Truyen3h.Co

SEMUA UNTUKMU

Bab 14

karyaseni2u

Januari 2019

"So, macam mana dengan perisik celaka yang tipu kau tu?" Zain yang baru sahaja tiba, memulakan perbualan.

"Macam mana apa? Jadi kes polis aje la. Separuh hari jugalah aku menapak dekat balai tu, bertekak dengan dia." Adi Fakhri sekadar mencebik. Dia sebenarnya kecewa apabila segala usahanya untuk mencari Najihah langsung tidak membuahkan hasil.

"Dia mengaku ke tidak? Macam mana benda ni boleh jadi?" Zain menyoal lagi memandangkan Adi Fakhri hanya mengulas sedikit sahaja mengenai hal ini dalam perbualan mereka awal pagi tadi.

"Aku upah dia tu sejak tahun lepas lagi. Duit aku dia kebas, tapi habuk pun tak ada. Aku ada tekan juga mintak hasil kerja dia, tapi dia macam asyik mengelak aje. Aku mengamuk la, aku gertak dia. Lepas dua tiga hari dia hantar alamat rumah anak yatim dekat Negeri Sembilan. Katanya Najihah kerja dekat sana sebagai sukarelawan. Aku pun cakap la dekat dia yang aku nak balik jumpa Najihah sendiri, tapi dia cakap yang Najihah dah tinggal tempat lain pula. Najihah berhenti kerja, Najihah sambung belajar, Najihah begitu, Najihah begini," ujar Adi Fakhri yang jelas terlihat panas hati.

"Aku malas nak cakap banyak, memandangkan aku memang ada kerja nak dibuat di Malaysia, terus aku bungkus beg balik ke sini. At the end, kau nak tahu, alamat yang dia bagi kepada aku tu rupa-rupanya alamat ladang tembikai siapa entah. Apa lagi, aku heret la dia pergi balai," tambah Adi Fakhri lagi. Ketegaran mahu pulang dan berjumpa dengan Najihah sendiri membawa dia ke sebuah ladang tembikai yang cukup luas. Terkejut beruk dia dibuatnya.

"Macam-macam la kau ni. Kut ya pun kau nak upah penyiasat, cari la yang boleh dipercayai sikit." Zain geleng kepala dibuatnya dengan apa yang disampaikan Adi Fakhri.

"Aku terdesak sebenarnya. Cari sendiri tak dapat, nak tanya pada kawan-kawan dia memang seorang pun aku tak kenal, upah orang cari tapi aku juga yang kena tipu. Dah bertahun aku cari dia, aku dah mati akal sekarang," rungut Adi Fakhri yang masih dirundung hampa.

"Sekarang ni, aku cuma ada kau aje. Kau memang langsung tak ada maklumat pasal Najihah ke?" soal Adi Fakhri kepada Zain dengan penuh harapan.

Dia sekadar memandang sepi kawasan padang sekolah yang telah lama dia tinggalkan sambil melepaskan satu keluhan berat. Hari ini, dia kembali semula ke sini untuk menemui Zain yang juga sudah bertahun tidak ditemui dek masing-masing sibuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

"Aku memang tak dapat nak tolong kau. Maklumat tentang Najihah lepas dia keluar dari pulau ni memang aku tak ada langsung. Kesemua anak-anak dari Rumah Nur dipindahkan secara rawak. Kedudukan Najihah memang aku tak dapat kesan. Aku tak tahu sama ada dia dibawa ke rumah anak yatim lain ataupun dia dapat keluarga angkat," geleng Zain. Dia tidak ada langsung maklumat yang boleh dikongsi dengan Adi Fakhri.

"Kau orang kan rapat, takkan kau langsung tak pernah hubungi dia? Nombor telefon dia langsung tak ada ke? E-mel ke?" soal Zain lagi.

Segala yang terjadi pada penghuni Rumah Nur berlaku dengan cukup pantas. Zain masih ingat akan situasi yang cukup kalut terjadi bila mana, kesemua penghuni Rumah Nur diusir oleh anak Hajah Halimah tanpa belas.

"Dia tinggal di rumah anak yatim, Zain. Mana nak ada telefon sendiri. Yang ada pun, nombor telefon Rumah Nur. Aku dah cuba cari dia guna media sosial tapi tetap juga tak ada," geleng Adi Fakhri.

Lapan tahun dia tinggalkan bumi Malaysia dan ini adalah kali ketiga dia pulang dengan penuh harapan bagi menemui Najihah yang menghilang tanpa jejak.

Hajatnya bukan main-main. Janji yang dia sendiri tabur pada Najihah sebelum berangkat ke China masih lagi jelas dalam ingatan. Dia akan mencari Najihah semula sampai ke lubang cacing sekalipun.

"Habis tu, macam mana? Kau pun bukan boleh lama dekat sini, kan?" Zain merasakan bahawa misi mencari Najihah seakan-akan mustahil kerana Adi Fakhri tidak mempunyai masa yang cukup.

"Tu la pasal!" Adi Fakhri melepaskan keluhan.

Dia dapat membaca apa yang Zain cuba sampaikan. Komitmen dan masa sukar untuk dia sediakan bagi mencari Najihah sekarang ini.

"Abah dengan mama kau memang nak terus menetap di sana ke? Kau pula? Memang kau orang langsung tak ada rancangan nak balik Malaysia ke?" Zain menyoal lagi. Keluarga Adi Fakhri sememangnya sudah lama berada di China.

"Memang kami semua dalam perancangan nak balik, tapi belum tentu lagi bila. Kau pun tahu kan, aku ni baru sahaja mula bekerja. Nak pindahkan ibu pejabat The Oracle ke Malaysia pun bakal ambil masa lama. Sekarang ni kami tengah memujuk mama aku. Buat masa ni dia memang langsung tak tunjuk tanda-tanda yang dia mahu jauh dari pusara Fahmi. Mungkin juga kami terpaksa usahakan untuk bawa 'Fahmi' balik juga ke Malaysia," jawab Adi Fakhri.

Adi Fahmi meninggal di China setelah dua tahun menjalani rawatan. Rawatan susulan yang diterima Adi Fahmi hanya memberikan harapan palsu manakala ubatan baharu yang dicuba Adi Fahmi langsung tidak memberi kesan.

Akhirnya Adi Fahmi tewas dalam perjuangannya melawan kanser yang dihidapinya. Abahnya memutuskan untuk kebumikan Adi Fahmi di sana. Mamanya dirundung kesedihan yang mendalam gara-gara kehilangan Adi Fahmi.

"Sebenarnya nak cari seseorang macam Najihah tu dekat dalam Malaysia ni, tak adalah susah sangat. Banyak medium kita boleh guna. Yang susahnya sekarang ni, kita langsung tak ada maklumat tentang dia. Najihah! Kau cuma tahu nama dia sahaja. Nama bapak dia pun kau tak tahu. Itu yang aku buntu tu. Kau tahu tak berapa ramai orang guna nama Najihah di bumi Malaysia ni?"

"Itu sahaja yang aku tahu pasal dia. Kami kan kenal tak lama. Masa aku pindah keluar pun kami setakat kawan macam tu aje. Bukannya ada hubungan serius. Cuma aku terkilanlah, sebab aku dah janji dengan dia yang aku akan cari dia semula. Tiba-tiba bila aku balik sini, Rumah Nur dah tak ada. Kosong. Najihah pun tak ada." Adi Fakhri memang terkilan. Segala yang terjadi di Rumah Nur langsung tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

"Memang masa tu situasi kelam-kabut. Aku dengar yang pengetua Rumah Nur diserang strok dan anaknya sendiri yang terus usir budak-budak dekat Rumah Nur keluar sebab tanah yang dia orang tinggal tu tanah pusaka. Ada yang diambil sebagai anak angkat dan selebihnya jabatan kebajikan dah ambil. Tak ada apa yang boleh dibuat sebab Rumah Nur bukan rumah kebajikan yang berdaftar." Zain sekadar menyampaikan apa yang dia tahu pada Adi Fakhri.

"Eh Adi, kau tak cuba tanya dekat pejabat sekolah ke? Mana tahu kalau-kalau ada sedikit sebanyak maklumat yang kita boleh dapat?" Zain memberikan cadangan.

"Aku dah cuba tanya dah. Aku balik sebelum ni pun, memang aku terus ke pejabat cari maklumat tentang dia. Tapi aku langsung tak dapat apa-apa. Kecewa betul aku," ujar Adi Fakhri dengan nada hampa.

"Kenapa pula?" Zain seakan-akan tidak berpuas hati.

"Dia orang tak nak bagi. Tambahan pula bila dia orang tahu yang aku tengah cari budak dari Rumah Nur. Kan budak-budak tu, sebahagian sahaja yang berstatus anak yatim, ada juga yang datang dari keluarga bermasalah. Dia orang langsung tak nak dedahkan apa-apa." Adi Fakhri menjongketkan bahu.

"Kalau aku nak, aku kena buat laporan polis, kena ada surat akuan sumpah dan entah apa la. Macam yang kau cakap tadi, aku cuma tahu yang nama dia Najihah. Apa yang aku nak laporkan pada polis tu pun aku tak tahu. Dah la masa aku balik tu, umur aku tak sampai dua puluh tahun, tak ada pertalian darah pula tu. Siapa yang nak percaya?" sambungnya lagi separuh merungut. Lapan tahun adalah jarak masa yang terlalu lama untuk menjejak insan bernama Najihah.

"Betul juga, kan. Habis tu kau tetap nak terus cari dia ke? Kali ni kau balik ke Malaysia berapa lama? Sempat ke kau nak cari dia?"

"Aku akan ada dekat sini dalam seminggu sahaja. The Oracle dapat tender Projek Impiana dekat sini. Kebetulan pengurus projek yang dilantik memang tak berapa tahu dengan kawasan ni, jadi aku cuma datang untuk tinjau kawasan ni dengan dialah dan kau nak tahu apa yang menariknya? Tapak Projek Impiana terletak bersebelahan dengan lot Rumah Nur dulu. Sedih bila tengok kawasan rumah tu kosong tak terjaga." Adi Fakhri jelas terkilan mengenangkan apa yang terjadi.

"Serius?" Mata Zain mencerlung.

"Betullah. Memang tanah sebelah dengan Rumah Nur. Aku dah pergi tengok dah," jawab Adi Fakhri dengan yakin.

"Aku pernah jugalah lalu sekali dekat situ, nampak sunyi sepi. Meremang juga bulu roma dibuatnya. Lagipun memang ada desas-desus yang kata rumah tu keras sikit. Ada yang cakap pasal kelibat orang lelaki bongkoklah. Ada yang kata ada macam-macam bunyi dekat atas lotenglah. Kau tahu tak, anak pengetua Rumah Nur yang hati kering tu pun katanya lari tak cukup tanah sebab kena kacau." Zain bercerita sambil memeluk tubuh kerana meremang bulu romanya.

"Mengarutlah. Mana ada benda-benda macam tu," pangkah Adi Fakhri. Dia langsung tidak percaya dengan apa yang disampaikan Zain.

"Kau jangan cakap lepas aje, Adi. Benda halus macam tu, bukan boleh dibuat main. Lagipun kau sendiri tengok yang rumah tu langsung tak ada penghuni sampai sekarang, kan? Terbiar kosong tanpa ada orang uruskan. Memang seramlah kalau lalu dekat-dekat kawasan tu." Zain memberi peringatan. Suasana suram di kawasan sekeliling boleh menaikkan bulu roma sesiapa sahaja yang lalu di kawasan berkenaan.

"Zain, aku ingat aku nak beli tanah tu. Kau rasa pemilik tanah tu nak jual tak rumah dengan tanah tu pada aku?"

Adi Fakhri mendapat satu akal. Pada hematnya, elok rasanya rumah berkenaan dijual kepadanya daripada dibiarkan rosak dan semak begitu sahaja.

"Kau biar betul?" Zain mengerutkan dahinya. Dia langsung tidak berkenan dengan cadangan Adi Fakhri yang dilihat terlalu mengikut hati.

"Betul la. Okey apa kalau aku nak beli tanah tu? Rumah tu pun elok lagi. Lepas cat semula semua, bersihkan laman sikit-sikit dah boleh pindah masuk." Adi Fakhri membela diri. Sayang pula rasanya mahu melihat rumah yang pernah dihuni Najihah rebah menyembah bumi jika tidak dibaik pulih secepat mungkin.

"Kata kau lambat lagi nak balik Malaysia? Kata nak kukuhkan kerjaya dulu di China, kau nak balik tinggal di Malaysia ke?" Hairan Zain dibuatnya.

"Alah, kalau pemiliknya nak jual, aku beli aje dulu. Rumah tu boleh buat sewa, tanahnya pula bukan ada tarikh luput," ujar Adi Fakhri sambil dia terus mencongak-congak sendiri langkah yang perlu diambil seterusnya di dalam kepala.

Adi Fakhri sebenarnya cukup serius. Jika diberi peluang, dia mahu mengembalikan semula kenangannya dengan Najihah di rumah itu. Jika ada peluang untuk bertemu Najihah semula, dia mahu membawa Najihah pulang ke rumah itu juga.

"Amboi, banyaknya duit kau! Nak beli tanah, nak baik pulih, nak cat bagai. Kau ingat benda tu seringgit dua ke?" pintas Zain.

"Aku pinjam la dengan abah aku. Buat monthly installment dengan dia. Mesti lepas punyalah. Kau ni macam tak nak aku balik Malaysia aje? Macam nak tak nak aje sokong niat aku ni?" Adi Fakhri melontarkan rasa tidak puas hati. Sejak tadi, Zain langsung tidak menyokongnya.

"Bukan tak nak sokong tapi, rumah tu menakutkan kut! Kalau betul apa yang orang cerita selama ni, bukan rumah yang kau dapat, tapi bala. Kau tahu tak? Kalau kau betul-betul nak beli rumah, cari tempat lainlah yang strategik sikit." Zain menjelaskan pendiriannya.

"Aku nak rumah tu juga! Tak kiralah lambat ke cepat ke, suatu hari aku akan balik juga ke Malaysia. Kalau aku boleh dapatkan tanah dengan rumah tu jadi milik aku, semua tu dikira bonuslah, kan? Lagipun tapak rumah tu kan sebelah aje dengan tapak Projek Impiana." Adi Fakhri tersengih.

"Hah, alang-alang syarikat abah kau dah ada projek dekat sini, kenapa kau tak mintak dekat abah kau untuk jadi pengurus projek dekat sini aje? Kan senang tu, cepat sikit kau boleh balik Malaysia, boleh cari Najihah sekali." Zain kelihatan teruja dalam melontarkan cadangannya pada Adi Fakhri.

"Pengurus projek? Aku kerja pun belum sampai setahun lagi, tak kuasalah abah aku nak bagi jawatan tu dekat aku. Yakin betul kau kan, Zain!" Hampir sahaja Adi Fakhri tersedak air liur dibuatnya.

"Lagipun dia orang dah form their own team untuk uruskan Projek Impiana sejak awal sebelum aku mula kerja di The Oracle lagi. So, kalau aku nak selit balik ke Malaysia atas alasan nak sertai projek ni pun memang dah terlambat." Adi Fakhri hanya mampu menjongketkan bahu.

"Jadinya, kau balik kali ni pun semata-mata nak cari Najihah sahajalah?" soal Zain. Dia kagum sebenarnya dengan usaha Adi Fakhri yang selama ini tidak berputus asa mahu mencari Najihah.

"Untuk kali ketiga. Aku harap sangat kali ni aku boleh jumpa dia, tapi nampaknya tetap juga tak ada rezeki. Plus, aku balik cari kau juga. Dah lama sangat kita tak jumpa, kan. Kerja kau macam mana?" Adi Fakhri menukar topik. Sejak mula mereka hanya berbual tentang Najihah sahaja. Kali ini dia mahu mendengar cerita-cerita Zain pula.

"Aku baru cadang nak balik menangis kat bucu katil. Ingatkan kau dah tak nak ambil tahu dah pasal aku. Hahaha." Tawa Zain pecah. Dia nyaris makan hati berulam jantung dengan Adi Fakhri kerana langsung tidak bertanya tentang keadaan dirinya sekarang ini.

"Bongoklah kau ni. Aku tanyalah ni." Adi Fakhri menggelengkan kepala. Sikap sengal Zain sejak dulu langsung tidak berubah sedikit pun.

"Aku pun macam kau juga. Tak sampai setahun pun lagi kerja. Tapi, biasalah budak baru belajar nak survive dalam dunia kerja ni kan, asyik kena buli aje la. Yang salah, yang tak kena, yang tak betul, semua dia orang letak atas kepala aku. Stres, kau tahu tak?"

Zain menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia sememangnya sudah beberapa kali mahu angkat kaki dari tempat kerjanya itu, namun mujurlah dia ada hutang pendidikan yang ditanggung. Hutang-hutang inilah yang berjaya membuatkan dia menangguhkan hasrat dan mula berfikir dua tiga kali secara waras.

"Jomlah ikut aku pergi China. Aku boleh adjust kau kerja dengan abah aku. Nak tak?" ujar Adi Fakhri tiba-tiba.

"Kau ni ajak-ajak ayam ke? Ke kau ajak betul-betul ni?" Zain mengerutkan dahi. Ajakan Adi Fakhri kedengaran serius namun sukar untuk dia percayai.

"Aku seriuslah. Jomlah. Kau boleh tukar angin pula. Lagipun aku dengar yang syarikat abah aku tengah bida projek di Bavaria. Mana tahu, kalau ada rezeki kita selit dalam projek tu, boleh tiap-tiap minggu layan Bundesliga. Nak tak?" Adi Fakhri mula merasuah fikiran Zain dengan perkara-perkara yang digilai rakannya itu sejak dahulu lagi.

"Kau betul ke ni? Kau cakap betul-betul, Adi! Kalau betul, malam ni juga aku taip surat letak jawatan." Perlahan sahaja Zain menyoal. Pucuk dicita, ulam mendatang, Zain sudah pun termakan umpan yang ditabur Adi Fakhri.

"Kau hantar aje surat tu, hujung minggu ni kita ke China," tutup Adi Fakhri. Dia sememangnya serius memandangkan abahnya baru sahaja menerima aduan kekurangan staf dalam mesyuarat mingguan syarikat minggu lepas.

Lain yang dicari, lain pula yang dapat. Najihah yang dicari, Zain pula yang Adi Fakhri jumpa. Kali ini dia masih lagi kempunan mahu bertemu dengan Najihah. Mungkin ada rezekinya lain kali, yang pasti dia akan kembali semula ke Malaysia untuk mencari Najihah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co