Truyen3h.Co

SUAMIKU SI MATA BIRU

BAB 9

karyaseni2u

16 Oktober

Hampir setiap malam mereka berborak di Facebook Messenger. Bagaikan kenalan yang sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Masing-masing sibuk dengan kerja. Apabila pulang ke rumah, mereka akan berborak sehinggalah sama-sama tertidur. Perniagaan James semakin dikenali dan syarikatnya juga sudah mengambil seorang pekerja sukarelawan dari JobStreet. Manakala Irina pula sibuk dengan jurnal saintifik yang perlu dihantar pada awal bulan November.

Dia merancang untuk siapkan seminggu sebelum tarikh akhir supaya dia dapat menyemak artikel tersebut sekali lagi. Sudah dua hari Irina tidak ke pejabat dan bekerja dari rumah sahaja. Cuaca yang semakin sejuk membuatkan dia kurang sihat.

Namun, dalam keadaan batuk dan demam macam tu, dia masih lagi tekun menelaah. Biliknya tidak luas, cukup memuatkan satu katil bujang, almari dan dua meja kerja. Dalam keadaan sejuk begitu dia bersyukur dapat bilik sempit, tak adalah sejuk sangat bila tiba musim dingin.

Kalau di Malaysia, bolehlah bermanja dengan mak waktu-waktu sakit macam ni. Tadi pun dia ada menelefon keluarganya. Sempatlah berbual dengan umi, ayah dan adik-adiknya.

Suka pula dia apabila mengetahui yang perniagaan keluarganya semakin laku. Ubat jamu yang umi keluarkan semakin mendapat hati dalam kalangan pengguna.

Balik nanti dia memang merancang untuk dapatkan bekalan jamu uminya. Terutamanya jamu anak dara untuk kesihatan badan secara keseluruhan.

Orang kita sibuk dengan pil-pil dari luar negara, tetapi di luar negara, mereka pula yang sibuk tergilakan-gilakan herba dari hutan tropika.

Air kelapa di sini dijual dengan harga GBP2.50 satu botol. Pil menguruskan badan di sini rata-rata kandungannya menggunakan asam gelugor.

Kunyit pula dibuat pil untuk membuang toksik badan. Minyak kelapa dara pula tak usah dicakaplah, dah jadi macam bahan wajib untuk perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki yang menjadi ikon 'kehidupan sihat' di Eropah, Australia dan Amerika Syarikat tapi orang kita tetap banggakan barangan luar negara. Kita jarang menghargai apa yang kita ada tetapi lebih senang mengagungkan benda yang kita tiada.

Penat bekerja, Irina mula menutup laptopnya. Dia menggeliat sambil mengurut lehernya perlahan. Apabila dia mula berbaring hendak tidur, pelbagai persoalan kehidupan mula menerjah mindanya. Walaupun matanya sudah ditutup, mindanya masih lagi bekerja keras. Dia mengiring ke kiri tak kena, ke kanan pun tak kena. Dia perhatikan siling biliknya. Kemudiannya, dia memerhatikan langit gelap di luar jendela.

Bintang-bintang yang berkelipan dari jauh... Buat dia berfikir lagi... Tentang Tuhan. Tentang manusia dan alam... Tentang kehidupan... Manusia dilahirkan ke dunia. Mengikut norma kehidupan. Menurut apa yang manusia majoritinya lakukan. Lahir, ke sekolah, bekerja, kahwin, beranak, dapat cucu kemudian tua dan meninggal. Itulah putaran kehidupan.

Seratus tahun lalu, perempuan tugasnya di dapur dan lelaki mencari nafkah. Seusia 12 tahun sudahpun berkahwin kemudian beranak, mendapat cucu, dan tua dan sakit sebelum ajal.

Sejak empat puluh tahun lalu, apabila penjajah mula datang, dogma itu berubah. Persekolahan diperkenalkan, undang-undang diperketatkan. Perempuan dan lelaki sama-sama ke sekolah. Sama-sama bekerja. Usia golongan muda yang berkahwin menginjak dari belasan ke awal dua puluhan.

Dan zaman berubah lagi, kini lelaki dan perempuan sama. Usia perkahwinan rata-rata sudah menginjak ke 25 hingga 35 tahun untuk lelaki dan perempuan. Malah rata-rata perempuan selesa membujang dan lelaki juga sama. Cuma, tekanan masyarakat kepada lelaki mengenai perkahwinan tidak sekuat tekanan yang mereka berikan kepada golongan perempuan.

Kalau dibandingkan, stereotaip perubahan masyarakat, banyak bergantung kepada arus pemodenan. Apa yang sedang dialami oleh Malaysia kini sama seperti fasa 1990-an yang berlaku pada masyarakat di New York dahulu.

Manusia sibuk dengan kehidupan harian mereka dan impian demi impian yang mereka ingin gapai. Dia tertanya, adakah manusia mahukan sesuatu kerana itu yang jiwa mereka dambakan, atau mereka hanya terpengaruh dengan arus semasa? Bagaimana pula dengan dirinya sendiri?

Tidurlah, Irina... Perlahan dia memujuk diri. Badannya sudah penat tapi hampir setiap malam mindanya susah untuk berhenti daripada berfikir. Irina mengeluh perlahan. Dia capai telefon. Menyemak Facebook dan Instagram. Profil James dia perhatikan. Lelaki itu biasanya menjadi pendengarnya sebelum tidur. Tidak pernah serik melayan persoalan-persoalan kehidupannya. Dia menaip mesej kepada James. Meluahkan perkara yang membuatkan dia resah malam itu.

Irina: Hi, James... Do you have anything particular you wanna do in this life or what kind of moment you really treasure in life? - My effort in trying to kill my curiosity.

James: Oh my. Very deep for a late night, Irina.

Irina: Soalan yang susah untuk dijawab, kan? Saya selalu fikir perkara-perkara macam ni sebelum tidur. Satu habit yang tidak elok... Kadang bila saya tengok langit dan bintang-bintang yang bertaburan ia selalu buat saya terfikir tentang alam ni dan hakikat kejadian saya. Erm, abaikan soalan saya. Awak mesti penat, kan. Jom tidur.

James: Saya nak ada keluarga nanti, sebab tu saya mulakan perniagaan. Cari duit dulu supaya keluarga saya boleh hidup dengan selesa. Dalam masa 10 hingga 15 tahun nanti saya harap saya dah tak perlu bekerja dan boleh luangkan masa tu dengan anak-anak saya.

Irina: That's sweet.

James: Saya selalu juga tengok dokumentari pasal alam semesta dan ia buatkan saya sedar yang kita manusia ni hanyalah makhluk yang kerdil.

Irina: You're a very responsible guy. It is always nice talking to you... You seems to have a deep thought about life too.

James: Kadang-kadang, tapi bukan selalu.

Irina: Jadi awak nak bersara masa umur awak 38 tahun ataupun 43 tahun?

James: Ya, kalau boleh. Saya mungkin akan buat kerja sikit tapi masa tu kerja sepatutnya menjadi pilihan, bukan kerana terpaksa.

Irina: Patutlah awak kerja kuat sekaang ni. Saya dengan adik saya pun punyai matlamat yang sama. Kerja kuat selagi kita ni masih muda supaya bila dah tua nanti kita dah boleh hidup selesa.

James: Exactly. I would love to have some land and animals and grow vegetables and fruit. To be self succient.

Irina: Haha. Hmmm, it's freaking weird but that's my dream too... I'm doing sustainability project and I believe it's supposed to be a way of life. It's very peaceful that way.

James: Yes, i think everything will become localised again in the future.

Irina: Ada satu tempat di Thailand namanya Pun Pun, ia merupakan satu pusat untuk 'self-reliance'. Mereka ni golongan peladang yang tanam sayuran dan buah-buahan, dan mereka juga membuat rumah menggunakan tanah liat.

Rumah ni bukan setakat murah malah ianya juga lebih sejuk berbanding rumah-rumah di negara tropika. Dia cakap yang dia ni asalnya dari keluarga petani. Tapi suatu hari tu ada orang televisyen datang ke kampung mereka untuk memberikan sumbangan. Mereka nilah yang memberitahu dia yang keluarganya miskin dan dia perlu bersekolah dan ke bandar untuk bekerja. Untuk jadi kaya. Jadi dia belajar, dia masuk universiti dan dia mula bekerja di Bangkok selama 4 tahun. Tapi dia tak faham.

Dia rasa orang yang di bandar tu jauh lebih miskin dari orang kampungnya. Mereka ni bekerja sepanjang hari tapi duit tetap tak ada. Kawannya membeli rumah tapi rumah tu hanya akan menjadi hak dia selepas 30 tahun, apabila ianya sudah dibayar penuh kepada pihak bank.

Jadi dia balik ke Chiang Mai, beli tanah dan mula bertani... Kemudian dia mula membuat rumah menggunakan bata tanah liat. Sepanjang berada di Chiang Mai, dia tidak pernah putus bekalan makanan, malah ada lebihan yang dia boleh jualkan di pasar.

Dari situ dia dapat duit. Kemudian dia beli lagi tanah, dan dia buat lagi rumah. Bila banyak rumah dia sewakan dan dari situ dia dapat lagi duit. Oh, maaflah. Panjanglah pula saya membebel. Awak tengah buat apa tu?

James: Oh, menarik tu. Saya suka cara hidup macam tu tapi saya rasa kalau semua orang buat benda yang sama mungkin dunia ni akan jadi huru-hara. Awak tak rasa macam tu? Mmm, saya kat rumah sekarang tengah rehat-rehat.

Irina: Huru hara? Maksud awak? Saya tengah baring-baring atas katil. Tengah cuba nak tidur. Kalaulah saya boleh tidur atas padang yang luas sambil tengok langit dan bintang...

James: Maksud saya kalau semua orang hidup macam tu nanti tak adalah orang yang nak bawa kapal terbang, merawat pesakit dan pusat pendidikan pun tak akan ada. Hmmm, memerhatikan jendela langit... Itu sangat best. Awak kena pergi berkhemahlah kalau macam tu.

Irina: I had love too. Just need to gather some companions for that. I had fallen asleep just now. Thank you for being my pillow talk's friend. Good night and have a good rest James :)

James: Goodnight, Irina.

Mata Irina dikatup. Mimpi indah datang menjengah. Segala kerja kerasnya ada makna. Kadang-kadang, apabila terlampau fokus pada kerja, dia hilang punca. Dia tahu buat sesuatu kerana Allah tapi ada masanya dia kembali menyoal kenapa dia perlu bertarung untuk segulung PhD walhal kalau dia kekal bekerja sebagai pegawai PTD dahulu pun dia tetap melakukan kerja yang baik. Halal.

Setiap orang ada cita-cita masing-masing. Kini dia ingat kenapa dia bekerja keras sedari usianya muda. Tidak habis-habis dia belajar, belajar dan belajar lagi. Hakikatnya, Allah letakkan dan mudahkan rezekinya dalam bidang ilmu pengetahuan. Dari wang dia bekerja sambilan dan elaun dia di UK, dia dapat kirimkan sedikit wang saku kepada umi dan ayahnya di kampung. Sewaktu bekerja dahulu dia jadi malu apabila duit bulanan setakat cukup-cukup makan sahaja. Tidak dapat dia menghantar wang bulanan kepada umi dan ayahnya seperti dia pernah buat sewaktu di Sheffield dulu. Apabila berpeluang untuk menyambung pelajaran dalam PhD, dia tidak teragak-agak untuk menerima.

Semoga dengan segulung PhD itu nanti ia akan membuka peluang lebih besar untuk dirinya. Pengalaman membesar dalam keluarga yang susah buat dia belajar banyak perkara dalam hidup. Buat dia tahu erti kerja keras untuk sebuah keselesaan hidup. Sama seperti James, dia juga mahu bebas daripada tekanan kehidupan.

Zaman sekarang tekanan hidup selalunya datang kerana kurangnya wang. Wang bukan segalanya kini, tapi ianya keperluan hidup. Kerana zaman sekarang, makan dan minum dibayar dengan duit, bukan menggunakan tulang empat kerat untuk memburu atau berladang lagi.

Kalau boleh, dia pun mahu hidup aman dan tidak bergantung banyak pada keperluan kewangan. Cukup dengan punyai sebuah rumah dan tanah. Boleh dia bercucuk tanam. Dia belajar sistem tenaga boleh perbaharui, jadi dia yakin satu masa nanti kita tidak perlu lagi bergantung pada bekalan elektrik berbayar. Semuanya boleh dihasilkan secara domestik. Tapi bagaimana pula dengan sistem pendidikan untuk anak-anaknya nanti dan kesihatan? Ah, dia masih lagi perlu bergantung kepada wang ringgit...

James memerhatikan gambar Irina yang dia simpan dalam telefonnya. Dia ambil gambar tersebut dari akaun Facebook Irina. Gambar Irina dengan adik perempuan dan adik lelakinya. Irina mengenakan tudung merah jambu warna samar dengan corak burung hantu. Solekan yang dia kenakan tidak tebal tetapi cukup untuk membuatkan wajah gadis itu begitu menawan. Bibirnya yang mungil nampak semakin menggoda. Bulu matanya lebat dengan anak matanya yang cukup mempesona. Hatinya bertambah terpikat. Wajah Irina seperti gadis Lebanon yang punyai kulit cerah bagaikan krim yang mulus, mata almond dengan alis hitam dan bulu mata yang lentik. Cukup menawan.

Namun, Irina bagaikan epal beracun buat dirinya. Tidak terusik dan banyak halangannya untuk mereka bersama. Banyak yang dia perlu korbankan kalau mereka mahu bersama. Budaya mereka berbeza. Irina juga tegas dalam pegangan agama.

Apa yang menjadi kebiasaan buat dia dalam hubungan kekasih, pada Irina ianya satu dosa yang besar. Pada dia, dia hormati apa sahaja pegangan gadis tersebut tetapi untuk menjalinkan hubungan yang lebih intim sebagai pasangan kekasih sepertimana budaya masyarakatnya, mungkinkah?

Tidak tercapai dek akalnya. Sudah dua kali dia mengajak Irina keluar dating tetapi apabila sampai sahaja hari yang mereka patut berjumpa, Irina batalkan janji temu. Pelbagai alasan yang Irina berikan.

Katanya, dia takut untuk keluar malam walhal dia pun tahu dan Irina juga selalu memberitahu dia yang Irina selalu pulang waktu malam dari pejabat. Pada fikirannya, apa salahnya kalau mereka bertemu di kedai kopi atau kedai makan mana-mana selepas dia dan Irina siap bekerja?

Maaf James, saya tak suka keluar waktu malam...

Kenapa?

Saya takut kena hisap darah dengan vampire.

Haha. Awak ada saya, Irina. Saya akan lindungi awak.

Dia bekerja hampir setiap hari kecuali pada hari Sabtu. Itupun dek pekerja sukarelawan yang baru mereka ambil bekerja. Tetapi kata Irina, dia tidak mahu keluar ke bandar pada hari Sabtu kerana dia tidak sukakan mereka yang berpesta pada hujung minggu, walhal dia ajak Irina untuk bertemu pada pukul 6.00 petang.

Orang berparti selepas pukul 10.00 malam, itupun pada waktu begitu mereka baru sahaja keluar ke bandar dan pukul 1.00 pagi hingga pukul 3.00 pagi barulah mereka akan mula mabuk-mabuk dan keluar dari pub atau kelab.

Sepatutnya mereka bertemu minggu lepas, itupun atas cadangan Irina mereka berjumpa pukul 5.30 petang. Dia siap tukar syif dengan Andrew tapi tup-tup pagi tu Irina mesej katanya dia sakit perut kerana senggugut.

Dia tidak tahu betul ataupun tak tapi kalau sudah dua kali dia mengajak Irina keluar dan jawapannya sama, pada dia ia bagaikan satu penolakan secara lembut oleh Irina. Mungkin pada Irina dia hanyalah teman berbual lewat malam. Tak lebih daripada itu.

Kecewa memikirkan perkara itu, dia keluar dari bilik. Mahu mengambil angin. Tak jadi pula dia nak tidur. Irina dah elok tidur, dia pula yang datang masalah jiwa kacau. James ke dapur. Mencapai sebotol Kopparberg perisa epal dan strawberi. Biar hilang sedikit resah dalam mindanya.

Andrew tidur di rumah teman wanitanya malam itu. Tinggal dia sendirian di rumah. Dah hampir 9 bulan dia dan bekas teman wanitanya berpisah. Kadang-kadang ada juga Helen menghubunginya tetapi bagi dia kalau sudah berpisah, maka tidak sepatutnya ada apa-apa hubungan lagi antara mereka. Lagipun Helen sendiri yang usulkan agar mereka berpisah.

Dia faham, jarak menjadi halangan mereka berdua. Dia pun tak mahu Helen masih terbelenggu dengan memori-memori ketika mereka masih bersama sedangkan Helen selayaknya buka lembaran baru dan menerima orang baru dalam hidupnya. Lagipun pada dia, Helen ada rupa yang cantik. Gadis kecil molek, ceria dan menjadi kegilaan ramai. Helen aktif dalam teater dan tarian selain bergelar guru seni di universiti tempat mereka sama-sama mengajar.

James kembali ke biliknya. Laptopnya kembali dibuka. Website Documentary Heaven dibuka olehnya. Biasanya kalau dia sukar untuk tidur, dia akan memasang dokumentari. Sejak kecil lagi, apabila dia takut untuk tidur sendirian, ibunya akan memasang cerita audio untuk dia dengar sebelum tidur. Dia ingat lagi, sewaktu kecil dahulu mendiang ayahnya sangat sayangkan dia.

Dia ditatang bagai minyak yang penuh. Mereka sekeluarga tinggal di Johannesburg, Afrika Selatan. Ibu dan ayahnya bekerja di sana sebagai pengurus di hotel terkemuka. Dia dan mendiang adiknya juga dilahirkan di sana.

Saban malam ayahnya akan bercerita kisah-kisah dongeng padanya sebelum dia tidur ataupun berbual dengannya hinggalah dia lelap. Kadang-kadang dia rasa Irina bagaikan dirinya sewaktu dia kecil dahulu dan dia pula bagaikan arwah ayahnya yang selalu menjadi penjaga dia.

Sayangnya, usia arwah ayahnya tidak panjang. Sewaktu ibu dan ayahnya tinggal di sana, politik di Afrika Selatan masih lagi bergolak. Parti Azanian's People Liberation Army (APLA) masih lagi aktif ketika itu. Mereka anti masyarakat berkulit putih. Saban tahun ada sahaja pembunuhan dilakukan oleh pihak APLA terhadap masyarakat kulit putih di sana. APLA dikira sebagai pengganas pada waktu itu. Mereka mengebom tempat-tempat awam dan sayangnya, salah seorang mangsa pengeboman ialah ayahnya sendiri.

Dia masih ingat, 25 Julai 1993.

Mereka sekeluarga mengambil cuti hujung minggu untuk melawat keluarga godfather dan godmothernya, Mr. dan Mrs. Geralderade yang tinggal di Cape Town. Dalam tradisi Inggeris, godfather dan godmother seperti ibu angkat yang akan bertanggungjawab menjaganya andai ada apa-apa berlaku pada kedua-dua ibu bapanya. Cape Town sangat cantik dengan pantai dan alam semula jadinya. Tiga hari mereka di sana, dari Jumaat hingga ke Ahad. Pada hari Ahad mereka ke gereja St. James Church yang terletak di kawasan di Kenilworth. Kawasan tersebut diduduki oleh majoriti masyarakat kulit putih.

Siapa sangka dalam masing-masing khusyuk berdoa, dia merengek ingin keluar. Dia bosan berlama-lama di dalam gereja. Lagipun usianya masih lagi kecil waktu itu. Siapa yang suka berada dalam majlis begitu berjam-jam? Ibunya membawa dia keluar. Bermain-main dengannya di belakang gereja manakala ayahnya, Mr. dan Mrs. Geralderade duduk di dalam menunggu sehingga upacara selesai.

"James, honey let's go back in."

Ibunya tunduk sambil memandang anak matanya. James senyum nakal sebelum berlari menjauhi ibunya yang setia menunggu. Ibunya memandangnya sambil menggelengkan kepala. Dia tersenyum manja kepada ibunya sebelum mengutip bunga yang ditanam di dalam pasu di kawasan gereja. Sekuntum bunga kuning dia hadiahkan kepada ibunya. Ibunya yang cantik bagaikan bidadari buat dirinya. Rambut hitam pekat dan tinggi lampai. Ibunya yang selalu tersenyum dan sangat ceria orangnya.

"Let's go see daddy, mom..."

Ibunya senyum. Anak sulung dia dan David Howards. Lelaki yang dia jumpa sewaktu dia mengembara dari satu negara ke satu negara secara berseorangan. Apabila tiba di Afrika Selatan sepuluh tahun lepas, dia berjumpa dengan David di hotel tempat David bekerja.

David seorang lelaki yang bertanggungjawab, bijak dan pandai mengambil hatinya. Asalnya dia di Afrika Selatan selama sebulan sahaja tetapi apabila kali kedua mereka bertemu, dia yakin, dia mahu tinggal di situ bersama David.

Dia memohon kerja di syarikat yang sama. Setelah tiga tahun bersama, mereka berkahwin dan dianugerahkan seorang anak lelaki yang wajahnya persis dirinya tetapi peribadinya seperti ayahnya. Empat bulan lagi adik perempuan James pula akan menjadi penyeri hidup dia dan David.

Tangan ibunya dia genggam kemas. Mentari bersinar terang di Cape Town walaupun hari sudah petang. Saat mereka baru hendak melangkah ke pintu hadapan, saat itu mereka dikejutkan dengan bunyi tembakan yang kuat. Jeritan panik dari dalam gereja mengejutkan dia sehingga dia sendiri hampir menangis.

Apa yang terjadi?

Kenapa mereka semua menjerit?

Hati kecilnya bagaikan dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Dia mendongak memandang ibunya yang kaku di situ. Tangan ibunya yang tadinya panas menjadi sejuk tiba-tiba. Wajah ibunya pucat lesi dengan mata yang membuntang luas.

"Mommy, what happened?"

Air matanya bergenang takut. Dadanya berdebar sakan. Ibunya bagaikan baru tersedar dari kejutan apabila mendengar suaranya. Cepat-cepat ibunya mendukungnya dan melarikan diri jauh dari gereja. Ibunya berlari dan terus berlari walaupun perut ibu sudah memboyot.

Rumah Mr. dan Mrs. Geralderade letaknya 5 minit perjalanan dari gereja. Apabila tiba di rumah banglo milik Mr. dan Mrs. Geralderade, ibunya terus meluru ke dalam bilik dan mereka menyorok di dalam almari baju. Lama mereka di situ hingga dia tertidur.

Apabila dia bangun, ibunya sedang menangis. Matanya merah dan bengkak. Mr. dan Mrs. Geralderade ada dengan ibunya tapi mana ayahnya? Ibunya duduk di birai katil manakala Mrs. Geralderade sedang memeluk ibunya dan Mr. Geralderade berjalan mundar-mandir dengan wajah yang kusut. Ada kesan luka di bahu dan kakinya.

Apa yang berlaku? Dia terkebil-kebil memandang mereka.

"It was a massacre! This place is not safe anymore!"

Mr. Geralderade menjerit dalam suara terketar-ketar menahan amarah dan geram.

Ibunya semakin kuat menangis. Mrs. Geralderade juga sama.

"I need to go there... I need to see David..."

Mana ayahnya?

"Kita tidak tahu sama ada ianya selamat ataupun tidak Anna... Jangan mengambil risiko. Fikirkan anak-anak tu. Aku percaya itulah apa yang David nak kau buat."

Pujukan Mrs. Geralderade jelas kedengaran di telinganya. Kenapa ia tidak selamat? Bunyi apakah tadi? Bunyi seperti tembakan yang bertubi-tubi dilepaskan di dalam gereja tadi.

"Biar aku yang pergi, Anna. Dah tiga jam dah ni... Sebelum pengganas tu serang, David cakap dia nak keluar cari kalian berdua... Mungkin... Mungkin dia bertembung dengan mereka di pintu utama."

Mr. Geralderade bersuara.

"Ataupun dia berjaya keluar sebelum mereka menyerang... Kita tak tahu, Anna.. Semua orang panik... Aku ingat ada tiga orang yang masuk ke dalam gereja dan menembak semua orang di situ. Kami duduk di barisan paling hadapan, jauh dari mereka. Kami sempat merangkak ke pantri dan keluar melalui pintu belakang..."

Anna tidak menyalahkan mereka. Dia sendiri terus melarikan diri tadi. Demi anak-anaknya. Dia tahu keadaan di Afrika Selatan masih belum stabil. Permusuhan antara masyarakat kulit hitam dan masyarakat kulit putih masih lagi berleluasa. Itu semua gara-gara undang-undang Apartheid yang diimplementasi oleh pihak British sejak tahun 1948. Undang-undang yang membuatkan perbezaan warna kulit menjadi bahan untuk berbunuhan.

Mr. Geralderade meninggalkan rumah. Apabila dia kembali semula, wajahnya sugul. Ibunya yang melihat reaksi Mr. Geralderade menangis kuat. Dia yang menyaksikan bagaikan tahu ada berita buruk yang bakal disampaikan.

Tapi apa?

Mana ayahnya?

Dia duduk di sisi ibunya yang nampak longlai tidak bermaya. Mrs. Geralderade yang dipanggil Jane oleh ibunya masih setia di sisi ibunya.

"Mom, where is daddy?"

Apabila soalan itu terbit dari mulutnya, ibunya menarik nafas dalam. Air mata yang bergenang diseka. Tubuhnya dipeluk erat.

"We'll find daddy."

Ibunya bangun. Jari-jemarinya dipegang erat oleh ibunya. James menurut langkah ibunya. Mrs. Geralderade juga tidak menghalang. Mereka menurut dari belakang. Perlahan-lahan. Dalam samar senja, dapat dia perhatikan gereja tadi dari pintu hadapan. Polis, askar dan ambulans merata-rata. Dadanya berdegup kencang. Setiap langkah yang diambil bagaikan seksaan berat buat hati kecilnya. Semakin mereka menghampiri, semakin kuat bau hanyir darah. Beberapa pihak polis cuba menahan ibunya dari memasuki gereja tetapi ibunya tetap meluru masuk.

Darah.

Darah memenuhi ruang gereja. Keadaan di dalamnya kacau-bilau. Kerusi dan meja berselerakan. Beberapa susuk tubuh diselimuti kain putih masih lagi bergelimpangan di lantai gereja.

"My husband. Where is my husband?!"

Ibunya sudah seperti histeria. Mr. Geralderade pegang tangan ibunya. Memeluknya erat. Jane pegang tangannya apabila ibunya bagaikan hilang seluruh tenaganya untuk berdiri. Dua orang anggota polis bercakap dengan ibunya. Mereka membawa ibunya ke satu susuk tubuh yang terbaring beberapa meter dari pintu masuk tadi.

Apabila ibunya cuba membuka kain penutup, Jane menutup matanya. Datuk dan neneknya dari England datang keesokan harinya. Majlis pengebumian ayahnya dilakukan di England dan mereka tidak lagi menjejakkan kaki ke Afrika Selatan. Hingga sekarang, walaupun dia pernah menjelajah ke merata-rata negara, dia tidak pernah kembali ke sana.

Apabila masyarakat dunia melabel Muslim sebagai pengganas, pada dia pengganas dan keganasan tidak kenal agama dan bangsa. Ia wujud di mana-mana sahaja selagi manusia taasub dengan lahiriah mereka. Warna kulit, darjat, agama, malah apa sahaja perbezaan boleh dijadikan sumber kepada perpecahan. Apabila manusia saling membenci kerana perbezaan antara mereka, saat itu keganasan berlaku.

Minuman Kopparberg diteguknya perlahan sambil matanya merenung ruang kosong. Hatinya sudah habis meruntun pilu. Dia tahu ibunya kuat, dan dia selalu cuba untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibunya.

Sejak peristiwa itu berlaku, dia tidak bertanya lagi pada ibunya ke mana ayahnya pergi. Dia tidak menangis. Dia sendiri saksikan apa yang terjadi. Dia sendiri menjadi saksi ibunya yang menangis saban malam. Dia tidak mahu menambahkan pilu dalam hati ibunya. Dia menjadi matang sebelum usia, tetapi dia senang begitu.

Sedaya upaya dia lupakan apa yang berlaku tetapi memori itu semakin dia cuba padamkan, semakin ia mengetuk mindanya. Akhirnya dia reda apa yang berlaku. Perlahan-lahan mimpi ngeri itu sudah tidak menjengahnya lagi dan kebiasaan mendengar cerita audio sebelum tidur terbawa-bawa hingga sekarang.

Kadang-kadang dia masih lagi meracau dalam tidur tetapi tiada siapa yang tahu kenapa. Dia sorokkan cerita itu dalam-dalam. Dia tidak mahu bercerita pada sesiapa dan tidak pernah bercerita pada sesiapa mengenai kejadian itu. Biarlah duka itu berkubur dalam dirinya.

Habis sebotol Kopparberg, dia terlelap di sofa sehingga siang menjelma. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co