Bab 7
SAMSUNG Galaxy II diletakkan di atas meja sebaik sahaja panggilan ditamatkan. Setelah dua hari berada di Kelantan kerana melawat Faris, Adam dia terus pulang kerana banyak lagi urusan yang perlu diuruskan. Adiknya pula masih lagi berada di sana, menemani sahabatnya.
Frame gambar mereka sekeluarga mengisi ruang meja kerjanya. Matanya merenung satu per satu wajah itu sebelum matanya singgah pada wajah adiknya. Teringat wajah sugul adiknya sewaktu melihat kemesraan Farah sekeluarga. Dia tahu adiknya rindukan suasana mereka sekeluarga dulu, dia pun sama tapi mereka harus terima hakikat yang mereka sudah menjadi anak yatim piatu.
Tiga minggu lagi adiknya akan berangkat ke Perancis untuk melanjutkan pelajaran. Semuanya sudah diuruskannya, hanya menunggu masa sahaja. Dia yakin ini yang terbaik. Dia mahu adiknya lupakan kisah lama, mulakan hidup baru di sana. Dia tahu mungkin sukar tapi biarlah masa yang menentukan segala-galanya.
Bersendirian di rumah ini membuatkan fikiran Adam melayang mengingatkan kisah lama. Dia bangun menuju ke arah beranda bilik kerja abahnya yang sudah menjadi miliknya. Matanya ditala ke arah pemandangan jalan raya di hadapannya.
Tiba-tiba, titik-titik hujan singgah pada wajahnya. Mata dibawa ke langit. Hujan. Matanya dipejamkan, merasai titik-titik hujan yang jatuh ke wajahnya. Tangannya masih lagi di kocek seluar, berdiri di tengah-tengah beranda.
"KAU sorang saja ke? Mana Atin?" tanya Rayyan sebaik sahaja melihat kelibat sahabat baiknya, melangkah masuk ke dalam galeri miliknya sendirian.
"Dia balik kampung kawan dia, Farah. Adik dia accident tiga hari lepas," jawab Adam sebaik sahaja pelukan terlerai. Minggu lepas dia sudah datang ke galeri sahabatnya, entah kenapa bila dia datang ke galeri sahabatnya, satu perasaan tenang meresap masuk ke dalam dirinya apabila melihat lukisan-lukisan yang tergantung di dinding galeri itu. Jiwanya jadi tenang.
"Owh... Teruk ke dia kena?" Mereka sama-sama melangkah menuju ke ruang tengah galeri itu.
"Teruklah juga. Tapi sekarang dah okey sikit." Matanya ralit memerhati satu per satu lukisan yang tergantung di dinding sebelum matanya singgah pada satu lukisan yang belum pernah dilihatnya sebelum ni.
"Lukisan baru ke ni?" tanya Adam sebaik sahaja kakinya terpaku di hadapan gambar itu.
"Ya. Baru aje semalam aku letak dekat sini. Kenapa? Suka?" Rayyan turut berdiri di sebelah Adam sambil matanya meneliti lukisan itu. Adam tidak menjawab. Matanya ralit memerhati seni yang dimasukkan di dalam lukisan itu. Entah kenapa, lukisan itu menerbitkan rasa asing dalam dirinya. Walaupun hanya warna hitam putih mewarnai kanvas itu tetapi ia tetap mempunyai cerita di sebaliknya. Matanya singgah pada nama yang tertulis di hujung kanvas itu.
Violet_hana.
"Pelukis baru ke ni?" tanyanya tanpa memandang wajah Rayyan.
"Taklah, sebelum ni pun lukisan dia dah lama ada dekat sini cuma kau saja yang tak perasan. Adalah dua tiga kali. Dua tiga tahun lepas, tak ada. Tup-tup tahun ni ada pula," jelas Rayyan sambil duduk di couch yang disediakan di situ bersebelahan Adam.
"Dia hantar sendiri lukisan ni?" soal Adam lagi sambil duduk di sebelah Rayyan. Matanya belum dialihkan dari lukisan itu.
"Tak. Selalunya kawan dia yang hantar, aku pun tak pernah jumpa dengan dia." Adam diam. Entah kenapa, perasaannya membuak-buak mahu berjumpa dengan gadis itu.
"Aku nak tengok lukisan dia yang lain." Permintaan Adam membuatkan Rayyan terus berpaling ke arahnya. Wajah Adam yang tayang muka tanpa perasaan dipandang.
"Apa?" tanya Adam pelik.
"Kau suka dia ke?" tanya Rayyan sambil jongket kening dengan senyum sinis di bibir.
"Aku cuma sukakan lukisan dia aje. Aku tak cakap aku suka dia." Adam jeling Rayyan yang tersengih penuh makna. Nak menyindir akulah tu.
"Yalah tu."
"Dahlah, mana lagi lukisan dia, aku nak tengok," gesa Adam. Malas mahu melayan sahabatnya. Makin dilayan, makin menjadi-jadi pula kan.
"ADAM, kamu memang dah fikir masak-masak pasal benda ni?" Soalan pak long singgah di telinganya sewaktu mereka sedang minum kopi di Old Town. Kebetulan dia baru keluar dari galeri Rayyan dan terserempak dengan pak longnya yang baru selesai meeting dengan client.
"Adam dah fikir masak-masak, pak long. Lagipun Adam tak nak Atin terus dibayangi kisah lalu. Adam sayangkan dia. Atin pun dah setuju." Pak long menganggukkan kepalanya. Dia tak kesah kalau Adam mahu menghantar adiknya sambung belajar di luar negara. Mungkin itu yang terbaik.
"Pak long tak kesah kalau itu keputusan Adam. Kalau Atin sendiri dah setuju, tak ada sebab untuk pak long menghalang." Adam senyum. Suasana senyap seketika.
"Pasal wasiat abah kamu tu, kamu memang setuju ke Adam?" Pak long tukar topik. Sewaktu dia melihat Adam baru keluar dari galeri Rayyan tadi, dia tahu anak muda itu masih lagi menyimpan hasrat untuk membuka galeri sendiri, menjadi pelukis.
"Abah dah amanahkan syarikat tu dekat Adam. Pak long jangan risau, Adam buat semua ni bukan sebab terpaksa. Adam masih lagi boleh melukis waktu Adam free." Adam cuba untuk menenangkan hati pak longnya. Dia tahu yang pak longnya serba salah kerana pak longnya tahu yang dia benar-benar minat melukis sejak dulu lagi.
"Pak long bukan apa. Adam ada cita-cita Adam sendiri dan pak long tak naklah Adam..."
"Pak long, Adam dah sedia terima semua ini. Sebaik sahaja ibu dan abah meninggal, Adam tahu semua ini akan terjadi. Adam dah sedia galas tanggungjawab ini," potong Adam. Pak long senyum. Bahu Adam ditepuk perlahan.
"Pak long tahu Adam kuat." Adam senyum.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co