Bab 9
Langkah Adi Fakhri disusun laju ke pagar sekolah. Dia perlu segera mencari Najihah sebelum gadis itu dijemput pulang oleh van sekolah. Matanya menyorot segenap pelosok kawasan sekolah yang bakal dia tinggalkan tidak lama lagi. Langkah berat yang diatur bertukar ringan semula tatkala matanya menangkap kehadiran susuk tubuh Najihah yang ternyata masih belum lagi pulang. Najihah masih ada di pondok menunggu bersama-sama anak-anak dari Rumah Nur yang lain.
"Saya ingatkan awak dah balik. Van tak datang lagi ke?" tegur Adi Fakhri dengan nada yang cukup girang. Beberapa buah buku yang sedang dijinjing oleh Najihah 'dirampas' seperti biasa.
"Belum lagi. Van rosak lagi agaknya. Budak-budak lain pun dah kepanasan menunggu." Najihah juga turut tersenyum.
"Awak datang lambat ke pagi tadi? Saya ingatkan awak tak datang sekolah hari ni." Sejak pagi lagi dia menunggu Adi Fakhri, namun kelibat Adi Fakhri langsung tidak muncul.
"Awak tunggu saya ke pagi tadi?" Segaris senyuman muncul di wajah Adi Fakhri.
"Hmmm," angguk Najihah. Dia langsung tidak menafikan apa-apa kerana memang itulah yang dilakukannya. Kehadiran Adi Fakhri yang langsung tidak disenanginya beberapa minggu lalu kini menjadi perkara yang dia nanti-nantikan saban pagi.
"Saya lambat sikit hari ni. Jihah..." panggil Adi Fakhri. Berat rasa hatinya mahu menyampaikan berita pemergiannya ke China pada Najihah.
"Kenapa?" Najihah menyoal.
"Saya akan ke China beberapa hari lagi. Abah dah buat keputusan." Perlahan sahaja Adi Fakhri menyampaikan berita itu.
"Lama ke? Bila awak nak balik ke sini semula? Awak... Awak terus tinggal dekat sana ke?" Soalan demi soalan diajukan oleh Najihah. Hatinya berbunga hampa.
"Tak tahu lagi. Kena tengok keadaan Fahmi macam mana dulu," jawab Adi Fakhri. Jelas kedua-dua mereka sedang bersedih.
"Saya harap awak pergi tak lama." Najihah teragak-agak mahu meluahkan rasa hati. Dia terpukul dengan berita ini.
"Saya akan balik juga ke Malaysia. Awak tunggu saya balik nanti! Boleh?" Adi Fakhri tekad. Dia sukakan Najihah dan dia tahu yang Najihah juga begitu. Walaupun masih mentah, dia tahu apa yang dia rasakan saat ini.
Soalan Adi Fakhri dijawab dengan satu anggukan oleh Najihah. Matanya jelas berkaca. Sungguh hatinya terasa amat berat mahu melepaskan Adi Fakhri pergi.
"Bila awak bertolak?" Najihah menyoal.
"Pagi lusa. Awak ada masa tak esok?" Adi Fakhri memberanikan diri untuk bertanya. Dia yang bakal berangkat lusa merasa seakan-akan dikejar masa.
"Rumah Nur ada buat majlis esok. Kenapa?" jawab Najihah sambil dia cuba memaniskan senyuman. Walaupun masing-masing cuba menyedapkan hati sendiri, namun mereka berdua tahu bahawa selepas ini jarak yang bakal memisahkan mereka akan menjadi terlalu jauh.
"Saya ingat nak ajak awak keluar. Saya nak ajak awak jalan-jalan sebelum saya berangkat pergi. Kita tak pernah ke mana-mana dan langsung tak pernah buat apa-apa pun sebelum ni sebagai kenangan, kan?" jawab Adi Fakhri. Dia ingin melukiskan seberapa banyak memori yang boleh dengan masa yang berbaki hanya satu hari sahaja lagi.
"Tak bolehlah, saya tak boleh keluar. Kami dah rancang program ni lama dah. Saya tak boleh tinggalkan majlis tu esok." Najihah menggelengkan kepala. Dia yang juga penyelaras program Bumi Hijau di Rumah Nur perlu bertanggungjawab untuk memastikan program yang dirancang sejak beberapa minggu lalu berjalan lancar. Keberadaannya di dalam majlis itu esok adalah wajib.
"Rumah Nur anjur program apa, Jihah?" Adi Fakhri melepaskan satu keluhan kecil. Ada sedikit rasa kecewa yang bertamu dalam hatinya.
"Program Bumi Hijau. Ada ceramah alam sekitar sikit. Lepas tu ada gotong-royong. Majlis mula waktu petang tapi waktu pagi, kami kena buat persediaan tempat. Tak sempatlah kalau kita nak berjumpa pun." Najihah juga terlihat sedikit kecewa. Pemergian Adi Fakhri berjaya menorehkan rasa sedih dalam hati Najihah.
"Kalau saya nak ikut serta boleh? Saya pergi Rumah Nur. Kita boleh luangkan masa bersama esok." Adi Fakhri enggan mengalah. Sehari yang masih berbaki tidak mahu disia-siakan begitu sahaja.
"Datanglah. Orang luar pun boleh sertai juga program tu. Awak boleh datang bawa anak pokok, kalau awak nak. Kita boleh tanam dekat Rumah Nur esok." Najihah menyambut cadangan Adi Fakhri dengan satu senyuman lebar. Dia langsung tidak terlintas mahu mempelawa Adi Fakhri menyertai mereka esok.
"Kalau macam tu, esok saya datang ke Rumah Nur cari awak. Sekurang-kurangnya ada la juga benda yang kita boleh buat sama-sama esok." Pelawaan Najihah disambut riang. Adi Fakhri memulangkan buku Najihah yang dipegangnya kerana van yang ditunggu sudah pun sampai.
"Betul ni? Janji? Pastikan awak datang tau esok! Saya tunggu awak." Najihah meninggalkan pesan. Tinggi juga harapannya untuk meluangkan lebih masa dengan Adi Fakhri selagi boleh.
"Ya, saya janji. Kita jumpa esok."
Demi seorang gadis bernama Najihah, Adi Fakhri kini berdiri tegak di depan Rumah Nur yang tidak pernah dijejak olehnya sebelum ini. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang dia cuba buktikan dengan muncul di rumah ini sekarang. Yang pasti, dia cukup gigih menjinjing benih pokok jambu air yang diseludup dari rumahnya semata-mata kerana dia mahu bertemu sekali lagi dengan Najihah buat kali terakhir.
"Jom masuk, majlis dah nak bermula." Najihah memanggil Adi Fakhri dari kejauhan. Senyuman paling manis terukir spontan tatkala mata mereka bertaut. Bukan hanya Adi Fakhri, ternyata Najihah juga punya rasa yang sama.
Aktiviti petang ini membuka sedikit ruang untuk Najihah dan Adi Fakhri meluangkan masa bersama dan berbual tanpa gangguan. Semua yang hadir diberi kebebasan untuk memilih sendiri lokasi yang bersesuaian bagi menanam pokok yang dibawa. Najihah dan Adi Fakhri akhirnya memilih untuk menanam pokok yang dibawa Adi Fakhri di kawasan tepi pagar utama kerana tempat itu agak luas dan masih kosong.
"Jihah! Senyum sikit," pinta Adi Fakhri ketika Najihah sedang sibuk memadatkan tanah di sekeliling pokok jambu air yang baru sahaja ditanam oleh mereka berdua. Dia segera menekan butang kamera sebaik sahaja Najihah memanggungkan kepala. Itulah gambar pertama milik Najihah yang berjaya dia rakam.
"Lain kali cakaplah dulu sebelum nak tangkap gambar. Tudung pun senget, tangan saya pun kotor. Padamlah!" Berang pula Najihah jadinya. Dia langsung tidak menjangka bahawa Adi Fakhri sedang memegang telefon untuk membidik gambarnya.
"Tudung awak tak senget pun. Tengok ni!" Gambar yang baru sahaja ditangkap itu dihulurkan kepada Najihah. Memang benar kata Adi Fakhri, gambar berkenaan elok sahaja jadinya.
"Hmmm, betullah cakap orang. Orang lawa ni, kalau pakai tudung senget pun lawa juga." Najihah memuji diri seikhlas dan setulus hati. Dia kini sudah terbiasa dengan Adi Fakhri sehinggakan tiada lagi rasa mahu bajet ayu dan sebagainya.
"Eleh, perasan!" bangkang Adi Fakhri. Dia tergelak mendengar pujian melangit Najihah untuk dirinya sendiri.
"Awak kena jaga tau pokok kita ni. Jangan sampai mati pula." Adi Fakhri mengingatkan Cik Jihahnya supaya menjaga amanah yang dia tinggalkan. Tangannya yang kotor dicuci dengan air yang disuakan oleh Najihah. Hari ini adalah hari terakhir yang dia ada untuk Najihah. Mereka akan berjauhan buat beberapa lama selepas ini.
"Apa pula pokok kita jadinya? Awak yang bawa, pokok awaklah." Wajah Najihah merah jadinya sebaik mendengar pesanan Adi Fakhri. Dia jadi malu sendiri.
"Ini pokok kitalah. Saya bagi pada awak, bila saya balik ke Malaysia nanti, saya datang cari awak dengan pokok ni sekali. Saya janji." Hanya itu yang mampu Adi Fakhri janjikan sekarang ini. Jika orang mendengar, pastinya mereka menganggap itu hanya janji seorang budak mentah yang sedang bermulut manis, namun Adi Fakhri benar-benar maksudkan kata-katanya. Najihah adalah insan pertama yang akan dia cari sebaik sahaja keadaan mengizinkannya pulang.
"Saya tak tahu, berapa lama saya akan berada di sana, tapi bila saya balik nanti, I'll make it official." Adi Fakhri tegas meluahkan janji-janjinya.
"Apa?" Najihah sekadar menguji. Dia buat-buat tidak faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Adi Fakhri.
"Bila saya balik semula ke Malaysia nanti, bila kita dah cukup matang, saya cari awak semula. Antara kita... I'll make it official. Jadi, awak tak boleh lupakan saya. Awak faham tak?" soal Adi Fakhri sambil merenung jauh ke dalam mata Najihah.
"Awak pun! Jangan lupakan saya." Najihah tersentuh. Tanpa memberikan apa-apa jawapan, dia mahu Adi Fakhri memegang janjinya sendiri. Pesanan Adi Fakhri terdengar seperti ucapan selamat tinggal sahaja di telinganya. Air mata Najihah sudah bergenang. Perkenalan singkat mereka ternyata memberi kesan pada dirinya. Dia tidak tahu jika itu cinta, tetapi rasanya cukup menyakitkan.
"Saya takkan lupakan awak. Saya takkan lupakan wajah awak. Saya akan cari awak dulu, sebaik sahaja saya pulang ke Malaysia. Saya janji." Adi Fakhri turut merasa sedih. Dia berat hati mahu meninggalkan tempat ini. Dia juga cukup berat hati mahu meninggalkan Najihah namun pilihan bukan di tangannya. Dia perlu mengutamakan apa yang lebih penting.
"Saya akan tunggu awak balik." Najihah percaya seratus peratus dengan apa yang diluahkan Adi Fakhri. Dia yakin bahawa Adi Fakhri tidak mungkin akan melupakannya apatah lagi memungkiri janji.
"Saya dah nak kena balik rumah ni. Awak tunggu saya balik tau. Jaga pokok ni elok-elok. Janji tau." Penerbangannya bakal berlepas beberapa jam sahaja lagi. Air mata yang sudah bertamu di pipi tembam Najihah membuatkan Adi Fakhri merasa bersalah. Sukar rasanya bagi dia melangkah pergi saat hatinya sudah tertinggal di situ.
"Hmmm, saya janji. Awak jaga diri. Saya tunggu awak balik di sini," pesan Najihah. Dia menghantar Adi Fakhri dengan sorotan mata. Lambaian Adi Fakhri menyedarkan Najihah bahawa perpisahan mereka sudah menjadi kenyataan.
"Bila abang berangkat ke luar negara?" Adam muncul lagi. Bagaikan seorang pengawal tidak bergaji, Adam ada di mana-mana sahaja Najihah berada.
"Malam ni." Najihah tersenyum pahit.
"Lepas ni, Adam jaga Kak Jihah." Tangan Adam memegang kemas tangan Najihah. Dia berjanji dengan diri sendiri bahawa dia akan menjaga Najihah selamanya. Jika dahulu Adam sukar mahu bergaul dengan sesiapa, kini dia sudah mula menyesuaikan diri. Ihsan Najihah yang sering menjaga dan membantunya selama ini setelah dia diabaikan oleh ahli keluarga sendiri akan dia kenang sampai bila-bila.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co