Truyen3h.Co

TAKDIR UNTUK AKU

BAB 3

karyaseni2u

BAHUNYA ditepuk berkali-kali. Seorang demi seorang penghuni yang selama ini menjadi keluarganya dipeluk erat. Saling berpesan dan mengingati. Moga dia tidak lagi kembali menjadi penghuni tempat ini.

"Kau jaga diri, Atai." Pesanan Tia kedengaran keras pada pendengaran Teratai Nur tapi dia tahu, Tia berpesan demi kebaikan.

Dalam ramai-ramai, Tia yang suka panggil dia Atai. Buatkan seluruh penghuni memanggil dia dengan nama itu. Termasuklah Puan Hanah dan warden lain. Dan, Tia jugalah yang paling rapat dengan dia.

"Kau pun jaga diri, Tia. Jangan lupa solat."

Mereka saling merenung. Bertukar senyuman sebelum pelukan bertaut erat sekali lagi. Lebih lama, lebih syahdu bila esakan Tia menyapa pelupuk telinga Teratai Nur. Dia tolak bahu Tia. Air mata pada wajah Tia yang kuning langsat itu disapu perlahan.

Tia terjebak angkara kawan-kawan. Seorang anak orang berada yang punyai segalanya namun siapa menduga, Tia menghabiskan waktunya di sini. Hanya menanti saat dibebaskan saja dan masa depannya pasti terjamin dengan syarikat milik keluarga.

Tidak seperti dia.

Sekarang, dia berpeluang menghirup udara bebas. Seketika nanti, dia akan melewati pagar tinggi itu. Melemparkan senyuman dan lambaian akhir buat mereka, ke mana perlu dia ayun langkah kaki?

"Nah." Tia letakkan secebis kertas di atas telapak tangannya.

"Aku tahu kau risau tak ada tempat nak dituju, kan?" Sekilas air wajah Teratai Nur, dia dah dapat agak apa yang Teratai Nur risaukan. Bukan sekali Teratai Nur ungkit tentang hal yang satu itu. Kerana itu, dia awal-awal dah tolong mana yang mampu.

"Apa ni?" Berkerut wajah Teratai Nur memandang pada Tia.

"Telefon nombor ni. Minta bantuan dia dan dia akan tahu kalau kau bagi tahu nama aku. Dia akan bantu kau mulakan hidup baru, Atai," ujar Tia bersungguh-sungguh. Tangan Teratai Nur digenggam kemas. Berat hati nak lepaskan si teman pergi tapi selama mana mereka akan di sini? Semua yang bermula pasti akan berakhir.

Itu hakikat.

Tersentuh hati dengan perhatian Tia, air mata Teratai Nur tumpah lagi. Jika Tia berat hati melepaskan dia pergi, dia juga dua kali ganda berat hati mahu meninggalkan Tia di sini. Namun, seperti kata Tia... Dia dah temui peluang kedua lantas, kenapa dia mahu persiakan?

"Aku tunggu kau kat luar, ya Tia?"

Tia angguk.

"Kau jangan datang sini balik, ya? Datang melawat tak apa. Datang jadi penghuni kat sini lagi, aku pancung kepala kau." Wajah Tia penuh amaran tapi disambut oleh anggukan oleh Teratai Nur.

Dia berpaling menghadap pagar tinggi itu setelah pelukan terlerai. Menggeletar segala sendi bila langkah pertama bermula. Dikesat sisa air mata pada pipi. Sempat dia berpaling dan melambai pada keluarga yang dia tinggalkan di belakang.

"Semoga berjaya, Teratai Nur. Pandai-pandai jaga diri." Seorang warden tersenyum manis pada dia.

Kepalanya ditundukkan sedikit. Kemudian, dilemparkan pandangan akhir lalu dia melangkah tenang. Tuhan sedang buka jalan untuk dia. Hanya kekuatan dan ketabahan diri saja yang perlu dia pertaruhkan untuk berhadapan dengan masyarakat.

Dan, dia berjanji demi diri sendiri. Dia akan hargai dirinya biarpun tiada siapa memerlukan dia lagi seperti mana dia tidak diperlukan dulu. Wajah menengadah langit. Terang benderang seperti memberi harapan. Bibirnya koyak dengan senyuman. Kemudian, dipejamkan mata rapat. Tak sedar, air jernih itu kembali mengalir melalui juring mata.

Tuhan... Berikan kekuatan pada aku yang lemah ini.

AIR mata mengalir tak sudah-sudah. Mengapa begini? Mengapa ini nasib yang menimpa dia? Jika bukan kerana ayah, tak mungkin dia di sini. Jika bukan kerana kecurangan mak pada ayah, tak mungkin ayah berubah begitu?

Kaki diheret rapat ke dada dan dipeluk erat. Menjadi penghuni lorong-lorong gelap dan kaki lima. Teguran seorang wanita beberapa hari sudah membuatkan dia berfikir banyak kali. Untuk apa dia hidup di atas muka bumi ini jika hanya menjadi sampah masyarakat? Untuk apa dia dihidupkan jika tidak mampu menghambakan diri pada Sang Pencipta?

Tangisnya galak. Di luar pula hujan turun menyimbah lebat. Kesejukan. Kesakitan. Ketagihan. Jika dulu ada ayah yang membantu tapi sekarang, dia benar-benar sendiri. Menggigil jari-jemari dan seluruh anggota badan saat ini. Tiada bekalan. Tiada apa yang mampu untuk buatkan getaran tubuhnya ini berhenti dan tiada pilihan lain melainkan bertahan dan berdoa moga nyawa ni terhenti di sini. Badan diangkat, kaki diayun. Ke mana? Dia jua tiada jawapannya.

Pandangan matanya berbalam. Langkah kaki seperti sudah tak menjejak bumi. Dia menggenyeh mata berkali-kali tapi pandangan dia terus kelam. Entah bagaimana, bila dia membuka mata ada cahaya yang tajam menusuk anak mata yang begitu lama tak memandang cahaya.

"Kat mana ni?" Teratai Nur cuba angkat kelopak mata. Terasa remuk seluruh sendi dan pedih seluruh tubuh.

Sebaik saja kelopak mata terbuka luas, matanya terpaku pada wajah-wajah asing. Berpakaian serba putih bersama seulas senyum. Dengan kudrat yang ada, Teratai Nur menepis kuat. Bila dia cuba bangkit, mereka menahan.

"Jangan, cik. Cik kena langgar lari tadi. Kita dalam perjalanan ke hospital," ujar seorang wanita dan terus dipaksa Teratai Nur berbaring.

"Tak... Tak... Saya nak turun. Berhenti kat sini. Berhenti," pintanya lemah. Dia tak nak ke hospital. Jika ya langgar lari pun, biarlah. Dia nak mati. Hidup pun tak ada guna. Dia sampah masyarakat. Sampah yang mungkin tak boleh nak dikitar semula.

"Sabar sikit, cik. Kita dah dekat nak sampai ni." Dua orang jururawat itu menekan kedua-dua belah bahunya.

Setelah puas melawan, kudratnya tiada tersisa dan Teratai Nur longlai terbaring dalam helaan nafas yang tidak teratur dan juga kepala yang semakin sakit serta pandangan yang kembali berbalam.

Saat ditolak keluar daripada ambulans, dirasakan dunia ini berputar ligat. Wajah-wajah yang mendekat terlalu asing. Dia mahu menangis tapi dia bagai dah tak bertenaga. Dia dengar suara-suara yang jelas risau.

"Cik..." Seorang lelaki tersenyum padanya. "Cik boleh dengar suara saya?

Mata Teratai Nur dikerdipkan sekali. Memberi respons. Setelah itu, lelaki tersebut berlalu dan bila dia kembali, ada seorang wanita di sisinya.

"Oh, Tuhan. Rina kenal dia, Zayed." Wajah wanita muda itu cuak. Apatah lagi melihatkan luka yang masih mengalir darahnya. Macam mana boleh jadi ni? Doktor Zafrina lemparkan pandangan pada Doktor Zayed di sisi.

"Tolong dia..."

Sayup-sayup, suara itu menusuk laju merengkuh gegendang telinga Nur. Tapi, dia masih bingung. Masih sakit. Masih terlalu penat. Dia cuba bangkit.

"Saya o... okey." Dia tak nak rawatan. Dia dah biasa rawat diri sendiri. Luka pada jasad dia akan sembuh dengan sendirinya.

"Cik, jangan macam ni. Dalam luka cik tu." Doktor Zafrina cuba menarik tangan Teratai Nur tapi, dengan sisa kudrat yang masih ada, ditepis tangan itu dan dia terus menapak ke belakang beberapa langkah sebelum dia terkulai dalam pelukan seseorang.

Mata itu redup memandang wajahnya. Dalam pandangan yang kabur, dia bagaikan mengenali wajah itu.

"Kau?"

Sepatah kata itu cukup membuatkan dia cam pemilik suara. Sedaya upaya dia cuba lepaskan diri tapi pelukan lelaki itu kian kejap. Dada Teratai Nur berdebar. Ketakutan menjalar ke seluruh tubuh.

"Apa sampah masyarakat macam kau ni dah buat pada baju aku ni? Hah? Kau nak bayar ke? Atau kau nak ganti balik?" soal lelaki itu penuh sinis. Tak sangka berjumpa lagi dengan perempuan kotor ni di hospital. Rosak segala rancangan dia.

Liur ditelan berkali-kali. Kata-kata itu adalah hakikat dan menerima hakikat itu ada kalanya sangat memeritkan. Mata lelaki itu nampak merah dengan wajah yang begitu bengis.

Tak berdaya lagi menahan rasa sakit, pandangan Teratai Nur benar-benar kelam. Apa yang dapat dia rasa hanyalah tamparan lembut pada pipinya sebelum segalanya padam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co