Truyen3h.Co

SUAMIKU SI MATA BIRU

BAB 13

karyaseni2u

Kapal yang berlabuh di persisiran pantai di Pulau Mykonos menjadi halwa mata Irina sejak dua hari dia menginap di Hotel Mykonos View. Lapangan Terbang Mykonos hanyalah lapangan terbang yang kecil.

Keluar sahaja dari lapangan terbang, deretan teksi sudah sedia menunggu untuk mendapatkan penumpang. Awalnya Irina agak bimbang andai kata mereka tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi pemandu teksi yang dia naiki dua hari lepas boleh berbahasa Inggeris dengan baik walaupun tidak sempurna. Greece punyai muka bumi seperti Sepanyol. Tanahnya tandus dan berbatu.

Rumah-rumah di pulau ini semuanya berwarna putih. Apabila dipadankan dengan lautan yang biru kehijauan warnanya nampak sangat memukau. Ia memberikan nafas baru pada sesiapa yang memandang.

Apabila dia tanyakan pada pemandu teksi, kenapa rumah-rumah mereka dicat dengan warna putih? Katanya warna tersebut memantulkan haba dan oleh kerana warna putih yang mereka gunakan berasal dari asbestos, ianya berjaya mengurangkan serangga di dalam rumah.

Pulau Mykonos agak berbukit dan hotel yang menginap terletak di kawasan berbukit walaupun jaraknya dengan pantai sangatlah dekat. Hotelnya juga berwarna putih dengan reka bentuk resort.

Seni bina Greek yang ringkas dan beranda kayu menghadap pantai buatkan jiwanya yang kusut menjadi tenang. Dari kejauhan dia dapat lihat kapal-kapal besar di persisiran, rumah-rumah putih yang bentuknya unik, air laut yang warnanya biru kehijauan dan di bawah berandanya ada pokok bunga putih yang berbunga lebat.

Sejak dia tinggal di situ, dia ke pekan kecil Mykonos yang letaknya dalam 10 minit perjalanan andai dia berjalan kaki. Bangunan-bangunan di situ agak padat, kadang-kadang dia tersalah jalan dek hampir kesemua bangunannya kelihatan sama.

Dia hanya ke pekan tersebut sekali sahaja, berjalan-jalan di persisiran pantai sambil melihat perahu-perahu kecil dan berhenti di sebuah kafe yang letaknya dekat dengan Mykonos Windmills. Dia melepak di situ selama beberapa jam sambil melayan perasaan berlatarbelakangkan lautan yang airnya sangat jernih.

Apabila berjalan sendirian, dia lebih suka berpakaian seperti orang tempatan agar tidak mengundang perhatian kecuali jika dia mengembara dengan kumpulan yang ramai.

Dia mengenakan topi dan turban, bukan mengenakan tudungnya apabila dia keluar berjalan-jalan. Ciri-ciri keselamatan juga dia ambil kira. Dia selalu bawa bersama wisel, salinan dokumen penting dan pen tajam untuk keselamatannya. Ada orang kata, itu sebab perempuan perlu dikahwinkan awal supaya ada mahramnya apabila mereka berjalan ke mana-mana... Tapi dalam dunia sekarang, perempuan juga punyai impian untuk belajar dan berdikari dan tidak semua perempuan bernasib baik dalam jodoh dan pertemuan...

Jauh dia termenung hinggakan kopi yang ada di tangan semakin sejuk dan bayu pantai buat dia menggigil sejuk. Irina kembali ke dalam chalet. Pintu beranda tidak ditutupnya. Chalet yang dia duduki punyai dua aras. Dapur di bahagian bawah dan bilik, bilik mandinya, televisyen dan beranda berada di aras atas. Puas dia menonton televisyen, Irina bancuh segelas lagi kopi jenama Ily sebelum dia kembali ke beranda dan mula membaca buku yang dibawanya.

Dalam asyik dia membaca, pintu beranda sebelah dibuka. Irina serba salah sama ada ingin terus berada di situ atau masuk ke bilik, tapi hati kecilnya menyuruh dia duduk sahaja di situ. Kalau dia berlari masuk ke dalam bilik, canggung pula gayanya. Lagipun, masing-masing ada hak untuk gunakan beranda sendiri.

"Nice weather isn't it?"

Suara wanita menggamit telinga Irina. Gaya cakapnya macam orang Inggeris. Irina angkat muka. Bersedia untuk tersenyum tanda adab sopan seorang jiran.

Wanita berambut hitam, bermata biru dan berkulit agak tan. Dia mengenakan pakaian labuh berwarna putih. Nampak glamor dan bergaya. Usianya mungkin dalam lewat 30-an... tingkah Irina sebelum dia tersenyum sopan pada wanita tersebut dan wanita itu membalas senyumannya.

"Yeah, what a lovely weather!"

Suara lelaki menjawab dari dalam chalet. Mungkin suaminya? Atau teman lelakinya? Irina senyum sendiri sambil buat-buat tekun membaca. Dia tidak mahu jirannya merasa tidak selesa kalau dia asyik memandang mereka. Dia sendiri pun akan rasa tidak selesa kalau jirannya menjaga tepi kain dia.

Bilik kamu lagi cantik dari bilik saya, James. Kita patut tukar."

James? Ah, James lagi... telah Irina dalam hati. Pasti bukan James Howards. Irina ketawa sendiri. Nasib jirannya tidak perasan dia tertawa sendirian. Kalau tak, nanti tak pasal-pasal perempuan tu ingat dia gila.

"Tak boleh... Awak tempah hotel kat depan tu. Yang tu 4 bintang, yang ni 3 bintang aje."

Suara lelaki yang dipanggil James menjawab sebelum suara lelaki lain ketawa memecahkan malam. Bagus juga ada jiran, kalau tak bosan juga dia tinggal sendiri.

"James, awak nak makan malam dengan kami tak?"

"Tak apalah, mama. Saya kenyang lagi. Nanti saya makan buah yang kita beli semasa dalam perjalanan ke sini."

"Okey..."

Oh, mak dia rupa-rupanya... Perempuan tadi berjalan masuk ke chalet melalui pintu beranda. Pintu beranda ditutupnya rapat. Irina sudah tidak dapat mendengar perbualan mereka. Tidak lama, dia dengar pintu chalet di bawah dibuka dan dari beranda dia lihat perempuan tadi dan pasangannya sedang berjalan beriringan tangan ke bar dan restoran milik hotel. Nampak romantik. Lelaki pasangan wanita tersebut kelihatan agak tua. Mungkin dalam usia 50-an...

Kalau perempuan tu lewat 30-an takkanlah anak dia tinggal sorang satu chalet? Anak dia umur berapa? Irina senyum sendiri. Budak-budak lagilah rupanya... Tak ada harapanlah gayanya.

"Sunrise time!"

Irina bangun dengan senyuman lebar. Suaranya ceria. Dia melonjak bangun dari katil. Tidurnya sangat nyenyak semalam. Bagai diulit-ulit. Sudah lama dia tidak berehat begini. Selama dia bertarung untuk segulung PhD, selama itulah dia bersengkang mata menelaah dan selalunya dia terpaksa berjaga malam dek simulasi perisian yang dia guna mengambil masa yang lama. Dia terpaksa berjaga hinggalah simulasi perisiannya siap, barulah dia dapat tidur dengan lena.

Dia berwuduk terlebih dahulu dan menunaikan solat subuh. Saat dia bersujud pada Tuhan, saat itu buat dia tenang. Bagaikan hilang habis segala tekanannya selama ini. Dia sukakan waktu matahari naik. Ia bagaikan permulaan baru dalam hidup. Penuh pengharapan dan naiknya matahari bagaikan satu lagi peluang yang Allah berikan untuk dia dalam mencari makna kehidupan.

Pintu beranda dia buka. Dari birai pintu dia bersandar damai. Melayan deru angin sepoi-sepoi bahasa sambil anak matanya ralit memerhatikan indahnya ciptaan Tuhan. Langit luas tercalit pelbagai warna. Oren, merah, kuning, biru dan pink... Satu kombinasi yang bisa buat jiwa menjadi segar. Irina tersenyum lebar.

"Terima kasih Tuhan untuk peluang yang Kau berikan," ucap Irina dengan suara perlahan. Dia mengambil duduk di kerusi yang letaknya di tengah-tengah beranda. Dicapainya pen sebelum melakar sesuatu di atas kertas yang terselit di tengah buku yang sedang dibacanya.

When the sun rises,

My hope rises,

It brings joy to my soul,

Just like it brings colors to the dull sky,

I wish for every time I watch the sunset,

I will not be alone anymore...

A wishful wish from a lonely me,

I found peace in solace,

But somehow, this world is becoming scarier,

and I'm sorry despite everything that You gave me,

I'm still hoping for more...

From a wishful me.

Greece, 4th September 2015.

Pen dia letakkan kembali ke atas meja dan nota kecil dia selitkan di celah muka surat buku. Irina palingkan kerusi menghadap pantai sebelum matanya dikatup rapat.

Kringgg-kringgg!

James bingkas bangun. Jam loceng dari telefon pintarnya buatkan jantungnya hampir terkeluar. Ah, kenapalah dia buat bunyi 'alarm' macam tu? Jam loceng ditutupnya. Pukul 9.00 pagi. Majlis kahwin temannya, Nicky pukul 1.30 tengah hari...

Lambat lagi, tapi mereka berjanji untuk bertemu di hotel pada pukul 12.30 tengah hari. Dia perlu bersiap dan berjumpa dengan kawan-kawannya yang tinggal di hotel hadapan.

Mereka semua datang bersama-sama keluarga. Teman baiknya, Liam sudah punyai isteri dan dua anak, Matthew juga sudah punyai dua anak bersama teman hidupnya. Mereka tidak berkahwin kerana tidak punyai agama.

Pada dia, perkahwinan hanyalah perjanjian hati, kenapa perlu dimeteraikan secara undang-undang sivik? Kalau perkahwinan sivik lebih mulia daripada perjanjian antara dua jiwa, kenapa ramai yang berakhir dengan perceraian?

Lagipun, undang-undang di England buat ramai lelaki takut untuk berkahwin. Bukan kerana mereka tidak dibenarkan punyai lebih isteri, tetapi dek pembahagian harta adalah sama rata andai salah seorang daripada pasangan suami atau isteri mahukan penceraian.

Walaupun pihak isteri yang curang, suami tetap perlu memberikan 50% hartanya kepada si isteri. Terpaksa menjual perniagaan, menjual aset yang ada... Sudahlah hati dilukai, terpaksa pula hilang harta...

James menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tidak mahulah dia masuk dalam perangkap yang sama. Lagipun, sudah banyak orang yang dia kenal ditinggalkan isteri mereka.

James bangun berdiri menghadap pintu gelongsor yang ditutup dengan tirai putih nipis. Cahaya matahari menerangi biliknya. Dia berjalan ke pintu gelongsor dan membukanya luas. Tirai putih yang menutupi kamarnya turut sama dibuka. Membiarkan angin pantai memasuki isi chalet. Angin pagi yang segar terasa seperti nafas baru. Dia berdiri di tengah-tengah pintu, mengamati keindahan alam.

Anak matanya memerhatikan langit biru terang, awan yang bergerak bagaikan kapas yang ditiup angin lembut, bangunan-bangunan putih, air laut serta kapal-kapal yang bertaburan di lautan.

Bumi sehebat ini... Tidak mungkin ini semua hanyalah kebetulan, tingkah hati kecilnya dalam diam. Dia agnostik. Semua teori tentang alam, dia sentiasa terbuka menerimanya dan dia masih lagi mencari pada satu jawapan yang dia tahu akan mengambil masa yang lama untuk dia temui kerana hakikatnya dia hanyalah manusia yang kerdil. Alam ini masih punyai banyak misteri yang tidak terungkai oleh spesiesnya sendiri, manusia.

Saban malam dia ikuti penemuan-penemuan terbaru mengenai kejadian dunia dan isinya. Dia baca artikel saintifik, dia tonton dokumentari dan dia ikuti ceramah-ceramah yang diadakan sama ada oleh golongan agama, golongan atheist mahupun ceramah-ceramah dari saintis berkenaan anthropology, osteoarchaeology, astronomy, cosmology, physics dan apa-apa sahaja yang berkenaan asal usul manusia dan alam semesta.

Daripada teori Big Bang kepada Accelerating Universe dan daripada universe kepada multiverse. Tidak semua saintis bersetuju dengan satu-satu teori yang dibuat oleh sesetengah saintis lain tetapi teori yang paling kukuh fakta dan bukti saintifiknya akan lebih banyak diterima.

Letupan Big Bang yang berlaku pada 13.7 billion tahun yang lampau dikatakan sebagai satu kebetulan, tapi penemuan terbaru mendapati yang ianya berlaku pada saat, suhu dan kondisi yang tepat.

Maka tidak mungkin Big Bang sendiri adalah satu kebetulan, ianya satu kejadian yang dikawal. Ramai atheist yang percaya bahawa dunia ini satu kebetulan kerana Big Bang berlaku atas dasar kebetulan.

Big bang adalah titik mula wujudnya atom, neuron dan partikel-partikel lain yang menyebabkan wujudnya alam dan dunia. Letupan sendiri bermaksud kejadian yang mana partikel-partikel mengalami pengembangan. Kini timbul pula hypothesis multiverse yang menyatakan bahawa alam ini wujud bersama-sama dengan alam-alam lain yang kita tidak mampu dilihat.

Walau bagaimanapun, hipotesis ini punyai tentangan dari ramai saintis walaupun ianya disokong oleh saintis terkemuka, Stephen Hawking.

James bertapak ke beranda. Pagar beranda yang diperbuat daripada kayu dipegangnya. Dia memerhatikan kapal-kapal besar yang nampak kecil dari tempat dia memerhati. Dia tertawa sendiri apabila memikirkan mengenai teori dunia suatu masa dahulu.

Dulu atas dasar pemerhatian dan tanpa adanya teknologi seperti satelit, manusia sangka bumi ini bentuknya latar. Bagaikan disk yang atasnya dipenuhi air dan di tengahnya ada daratan, dan jika mereka berlayar terlalu jauh kemungkinan mereka akan temui penghujung bumi. Teori mengenai bumi berbentuk sfera dijumpai oleh ahli falsafah Greek, Pythagoras pada 6 AD. Manakala kajian mengenai alam semesta atau astrologi dipelopori oleh saintis-saintis Islam dari zaman Khalifah Abbasiyyah pada abad ke 13.

Manusia makhluk yang banyak bertanya tentang hakikat kehidupan. Persoalan demi persoalan yang mereka lontarkan mengenai hakikat kejadian mereka menyebabkan wujudnya golongan pencari atau dipanggil saintis dan ahli falsafah.

Apabila semakin banyak yang mereka temui, semakin banyak persoalan yang muncul. Kerana manusia tidak menyendiri dan hakikat kejadian alam ini tidak seringkas yang manusia sangkakan. Alam ini luas bagaikan tanpa sempadan. Daripada penemuan mengenai matahari dan bulan, manusia sedar akan wujudnya planet-planet lain. Sangka mereka, matahari adalah entiti terbesar.

Rupa-rupanya matahari hanyalah salah satu antara bintang-bintang yang bertaburan di alam semesta. Malah matahari bukanlah yang terbesar, bintang-bintang lain punyai saiz ribuan kali ganda lebih besar daripada matahari.

Sekali lagi James tersenyum sinis. Logikkah andai semua ini hanya kebetulan? Pada dia, tidak.

Dalam dia bermonolog sendirian, figura gadis di beranda sebelah menarik perhatiannya. Gadis yang masih dibaluti baju T-shirt bersaiz besar labuh hingga ke kaki sedang enak tidur di atas kerusi rotan putih yang terletak di beranda.

Wajahnya disimbahi cahaya matahari. Nampak damai. Rambut hitamnya beralun lembut menutupi separuh dari wajahnya dan terletak elok di atas bahu dan dadanya. Alisnya tebal, hidungnya sederhana dengan bibir mungil berwarna merah pucat. Orangnya kecil molek...

Seorangkah dia?

Asyik dia memerhati, akhirnya James bagaikan tersedar. Tidak elok dia memandang lama-lama. Sudah menjadi budaya orang Inggeris untuk menundukkan pandangan.

Dia sendiri tidak suka dan tidak selesa apabila dipandang lama-lama. Mereka masyarakat yang sangat menghargai ruang privasi. Dia biarkan si gadis itu sendirian. Tidak mahu mengganggu.

Apabila angin bertiup semakin kuat, James berdiri di tengah-tengah beranda. Kembali memandang lautan luas dan langit yang membiru. Indah.

Sangat indah pada dia. England jarang mendapat cahaya matahari, terutamanya di utara England. Hujan dan mendung adalah dua perkara yang normal buat mereka yang tinggal di kawasan utara England. Apabila ada cahaya matahari, mereka bagaikan si jakun. Sanggup berbaring di padang rumput, duduk di kerusi malas, atau di mana-mana sahaja asalkan dapat berjemur di tengah cahaya matahari. Tangannya didepakan bagaikan Jack dalam cerita Titanic. Hembusan bayu laut bagaikan mengusapnya lembut.

Ah, damai... bisik hati kecilnya. Saat itu juga sehelai kertas melayang ke pipi kirinya.

Sampahkah? Kacau!

Kertas di muka dicapainya. Kalau sampah memang marah juga dia. Ada ke patut buang sampah merata-rata di pulau yang cukup cantik ni? Matanya dibuka. Helaian kertas tadi tidak kelihatan seperti sampah... Malah ada coretan di atasnya.

When the sun rises,

My hope rises,

It brings joy to my soul,

Just like it brings colors to the dull sky,

I wish for every time I watch the sunset,

I will not be alone anymore...

A wishful wish from a lonely me,

I found peace in solace,

But somehow, this world is becoming scarier,

and I'm sorry despite everything that You gave me,

I'm still hoping for more...

From a wishful me.

Greece, 4th September 2015.

Ayat terakhir menyentuh hatinya. James pandang jiran sebelah yang masih enak tidur. Angin yang semakin kuat bagaikan mengejutkan gadis itu. Di mejanya ada pen dan buku berwarna merah.

Mungkin kertas dia? tingkahnya lagi.

Dia berjalan mendekati pagar beranda miliknya dan hampir dengan beranda jirannya itu. Ada jarak 2 kaki antara pagar beranda miliknya dan beranda milik si gadis. Matanya mengamati si gadis yang mula bergerak sedikit. Matanya masih tertutup walaupun tangannya diangkat tinggi bagaikan menggeliat. Nampak seperti jirannya itu masih belum sedar akan kehadirannya di situ.

Apabila gadis tadi bangun berdiri sambil menggeselkan matanya beberapa kali dan tangannya diangkat tinggi seperti menggeliat, James menahan tawa. Terukir senyuman di wajahnya. Gadis tadi memandang ke laut sambil tersenyum ceria.

"Hmmm... What a beautiful day!" kata si gadis dalam ton suara agak tinggi.

James tertawa.

Lelaki bertubuh sasa dan berkulit putih kemerahan memeluknya erat. Hidungnya mancung, rambut coklat keperangan dan matanya biru lembut. Hati Irina berbunga ceria. Saat dakapan mereka semakin erat, dapat dia rasakan bagaikan jiwa mereka bersatu menjadi satu.

I love you. I love you with all my life, honey.

Suara lelaki itu dekat di telinganya. Ada rasa hiba menjengah hatinya. Dalam. Bagaikan mereka berdua sudah melalui pelbagai cabaran hidup dan masih tetap memilih untuk bersama. Irina dongak kepalanya. Memerhatikan wajah lelaki itu. Lelaki yang dia cinta. Wajahnya kabur...

Satu kucupan hinggap di dahinya sebelum si lelaki tertawa ceria. Mengheret tangannya melalui gigi pantai. Mereka sama-sama tertawa girang. Ikan-ikan kecil bermain di kaki mereka dan air laut jernih terasa sejuk di kakinya. Saat mereka berpimpin tangan dan sama-sama menghadap matahari dengan matanya dikatup rapat, saat itu angin bertiup kuat. Badannya menggigil kesejukan. Matanya dibuka... Yang tinggal hanyalah langit cerah. Si lelaki tiada lagi dalam pandangan.

Mimpi ke? Irina tertanya seraya matanya digosok beberapa kali. Kan bagus kalau betul... Irina berdiri sambil memandang laut. Dia menggeliat pasrah.

Hmmm... Mimpi pun okey.

Moodnya berubah ceria. Irina tersenyum girang. Tangannya diangkat lagi sambil dia bersuara.

"Hmmm, what a beautiful day!"

"Haha..."

Suara lelaki membuatkan dia cepat-cepat berpaling. Irina terkejut. Sangkanya dia sendirian di situ.

Itulah orang tua-tua cakap, tengok kiri kanan... Irina membebel dalam hati.

Dia pandang si lelaki Eropah yang ketawakannya. Tubuh sasa dan kulit putih kemerahan. Dia hanya mengenakan boxer biru gelap dengan tulisan BOSS terpahat di situ. Dari bawah naik ke atas. Badan ketak-ketak... Berotot kemas, tidak terlalu besar seperti jaguh bina badan tapi cukup maskulin... Wajahnya... Cukup kacak untuk buat jiwa perempuannya bergetar hebat. Hidungnya mancung, matanya bundar, alisnya terbentuk cantik dan rambutnya coklat keperangan...

Hmmm... Ke aku mimpi lagi? Sama macam lelaki tadi aje...

Irina gosok mata. Dia berjalan beberapa tapak dan berdiri dekat dengan pagar yang memisahkan antara dia dan lelaki itu. Tangannya dihulurkan, cuba untuk menyentuh lelaki tadi.

James kaget apabila si gadis yang sedari tadi dia perhatikan tiba-tiba memandangnya dari atas ke bawah. Dari sinar matanya kelihatan seperti gadis itu masih mamai. Apabila sama-sama berdiri menghadap masing-masing, barulah dia dapat melihat gadis itu dengan baik.

Rambutnya yang hitam dan ikal terurai lembut hingga ke paras siku. Wajahnya bujur sirih, hidungnya sederhana mancung, alisnya terbentuk cantik dan bibirnya mungil... Anak matanya yang gelap pekat... Menggoda...

Macam Irina... telah hatinya. Tapi Irina selalu bertudung... Dia sendiri tidak pernah melihat Irina tidak memakai tudung...

Adakah itu Irina? Sukar untuk dia bezakan. Apabila diteliti satu per satu, mata, hidung dan bibirnya persamaannya banyak. Tapi kalau dilihat dari jauh, perbezaannya juga jelas...

Dalam dia asyik meneliti figura si gadis di hadapannya itu, tidak semena-mena gadis tersebut mengangkat tangannya dan menyentuh bahunya. James terkejut.

"Er... Hi... Are you okay?"

James bertanya dalam suara yang kaget.

"Oh, you are real!"

Gadis tadi melompat ke belakang. Bagaikan terkejut yang amat. James tertawa lagi.

Kelakar juga perempuan ni... Dia berbisik dalam hati.

"I am real." Dia senyum. Kertas yang melekat di wajahnya tadi dihulur pada perempuan itu.

"Saya rasa ni kertas awak. Angin yang terbangkan ke sini tadi."

"Oh, sorry..." Irina capai kertas. Matanya yang masih kabur digesel beberapa kali dengan tangannya. Kepalanya digelengkan beberapa kali, cuba untuk menghilangkan mamai selepas tidur. Dia pandang lelaki itu sekali lagi.

"Muka awak sebiji macam seseorang yang saya kenal..."

Entah kenapa terbit komennya begitu. Ya, lelaki itu seperti James tetapi ia tidak mungkin kerana James kini di Clitheroe. Sedang meraikan perkahwinan kawannya. Lagipun mat salih ni kadang-kadang sekali imbas muka macam sama aje...

James ternganga.

"Apa nama dia?"

Irina menjawab malas.

"James..."

"Awak ni Irina, kan?"

Buntang mata Irina. Tidak semena-mena otaknya dapat berfungsi dengan baik. Ya, itu James! Mulutnya terbuka luas. Bagaikan tidak percaya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co