BAB 12
PINTU bilik mama diketuk sekali. Bila dengar mama mengizinkan, Taufiq masuk ke bilik. Tersenyum pada mama yang nampak baru sahaja selesai bersolat.
"Teratai dah balik, Fiq?"
"Ada lagi dekat bawah. Kejap lagi dia baliklah tu. Kak Mek pun dah masuk berkurung." Taufiq duduk di sisi Puan Talhah.
"Esok Fiq minta Teratai temankan Ziyad sementara kita pergi. Mama bagi dia half-day esok, ya? Fiq cakap mama dah bagi. Nanti kot dia tanya mama, mama cakaplah ya. Dia tu patuh betul dekat mama," komen Taufiq.
Komen Taufiq buatkan Puan Talhah sengih lebar. "Dia pernah cakap, seumur hidup dia akan terhutang budi dekat kita sekeluarga. Lagipun, budak tu sebatang kara, Fiq... Kalau bukan pada kita, pada siapalah lagi dia nak menumpang."
"Mama tahu tentang kisah lepas dia?" Taufiq pasang minat. Manalah tahu apa yang dia rasa ni ada benarnya. Kotlah keyakinan Ziyad juga berasas.
"Ziyad ada cakap dekat Fiq, dia yakin dia pernah jumpa Teratai Nur tu tapi dia lupa dekat mana?"
"Mama tak boleh cakap lebih-lebih, Fiq... Sebab mama tak tahu. Dia tu perahsia sangat. Apa yang mama tahu, mungkin ayah dia hidup lagi..."
"Mungkin?" Taufiq tayang riak terkejut.
"Ya..." Keluhan tipis lepas dari celah bibir Puan Talhah. Dia sendiri tak pernah tanya. Dia tahu sikit-sikit aje.
"Ayah yang dia tak tahu hidup atau mati. Tak tahu dekat mana. Mama tak berani nak tanya sebab bila sebut pasal keluarga, memang muka dia berubah. Nak-nak bila mama sebut tentang Tiani, dia senyum tapi mata dia berair. Mama tahu dia cemburu. Dia rindu ibu ayah dia. Cumanya..." Hai... Malas dah nak cakap. Nanti, dia juga turut sedih.
"Mak dia?"
Bibir Puan Talhah menceber lebar.
"Teratai Nur kata ibu dia dah tinggalkan dia dengan ayah dia lama dah. Sejak hari tu, dia tak pernah tahu."
"Macam mana dia boleh terjebak?" Taufiq tak dapat nafi, dia memang tertanya juga tentang hal itu. Tiani tu sebab kawan-kawan. Tidaklah dia salahkan kawan-kawan Tiani sepenuhnya. Adik dia tu sendiri yang tak kukuh iman dalam dada.
"Itu, Teratai tak pernah cakap. Mama pernah tanya tapi dia memang diam tak jawab apa."
Taufiq diam. Cerita-cerita mama cuba dihadam sebaik mungkin. Hujung jari bergerak mengetuk kepala lutut. Dia pandang ke pintu. Bagai tembus hingga ke bawah. Apalah yang Ziyad tengah buat gamaknya?
"Ziyad macam suka Teratai aje, Fiq..."
"Hah?" Terkejut bila tiba-tiba mama menyoal. Hai... Mama pun boleh perasan. "Fiq rasa dia main-main aje, ma."
"Itulah yang mama risaukan." Puan Talhah sembunyikan resah melalui senyuman yang kelat. Tangan perlahan-lahan melipat telekung.
"Mama dah rasa dia macam anak mama. Mama rasa mama tak boleh nak terima kalau dia dipermainkan. Mama tak izinkan Ziyad dekati dia."
Mama serius! Taufiq telan liur.
"Habis tu, takkan mama nak jodohkan dengan Fiq pula?" Saja memancing. Manalah tahu. Mama nampak suka sangat.
"Mama suka dia tak bermakna mama suka dia jadi menantu mama, Fiq. Anak perempuan dan menantu ni adalah dua kedudukan berbeza. Fiq kena faham. Tapi, kalau Fiq suka... Mama tak akan bantah."
"Maaa..." Panjang dia seru mama. Tangan singgah tepat di belakang tangan mama. "Fiq rasa dia macam adik aje. Mama jangan risau. Tentang Ziyad tu, Fiq akan pastikan dia tak buat yang bukan-bukan dekat anak mama tu. Cumanya..." Taufiq jeda. Memikir tindakan Ziyad.
Nak kata muka tak malu, Ziyad tu sebenarnya sangat menjaga air muka sendiri. Kadang-kadang kalau dah susah sangat nak dapat, dia akan tinggalkan begitu saja. Bukan susah. Ada rupa, ada harta, ada kedudukan. Sekali petik, bersusun gadis yang sudi menyerah di tangan Ziyad. Dia tahu tu.
Atau boleh jadi kerana Teratai Nur adalah satu-satunya subjek buat masa sekarang? Gitu?
"Fiq?"
"Eh, ma..." Taufiq tersengih sumbing.
"Ma jangan risaulah. Tiga empat hari lagi, kami balik. Nanti Ziyad tu ke mana, Teratai Nur tinggal dengan mama. Don't worry, mama. Teratai Nur nampak kuat untuk jaga diri sendiri."
Lega. Itulah yang ada dalam dada Puan Talhah. Andai benar bersungguh, tak mengapa. Andai dipermainkan hati rapuh Teratai Nur, dia memang akan sangat marah.
KAIN lap digantung pada birai singki. Teratai Nur dah sedia nak balik. Lagipun, dah malam ni. Mujurlah dia berada dalam keadaan tak solat. Tak adalah kalut sangat. Baru saja dia berpaling, wajah Kak Mek muncul.
"Atai tidur dengan Kak Mek, nak?"
"Eh, tak bolehlah. Esok pagi Atai kena pergi kilang awal. Lepas tu, ada kerja."
"Kerja?"
Teratai Nur angguk.
"Jadi pemandu pelancong."
"Ia ke?"
"Ia. Encik Taufiq minta tolong temankan kawan dia."
Kak Mek bulat mata. Sebut pasal kawan Taufiq, dia pun perasan. Kakinya laju mendekati Teratai Nur yang dah sedia nak keluar. Dah dekat dengan pintu dapur.
"Atai hati-hati nanti. Risau Kak Mek."
Dahi Teratai Nur berlapis dengan kerutan. Dah kenapa pula Kak Mek sampai kena bisik-bisik ni.
"Kak Mek tengok, kawan Taufiq tu minat sungguh tengok Atai. Tak kelip-kelip. Tak kalih-kalih. Kak Mek takut dia jatuh cinta pandang pertama aje."
"Dah pula dah..." Teratai Nur ketawa menyembunyikan rasa sebal dalam dada. Andai mampu dia sergah Ziyad sekali seperti mana Ziyad pernah mengherdik dia setahun yang lalu... Tapi, dia tak akan pernah mampu. Dia manusia lemah lagi hina.
"Dia tengok sebab muka saya comot tak?" guraunya menyembunyikan debar.
Kak Mek mencebik lebar. "Kak Mek pernah muda, Atai. Cara dia tengok Atai tu memang pandangan seorang lelaki pada seorang perempuan."
"Okey..." Teratai Nur tayang wajah pelik.
"Habis tu, macam mana dia nak pandang saya sebab dia memang lelaki?"
"Hish budak ni..." Bahu Teratai Nur ditepuk sekali. "Jangan nak bendul sangat. Pandangan lelaki pada seorang perempuan. Bukan pandangan biasa-biasa, tahu!"
"Ya, Atai tahu, Kak Mek. Sebab tu, Atai tunduk aje. Sebab menjaga pandanganlah tu. Alaa... Kak Mek jangan risaulah. Dia hormat puan dan Encik Taufiq. Dia akan hormat saya juga. Tak pun, kalau betul dia berani usik saya..." Teratai Nur dekatkan bibirnya pada telinga Kak Mek.
"Atai karate dia cukup-cukup." Terus dia gelak.
Kak Mek tarik muka. Orang cakap betul-betul, dia main-main pula budak ni. "Dahlah. Pergi balik. Hati-hati bawa motor."
"Iyalah." Tangan Kak Mek disalami. "Cakap dekat puan saya balik dululah. Dah lewat," pesannya.
Sejak tadi, dia mencuri dengar perbualan Teratai Nur dan pembantu rumah Taufiq. Kata-kata Kak Mek dia harus akui. Betul kot. Dia memang jatuh cinta pandang pertama dekat Teratai Nur. Entahlah... Kerana hati atau nafsu. Seperti yang Kak Mek kata. Pandangan seorang lelaki pada seorang perempuan.
Bibirnya menceber. Paling tak menahan Teratai Nur berani nak karate dia. Tubuh kurus aje tapi semangat besar. Kalau betul nak karate, dia sudi aje. Dia pun bukan tak hebat dalam pencak silat dan seni pertahanan diri ni.
Jelas di mata Teratai Nur sedang melambai pada Kak Mek. Ziyad bawa diri ke belakang sikit. Tak nak dikesan. Melihat Teratai Nur menyarung kasut, dia nampak kaki putih gadis itu. Halkumnya bergerak kasar. Apatah lagi bila matanya menghantar lenggok gadis itu menuju ke arah motosikal, kakinya terus mengikuti.
Terasa diri dibuntuti, Teratai Nur berpaling. Wajah Ziyad tenang. Langkah tak berhenti. Tubuh Teratai Nur kaku tapi Ziyad terus mendekati.
"Esok pukul berapa?" soalnya perlahan.
"Encik Taufiq kata pukul sebelas."
"Tak lewat ke?"
"Itu dah kira awal sangat dah tu. Lagipun, esok pagi saya kena selesaikan banyak kerja." Salah satunya lori Abang Bidin haaa... Nanti penghantaran stok tak dapat mengikut jadual pula.
"Pukul berapa awak masuk kerja?"
"Pagi-pagi."
Ziyad senyum sinis.
"Sebelum subuh?"
Liur ditelan. Teratai Nur tunduk. Disindir begitu, terasa nyilu juga hati. Andai Ziyad tahu siapa dia sebelum ini... Teratai Nur menggeleng dalam tak sedar. Tak boleh nak bayang pun. Menakutkan!
"Pukul sebelas." Dia terus berpaling dan berlari ke arah motosikal. Helmet disarung pada kepala dan terus dia hidupkan enjin. Motosikalnya ditunggang laju meninggalkan pekarangan banglo keluarga Puan Talhah bersama debar yang tak berkesudahan. Dia takut! Sangat takut!
Ziyad terkebil-kebil melihatkan perbuatan Teratai Nur. Dia sendiri pun terkejut. Sepantas kilat. Tak sempat berkata apa. Hai... Perlahan, bibirnya merekah dengan senyuman. Mendongak pada langit cerah biarpun pada malam hari. Matanya terpejam rapat.
Jatuh cinta sungguh ke aku ni?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co