Bab 9
BEBERAPA helai kertas A4 putih yang berselirat dengan pelbagai angka bersepah di atas meja. Sebatang pen yang tadi menari-nari di jari kini kaku. Hembusan dingin dari kotak penyaman udara yang terlekat di dinding seakan-akan tidak lagi terasa membelai tubuh. Seluruh pandangan dan tumpuan Harris yang sebentar tadi terarah pada kertas-kertas di hadapannya tiba-tiba terasa dilintasi oleh dua batang tubuh. Dua orang kanak-kanak berkejaran dengan riang di sekeliling sebuah rumah kayu yang separuh usang.
Apabila kanak-kanak itu tertawa riang, dia tersenyum. Rasa bahagia itu terpercik ke hatinya. Apa tidaknya, waktu itu umpama dunia ini mereka yang punya. Bebas berlari ke sana ke mari, satu kampung telah mereka jelajahi.
Nakal sungguh kedua-duanya sewaktu kecil. Sanggup mereka mengejar anak-anak ayam peliharaan emaknya ketika anak-anak ayam tersebut diberi makan oleh ayah di hadapan tangga dapur. Kasihan, berdecit-decit si anak-anak ayam itu lari menyelamatkan diri. Terlihat ayahnya datang dengan sebilah ranting di tangan, kedua-duanya lari lintang-pukang. Ayah tidak pula mengejar. Bermakna mereka menang!
Tidak cukup dengan itu, mereka cuba pula menunjukkan kehebatan dengan mengusik sepasang angsa milik seorang jiran yang baru berpindah ke kampung tersebut. Malangnya angsa-angsa itu lebih hebat daripada mereka. Bermula dengan mengacah-acah itik tersebut dengan ranting kayu, mereka berdua akhirnya yang bertempiaran lari apabila tiba-tiba dikejar oleh itik-itik tersebut.
Tidak mungkin dia akan lupa tentang tempurung lututnya yang menghentam banir pokok saat dia lari menyelamatkan diri daripada angsa 'meroyan' itu. Akibat daripada itu dia jatuh tersembam. Hampir sahaja kepalanya terhempas ke satu banir runcing di hadapan. Apa lagi, saat itu juga lututnya bengkak, berbenjol hampir sebesar bola pingpong.
Nama pun budak-budak, mana mampu sembunyikan kesakitan. Bila malam, dia mengerang. Demam akibat menanggung kesakitan tersebut. Waktu itu, emaknya yang sedang berpantang selepas melahirkan adiknya, tidak tidur semalaman. Terus-terusan menjaram kepalanya yang panas dengan air perahan daun bunga raya yang dipetik oleh ayahnya dari halaman rumah. Seakan-akan masih terasa sejuk di kepalanya saat itu.
Kasihan pada emak? Ah, dia masih kanak-kanak, mana tahu untuk mempertimbangkan semua itu. Yang dia tahu, dia sakit. Emak mesti ada di sisinya. Hilang saja sesaat, dia mula gelisah. Air mata pun mula mengalir.
Saat merengek-rengek, dia dilambai oleh emaknya yang sedang menepuk-nepuk si kecil yang tiba-tiba terjaga dari tidur. Apa lagi, dalam teresak-esak dia bangun menjinjit bantal busuknya tidur di sebelah emak. Teringat lagi akan bau yang begitu kuat dari herba yang terpalit di dahi emaknya. Aduh, menyesakkan hidung! Tetapi, demi untuk mengambil tempat di sisi emak, dia relakan saja bau itu memenuhi rongga hidungnya. Dan akhirnya dia lena di situ.
Celik sahaja sebelah mata, kaki Zahir sedang berlabuh di atas dadanya. Entah bila Zahir datang tidur di sebelahnya, dia tidak tahu. Zahir memang cemburu, pantang tengok dia ada di sebelah emak, mulalah dia macam hendak menerkam, menolaknya ke tepi. Tidak hairanlah kalau pagi-pagi buta lagi mereka sudah bergelut berebut 'wilayah'.
Sehinggalah ayah membulatkan mata, barulah kedua-duanya pandai mencari posisi masing-masing di sebelah emak. Seorang di kiri, seorang di kanan. Ketakutan, kecut, bagai burung puyuh yang kebasahan. Bimbang juga mereka sekiranya sesekali tangan ayah sampai ke tubuh mereka tetapi kenyataannya itu tidak pernah berlaku. Apabila ayah berlalu, kedua-duanya menyeringai memandang emak. Mereka menang lagi!
Waktu itu dia merasa pelik. Berkali-kali emak mereka meyakinkan yang dia adalah adik kepada Zahir tetapi orang kampung tidak pernah mengeyakan. Malah ada ketika dia dan Zahir naik berang apabila ada di antara penduduk kampung tersebut yang 'kurang cerdik' sengaja mengacah-acah bahawa dia hanyalah anak angkat emaknya. Akibat marah, beberapa buah basikal dan motosikal milik pemuda-pemuda itu tumbang ditolak oleh mereka sebelum kedua-duanya lari dari situ.
"Dia orang tu bodohlah, kan Fahmi? Tak nampak ke muka kita sama? Mak dengan ayah pun kata kita adik-beradik. Kan? Kita adik-beradik, kan? Kan?"
Itulah kata-kata Zahir yang langsung tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Dah nama pun emak dan ayah, sekali diberitahu bin yang tercetak di atas surat beranaknya sebagai tersilap tulis sampai bila-bila pun mereka akan percaya. Ah, lantaklah, pada usia itu apa itu surat beranak, mereka pun tidak ada masa untuk ambil tahu!
Kekuatan kasih sayang itu jugalah yang membuatkan setitis air matanya jatuh ketika suatu hari dia terdengar emaknya berbisik kepada ayahnya supaya menggunakan duit yang disimpan untuk mengadakan majlis berendoi adik perempuannya bagi membiayai kos perubatannya. Seakan-akan masih jelas ditelinganya desakan emak supaya dia segera dibawa ke klinik akibat diserang demam pelentong atau chicken pox. Akhirnya majlis itu dibatalkan. Tau-tau adiknya itu telah pun botak.
"Kita tak buat kenduri ke, mak?" Dia ingat lagi pertanyaan Zahir pada emaknya dengan nada kecewa.
"Tak payah... Bukan penting sangat pun," jawab emaknya sambil tersenyum walau tahu hati anaknya hampa setelah berhari-hari menimang untuk tumpang berayun di buaian adiknya itu. Buaian cantik... Siap ada bunga-bunga... Nak ayun laju-laju!
Harris masih nampak semuanya. Begitu jelas di fikirannya. Bayangan-bayangan itulah yang sentiasa tertayang di bidai hatinya selama bertahun-tahun.
Ketika itu di halaman rumah emaknya ada terlalu banyak pokok bunga matahari. Apabila setiap kali berbunga, dari jauh lagi sudah nampak serinya yang menguning seakan-akan merenjis cahaya ke halaman rumah kayu itu. Setiap kali itu jugalah apabila pulang dari sekolah, sebaik ternampak warna kuning yang memancar di halaman, mereka akan berlumba lari, lawan siapa yang berjaya sampai dahulu ke rumah. Peluh yang menitis di badan mereka yang sedia berlengas itu akan mendatangkan kemarahan emaknya. Tetapi anehnya itulah yang mereka nanti. Buntang mata emak memandang mereka hanya akan disambut dengan ilai tawa penuh bangga. Kamilah Ultraman! Heahhh!
Memejamkan mata seketika, dia masih dapat merasakan sejuk di pipi. Sesejuk saat tangan emaknya mengusap lembut pipinya bila sahaja wajah kemerah-merahannya yang bermandi peluh menerpa di depan mata wanita berwajah lembut itu.
"Ya Allah, anak mak ni... Main apa sampai berpeluh macam ni, sayang?"
Saat itu dia akan hanya menyeringai. Lagi panjang bebelan emaknya, lagi lama kepala emaknya menggeleng, lagi lebarlah garis bibirnya. Lagi lamalah dia menghulur kepala. Seakan mahukan usapan tangan yang lembut itu berada lebih lama di atas kepalanya.
"Yeah! Tepi sikit!"
Saat itu juga dia akan terdorong ke sisi apabila Zahir yang muncul entah dari mana menyenggol tubuhnya, sekali gus mengambil posisi di hadapan emak mereka. Akan tersengih-sengihlah abangnya itu memandang ke arahnya. Bangga!
"Astaghfirullahalazim... Abang long, kenapa tolak adik macam tu? Abang long tak sayang adik ke?" Waktu itu pasti mata emaknya itu akan bulat memandang Zahir yang tersengih-sengih, terengsot-engsot mencari posisi di atas ribaan emak. Saat itu juga dia akan tunjuk muka merajuk.
"Dah, dah. Jangan menangis. Abang long ni dah tak sayang adik agaknya," duga emak sambil mengusap-usap lembut belakangnya.
Ketika itu, Zahir akan bangun memberi ruang kepadanya.
"Ala, bucuk-bucuk... Ciannya dia... Meh duduk, meh duduk cini," pelawanya dalam senyum.
Tetapi dia sentiasa berjaga-jaga! Sebaik dia selesa duduk di atas ribaan emaknya, Zahir tanpa belas kasihan akan melompat duduk di atas ribanya. Apa lagi, bergelutlah keduanya berebut takhta. Mencicit Zahir lari apabila dia cuba mengejar. Emak pasti akan menggelengkan kepala. Hanya itu yang emak mampu buat. Emak nak kejar kami? Oh tidak... Emak lemah lembut. Bukan kasar macam raksasa. Hanya raksasa saja yang boleh lawan dengan kami sebab kami adalah Ultraman! Heahhh!
"Mak, Fahmi rindukan mak... Di mana mak sekarang?" Setitis air matanya jatuh ke meja. Saat itu dia merasakan dirinya tidak ubah seperti seorang anak kecil, sama seperti 25 tahun yang lalu.
Terhinggut-hinggut tubuhnya menahan rasa pilu yang tiba-tiba bertandang. Entah apalah nasib emak dan ayah yang telah ditinggalkan. Mereka sudah pasti beransur tua. Bagaimana dengan nasib adik kecilnya? Sekiranya sesuatu terjadi pada ayah, siapa yang akan membela nasib mereka berdua? Sekiranya sesuatu terjadi pada emak dan ayah, siapa pula yang akan membela nasib adiknya itu?
"Ya Allah, Kau peliharalah mereka, berilah mereka keselamatan dan kesejahteraan. Kau berilah mereka pertolongan saat mereka memerlukan. Seandainya tidak ada sesiapa yang dapat membantu, Kau hadirkanlah aku di hadapan mereka, Ya Allah... Letakkan beban mereka itu di bahuku. Aku mohon, Ya Allah... Kau temukanlah aku dengan mereka..."
Saat itu rasa rindu dan sayu berbaur. Dengan kedua-dua belah siku yang bertahan di meja, tangan memaut dahi. Setitis demi setitis butir jernih jatuh. Membasahi sehelai kertas putih di hadapannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co