantu dan makhluk halus aje yang suka. Lagipun, Zafeeya tu tak takut hantu ke? Atau dia memang hantu?
Pelik benar perangainya! Andriy menggaru-garu kepalanya.
Apa bezanya jika rumah terbengkalai itu dirobohkan atau tak? Lagipun rumah tu memang sudah runtuh separuh. Kalau rumah tu ada, tak ada orang boleh tinggal di situ.
Lebih baiklah rumah itu dirobohkan. Sekurang-kurangnya, boleh bina rumah baru. Entah apalah yang Zafeeya sayangkan sangat tentang rumah itu, dia benar-benar tak faham.
She is so eccentric! Andriy menggeleng-gelengkan kepala. Naik runsing dibuatnya
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co