Bab 15
Alhamdulillah! Pagi di Bukit Cendana yang sangat mendamaikan. Malam tadi kami dapat tidur lena. Kisah Mikael, kami tinggalkan begitu saja. Pandailah dia selesaikan nanti. Aku dan Encik Hazrul juga tidak banyak bercakap tentang Mikael sepanjang perjalanan kami pulang ke Bukit Cendana. Kami sudah malas dengan kerenah Mikael. Setiap kali masalah timbul, dia pasti akan mencari Encik Hazrul. Seolah-olah Encik Hazrul tak ada kerja lain. Hendak selesaikan masalah dia sahaja. Kadang-kadang aku juga bosan kerana ia menyusahkan suami aku.
Pasal mama juga aku cuba berfikiran positif. Mama memang masih menaruh harapan untuk bermenantukan Puteri Zahra. Mama tak salah dalam hal ni sebab keinginan manusia itu berbeza-beza. Akan tetapi kalau melibatkan rumah tangga aku, aku tidak akan berdiam diri. Aku berhak mempertahankan kebahagiaan aku selagi Encik Hazrul rasa bahagia bersama dengan aku. Akan aku lakukan apa saja demi menjaganya kerana sesuatu yang paling susah untuk aku perolehi sejak kecil lagi adalah rasa bahagia.
Aku buka tingkap bilik sebaik sahaja selesai sediakan sarapan. Mahu hirup haruman bunga-bungaan yang masih bertemankan embun pagi. Subhanallah. Betapa besarnya kuasa Yang Maha Esa. Kabus kelihatan di mana-mana. Dan bumi kelihatan basah. Hujan rupa-rupanya malam tadi. Sungguh aku tidak sedar kerana kepenatan. Selesai saja di rumah keluarga Nur Jannah, kami terus pulang ke Bukit Cendana.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Terasa sangat tenang. Hidup ini sangat indah dan aku rasa sangat-sangat bahagia. Aku tidak pernah meminta yang lebih, aku sekadar mahu kekal hidup begini sehinggalah sampai masa aku nanti.
Aku pusing ke belakang dan pandang Encik Hazrul. Encik Hazrul sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Biasa-biasa sahaja. Gaya seorang penternak lembu yang agak berjaya.
"Kenapa? Dah tak segak?" soalnya. Kalau dulu, pada masa begini pasti saja Encik Hazrul sedang mengemaskan tali lehernya. Dengan haruman yang mampu memikat hati. Tapi sekarang dia tidak perlukan semua itu. Langsung tidak. Namun, di mataku dia tetap segak. Tanpa itu semua, dia masih tetap menawan.
"Tetap segak sebab tu susah saya nak lepaskan walau untuk pergi kerja..." Aku balas dengan senyuman.
"Jangan nak jaga hati abang."
"Hmmm, abang tak tahu rupa-rupanya isteri abang ni tak pernah jaga hati abang, dia cakap ikut suka dia saja. Tak pernah fikirkan langsung hati dan perasaan abang, sebab itu dia tak sedar abang dah lama jatuh cinta dengan dia." Mengingati peristiwa kelmarin-kelmarin, buat aku ketawa saja. Sungguh aku tidak tahu ada cinta yang setia menanti di hadapan aku.
Encik Hazrul dakap aku dengan erat. "Abang betul-betul sakit jiwa masa tu..."
"Ah! Kesiannya..."
"Kesian abang, kan? Tapi nak buat macam mana? Abang dah jatuh cinta dengan si lurus bendul."
"Sekarang baru rasa tak puas hati?" Aku tolak perlahan tubuh Encik Hazrul. Namun gagal kerana makin kuat Encik Hazrul peluk aku.
"Hesy, kalau tak disebabkan lurus bendul tu, abang tak akan jatuh cinta." Dahi aku dikucup mesra. Kucupan itu masih hangat. Sama seperti kali pertama dia mengucup dahi aku.
"Abang pun tahu kan kenapa saya jadi begitu?" Sudah aku jelaskan semua alasan kenapa aku tidak boleh menaruh harapan terlalu tinggi, tapi masih lagi dia ungkit dengan ayat yang sama.
"Ya, abang tahu. Azian gagak, abang merak. Gagak tak boleh berkawan dengan merak, sebab gagak hitam dan merak tu terlalu cantik. Tak sangka kita spesies burung rupa-rupanya. Dalam gagak dan merak, jadi juga Humairah kan..."
Aku dongak kepala dan pandang wajah Encik Hazrul. Dia tersenyum cantik namun sindirannya makan dalam juga.
"Kenapa pandang abang macam tu? Tak betul? Abang boleh buktikan sekali lagi...." Dia angkat kedua-dua belah kening. Nakal!
Aku geleng. "Abang dah buktikan. Abang dah buktikan dengan Humairah, tapi rasanya Humairah saja tak cukup."
"Emmm... Berapa nak? Tujuh? Sepuluh?"
"Ngeee..." Aku buat muka ngilu.
"Tadi nak sangat." Encik Hazrul buat suara manja.
"Sekarang?" soal aku.
Encik Hazrul ketawa besar sehingga berjaya buat Humairah tersedar. "Hmmm, belum apa-apa kakak dah bangun. Habis macam mana?"
Aku tumpang sama ketawa.
Encik Hazrul mendapatkan puteri kesayangannya. Rutin biasa. Kalau Humairah tidur sekalipun, tetap Encik Hazrul kejut. Kalau tak melihat wajah puteri kesayangannya itu tidak sah.
"Assalamualaikum, selamat pagi. Sorry, papa kacau dia tidur..." Laju saja tangan Encik Hazrul mengangkat Humairah yang berada di atas katilnya. Katil kayu yang dicat dengan warna merah jambu itu memang ditempah khas untuk Humairah. Hadiah daripada papa untuk anak kesayangan.
Kasihan Humairah. Saban pagi kena kacau. Papa kalau tak cium, tak peluk Humairah, tak boleh pergi kerja. Tak terbayang kalau Encik Hazrul terpisah dengan kami dan kalaulah kasih sayangnya berpindah, tentu saja Humairah akan turut sama rasa sengsaranya.
"Hmmm, janganlah buat muka kecewa macam tu..." Encik Hazrul masih mahu mengusik.
"Mana ada..."
"Habis, sedih aje abang tengok."
"Tak dapat bayangkan kalau abang berubah hati..." Terluah juga walau aku cuba untuk tidak rasa apa-apa dengan kata-kata mama.
"Hmmm, tahukan abang ni lelaki yang dingin dan beku? Mustahil abang akan berubah hati. Mujur abang hanya ada perasaan terhadap seorang saja. Kalau tidak, mustahil abang akan kenal apa itu bahagia."
Aku senyum tawar. Kalau dia rasa bahagia, sejuta kali aku merasakannya.
"Masih terasa dengan kata-kata mama malam tu?" Hampir dua hari berlalu, baru hari ini Encik Hazrul tanya. Bermakna dia tahu perasaan aku terluka dan membiarkan luka itu reda sendiri. Encik Hazrul tahu aku akan terpujuk sendiri nanti. Aku juga tidak mengharapkan dia memujuk aku. Kalau dia memujuk nanti terang-terang dia lebihkan aku berbanding mama sendiri.
Aku senyum juga.
"Jangan ambil hati. Orang tua memang begitu. Kecuali abang hilang ingatan, lain-lain hal Azian tak perlu bimbang."
Aku tidak menjawab juga. Pagi-pagi tidak elok berbicara perkara yang kurang manis. Nanti mempengaruhi perjalanan hari tersebut. Untuk itu, aku pilih untuk lupakan saja.
"Mama tu masih tak boleh terima kenyataan sedangkan semua dah tahu hubungan Puteri dengan Tengku Iqbal."
Ya, aku juga rasa begitu. Mama masih tidak boleh terima kenyataan.
"Tak apalah bang, kita lupakan saja pasal tu. Tak perlu kita ungkit apa-apa. Janji kita tahu apa yang kita buat." Aku putuskan begitu. Biarlah mama. Kalau itu mampu membahagiakan dirinya, aku akan biarkan saja.
"Humairah, tahu tak kenapa papa sayang sangat mama Humairah?" Encik Hazrul cium pipi Humairah.
"Sebab mama Humairah terlalu baik. Sangat memahami," sambung Encik Hazrul.
"Eleh, mama dari dulu lagi dah baik. Kalau tidak, takkan papa tergila-gilakan mama." Aku puji diri sendiri. Kemudian bergerak tinggalkan bilik. Mahu siapkan sarapan Encik Hazrul. Malam tadi dia buat permintaan. Mahu makan Nasi Goreng Bodo pagi ni. Sudah aku siapkan sebentar tadi. Tinggal untuk hidangkan saja.
"Hmmm, harumnya bau nasi goreng mama..." Encik Hazrul tarik kerusi. Humairah masih lagi dia dukung. Setiap hari akan bersarapan dengan anak kesayangannya.
"Humairah ni sepatutnya dah ada adik. Taklah melebih sangat manjanya..." Aku sambung bercakap sambil pandang Humairah. Terkebil-kebil matanya pandang aku.
"Apa hal pagi-pagi buta mama membebel pasal nak tambah adik ni, Humairah? Papa tak fahamlah." Encik Hazrul senyum senget.
"Yalah, taklah manja sangat Si Humairah tu."
"Hmmm..." Encik Hazrul baca doa makan. Kemudian dia sudu nasi goreng ke dalam mulut. Kunyah beberapa kali dan telan. Masa itulah aku ambil Humairah. Biar Encik Hazrul makan dengan selesa.
"Dengan Humairah pun nak jealous..." kata Encik Hazrul.
Aku tak jawab sebab terdengar ada suara memberi salam. Suara lelaki. Bergegas Encik Hazrul bangun. Rasanya pekerja Encik Hazrul. Takkan datang minta cuti semata-mata. Telefon ajelah, kan senang.
Aku bawa Humairah duduk di kerusi makannya. Duduk diam-diam di situ. Jangan nak manja sangat dengan papa. Papa pun banyak kerja yang nak diuruskan. Bukan nak ulit Humairah saja. Aku cium rambut Humairah. Ah! Ibu bapa mana yang tak sayang anak? Aku sendiri saja sudah terlebih beri perhatian terhadap Humairah.
Tidak lama kemudian, Encik Hazrul muncul. "Salah seorang pekerja abang hantar," kata Encik Hazrul bersama bekas makanan lalu diserahkan kepada aku. Aku buka penutup bekas makanan.
"Eh, pulut kuning." Terkejut juga. Ada rendang ayam sekali. Dah lama tak makan pulut kuning. Memang rezeki betul.
"Sempena ulang tahun perkahwinan dia yang kelima," jelas Encik Hazrul lagi.
Aku buat tak dengar sebab bau pulut kuning sudah membangkitkan selera aku. Cepat saja aku letak ke atas pinggan.
"Abang nak?" soal aku.
"Kan dah tahu abang tak suka makan pulut." Encik Hazrul sambung makan nasi goreng.
"Serius tak suka makan pulut?" soal aku.
"Emmm..."
Tanpa pedulikan Encik Hazrul, aku terus jamah pulut kuning. Aku memang tidak boleh tahan dengan bau pulut. Dulu mak ngah selalu masak pulut sebab mak ngah berniaga nasi lemak. Kalau ada yang buat tempahan pulut kuning, mak ngah akan masak. Masa pulut tengah dikukus lagi aku sudah terliur. Tapi jarang mak ngah beri aku makan. Mak ngah cakap rugi. Habuan aku itu sudah boleh dijual. Jadi, aku hanya dapat melihat sambil telan liur saja.
"Emmm, sedapnya..." puji aku. Memang sedap.
Hampir separuh pulut masuk ke dalam perut, baru aku sedar aku sedang diperhatikan. Encik Hazrul sedang merenung aku rupa-rupanya.
"Kenapa?" soal aku.
"Teringat Azian makan pulut kuning masa kat bilik abang hari tu."
"Oh, abang masih ingat rupa-rupanya. Encik Hambali punya anniversary, kan?" soal aku. Itu juga kenangan manis buat kami. Yalah, tiba-tiba suruh aku makan pulut yang diberikan oleh salah seorang kakitangan pejabat CEO. Pulut untuk aku tak ada sebab aku baru saja kerja. Masa Encik Hambali buat tempahan aku tak kerja lagi. Mulanya memang telan liur sajalah. Tak sangka ada juga rezeki aku masa tu. CEO tak suka pulut rupa-rupanya. Ingatkan dia tak makan sebab pemberian pekerja bawahan. Mana tahu nak jaga standard. Tak baiknya aku masa tu. Buruk sangka tak tentu pasal.
"Masa tu abang sedih sangat. Abang ingat Azian lapar sebab makan macam orang sepuluh hari tak jumpa makanan. Rupa-rupanya dia memang hantu pulut."
"Abang rasa sedih masa tu?" soal aku. Mengingati semula detik-detik itu terasa lucu. Padanlah dia berdiri di dinding dan biarkan aku makan. Rupa-rupanya dia sedang bersedih.
"Emmm, abang fikir Azian kelaparan." Perlahan suara Encik Hazrul.
"Sebenarnya masa tu saya pun fikir abang ingat saya kelaparan. Yalah, melahap tak pandang kiri kanan."
Aku ketawa.
"Tu yang abang tak sabar-sabar nak bawa balik rumah. Nak bagi dia makan banyak-banyak." Encik Hazrul rapatkan mukanya ke muka aku. Sisa pulut di bibir aku dia sapu dengan tangan kanan.
"Humairah, tengok papa. Papa nak cakap mama kuat makanlah tu." Aku buat-buat mengadu kepada Humairah.
Encik Hazrul juga pandang Humairah sambil ketawa sama. "Jangan risau Humairah, papa dah janjikan nak bagi mama Humairah makan tiga kali sehari? Walau apapun yang terjadi, papa akan usahakan."
Terhenti sekejap kunyahan aku.
"Itupun abang masih ingat?" soal aku separuh sebak.
"Kan syarat untuk jadi suami Azian. Takkanlah abang lupa?"
"Terima kasih..." Aku pandang wajah Encik Hazrul.
"Dah, jangan nak buat muka macam tu. Karang abang tak sampai tempat kerja."
"Apa pula?!"
"Yalah, siapa suruh buat muka comel macam tu."
"Eh, bukan muka seksi ke?" soal aku.
"Abang nak cakap seksilah tadi, tapi takut Azian fikir yang bukan-bukan jadi abang pilih perkataan comel."
"Eh, poyonya..." Aku balas sambil ketawa.
"Abang kenal isteri abang..." Dia senyum nakal.
Ah! Ini yang buat aku tak tahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co