Bab 11
ADAM duduk termenung di kolam renang sambil kedua-dua belah kakinya direndam di dalam kolam. Sudah sebulan pemergian adiknya ke luar negara dan sepanjang sebulan itu banyak benda telah berlaku.
Dalam sekelip mata dia telah dilantik menjadi pengurus syarikat perabot milik abahnya, Zomm Furniture. Jawatan itu diterimanya tanpa banyak soal apabila pak longnya mengatakan itu salah satu daripada wasiat arwah abahnya.
Sejujurnya dia sediri tidak menyangka yang adiknya akan bersetuju dengan kata-katanya. Dia fikir Fatin akan berkeras untuk menolak tetapi sebaliknya. Dia sengaja menghantar adiknya ke luar negara, langsung tidak terlintas di mindanya mahu menjarakkan adiknya dengan memori arwah ibu dan abahnya cuma dia tidak sanggup melihat adiknya terus-menerus hidup dalam kesedihan. Dia mahukan adiknya mulakan hidup baru. Cuba menjadi seorang gadis yang kuat.
Langit malam yang penuh dengan bintang dipandangnya lama. Dia tak akan sesekali mengingkari janjinya terhadap arwah ibu dan abah yang mahu dia menjaga Fatin, satu-satunya adik yang dia ada dengan sebaik-baiknya.
Samsung Galaxy II yang terdampar di atas lantai di sisinya dicapai sebelum folder gambar dibuka. Terpampang gambar dia bersama-sama keluarganya. Kali terakhir dia dapat bersama-sama keluarganya bila mereka menyambut hari lahir adiknya dua tahun lepas sebelum dia terbang ke London.
Satu per satu gambar itu dislidenya. Tersenyum apabila matanya tertancap pada gambar yang mencuit hatinya. Tiba-tiba senyumannya mati apabila matanya tertancap pada satu wajah. Perasaan rindu terus menyerbu masuk dalam hatinya.
Memang sepanjang dia pulang ke Malaysia ini, langsung tiada khabar berita daripada pemilik wajah itu. Dia tahu dia silap apabila dia meninggalkan gadis itu tanpa sebarang pesanan. Dia langsung lupa mengenai gadis itu kerana pada masa itu hanya memikirkan mengenai keadaan adiknya dan kesedihan yang menyelubunginya.
Argh... Kenapalah dia bodoh sangat, langsung tidak dikhabarkan apa-apa berita sebelum dia pulang ke sini. Gadis itu pun langsung tidak menghubunginya. Mungkin marahkan dia? Entahlah dia tak tahu.
Sudah beberapa kali dia mencuba menelefon gadis itu tetapi langsung tidak dijawab. Sudah puas dia menelefon tetapi hasilnya dia sendiri yang kecewa. Entah macam manalah keadaan gadis itu. Sihatkah dia? Sakitkah dia? Jujur, dia sebenarnya memang rindukan gadis itu. Perasaan yang tersimpan kemas di lubuk hatinya langsung tidak pernah dikhabarkan kepada gadis itu kerana dia tahu yang gadis itu hanya menganggap hubungan mereka tak lebih dari sebuah persahabatan dan mana mungkin dia sanggup mengkhianati persahabatan ini. Dia sayangkan gadis itu. Terlalu sayang. Entah bila perasaan itu muncul, dia tak tahu.
Samsung Galaxy II itu diletakkan semula di sisinya sebelum badannya direbahkan ke atas lantai marmar itu. Dada langit direnungnya lama. Satu per satu wajah-wajah orang yang tersayang hadir di mindanya sebelum berakhir dengan senyuman daripada gadis itu. Raihana...
PAGI itu, dia terus menghala ke pejabatnya kerana ada mesyuarat penting yang perlu dihadirinya. Setiausahanya, Athirah terus mengikutinya ke dalam bilik apabila ternampak kelibatnya yang baru sahaja sampai.
"Mereka dah sampai?" tanyanya sambil mengemaskan sut Armani yang terletak elok di tubuh sasanya.
"Ya, baru sahaja. Mereka tunggu Encik Adam dalam bilik meeting." Lembut suara Athirah menjawab sambil tersenyum. Adam turut tersenyum. Dia memang hormatkan setiausaha arwah abahnya ini, memang baik dan juga sopan. Semua kerjanya memang tiptop dan kemas. Memang patutlah abah sayang nak lepaskan setiausaha sebagus ini. Walaupun usianya tua beberapa tahun darinya tetapi dia selesa bekerja dengan wanita itu.
"Okey, jom." Mereka terus mengorak langkah menuju ke bilik mesyuarat. Senyuman terus dihulur sebaik sahaja pintu bilik itu dibuka.
"Let me introduce, Encik Ian, ini Encik Adam, pengurus Zomm Furniture. Dan Encik Adam, ni Encik Ian, CEO Legacy ONE. Ini Lina, setiausaha Encik Ian." Athirah memperkenalkan majikannya dengan client penting mereka.
"Assalamualaikum, selamat datang ke Zomm Furniture." Salam dihulur bersama senyuman. Wajah kacak yang turut tersenyum ke arahnya dipandang. Terdetik satu rasa dalam hati saat menatap wajah lelaki itu, seolah-olah mereka pernah berjumpa sebelum ini.
"Waalaikumussalam. Terima kasih." Tangan mereka berjabat erat sebelum terlerai.
"Please, have a seat." Ian dan setiausahanya duduk. Begitu juga dengan Adam dan Athirah.
"So, shall we proceed?"
MASING-masing tersenyum sebaik sahaja kata sepakat sudah dicapai. Zomm Furniture akan bekerjasama dengan Legacy ONE dalam satu projek besar. Tidak sia-sia dia mempertaruhkan ideanya tadi dan hasilnya syarikatnya berjaya meraih kepercayaan syarikat besar seperti Legacy ONE untuk sama-sama bekerjasama dalam projek yang bakal menelan belanja yang besar, pastinya.
"Anyway, selamat bekerjasama, Encik Ian. Harap kita dapat bekerjasama dengan baik," ucapnya sebaik sahaja mesyuarat pada pagi itu tamat. Ian tersenyum, jelas menunjukkan kekacakan wajahnya.
"You too. I'm glad that we can cooperate together."
Setiausahanya, Athirah sedang sibuk mengemaskan barang begitu juga dengan setiausaha Ian. Adam mengambil peluang ini untuk bertanya.
"Kita pernah jumpa tak sebelum ni sebab saya rasa saya pernah jumpa dengan awak? I mean bukan dalam majlis formal macam ni?" Wajah lelaki yang sedang berfikir di hadapannya ditenung. Rasanya dia pernah jumpa dengan lelaki ini.
"I think this is our first meeting. Saya tak pernah jumpa awak. Mungkin awak silap orang kut?" Adam tersenyum. Ya, mungkin dia tersilap barangkali.
"Yeah, maybe my mistake." Jam tangan berjenama Rolex di tangannya dipandang. Sudah masuk waktu lunch.
"Jom, lunch sekali? Maybe we should celebrate this?" cadang Adam. Sebenarnya dia hanya mahu mengenali lelaki yang berada di hadapannya. Terasa ada sesuatu yang perlu dicungkilnya dalam diri lelaki ini.
Ian memandang jam tangannya sebelum memandang Adam semula.
"Sorry, maybe next time. I have a date."
Adam senyum.
"Owh, it's okay. Anyway, enjoy with you date. Have a good day." Mereka berjabat tangan sebelum Ian dan setiausahanya melangkah keluar dari bilik meeting itu. Adam tersenyum puas. Akhirnya mereka berjaya mendapatkan kontrak untuk bekerjasama dengan syarikat gergasi. Ini kejayaan yang paling besar dan menggembirakan dalam sejarah penubuhan syarikat milik arwah abahnya ini.
"Congratulation, Encik Adam." Athirah tersenyum memandang majikannya. Sejujurnya dia juga gembira dengan berita ini. Tidak sangka yang anak kepada arwah majikannya dahulu berjaya meningkatkan lagi nama syarikat ini. Dia sehebat abahnya. Meskipun dia agak sedih dengan kehilangan majikan sebaik Encik Zahid yang sudah dianggapnya sebagai ayah tetapi dia tetap mendoakan agar roh majikannya dan isteri majikannya tergolong dalam kalangan orang yang beriman.
"Thanks, Athirah. Saya pun tak sangka juga. Mungkin rezeki kita kali ini. Okeylah Athirah, dah masuk waktu lunch ni. Awak pergilah makan dulu, kesian dekat baby awak tu, lapar pula nanti. Saya pun nak keluar ni, ada hal sikit." Athirah hanya mengangguk. Majikannya memang seorang yang prihatin. Semasa majlis perkahwinannya dahulu, lelaki inilah yang banyak menolongnya. Tanpa bantuan lelaki itu, mungkin majlis perkahwinannya tidak akan berjalan dengan lancar.
"Yalah, Encik Adam. Drive safe." Adam mengangguk sebelum mengorak langkah meninggalkan bangunan pejabatnya.
IAN hanya diam membisu di dalam kereta. Entah macam manalah dia boleh terperangkap dalam kereta ni, dengan orang yang langsung dia tak kenal pula tu. Semua ni mummy dia punya pasal. Perlu ke lantik pengawal peribadi untuk menjaganya, macamlah dia ni budak kecil lagi nak kena tengok, kena tilik 24 jam. Dah banyak kali dia cuba mengelakkan diri dari lelaki itu, tetapi rancangannya sering gagal. Lelaki ni tidak pernah gagal menjejakinya dia. Entah ilmu apalah yang dipakainya. Macam dekat badan dia ada transmitter sampai jejaknya boleh dikesan dengan mudah.
Dah puas dia membantah, siap boikot dengan mummynya tetapi keputusannya tetap sama. Mummynya memang tak makan saman. Kalau hitam, hitamlah katanya. Kalaulah papanya masih ada lagi, pasti mummynya tak akan jadi macam ni. Tanpa sedar dia mengeluh.
Pandangan dibuang ke arah tingkap. Pemandangan di luar tingkap lebih menarik perhatiannya. Sekilas, ingatannya singgah pada kejadian semalam.
"Ini keputusan mummy." Tegas suaranya singgah pada pendengaran Ian. Ian mengeluh.
"Ian boleh jaga diri sendirilah mummy, untuk apa mummy upah orang nak awasi pergerakan Ian? Ian tak sukalah mummy. Ian perlukan privasi." Ian membantah. Dia tak perlukan pengawal peribadi. Dia boleh jaga diri dia sendiri.
"Kan mummy dah cakap, ini keputusan mummy. Mummy tak minta persetujuan Ian."
"Tapi mummy..."
"Mummy tak nak dengar sebarang alasan lagi. Kamu ikut aje cakap mummy. Lagipun mummy bukannya suruh Ian buat apa-apa. Keselamatan Ian pun terjamin bila ada pengawal peribadi. Mummy buat semua ni untuk keselamatan Ian," pintas Puan Sri Rafiqah.
"Keselamatan Ian? Selama ini Ian okey aje, kenapa baru sekarang mummy nak pasang pengawal peribadi?" Dia memang tak faham dengan sikap mummynya itu. Entah apalah yang ditakutkannya sehingga sanggup mengupah pengawal peribadi. Selama ini tak adalah pula nak pasang pengawal peribadi bagai.
"Ian jangan nak persoalkan tindakan mummy. Kamu kena ingat tu, kamu tu anak kepada salah seorang jutawan jadi keselamatan kamu keutamaan mummy. Mummy tak nak apa-apa jadi pada kamu. Zaman sekarang ni macam-macam boleh jadi kalau semua orang gilakan wang. Dahlah, mummy tak nak dengar apa-apa lagi. Ian ikut saja cakap mummy. Jangan mengada-ada nak pergi mana-mana tanpa pengawal peribadi. Ingat tu." Puan Sri Rafiqah memberikan amaran sebelum dia melangkah menuju ke biliknya meninggalkan anak lelakinya di ruang tamu. Ian mengeluh lagi.
"Tuan muda, kita dah sampai." Suara pengawal peribadinya yang sudah siap sedia membukakan pintu kepadanya menyedarkan dia dari lamunan. Tak sedar yang dia sudah sampai.
Ian melangkah keluar dengan wajah masam.
"Lain kali tak payah nak buka pintu bagai. Aku tak cacat lagi," ucapnya kasar. Dia memang tak suka apabila dilayan sebegitu, seolah-olah dia tidak mampu berbuat demikian. Pengawal peribadi Ian hanya menunduk tanpa menjawab dengan wajah kosong tanpa riak. Pintu kereta ditutup perlahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co