Truyen3h.Co

TAKDIR UNTUK AKU

BAB 9

karyaseni2u

DUDUK dilabuhkan di sisi Kak Mek. Bagus keluarga Puan Talhah. Tak kiralah siapa. Pembantu rumah atau pekerja, bila ke sini akan dijemput makan semeja. Ya, dia faham. Puan Talhah sendirian. Hanya dia dan Kak Mek saja yang menemani buat masa sekarang menanti Tiani kembali.

"Yad, esok aku tak boleh bawa kau jalan-jalan lagi, tau..." Taufiq memecahkan sepi.

"Dah pula? Kata nak bawa aku masuk Siam..." Baru ingat nak tengok awek Thai yang gebu lagi anggun tu. Kacaulah Taufiq ni!

Puan Talhah sengih. "La, Fiq janji nak bawa Yad masuk Siam ke?"

Ziyad angguk tapi sempat dia kerling pada Teratai Nur. Menyungkur dalam pinggan nasi ke apa budak ni? Menggeleng dia dalam hati. Kot ya pun takut dekat dia... Jangan tunjuk sangat. Sampai dia pun resah.

"Tak adalah janji sampai Siam, ma. Sekarang ingat senang ke nak masuk secara haram? Lagipun, Ziyad ni bukan boleh nampak jenis kulit mulus macam pulut ni. Nanti dia tumbuh tanduk..."

"Fiq..." Ziyad siku Taufiq kuat. Apalah. Malulah dengan semua orang.

"Taklah, ma..." Sempat Taufiq membetulkan ayat. "Fiq gurau aje. Dia cuma teringin nak masuk Siam naik perahu ikut Sungai Golok tu."

"Kalau gitu, bawa masuk ikut Munduk ajelah," cadang Kak Mek pula.

Taufiq geleng kepala.

"Tak boleh, Kak Mek. Lagipun, Fiq janji sampai Tumpat aje. Lagipun dia tak pernah sampai situ. Tak percaya bila Fiq cakap ada kaum Siam duduk situ."

"Eh, ada, Yad..." Laju Puan Talhah mengiakan.

"Situ, kalau hari Wesak memang meriah. Lagipun, situ ada patung Buddha yang terbesar di Asia Tenggara ni. Siap terbaring lagi. Usianya dah beratus tahun. Menjadi salah satu daya tarikan pelancongan dekat Kelantan ni juga. Tidaklah Kelantan ni teruk macam yang orang luar rasa tu. Kami ni walaupun berlainan bangsa dan agama, kami saling menghormati. Dan, ada satu persamaan kami."

"Apa tu, aunty?" Teruja Ziyad menyoal.

"Loghat..." Puan Talhah senyum.

"True, mama. Indeed," sampuk Taufiq laju sambil gelak.

"Lagipun, dalam perjalanan tu nanti kita akan nampak satu masjid yang cantik. Diilhamkan daripada Forbidden City."

"Kota Larangan? Yang macam dekat Beijing tu?" ulang Ziyad. Kotlah Taufiq ni sebut lain, dia faham lain.

"Iyaaa, sayang," gurau Taufiq sambil ketawa.

Teratai Nur yang mendengar kerut kening. Dah sayang, sayang pula dua orang jejaka ni? Geli pula dia. Dia dan Tiani pun ada aje bersayang-sayang segala tapi tak pula rasa geli.

"Kalau kau masuk masjid tu, Yad... Kaki kau tenggelam. Karpet dia tebal betul. Dan seni ukiran dia memang buat kau rasa kau duduk dekat Forbidden City." Ghairah Taufiq bercerita. Nak juga Ziyad tahu, yang Kelantan ni menarik.

"Eh, kena pergi ni, Fiq..."

"Jangan pergi saja. Solat sunat dalam tu," sampuk Puan Talhah tersenyum.

Ziyad garu kepala. Angguk dan dikerling sekali lagi pada Teratai Nur. Mak aih... Sejak tadi tak angkat kepala langsung.

"Lagi satu, dekat area Tumpat tu ada satu masjid di Kampung Laut. Memang nama dia Masjid Kampung Laut. Menarik tentang masjid tu adalah seni bina dia adalah tanpa menggunakan paku. Itu kena tengok juga tu," tambah Puan Talhah.

Senyuman Ziyad terus terukir. Ingatkan Kelantan ni mundur. Ialah, sekadar tengok berita. Manalah dia pernah sampai sini.

"Tapi, kita tak pergi esok kan, Fiq?"

Taufiq angguk.

"Esok aku dengan mama ada hal." Ziyad masih tak tahu tentang adik dia, Tiani dan dia pun malas nak cerita tentang keaiban keluarga. Biarlah menjadi rahsia buat masa sekarang. Yang tahu pun Qadr aje.

"Kalau kau bosan, esok kau pergi ajelah jenguk Qadr. Tempat dia dah dekat dah dengan rumah aku ni."

Wajah Ziyad bersinar. "Laaa... Aku memang tak tahu rumah kau dah dekat dengan Qadr. Tapi, bukan dia dekat Terengganu ke?"

"Eh, Yad... Gong Kedak tu sempadan Kelantan Terengganu. Ini kampung akulah, Pasir Puteh. Dah dekatlah. Esok kau pergi ajelah jenguk dia. Lagipun, aku cakap dekat dia, aku bawa kau balik kampung..."

"Okey. Aku paksa dia cutilah."

"Oh, tak boleh. Qadr ada training."

"Pula dah?" Wajah yang tadi ceria kembali mendung.

Masuk angin keluar asap. Ziyad terus suap makanan ke mulut. Ini pertama kali dia makan lauk kampung. Paling menarik pucuk ubi celur tu, ha. Pernahlah dia jumpa tapi tak terlintas nak makan. Hari ini terhidang... Tengok Taufiq berselera buatkan kecur liur dia. Sesekali, dia masih mencuri pandang pada Teratai Nur.

"Kau dok renung dia aje, sampai nak angkat muka pun dia takut."

Ziyad berpaling bila Taufiq berbisik dekat dengan telinganya. "Aku tengok sebab dia dari tadi tak angkat muka. Aku takut dia tidur menyungkur dalam pinggan pula."

"Gila," cebik Taufiq.

"Dia seganlah tu. Aku pun mana pernah jumpa dia hari tu. Mama aje dok cerita pasal dia."

"Mama kau berkenan dekat dia tak?" usik Ziyad.

"Aku rasa, ya."

"Kau nak?"

"Kalau aku nak..."

Ziyad tegakkan tubuh. Memandang Taufiq penuh amaran.

"Bagi aku try dululah. Kalau error aku bagi kau." Senyuman tergaris kemas.

"Sah memang kau ni tak sedar diri lagi." Taufiq buat muka. Memandang pada Teratai Nur yang masih tunduk.

"Kot ya pun lapar sangat, Teratai... Kenapa sampai nak masuk dalam pinggan tu?" usik Taufiq.

"Eh, saya... Errr... Saya dah siap, puan." Teratai Nur angkat kepala.

Telinga dia dengar sipi-sipi suara Taufiq dan Ziyad berbisik dan sebutan yang jelas adalah nama dia. Malas lagi menjadi bahan, baiklah dia bawa diri. Lagipun, dia dah tak boleh nak telan nasi lagi dah.

"Hai... Sikit aje makan?" Kak Mek pandang wajah Teratai Nur yang dah bangkit.

"Itulah. Makanlah sikit lagi, Teratai. Tak luak apa pun lagi," tambah Puan Talhah.

Teratai Nur menggeleng dalam senyuman tipis. Dia tak boleh nak cakap ni. Ada lagi saki-baki makanan yang belum dia kunyah dalam mulut ni.

Kakinya diatur laju ke dapur. Sampai saja di singki, makanan yang ada dalam mulut diluah. Paip dibuka dan terus dia berkumur. Sesak dada dia. Diumpat depan mata. Apalah yang Taufiq dan Ziyad bualkan? Dia takut. Dia masih trauma.

Mata terpejam. Dada ditepuk berkali-kali. Sengkak. Tersekat dengan makanan rasanya. Paip sekali lagi dibuka. Teratai Nur tundukkan kepala dan menadah mulut yang ternganga di bawah air yang mengalir.

"Kena taun nanti teguk air paip."

"Uhuk..." Teratai Nur angkat kepala. Terbatuk kasar. Basah separuh wajah dan selendangnya. Terkejut bila ditegur secara tiba-tiba. Nak-nak yang menegur itu adalah orang yang tak mahu dia tatap.

"Kenapa minum air paip? Buat sirap selasih sedap-sedap, tapi diri sendiri teguk air paip. Pelik."

"Errr... Saya dah biasa." Wajah berkerut. Itulah alasan dia sejak dulu. Bila dilarang itu ini, dia akan jawab dah biasa.

Ziyad hulurkan pinggan kotor.

"Saya nak basuh tangan. Boleh tepi sikit?" Terus dia dekati tubuh Teratai Nur dan laju juga gadis itu mengelak.

Bibir Ziyad terukir senyuman senget. Hai... Baru usik sikit dah menggeletar. Tak tahulah kalau dia betul-betul mendekat. Gamaknya, terpenggal segala sendi perempuan ni. Kepala paip ditutup. Kain lap tangan dicapai. Bersendeng di singki yang hanya ada di paras pinggul.

"Boleh saya tanya?"

Teratai Nur jatuhkan kepala. Kaki dia sedang kebas. Andai tidak, dah lama dia buka langkah seribu.

"Awak takut dekat saya, ya?"

Laju pula Teratai Nur menggeleng. Dulu ya. Dia benar-benar takut dengan dunia dan masyarakat tapi sekarang, dia hanya takut akan dosa silamnya dan juga Tuhan.

"Habis tu, kenapa sejak mula-mula saya sampai hingga sekarang, saya nampak awak gigil aje. Atau awak sejuk? Rasanya sekarang tengah panas." Tak faham juga dia kenapa Teratai Nur mesti resah gini gaya berdepan dengan dia.

Dia menapak ke depan. Teratai Nur juga bergerak selangkah ke belakang.

"Atau kita ni ada kisah lalu?" duganya. Kotlah benar apa yang dia telah. Teratai Nur adalah salah satu mangsa 'error' dia.

"Awak kenal saya?"

Kepala Teratai Nur menggeleng laju. Menafikan kebenaran. "Saya keluar dulu." Baru nak melangkah, kaki yang masih lemah hampir buatkan dia terjelepok. Mujurlah Ziyad laju menyambar lengannya. Membantu dia berdiri.

"Kenapa?" soal Ziyad jengkel. Lengan gadis itu masih kemas dalam cengkaman. Dia pandang kaki Teratai Nur. "Kebas?"

Tiada jawapan melainkan Teratai Nur tarik tangan sendiri. Anehnya perempuan ni. Jangan kata nak pandang dia, malah ada dekat dengan dia pun Teratai Nur nampak sebegini resah. Bukan kerana teruja, tapi dia nampak Teratai Nur lebih pada tak selesa.

Tak selesa bertentangan mata dengan Ahmad Ziyad adalah perkara yang tak pernah berlaku antara dia dan perempuan lain.

"Saya rasa macam pernah jumpa awak. Cuma tak ingat dekat mana atau bila," sambung Ziyad bila dia dah tahu yang hanya dia saja yang bersuara. Sedaya upaya dia cuba korek lubang ingatan yang tertimbus.

Mana?

Siapa?

Bagaimana pertemuan itu?

Dan, bagaimana pula perpisahan?

"Saya tak pernah kenal sesiapa." Jawapan Teratai Nur gugup.

Bola matanya tak henti berputar. Tak tahu di mana harus dia pasakkan pandangan. Dia rimas sangat. Udara dalam rumah Puan Talhah yang besar ini dirasakan begitu sedikit.

Tak cukup untuk dia hela.

Nafas dia kian sesak dan dia boleh pitam andai Ziyad terus mengasak.

"Minum air ni dulu, awak..." Melihatkan Teratai Nur yang tak tentu hala, Ziyad cepat-cepat hulurkan segelas air.

Tanpa fikir panjang, tangan halus Teratai Nur menyambutnya. Terketar-ketar dia memegang gelas. Ziyad mendekati. Menyilangkan tangan ke dada. Ikut hati dia nak aje terus peluk tubuh perempuan ni tapi ini rumah orang. Lagipun, bukan dia untuk mengambil kesempatan dalam keadaan yang nampak begini tersempit.

Teratai Nur takut!

Itu yang dia dapat simpulkan biarpun gadis ini menidakkan.

Ziyad pandang bening mata itu. Mata bundar yang sesekali nampak layu. Alis mata yang panjang tapi tak lentik mana. Kening hitam yang sedia tipis terandam. Dahinya berkerut. Dia makin merapati dan sebaik saja mata mereka bertentangan, Ziyad lebarkan senyum.

"Saya memang pernah kenal awak sebelum ni, Teratai Nur."

Gelas di tangan Teratai Nur jatuh ke lantai. Pecah berderai. Dia... Hampir pitam. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co