Truyen3h.Co

SUAMIKU SI MATA BIRU

BAB 3

karyaseni2u

Oktober 2014

Irina menarik nafas panjang. Cuba menenangkan diri.

"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Tiada yang mudah melainkan dengan izin-Mu."

Tiga orang panel pemeriksa tahap kemajuan dia untuk tahun ke-2 PhD duduk di atas kerusi bilik mesyuarat. Irina berdiri di hadapan. Slaid sebanyak 15 halaman baru sahaja dipersembahkan oleh Irina kepada mereka.

Dalam debar yang cuba ditenangkan, Irina menunggu soalan-soalan daripada mereka. Kalau ikutkan tahun lepas, teruk juga dia kena. Yalah, bangunan untuk projek tak jumpa lagi. Alhamdulillah, balik sahaja daripada umrah, sempat dia ke bangunan yang dijadikan bahan kajian di Putrajaya untuk mengambil laporan audit tenaga tahun 2012. Pengurus tenaga yang baharu, Encik Fuad juga banyak membantu. Jauh lebih mudah berurusan berbanding Encik Amir.

"Jadi, apakah novelty dalam kajian yang awak buat?"

Irina senyum tenang. Soalan Dr. Gerrard adalah soalan tipikal untuk PhD tetapi untuk usia kajiannya yang baru sahaja memasuki 2 tahun, ia agak sukar untuk dijawab. Supervisornya, Profesor Wang dan seorang lagi panel, Dr. Ken tekun memerhatikannya. Menunggu jawapan daripada Irina.

"Kajian-kajian sebelum ini kebanyakannya tertumpu pada tempat tinggal yang terletak di negara-negara beriklim sejuk. Manakala kajian ini tertumpu kepada bangunan ofis bersaiz sederhana yang terletak di negara beriklim panas. Tambahan pula, solusi yang kami cadangkan dalam kajian ini masih belum dipelopori oleh mana-mana saintis lain."

"Awak pasti?

Dr. Gerrard bertanya lagi. Irina sudah resah tetapi ditenangkan riak mukanya. Satu senyuman diberikan kepada Dr. Gerrard.

"Sepanjang pengetahuan saya, ya."

Dr. Gerrard turut sama tersenyum sambil mengangguk. Dr. Ken dan Profesor Wang turut sama tersenyum. Mungkin mereka sendiri pun tahu, hasil kajian yang diterbitkan oleh saintis-saintis dunia sentiasa bertambah hampir setiap hari.

Untuk mengatakan 'ya, saya pasti' ia kedengaran bodoh sombong kerana tidak mungkin dia sudah membaca kesemua puluhan ribu hasil kajian-kajian sebelum ini. Seorang bijak pandai tahu yang ilmunya tidak akan pernah cukup.

"Adakah awak lukis gambar tu sendiri?" soal Dr. Ken yang sedari tadi hanya menjadi pendengar.

"Keseluruhan sistem?"

Irina tunjuk slaid yang sedang memaparkan gambar sistem pendingin hawa yang seratus peratus menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan juga bangunan yang dijadikan bahan kajiannya.

Dr. Ken mengangguk.

"Ya," jawab Irina yakin. Irina tunggu beberapa ketika untuk soalan seterusnya tetapi masing-masing diam.

"Any other question?" soalnya kepada panel-panel yang hadir. Masing-masing menggelengkan kepala.

"Okay, thank you." Irina kembali mengambil tempat duduk di meja bersama-sama panel-panel yang hadir.

Dr. Gerrard selaku ketua panel bersuara.

"Kami berdua berpuas hati dengan pencapaian awak. Awak boleh teruskan pengajian untuk tahun ketiga."

Alhamdulillah!

"Thank you." Irina tidak dapat menyorokkan rasa gembira dalam hatinya. Sebuah senyuman lebar dia hadiahkan kepada mereka.

Usai kedua-dua panel keluar dari bilik mesyuarat, Profesor Wang mendekatinya. Profesor Wang bagaikan seorang ayah kepadanya. Profesor Wang tersenyum bagaikan berpuas hati dengan hasil kajiannya setakat ini.

"Good job, Irina. Have you checked your email?"

E-mel? Irina geleng. Ah, dia sibuk membuat persediaan untuk persembahan slaid. Bangun sahaja dari tidur pagi tadi, dia terus membuat latihan untuk persembahan slaid. Masa yang diberikan hanyalah 20 minit. Setiap kata-katanya perlu lancar agar tiada masa yang terbuang.

"Jurnal artikel yang kita hantar ke Applied Energy dah pun disemak oleh panel. Jadi awak hanya perlu jawab soalan-soalan daripada panel dan ubah jurnal tu berdasarkan apa yang panel sarankan. Lepas tu hantar balik kepada mereka. Tahniah untuk progress ni."

Profesor Wang masih lagi tersenyum. Irina kuat bekerja. Suka berbahas dengannya dan agak degil dengan ideanya sendiri tetapi biasanya hasil kajian Irina di luar kotak fikiran dia. Pada dia, Irina ada ciri-ciri seorang saintis.

"Ah... Ada banyak ke komen daripada mereka?"

Irina bertanya gusar. Ini pertama kali dia menulis jurnal saintifik. Sebelum ini dia ada menghantar kertas kerja untuk sebuah persidangan yang dianjurkan oleh Penerbitan Elsevier di bawah Applied Energy Department yang diadakan di Dubai.

Kertas kerjanya dibentangkan oleh Profesor Wang dan terpilih untuk diterbitkan sebagai jurnal saintifik dalam buku keluaran khas sempena persidangan tersebut serta diterbitkan bersama-sama dengan kertas kerja terpilih yang dibentangkan sewaktu persidangan di bawah keluaran Energy Procedia. Dia tahu ia peluang yang sangat baik tetapi pada waktu ini dia mahukan rehat setelah lama membanting tulang dan kekurangan tidur.

"Oh, tak banyak pun. Tarikh akhir bulan depan. Ni peluang yang baik sebab susah nak terbitkan jurnal dalam Applied Energy. Mereka terima puluhan ribu artikel setiap bulan tapi mereka hanya pilih 200 sahaja."

Kerja lagi. Tiada kesudahan. Irina menarik nafas sekali lagi. Cuba mengepam seberapa banyak oksigen yang termampu ke otaknya agar dapat dia bertenang dan berfikir dengan waras. Akhirnya Irina senyum setelah beberapa ketika dia kelihatan serius berfikir. Dalam mindanya terbayang jadual kerjanya dan pelan-pelan yang perlu dia buat sekarang.

"Okey. Nanti saya semak e-mail, baiki manuskrip kemudiannya hantar kepada prof. untuk disemak sebelum saya hantar ke penerbitan."

Profesor Wang mengangguk gembira.

"Good, good."

"Boleh saya balik rumah awal sikit hari ni?"

"Boleh. Hari ni hari yang mencabar bagi awak. Balik berehat kemudian datang sini esok dengan lebih bertenaga."

Irina kembali tersenyum lebar. Dia sangat perlukan masa rehat walau hanya untuk petang ini hingga ke malam hari.

"Okay, see you tomorrow and thank you for all your guidance."

Dia berjalan ke meja kerjanya. Suasana pejabat sunyi walaupun masing-masing ada di pejabat. Masing-masing tekun dengan kerja. Sepanjang dia belajar di sini sebagai pelajar PhD, selalu sahaja dia rasa sunyi. Sangkanya dulu, PhD ni macam ijazah.

Tidaklah semudah ijazah tetapi dia menyangka yang dia akan punyai masa untuk berkawan seperti dahulu. Tetapi hakikatnya masa adalah sesuatu yang sangat bernilai buat mereka semua. Masing-masing sibuk dengan kajian masing-masing. Waktu rehat pun di meja kerja. Kadang-kadang dia akan keluar rehat bersama-sama rakan serumahnya Zaryn dan kawan sepejabat Zaryn, Katrina yang berasal dari Greece.

"How was it, Irina?" tanya Jenny, kawan sepejabatnya dalam bahasa Inggeris. Jenny juga orang Malaysia berbangsa Cina tetapi tidak pernah bercakap bahasa Melayu dan agak kompetitif. Tidak sama macam Dr. Chian, seorang lagi rakan sepejabatnya yang sama-sama berasal dari Malaysia. Dr. Chian lebih relaks dan suka memberikan nasihat-nasihat positif. Pada Irina, dia bangga melihat orang Malaysia yang berjaya mendapat kerja di sini. Bukan senang nak dapat kerja sebagai saintis di sini.

"Passed." Irina berbisik perlahan sambil tersenyum. Jenny mengangguk dan membalas senyuman.

Irina berjalan melepasi meja-meja saintis yang bekerja dengan jabatannya dan menuju ke meja kerjanya yang diatur dekat dengan pelajar-pelajar PhD lain. Mereka semua dalam 50 orang termasuk pelajar dan pekerja. Dia mengemaskan barangan sebelum berlalu pergi.

Langit masih lagi cerah dan cuaca masih lagi selesa. Tidak terlampau panas seperti musim panas atau sejuk seperti musim luruh tetapi agak berangin. Dia melalui taman cantik di tengah-tengah bangunan lama milik universiti. Saban musim reka bentuk taman itu akan berubah. Melalui kawasan itu buat dia rasa tenang dan gembira dengan kerusi yang diletakkan di bawah pohon-pohon rendang dan di tepi pohon-pohon bunga. Bangunan berbata merah dengan pokok ivy yang menjalar megah. Itulah pil penenang Irina sepanjang berada di sini. Berjalan sambil mengamati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Sambil berjalan, dia memerhati. Kadang-kadang hati dibias rasa rindu. Rindu pada sesuatu yang tiada. Pelik. Semenjak akhir-akhir ini hatinya bagaikan merintih meminta sesuatu. Perasaan yang ingin dicintai dan mencintai. Kadang-kadang dia akan menangis keseorangan. Bukan kerana tiada yang menawarkan kasih, tetapi kerana dia tidak mampu memberikan cinta pada yang sudi. Semakin lama, semakin kuat perasaan itu muncul. Mendambakan sesuatu yang masih tiada.

Pasangan kekasih yang berjalan berpimpin tangan di hadapannya diamati. Lelaki-lelaki kacak di sekelilingnya... Ramai.

Ah, kalau dah nama mat salih, banyak sahaja yang boleh dimasukkan dalam kategori ada rupa. Masalahnya, bagaimana mahu mencipta cinta? Lagi pula, kebanyakan mereka pelajar ijazah yang usianya baru sahaja 18 tahun ataupun paling tua 21 tahun. Dia tidak berkenan dengan anak-anak ikan ni. Tak salah, tetapi bukan cita rasa dia.

Kata Zaryn, cinta perlu diusahakan tetapi sampai ke hari ini Zaryn masih tidak berjaya mendapatkan cinta yang dia mahu. Kata Irina, cinta hanya perlu didoa. Kalau ada jodoh ia akan datang tepat pada masanya...

Tetapi semakin hari, Irina semakin sangsi dengan pendiriannya itu.

Betulkah pandangannya itu?

Atau jodoh juga perlu diusahakan? Sepertimana kita berusaha mempertahankan sebuah rumah tangga untuk kekal bahagia dengan cara bertolak ansur, seperti itu juga kita berusaha dalam pencarian jodoh? Adakah ayat al-Quran dari surah Ar-Ra'ad ayat 11 juga termasuk dalam konteks jodoh?

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.

(Surah Ar-Ra'd ayat 11)

Selepas ke surau, dia berjalan mengikut kata hati. Elok sahaja dia melalui restoran Malaysia yang dimiliki oleh lelaki Cina yang berasal dari Malaysia, hatinya terdetik ingin berhenti makan di situ. Terbayang nasi lemak dan teh tarik. Kalau pekena teh tarik, hilang sedikit tekanan-tekanan yang ada dalam otaknya ni. Restoran Chilli Padi tidaklah besar tapi masakannya boleh tahan lazat dan semuanya dijamin halal. Kebanyakan pelajar Malaysia, Brunei dan Indonesia akan datang makan di situ. Masuk sahaja ke dalam restoran, terus kelihatan cef-cef di dapur sedang memasak. Bau aromanya, Ya Allah... Kecur liur dibuatnya!

"A table for one, please."

Irina bersuara apabila disambut oleh seorang pelayan perempuan. Keadaan restoran agak sesak. Ada seorang lagi lelaki mat salih berbaju sweater kelabu sedang menunggu giliran sepertinya. Dia hanya nampak dari belakang dek lelaki itu sedang beratur di hadapannya. Rambut brunette, berseluar jean warna biru dan sweater wool warna kelabu. Kedudukan mereka agak rapat disebabkan restoran itu kecil sahaja. Sempat lagi Irina mengukur, apabila sama-sama berdiri begitu, hidungnya elok-elok paras ketiak lelaki tersebut.

Nasib baik bau sedap. Hehe.

Tak semena-mena, Irina tertawa perlahan. Tak semena-mena juga si jejaka berpaling memandangnya dengan pandangan yang agak musykil. Cepat-cepat Irina senyum buat tutup malu. Aih.

Dia dengar ke? Aku cakap dalam hati aje kot?

Jejaka tersebut turut menghadiahkan sebuah senyuman. Berpaling menghadap Irina. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co