Truyen3h.Co

SEMUA UNTUKMU

Bab 4

karyaseni2u

Kaki Adi Fakhri diayun dengan separuh rela melalui kaki lima jalan yang telah bertahun-tahun dilaluinya. Sejak tingkatan satu lagi Adi Fakhri berjalan kaki ke sekolah yang terletak hanya sepelaung sahaja dari rumahnya. Walaupun berat hati, bekal yang disediakan mamanya dijinjing juga ke sekolah.

Tak sampai sepuluh minit, dia kini santai menyandarkan tubuh pada tembok pagar sekolah yang gah dibina bagi menanti kehadiran van yang sering dilihat membawa Najihah ke sekolah. Kalau boleh, dia mahu segera menyelesaikan masalah yang dia sendiri cetuskan. Dari elok berdiri, dia mula berjalan mundar-mandir. Minit demi minit berlalu akhirnya van dari Rumah Nur sayup-sayup kelihatan mendekat. Seperti selalu, van berkenaan tiba di kawasan sekolah pada pukul enam lima puluh minit pagi. Adi Fakhri sudah hadam benar dengan jadual perjalanan van tersebut kerana ia acap kali menggunakan laluan di hadapan rumahnya untuk menuju ke sekolah.

Seorang demi seorang pelajar dari Rumah Nur terlihat turun dan kelibat Cik Najihah yang ditunggu sejak tadi akhirnya muncul juga. Gadis comel bertubuh montel itu terlihat sedang mengira setiap seorang yang turun dari van berkenaan. Mungkin kerana dia adalah antara pelajar yang paling tua, dia bertanggungjawab memastikan kesemua pelajar sampai di sekolah seperti biasa.

"Najihah!" laung Adi Fakhri sedikit tinggi bagi menarik perhatian gadis itu yang kelihatan langsung tidak menghiraukan dirinya yang sedang tersengih bak kerang busuk di tembok pagar ketika melintas di hadapannya sesaat tadi.

"Mana awak tahu nama saya Najihah?" Najihah berpaling dengan wajah serius. Tiada langsung senyuman yang terukir buat Adi Fakhri. Bukan dia tidak nampak akan kehadiran Adi Fakhri di situ tadi. Namun, mood Najihah terus berubah mendung saat wajah Adi Fakhri menghias pandangannya.

"Tu, dari tag nama awak itulah. Saya nak... Cakap dengan awak sekejap boleh tak?" Adi Fakhri malas mahu menerangkan satu per satu. Dia jadi ragu-ragu dengan apa yang perlu dia suarakan sekarang. Rasa bersalah berganda-ganda jadinya apabila melihat Najihah bersusah payah memegang buku-buku miliknya yang berat itu dengan sebelah tangan kerana tangan kirinya masih tergantung anduh. Beg pula hanya digalas sebelah kerana bahunya yang cedera. Rasa bersalah jatuh bertimpa-timpa atas kepala Adi Fakhri.

"Hurm, cakaplah." Najihah memandang Adi Fakhri atas bawah. Dia terlihat tenang walaupun laluannya disekat oleh Adi Fakhri pagi-pagi buta lagi. Lagak Adi Fakhri ini dah hampir sama dengan gelagat Shariff Dol iaitu samseng Kampung Dusun dalam salah satu filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pernah ditontonnya sebelum ini.

"Saya Adi, budak yang buat hal semalam tu. Awak ingat lagi tak?" Tanpa amaran, dia 'merampas' beberapa buah buku yang gigih dipegang oleh Najihah.

"Ingat, tapi awak nak apa sebenarnya? Saya boleh pegang sendiri buku-buku saya ni. Tak perlu nak susahkan orang." Najihah menjawab dingin. Bukunya cuba diambil semula namun gagal.

"Saya nak minta maaf dengan awak. Saya tahu semua ni memang salah saya." Adi Fakhri mahu menjernihkan keadaan memandangkan semua yang terjadi memang salahnya sendiri.

"Dah habis cakap? Saya dah maafkan awak. Bagi balik buku saya, saya nak masuk kelas dah." Entah ikhlas atau tidak, maaf yang dia berikan. Yang jelas hatinya masih sakit apatah lagi tangannya yang elok tergantung disebabkan peristiwa kelmarin. Kalau boleh dia enggan lagi bersua muka dengan mamat kurang asam yang baran seperti Adi Fakhri ini. Dia melirik jam di tangan yang baru menganjak angka tujuh lima minit pagi.

"Awak serius ke? Tapi kenapa bunyi macam tak ikhlas aje?" soal Adi Fakhri sambil dia mengerutkan dahi. Mimik muka, hidung kembang kempis serta nada suara garang Najihah langsung tidak meyakinkan Adi Fakhri bahawa dia sudah dimaafkan.

"Saya dah cakap ya kan, maksudnya ya la. Tak payahlah nak persoalkan saya ikhlas ke tidak!" Malas Najihah mahu melayan lagi. Malu serta rasa sakitnya masih lagi berbekas.

"Mana boleh macam tu pula. Kalau nak maafkan orang, kenalah ikhlas. Saya bawa makanan ni. Jomlah ikut saya pergi kafeteria. Kita sarapan sama-sama." Baru sahaja dia insaf, barannya datang semula tak sampai setengah jam dia bermuhasabah diri.

"Eh, tak naklah saya. Kita bukannya kenal pun. Buat apa nak sarapan sekali? Saya tak nak ikut awak!" Najihah menolak pelawaan itu mentah-mentah. Dia enggan terus menghadap Adi Fakhri lagi.

"Ikut juga! Saya tak kira." Adi Fakhri mula berjalan tanpa menunggu Najihah kerana dia tahu yang Najihah akan mengekorinya kerana mahukan buku-buku itu semula.

"Bagilah balik buku saya tu, saya tak nak ikut awak!" Najihah meninggikan suara tanpa menghiraukan sesiapa pun yang ada di kawasan itu. Matanya bulat menyorot susuk tubuh Adi Fakhri yang sudah pun meninggalkannya dan terus menuju ke kafeteria.

"Kalau awak nak buku-buku ni, awak kena sarapan dengan saya. Saya tak nak bawa balik bekal ni semua ke rumah saya semula." Alasan yang tidak munasabah itu langsung diberi bagi memastikan Najihah mengekori langkahnya. Adi Fakhri sememangnya tiada niat lain. Dia mahu meminta maaf dan memastikan hutang nasi sepinggan itu langsai hari ini.

"Saya tak nak makan. Saya dah sarapan tadi." Najihah mengerling Adi Fakhri dengan rasa tidak berpuas hati. Walaupun Adi Fakhri sudah meminta maaf, Najihah merasakan yang dia sedang dibuli sekarang ini.

"Makanlah. Please! Mama saya masakkan semua ni untuk awak. Jamahlah sedikit." Taktik yang digunakan Adi Fakhri dengan 'menculik' buku-buku milik Najihah berjaya juga membawa gadis ini ke kafeteria. Mereka berdua duduk di tempat sama mereka berkelahi semalam.

"Atau... Awak nak saya suapkan ke? Saya boleh suapkan guna sudu tu," soal Adi Fakhri setelah Najihah terlihat masih membatu sedangkan Nasi Goreng Udang serta air teh susu suam yang dibelinya untuk Najihah sudah elok terhidang di atas meja. Sudu, garpu semuanya lengkap bagi memudahkan Najihah yang masih terkial-kial menggunakan tangannya yang cedera itu makan.

"Tak payah! Saya boleh makan sendiri. Jangan ganggu saya lagi lepas saya makan nasi ni." Najihah memberikan syarat. Cadangan Adi Fakhri untuk menyuapnya makan membuatkan Najihah kalut. Sikap Adi Fakhri yang kurang sabar itu tidak boleh Najihah ambil enteng.

Dalam marah kerana Adi Fakhri, dalam terpaksa kerana Adi Fakhri dan dalam sakit kerana Adi Fakhri, Najihah gagahkan juga tangannya untuk menyuap lebih laju. Dia tidak mahu berlamaan di situ kerana banyak mata mula memandang ke arah mereka. Tangannya yang sakit membuatkan segala menjadi perlahan malah suapannya.

"Saya janji. Saya takkan ganggu awak lagi. Hutang antara kita dah habis sebaik sahaja awak habiskan nasi ni," janji Adi Fakhri sambil matanya menyorot riak wajah Najihah yang terlihat menahan sakit. Dia merasa lega apabila tawarannya disambut Najihah jua tatkala jam sudah menghampiri waktu perhimpunan.

"Eh, lobak merah tu! Kenapa sisihkan lobak merah tu ke tepi? Makan semua, jangan tinggal sikit pun sisa makanan tu kalau awak tak nak saya ganggu awak lagi." Adi Fakhri membebel umpama mak nenek.

"Awak ikhlas ke tak, nak bagi saya makan ni?" Najihah melepaskan keluhan panjang. Lobak merah yang disisihkan tadi, dikaut semula ke dalam nasi goreng berkenaan usai mendengar ugutan Adi Fakhri.

"Orang ikhlaslah. Makan semua, bukannya pahit pun." Adi Fakhri tidak habis-habis lagi membuat promosi lobak merah pada Najihah.

"Hmmm, bahu awak macam mana? Doktor cakap apa kelmarin?" Adi Fakhri menyuarakan soalan yang bersarang di dalam kepalanya. Dia dapat melihat yang kecederaan Najihah bukan kecil memandangkan gadis ini terlihat sukar mahu mengangkat tangan kirinya.

"Tak ada apa pun. Sikit aje." Najihah menjawab pendek. Dia seakan-akan dapat mengesan nada datar Adi Fakhri yang mungkin disebabkan rasa bersalah padanya.

"Ya la sikit. Tapi macam mana? Patah ke, otot terkoyak ke, luka ke?" Adi Fakhri tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima.

"Mana ada sampai macam tu sekali. Terkehel aje sebab terkena bucu meja tu. Ada lebam sikit. Tak ada apa pun, nanti sembuhlah." Najihah menjawab acuh tak acuh sambil dia sibuk menyuap nasi. Sedap pula nasi yang dibawa oleh Adi Fakhri.

"Habis tu, kena pergi fisioterapi ke?" Adi Fakhri rasa seperti mahu menangis. Rasa bersalah yang tidaklah sebesar mana tumbuh membesar dengan jayanya.

"Kena makan ubat, lepas tu letak ais. Itu aje. Jangan fikir bukan-bukanlah." Najihah menutup cerita. Nasi yang ada sudah dia habiskan. Dia mahu segera ke kelas selepas ini.

Saat berganti minit, segala nasi dan air yang disuakan kepada Najihah sudah selamat mendarat ke dalam perut gadis tembam ini. Adi Fakhri pula kini dirundung susah hati. Jika diikutkan dengan apa yang dia tahu, kecederaan Najihah akan makan masa untuk pulih.

"Jangan kacau saya lagi lepas ni. Saya tak nak jumpa awak dah," pesan Najihah sekali lagi sebelum dia berlalu pergi. Dia mahu pesanannya ini melekat kemas di dalam kepala Adi Fakhri. Cukuplah semalam dan hari ini dia menghadap kerenah Adi Fakhri.

"Ya, saya faham. Saya tak kacau dah." Adi Fakhri berjanji acuh tidak acuh. Dia mengambil polistirena kosong yang ada di hadapan Najihah dan terus berjalan menuju ke bakul sampah terdekat manakala Najihah mencapai buku-buku semula. Mereka berdua kemudiannya membawa haluan masing-masing tanpa ada apa-apa hutang lagi. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co