Bab 9
Telefon Fayyad yang berbunyi berulang kali itu memaksa Dalila untuk menjawab. Sekilas, dibaca nama di skrin telefon. Ibu.
Nafas ditarik. Bersedia untuk sebarang kemungkinan.
"Assalamualaikum." Salam diberi. Tanda hormat.
"Aku telefon anak aku. Asal kau pula yang angkat? Hai, telefon dia pun kau nak control juga sekarang?" Belum apa-apa, telinga sudah diserang bertubi-tubi dek suara Hajah Mariani yang nyaring.
"Fayad pergi joging."
"Pergi joging? Dia tak kerja lagi ke?"
Nampaknya betullah. Fayyad memang penganggur.
"Belumlah kut," jawab Dalila tak pasti.
"Kau tahu tak? Dari dulu lagi aku memang tak suka kau jadi menantu aku! Sebab aku tak redalah, kau lahirkan anak cacat macam Faqih tu!" Lancang mulut Hajah Mariani melempar kata.
"Eh, mulut hajah ni kan macam mulut pengerusi persatuan mak cik-mak cik bawang, kan? Walaupun Faqih mungkin tak sempurna, tapi saya tetap berbangga jadi ibu dia!" tutur Dalila tegas.
Hajah Mariani terpempan. Mak cik bawang dia gelarkan aku?
"Sejak dia kahwin dengan kau, kau memang perempuan malang yang bawak bala pada dia! Macam-macam masalah yang anak aku hadapi. Kena buang kerja. Dapat anak terencat. Kau pula hilang ingatan." Disalurkan semua kemarahan pada si menantu.
"Ya? Lah... Dah tu kenapa ibu tak pergi jumpa ustaz ke? Bagi air tolak bala. Tak pun kenapa ibu tak solat hajat minta dijauhkan segala malapetaka dari hinggap pada anak ibu tu? Doa seorang ibu kan Allah tak tolak." Dilembutkan suara. Bukan niatnya untuk jadi menantu kurang ajar. Tapi kalau dia dilayan seperti ini, takkan dia tak boleh pertahankan diri sendiri?
"Siapa ibu kau? Aku tak pernah anggap kau macam menantu ya. Kau jangan lupa tentang tu!"
"Yalah mak cik... Saya ni mungkin hilang ingatan tapi saya tak pekak. Tak perlu nak ulang banyak kali, ya?" bidas Dalila lagi.
"Sekarang kau memang dah pandai menjawab ya?"
"Ya, mak cik. Dalila sekarang dah tak bisu dan bodoh macam dulu!" Suaranya masih lembut. Sikit pun tidak menengking. Tapi rasanya, suara versi begini lebih menjentik kemarahan Hajah Mariani.
"Aku nak kau minta cerai dengan Fayyad."
"Tengoklah dulu macam mana." Dah pernah minta dah pun. Tapi Fayyad masih berkeras untuk tidak melepaskannya.
"Eh, kau memang tak faham bahasa, ya?"
"Tak." Pendek jawapan Dalila.
"Eee... Perempuan tak guna!" Sejurus selepas itu, Hajah Mariani putuskan panggilan.
Dalila lepas nafas. Penat juga ya perang mulut ni?
"Kenapa tak makan lagi?" Teguran itu buat Dalila berpaling. Sejak bila Fayyad balik ni? Agaknya Fayyad dengar tak perbualan dia tadi?
"Lama dah ke awak balik?"
"Baru aje. Kenapa? Rindu ke?" Fayyad dah tersengih-sengih. Merapatkan langkah mendekati isteri.
"Jangan nak perasan! Tu, tadi ibu awak telefon." Mulut dimuncungkan ke arah telefon bimbit yang berada di atas meja solek.
"Oh, ibu nak apa?"
"Dia tanya awak tak kerja lagi ke?"
"Oh... Jadi Lila jawab apa?"
"Saya jawab awak memang nak jadi suri rumah." Malas pula hendak panjangkan cerita tentang pergaduhannya dengan Hajah Mariani tadi.
Fayyad ketawa. Dapat rasa kerisauan yang dirasai oleh Dalila dan ibunya. Tapi tiap yang berlaku memang ada hikmahnya. Bayangkan jika dia bekerja sekarang ini. Bagaimana dia hendak menjaga Dalila dan Faqih? Semuanya telah diatur sempurna.
"Awak memang tak cari kerja ke?" Diperhatikan suaminya yang sentiasa tenang itu. Tak pernah pula dia nampak Fayyad serabut.
"Sekarang abang tengah kerja apa."
"Kerja apa?"
"Buat isteri abang jatuh cinta pada abang semula." Dahinya dilagakan ke dahi Dalila. Tangan sudah hampir naik ke pinggang.
"Eee... Busuk-busuk nak peluk orang. Pergi mandilah!" Tipulah jika dia cakap tiada debaran yang berkunjung saat ini. Kerana itu, cepat ditepis tangan Fayyad.
"Jadi, kalau tak busuk boleh peluklah, ya?" Air muka Fayyad nakal dengan usikan.
"Kalau rasa nak kena tendang macam pagi tadi, cubalah buat."
Meletus tawa Fayyad. Menggeleng. Tapi sedikit sebanyak terhibur. Comelnya layan Lila versi garang begini.
Waktu ini, Dalila mahu lupakan semua masalah yang dihadapinya. Sekarang, dia hanya ingin makan. Dipandang sandwic yang disediakan oleh Fayyad. Nampak sedap. Digigit dan dikunyah perlahan. Namun, seleranya tersekat. Walaupun rasanya sedap, tapi ada satu yang kurang.
Apabila melihat suaminya itu meninggalkan dapur, cepat-cepat dibawa ke penjuru dapur yang menempatkan peti sejuk.
Digeledah isi peti namun hampa kerana tiada satu pun cili yang ada. Aduh, dah berapa hari dia tak ada selera. Semua makanan yang dihidang oleh Fayyad, macam pesakit hospital sahaja. Tak pedas langsung.
"Awak cari apa Lila?" tegur Fayyad yang muncul semula di pintu dapur.
"Cili."
"Cili? Buat apa?"
"Nak gonyoh mulut awak," jawab Dalila selamba dengan jelingan penuh rasa geram.
"Auch. Patutlah saya rasa pedas aje." Kerusi di dapur ditarik sebelum Fayyad melabuhkan duduk. Diperhatikan sahaja gelagat isterinya.
Puas menyelongkar, Dalila pusingkan badan. Penat jadi bahan jenaka. Tapi rasa nak marah lebih banyak. Dari dahulu, dia benci cari barang yang tak jumpa ni.
"Seronok ya awak tengok saya macam gini?"
"Tak ada cili dalam peti tu."
"Habis tu kat mana?"
"Cili memang tak ada dalam rumah ni."
Berkedut dahi Dalila. "Mustahil. Saya tak boleh makan kalau tak pedas." Jadi memang mustahil jika tiada langsung simpanan lada kecil.
"Itu dulu. Tapi sejak Lila kahwin dengan abang, Lila dah tak makan pedas."
"Kenapa? Sebab awak tak makan pedas?" Kebiasaannya begitulah, kan? Isteri akan menuruti menu makanan seorang suami. Tapi sekarang ni tekak mereka berbeza.
Kepala digeleng sebagai tanda menjawab soalan isterinya. "Lila yang tak boleh makan pedas."
"Eee... Awak merepek apa ni? Dulu, saya kalau tak pedas, tak boleh makan tau! Saya akan selalu bawa lada ke mana-mana aje." Dia pernah bertekak dengan Raif tentang perkara ini. Dan kali ini, dia bertekak dengan Fayyad pula.
"Masa awak mandi, awak tak perasan ke?"
"Perasan? Perasan apa?"
"Parut yang ada kat perut awak."
Berlapis dahi Dalila.
"What are you talking about?" Tanpa sedar, tapak tangan singgah di perutnya sendiri. Benarkah ada parut seperti yang diceritakan oleh Fayyad?
"Lila pernah kena operate sebab apendiks."
"Huh?!" Biar betul?
"Ya. Awak pernah ada apendiks. Sejak dari tu, memang awak dah tak boleh makan pedas, Lila." Fayyad sedar, bukan mudah untuk Dalila terima semua ini.
"Nonsense!" Satu demi satu bala datang. Jadi, bagaimana Dalila nak tempuhi semua ini sekali gus?
"Awak pernah laluinya. So, abang percaya yang Lila akan dapat mengharunginya sekali lagi," pujuk Fayyad.
Peti yang separa terbuka itu ditutup. Kudratnya hilang serta-merta. Kaki dibawa ke dalam bilik. Dia perlu memastikan bahawa kata-kata Fayyad adalah betul. Usai menguncikan pintu, baju yang dipakai itu diselak di hadapan cermin. Penuh debaran.
Dan ternyata... Fayyad tidak berbohong. Memang terdapat kesan parut di perutnya. Dengan tangan yang sedikit terketar, Dalila sentuh parut miliknya itu. Air mata ikut tumpah tanpa diundang.
Apa dosa aku, Ya Allah? Apa dosa aku? rintih Dalila sebelum duduk bersandar di meja solek.
Makin lama, dia makin penat untuk mengharungi hidup barunya. Setiap kali dia cuba untuk kuat dan reda, tiap itulah dugaan datang lagi. Jadi bagaimana untuk dia mampu bangun?
"Kat dunia ni tak ada orang lain ke hingga Allah terus menduga aku?" Bila iman nipis, mulut memang ringan untuk mempersoalkan takdir.
Dan kali ini...
Dalila gagal lagi.
Pintu diketuk berulang kali. Diam. Tiada sahutan di dalam. Jannah masih belum berhenti mencuba. Diseru nama Dalila berulang kali. Memujuk.
"Biarlah, Jannah. Nanti dia keluarlah tu. Kita bagi dia cool down dulu." Bukannya dia tidak risau membiarkan Dalila yang sudah dua hari berkurung itu. Tapi nak buat macam mana. Dia pun perlu menghormati pilihan Dalila.
"Awak tak risau ke? Makan dia? Entah-entah dia sakit ke? Kunci pendua kan ada? Kenapa tak guna?" Bertubi-tubi soalan daripada Jannah. Risau akan rakan baiknya itu. Ya. Dalila memang tak ubah seperti orang yang baru dapat hidup. Mungkin dia sedang mengalami fasa perubahan dan sebagai orang yang pernah rapat, dia perlu memberikan sokongan.
"Malam tadi dia keluar ke dapur. Sebab ada makanan yang saya letak atas meja makan dah hilang. Mungkin dia dah ambil keperluan sebelum dia berkurung." Sebab itu Fayyad tak risau sangat.
Malah kadang-kadang Dalila akan memasang lagu dengan kuat. Persis melayan perasaan seorang remaja. Jadi, itu semua sudah cukup membuktikan yang Dalila tak apa-apa secara fizikal. Cuba emosinya sahaja yang tercedera.
"Saya risaulah tengok dia macam tu. Apa kata kita bawak dia jumpa psikiatri?" cadang Jannah.
Fayyad ketawa kecil.
"Saya kenal dia, Jannah. Nanti-nanti dia okeylah."
"Yang awak kenal tu tak sama dengan versi sekarang Fayyad? Dalila dulu dengan sekarang, berbeza." Jannah cuba mengingatkan.
Ketawa Fayyad sudah bertukar menjadi senyuman.
"Fizikal dia mungkin nampak berubah tapi saya tahu... Dia masih Dalila yang saya cinta, Jannah. Tak akan ada yang mampu mengubah jiwa dia."
Jannah angkat bahu.
"Kalau awak sendiri cakap macam tu, apa lagi yang saya boleh cakap, kan?"
"By the way thanks sebab sudi singgah. Siap bagi mangkuk tingkat lagi." Terlalu banyak jasa Jannah pada dia dan Dalila. Malah, Jannah sentiasa membantu mereka untuk menjaga Faqih.
"Faqih okey tak?"
"Okey. Cuma... Dia selalu tanya mana umi dia."
"Jadi, awak tunggu apa lagi Fayyad. Pujuklah Lila. Kesian Faqih. Saya bukan apa, takut kesihatan dia terganggu je nanti." Kanak-kanak seperti Faqih sudahlah mudah dijangkiti penyakit.
"Awak tahu Jannah, ada sesetengah rajuk tu, hanya mampu dipujuk oleh hati sendiri. So, same goes here. Dalila perlukan diri dia. Bukannya saya."
Kepala tergeleng. Sedikit tersenyum. "Seperti selalu, awak tak pernah gagal buat saya terdiam Fayyad. Awak patut jadi kaunselor tau."
"Kalau saya kaunselor, awaklah orang pertama yang jadi pesakit saya. Soalan saya ialah, bila awak nak habiskan dunia bujang awak ni?" gurau Fayyad.
Jannah ketawa.
"Soalan tu terus buat saya rasa nak balik Fayyad."
"Mengelat."
"I am."
Mereka saling bertukar tawa sebelum Jannah mengambil keputusan untuk pulang. Usai itu, Fayyad kembali memberikan perhatian pada Faqih.
"Abi... Umi ane?" Sudah acap kali soalan itu keluar dari mulut Faqih.
"Umi... Kat hospital," tipu Fayyad.
"Umi akit?"
Lambat-lambat kepala diangguk. Takkan nak cakap umi Faqih ada dalam bilik? Bimbang nanti emosi Dalila yang tidak stabil itu akan mempengaruhi emosi Faqih pula.
Telefon bimbitnya berbunyi. Ada panggilan daripada abangnya. Farid.
"Helo..."
"Assalamualaikum."
"Hah, ni aku nak ajak kau datang rumah aku Sabtu ni. Ada buat makan-makan sikit." Salam daripada si adik dibiarkan tidak bersambut. Bukan dia tak tahu Fayyad ingin memerlinya.
"Tengoklah dulu..."
"Janganlah tengok-tengok. Macam ni ke adab kau dengan abang kau sendiri? Orang jemput makan pun menyombong. Bukannya minta duit dengan kau nak buat makan ni!" tempelak Farid kasar.
Fayyad tahan hati.
"Ni, kau dah kerja belum?"
"Belum." Malas Fayyad menjawab. Bagai sudah mengagak dialog seterusnya daripada si abang.
"Itulah. Dulu aku suruh kahwin dengan Jannah tak nak. Kalau tak senang hidup kau tak payah kerja dengan syarikat yang bankrap macam syarikat lama kau tu. Datang aje Sabtu ni, aku ada kabel kalau nak kerja kat satu syarikat ni."
Fayyad garu kening.
"Insya-Allah panjang umur aku datang. Okeylah, aku nak mandikan Faqih. Assalamualaikum." Perbualan terus diputuskan.
Satu keluhan dilepaskan. Mata menyoroti pintu bilik. Lila, I need you. Please comeback.
Dipasang kuat lagu I Don't Love You nyanyian My Chemical Romance yang dicari dalam carian YouTube. Muzik yang dipasang itu memenuhi ruang bilik.
Bibir bergerak mengikuti bait-bait lagu I Don't Love You yang dihafal sempurna. Apalah nak jadi dengan hidup dia sekarang? Cacamarba gayanya. Sungguhlah otak dia kosong nak diagnose semua benda yang jadi dalam hidup dia lewat dua tiga menjak ini. Huru-hara!
Sambil melayan lagu, Dalila meneroka telefon bimbitnya. Laman sosial Instagram dicari.
Ditilik satu per satu gambar yang pernah dia post di Instagram. Penuh keceriaan dan kebahagiaan di wajahnya bersama Fayyad dan Faqih.
"Ya Tuhan... Benarkan aku pernah sebegini bahagia dengan mereka? Atau gambar ini sekadar menutup kesengsaraan hati?" Soalan itu dituju pada diri sendiri. Ada tip memasak. Ada video Faqih. Tak kurang juga gambar dia bersama Fayyad.
Telefon dicampak ke tepi. Tubuh dihempas ke tilam. Merenung siling rumah dengan emosi yang tak mampu dibaca dek akal fikiran.
Sedang Dalila melayan perasaan, satu makhluk sudah bertindak menghentikan muzik dari telefon bimbitnya itu.
"Hoi!" Nak terbang anak tekak menjerit. Marah satu. Geram dah dua hal. Macam mana pula suaminya ini boleh masuk? Bukankah pintu bilik itu berkunci?
"Bingit. Lila bukan remaja lagi nak layan lagu-lagu macam ni. Lila dah jadi mak orang," bebel Fayyad sengaja. Dalila perlu dikejutkan daripada lena ini. Dia tidak berada di lima tahun yang lalu.
"Suka hatilah. Saya nak dengar. Pasang balik. Awak, pergi keluar!" arah Dalila kasar.
"Sampai bila Lila nak macam ni? Dah berhari-hari Lila berkurung. Tak nak makan. Tak nak keluar. Tak nak jumpa Faqih. Tak kesian ke pada Faqih? Dia banyak kali tanya pasal Lila."
"Sampai bila-bila. Sampai saya balik semula ke dunia saya. Saya tak nak dunia yang merepek ni semua? Jadi isteri awak. Jadi mak Faqih. Jadi... Suri rumah? Ya Allah, that's so not me!" Suara Dalila sudah mula meninggi. Dahulu, dia manusia yang penuh cita-cita. Tak mungkin dia sanggup jadi perhambakan diri duduk di rumah seperti yang diceritakan oleh Fayyad.
Dan sekarang, dia teringin pula untuk menjentik kemarahan Fayyad. Sampai bila Fayyad mampu bersabar melayan kerenahnya? Mungkin bila dia masih berkeras, Fayyad akan melepaskannya. Jadi tak payahlah dia bertekak lagi dengan Hajah Mariani, kan?
Lama Fayyad pandang Dalila sebelum dia mengambil langkah mendekati si isteri. Lutut dilabuhkan. Tangan mencapai tangan Dalila yang sedang duduk di birai katil. Mata terus menerus memandang Dalila yang sudah nampak tidak selesa itu.
"Awak nak buat apa ni?" Pandangan lembut Fayyad nyata meresahkan Dalila. Liur ditelan beberapa kali. Menahan debar. Apa pun, Dalila dah siap sedia untuk menyerang jika Fayyad melebih-lebih.
"Apa yang boleh abang buat supaya Lila abang kembali pada abang?" Perlahan sahaja suara Fayyad. Cukup-cukup untuk didengari oleh Dalila.
Mata redup Fayyad hilang dalam ruang mata Dalila. Mencari kebenaran. Adakah Dalila sudah benar-benar melupakan dia? Melupakan anak mereka? Kalau ya pun Dalila sudah lupakan dia, tapi takkan tak ada langsung naluri keibuan Dalila pada Faqih.
Diam.
"Abang tak kuat untuk berjuang seorang diri. Abang perlukan isteri abang balik. Deeba Dalila, I need you back. But, I can't save you from yourself," pujuk Fayyad lembut.
Tak pasal, Dalila dijentik rasa sayu. Adakah dia ibu dan isteri yang teruk?
"Tell me, Lila... Apa yang perlu abang buat sekarang?" tagih Fayyad lagi.
"Kalau awak nak Lila awak tu, awak kena..." Ayat itu sengaja tidak dihabiskan.
Ceraikan saya? Ayat itu berlegar dalam fikirannya.
"Kena apa?" gesa Fayyad tidak sabar.
"Kena pasang balik lagu My Chemical Romance tu. Saya nak dengar lagu I Don't Love You." Kenapa bibirnya tak sampai hati untuk memohon perpisahan? Takkan cepat sangat hati dia cair?
No! Dia tak boleh jadi cepat kesian seperti ini. Dia tak boleh mengalah. Dalila pasti yang ini semua satu mimpi ngeri, dan dia akan sedar kembali untuk pulang ke dunia asalnya.
Tapi walaupun dia melelapkan mata, dia masih berada di dunia ini. Maksudnya, ini semua bukan mimpi. Ini adalah kenyataan.
"Okey." Mudah sahaja respons Fayyad. Punggung diangkat. Dalila perlukan masa untuk semua ini. Sebagai seorang suami, dia akan terus bersabar. Telefon Dalila dicapai. Carian YouTube dicari.
Tak tunggu lama, satu lagu berentak nasyid dipermainkan. Lagu yang tak pula pernah Dalila dengar.
"Awak ni memang tak faham arahan ya?" Hati yang dijirus sayu tadi terus bertukar emosi. Fayyad memang sengaja cari gaduh.
"Sorry, abang tak nak awak terpedaya dengan lagu I don't love you because I love you very much dear wifey." Raut wajah paling comel dia tayang pada Dalila. Kalau ini pilihan Dalila, nampaknya dia pun kena berubah rentak. Kalau betul Dalila tak ingat apa-apa langsung, tapi dia akan pastikan yang Dalila tak akan lupa cintanya pada Dalila sampai bila-bila.
"Fayyad!"
"Ini lagu favourite awak dulu. Awak selalu nyanyi masa nak tidurkan Faqih. Hafal semula ya sebab selepas ni, awak yang kena tidurkan Faqih. Cukuplah seminggu aje saya bagi awak berehat."
Hai anak penyejuk mata penawar hati yang duka lara,
Teringatkanmu penghibur ayah juga mama,
Hai anak kau di antara berjuta nikmat yang dikurnia,
Amanah buat ayah dan mama,
Jariah kami dalam menuju ke syurga...
"Lagu benda ni? Eee..." Bantal yang berada di atas sofa terus dicapai dan dibaling pada Fayyad yang ceria di hujung pintu.
Hobi mamat ni memang suka menyakitkan hati aku ke? Ergggh!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co