Prolog & Bab 1
LEKA Thia melukis. Gadis yang bertugas sebagai guru di salah sebuah tadika sedang leka melukis sementara menunggu masa untuk keluar rumah. Sejak kecil lagi dia memang berminat dengan lukisan. Bila ada masa yang terluang, dia akan habiskan masanya dengan melukis. Dia akan lukis apa saja. Gambar bunga, gambar pokok, gambar rumah atau apa-apa saja yang terlintas di dalam kepala. Tapi lukisan pemandangan memang menjadi kegemarannya. Ketika melukis, dia akan terlupa sekejap dengan semua masalah yang ada di sekelilingnya.
"Allah!" Dia tersedar tiba-tiba. Inilah punca kenapa dia selalu saja terbabas. Kalau sudah dapat melukis, memang lupa segalanya. Diri sendiri pun dia boleh lupa.
"Aduhai, kenapa aku boleh tak ingat ni?" Kelam-kabut dia tinggalkan kerja-kerjanya. Leka dengan kerja-kerja melukis hampir dia terlupa masa untuk tinggalkan rumah sudah berlalu selama sepuluh minit. Sah, kena tinggal bas lagi.
Thia ambil bekas makanan yang sudah dia isi dengan nasi goreng. Dan juga bekas minuman yang berisi teh O. Bekalan yang bakal mengisi perutnya waktu rehat nanti. Hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur ini, Thia perlu berjimat cermat. Bukan disebabkan tekanan hidup sahaja, tapi masih banyak impiannya yang memerlukan dia menabung dan beringat selalu. Dia tidak boleh boros sama sekali.
Kedua-dua bekas dia letak di dalam beg plastik. Walaupun dia sudah kesuntukan waktu, Thia tetap lakukannya dengan tertib dan tenang. Thia memang begitu. Sangat pentingkan kesempurnaan.
Selesai semuanya, Thia bergegas tinggalkan rumah. Rumah flat kos rendah yang terletak di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur itu dihuni bersama seorang sahabat sekampung bernama Ati. Ati yang bekerja sebagai pembantu jualan di salah sebuah pusat membeli-belah itu awal-awal lagi sudah keluar bekerja. Mereka hanya akan bertemu pada petang atau malam nanti mengikut syif kerja Ati.
Thia lajukan langkahnya memandangkan dia perlu menaiki bas untuk ke tadika tempat dia mengajar. Bukan tidak boleh berjalan kaki, tetapi mengambil masa yang agak lama. Memang dia tidak mahu datang lewat kerana sebagai seorang guru, dia harus tunjukkan teladan yang baik buat anak muridnya.
Walaupun begitu, dia tetap gembira dan wajahnya nampak sangat ceria. Tiada apa yang perlu dia gusarkan. Sesungguhnya, sebahagian daripada hidupnya sudah dia lalui dan tinggal lagi sebahagian untuk dia penuhi. Insya-Allah, dia akan bekerja keras untuk memenuhi semua impiannya.
Hidup ini bukankah penuh dengan harapan dan impian? Tak salah untuk memiliki semua harapan dan impian itu. Selagi berusaha dan Tuhan mengizinkannya, semua akan menjadi nyata suatu hari nanti.
ADIL, lelaki biasa-biasa saja yang cuba berusaha untuk menjadi luar biasa di dalam dunianya yang tersendiri. Mana tidaknya, dia buat dunia ini serupa dia yang punya. Suka hati dialah. Prinsipnya mudah, apa yang bakal berlaku akan tetap berlaku. Jadi, tak perlu nak rancang apa-apa. Baginya, semua sudah tertulis dan dia hanya perlu jalani apa yang sudah tertulis.
Ya, hidup ini sangat ringkas!
Pagi ini dia sambung lagi aktiviti yang sedia dia lakukan sebelum ini. Satu-satunya pekerjaan yang paling dia suka ialah melukis. Tapi dia hanya suka lukis watak komik. Benda lain dia tidak berminat.
Mungkin sejak kecil, pengaruh hero ciptaan seringkali menguasai dirinya sehinggakan terbawa-bawa ke alam dewasa.
Dia tutup komputer riba yang terletak di atas meja yang cukup berserabut dengan kertas lakaran. Kemudian mata melilau mencari beg galas.
Hari baru. Bermula sehari lagi. Adil harap hari ini akan menjadi lebih baik daripada semalam walaupun dia masih lagi begitu. Kerja pun tak menentu. Hanya pelukis komik. Tapi dia suka dengan apa yang dia lakukan sekarang. Dia suka dengan kehidupannya yang serba bebas.
Sambil bernyanyi kecil, dia keluar rumah. Lakaran proposal untuk komik keluaran baru sudah dia siapkan. Harap kali ini juga bakal diterbitkan.
Motor kapcai sudah sedia menanti. Kenderaan yang setia membawa Adil ke mana saja. Setakat sekarang, tiada banyak ragamnya.
Sambil menunggang motosikal, Adil minum air. Memang itu kebiasaan yang dia lakukan. Relaks, kalau tekak kering kat mana pun boleh gogok air.
Habis saja air di dalam botol, selamba saja Adil baling ke tepi jalan.
Botol mineral Adil terbang dan jatuh berhampiran Thia, sipi-sipi hampir terkena kepala Thia. Mahu tak terkejut cikgu sekolah tadika tu. Dia sudahlah sedang berangan. Baik punya angan-angan. Tiba-tiba ada benda jatuh. Mujur tak pengsan.
"Arghhh!" Thia menjerit. Kemudian dia pandang belakang untuk mencari orang yang bertanggungjawab melakukan kerja yang seperti orang tak pernah pergi sekolah itu. Sesuka hati buang sampah merata-rata. Buat serupa kawasan situ keturunan dia yang punya. Waktu itu dia hanya mampu melihat motor kapcai Adil yang sudah jauh.
"Kalau aku dapat, memang kena dengan aku!" bebel Thia sendirian.
"Tak sekolah sungguh!" katanya lagi bersama perasaan yang sangat geram.
Dia pungut botol dan buang ke dalam tong sampah yang berdekatan dengan perhentian bas. Kebetulan perhentian bas tersebut terletak berhampiran dengan tadika tempat dia mengajar.
"Malang sungguhlah siapa yang jadi isteri lelaki tu." Thia geleng. Memang dia rasa geram sangat. Pun begitu dia sambung melangkah.
Bab 1
Sesi mengajar hampir selesai untuk hari itu. Tinggal sesi bercerita saja lagi. Thia sangat gembira melayan kerenah anak-anak muridnya yang baru berusia lima tahun itu.
Apabila ditawarkan pekerjaan tersebut hampir dua tahun lepas, Thia langsung tidak berfikir panjang walau terpaksa berjauhan dari kampung halaman. Memang dia sukakan kanak-kanak.
Dia duduk di atas kerusinya sambil memegang buku bertajuk Kisah Nurbaya dan Aiman. Buku tersebut merupakan buku yang dia lukis sendiri. Selalunya Thia akan bercerita menggunakan cerita yang dia lukis. Hanya sesekali dia akan bercerita berdasarkan kisah tauladan yang sedia ada. Bagi Thia, dengan cara itu dia lebih berpuas hati kerana terubat juga rindu terhadap anak-anak saudaranya di kampung. Nurbaya dan Aiman merupakan anak saudara Thia yang selalu saja menjadi inspirasi Thia untuk melukis. Anak-anak muridnya pula kelihatan sangat berminat untuk mendengar cerita selanjutnya.
"Nurbaya lari, lari dan lari ke belakang rumahnya. Nurbaya senyum gembira apabila dia lihat pokok limau yang dia tanam, akhirnya hidup subur." Thia tunjuk gambar yang terdapat di dalam bukunya. Semua kanak-kanak bertepuk tangan kegembiraan.
"Sebab apa pokok limau hidup subur?" soal Thia sambil memandang wajah anak-anak muridnya seorang demi seorang.
"Sebab dia siram air," kata salah seorang kanak-kanak dengan girang.
"Sebab dia siram dengan?" soal Thia lagi dan masih memandang ke arah anak-anak muridnya. Dia melirik senyum. Wajah-wajah comel itu dia tatap dengan rasa kasih. Betapa sucinya jiwa anak-anak itu. Seperti kain putih yang masih tidak tercorak dengan sebarang warna. Kalaulah suci bersih itu kekal sehingga dewasa, alangkah bagusnya. Tidaklah serupa lelaki tidak bertanggungjawab yang melempar botol mineral sesuka hati itu. Geram saja Thia setiap kali teringat kejadian tersebut.
"Kasih sayang..." jawab mereka beramai-ramai.
"Pandai..." balas Thia.
"Nak lagiii, nak lagiii, nak lagiii." Kanak-kanak menjerit. Dan loceng pun berbunyi menandakan waktu pembelajaran sudah berakhir.
"Esok pula, okey?" kata Thia memujuk.
"Ala, teacher. Sambunglah..." Seorang kanak-kanak perempuan merayu.
"Esok teacher sambung. Sekarang masa untuk pulang. Nanti mama dan papa bising kenapa keluar lambat." Lembut saja Thia memujuk.
Nampak benar wajah kanak-kanak itu kecewa. Sesi bercerita memang sentiasa dinantikan oleh mereka semua, sebab itu setiap hari Thia berhadapan dengan masalah yang sama. Masing-masing mendesak agar Thia bercerita lagi.
"Teacher janji, okey?" Thia terpaksa memujuk. Kalau diikutkan kehendak anak-anak muridnya, memang lambatlah keluar. Nanti mulalah ibu bapa bertanya kenapa keluar lambat. Thia tahu ada sesetengah ibu bapa mencuri masa bekerja untuk menjemput anak-anak masing-masing demi keselamatan anak-anak mereka juga.
"Okey," balas anak-anak murid Thia seperti mengalah. Masing-masing datang menghampiri Thia dan memeluknya. Masing-masing berebut-rebut nak peluk Thia, sampai Thia nak tumbang ke belakang. Kecuali seorang kanak-kanak bernama Alif. Dia tak ada ruang nak peluk Thia. Dia tunggu di belakang.
Sudah peluk, mereka semua keluar dari bilik. Tinggal Alif seorang. Dia tunggu semua keluar. Kemudian Alif pergi peluk Thia.
"Bye, teacher. Assalamualaikum," kata Alif dan dia berlari ke arah luar.
"Waalaikumussalam. Bye Alif," balas Thia sambil tersenyum. Terhibur dia dengan telatah anak-anak muridnya. Memang betul kata orang. Kerjaya seorang guru tadika perlukan kesabaran yang tinggi kerana melibatkan pengaruh emosi kanak-kanak. Perasaan mereka mudah tersentuh, jadi sebagai seorang guru tadika, Thia sudah melengkapkan dirinya dengan itu semua. Tegas namun penuh kasih sayang.
Thia ambil begnya. Dia masukkan buku cerita hasil tulisannya ke dalam beg lalu keluarkan seberkas kertas. Kesemuanya iklan tulisan tangan. Antaranya tertulis:
KELAS MENGAJI DI RUMAH ANDA.
HARGA DAN WAKTU BOLEH DIRUNDING. HUBUNGI: FATHIA DI 012-22334455.
Boleh juga dia mencari sedikit duit lebih dengan mengajar anak-anak mengaji. Kata Ati, di Kuala Lumpur ini semua pun boleh buat duit. Pokok pangkalnya kena rajin berusaha.
Selesai mengemas, dia minta diri daripada guru lain. Dia ada tugasan lain selepas ini. Kali ini dia perlu lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Tanpa usaha, mana boleh impian jadi kenyataan.
Berbekal semangat yang berkobar-kobar, dia berjalan menuju ke kawasan perumahan. Kertas iklan mengaji tadi dia masukkan ke dalam peti surat di salah sebuah rumah. Kemudian dari sebuah peti surat ke sebuah peti surat dia masukkan kertas iklan tersebut. Akhirnya Thia sudah sampai ke rumah hujung. Tinggal beberapa keping kertas iklan di tangan. Dia tengok jam dan dia senyum sendirian.
Selepas itu dia berjalan menuju ke perhentian bas berdekatan yang terletak di bawah bukit di hujung jalan.
Sementara itu, Adil juga sudah mahu pulang selepas menyerahkan lakarannya kepada salah sebuah penerbit yang menerbitkan komik-komik dalam bahasa Melayu. Lelaki itu menunggang motosikal dari arah bertentangan dengan Thia.
Thia atur langkah menuruni bukit untuk sampai ke perhentian bas tanpa menyedari ada seseorang sedang mengekorinya. Kemudian Thia nampak bas sudah menghampiri perhentian bas. Dia berlari-lari anak takut tak sempat untuk menaiki bas. Namun tak sempat juga apabila bas terus berlalu. Mungkin tak ada orang yang menunggu di perhentian bas jadi bas langsung tidak berhenti.
Thia berusaha juga mengejar bas, khuatir dia akan terlewat sampai rumah.
"Eh-eh... Tunggu. Tunggu... Tungguuu!" Thia melaung sambil melambai bas. Masih berusaha walau bas sudah bergerak dengan laju. Tiba-tiba dia terpelecok kerana terpijak batu.
"Aduh!" Thia mengaduh kerana kakinya terasa sakit. Tumit kasutnya yang tidak terlalu tinggi itu tercabut. Kasut murah, mungkin gam pada tumit kasut tak kuat. Thia terpaksa berhenti lari.
Bas terus berlalu. Gagal juga Thia mengejar bas sehinggakan tercabut tumit kasutnya. Dia tercungap-cungap kepenatan namun mata masih pandang ke arah bas yang sudah pergi. Sambil mengipas asap bas, dia tunduk lalu pegang tumit kasut yang dah tertanggal.
"Masa inilah dia nak tercabut." Thia merungut dengan loghat belah pantai timur yang agak pekat. Thia berdiri sambil menghela nafas, kepenatan mengejar bas belum hilang.
Ketika itu Thia tak sedar langsung ada sebuah motosikal kapcai tak jauh dari situ menuju ke arahnya. Tiba-tiba saja lelaki itu menyambar beg tangan Thia.
"Arghhh!" Thia menjerit kerana terkejut. Tiba-tiba saja, namun Thia tetap berusaha mempertahankan beg tangannya.
"Lepaslah, tak ada kerja ke? Bagi balik beg aku!" Thia menjerit. Mereka bertarik-tarikan di situ. Akhirnya peragut itu menolak Thia. Sudahnya Thia jatuh tersembam ke atas tanah.
"Hei, tak guna!" Thia menjerit sekuatnya. Hampir saja dia hendak menangis mengenangkan beg tangannya yang sudah dibawa lari.
Di seberang jalan, Adil nampak Thia sudah tersembam di atas tanah manakala peragut sudah melarikan diri. Tanpa berlengah lagi, Adil terus pecut untuk mengejar peragut sehingga dia berada di sebelah motor peragut. Adil sempat menarik beg tangan Thia. Dia tarik beg tersebut sehingga terjadinya adegan tarik-menarik di situ.
"Hei!" Adil bertempik.
"Hoi!" balas peragut.
"Hoit!" Naik angin Adil. Main kasar pula mamat ni.
"Blah la! Carilah sendiri!" kata peragut.
"Apa pasal? Kau ingat aku geng kau ke?" soal Adil. Aku sekacak ini disangka peragut? Mamat ni memang silap banyak. Masa itulah peragut rentap kembali beg dari tangan Adil. Beg terlepas dari tangan Adil. Apa lagi, bukan main suka si peragut. Dia kegirangan sambil angkat-angkat beg. Selepas itu dia pecut.
Mencanaklah darah Adil. Macam mana superhero boleh kalah? Ini tak boleh jadi. Terus Adil kejar. Kau belum kenal lagi aku siapa. Ini Adil, superhero terkenal!
Ketika menghampiri motosikal peragut, terus Adil tendang motosikal si peragut.
"Hah, ambil kau!" Peduli apa Adil. Motosikal peragut hilang imbangan, tumbang di tepi jalan dan bergolek ke atas tanah. Adil berhenti di depan motor peragut. Sempat dia letak beg galasnya di tepi motosikal. Dia tarik beg tangan Thia dari tangan peragut.
"Mintak sini!" jerit Adil.
Peragut kuis kaki Adil. Adil pula tersembam. Mulalah adegan tumbuk-menumbuk. Akhirnya, Adil berjaya duduk di atas peragut. Dia angkat tangan macam menang game.
"Ini kerja kau selama ni rupa-rupanya. Nak senang saja. Kerja malas!"
Peragut pulas kaki Adil, Adil tersembam sekali lagi di atas jalan. Tapi Adil sempat sambar semula beg Thia. Dia peluk dan meniarap sambil tak lepaskan beg. Adil rasa loya.
"Polisss! Polisss! Tolonggg!" Adil jerit lagi. Peragut geram, Adil pula yang pulas kaki peragut. Peragut tersembam. Kebetulan ada sebuah ambulans yang sedang berbunyi menuju ke arah mereka.
"Sakitlah, bodoh!" jerit peragut.
"Polis! Sini! Sini!" Adil pula menjerit. Waktu itu Adil memang betul-betul rasa mual. Dia memang tak mampu lagi untuk berlawan dengan si peragut. Jadi, dia perlukan helah untuk mengalahkan lelaki yang meragut beg tangan Thia.
"Polis, di sini ada seorang peragut!" jerit Adil lagi. Tanpa berlengah, si peragut bangun. Namun ketika itu Adil sudah termuntah di kaki peragut.
"Hoiiii! Euuu." Peragut cepat-cepat kesat kasutnya di atas rumput bersama rasa loya. Kemudian dia bergegas angkat motor dan beredar dari situ.
Adil pun rasa geli dengan muntahnya sendiri. Dia sapu mulutnya dengan baju. Masa itulah ambulans lalu di hadapannya dengan bunyi yang kuat.
"Ambulans la, bodoh!" kata Adil sambil ketawa. Dia kegirangan. Seperti seorang budak lelaki yang sudah memenangi perlawanan sesebuah game. Tapi ketawanya terbatas sebab luka yang dialaminya.
Thia dari tadi hanya melihat kejadian tersebut. Ketika itu dia benar-benar terkejut. Melihatkan Adil yang tersembam tadi, berkerut-kerut muka Thia, macam dia pula yang kena tumbuk dan tersembam ke atas lantai.
Thia berjalan menghampiri Adil.
"Awak okey tak? Ya Allah, teruknya." Thia terkejut melihat keadaan Adil. Tidak sangka keadaan lelaki itu akan jadi seburuk ini. Sampai termuntah lagi tu. Memang betul-betul punya bergaduh. Lelaki kalau dapat bergaduh memang tak ingat dunia.
"Teruk juga luka awak ni. Nak saya buat macam mana?" soal Thia lagi. Tiba-tiba saja dia rasa sangat serba salah apabila melihat keadaan Adil begitu.
Adil bangun dengan perlahan sambil menahan kesakitan. Mukanya sedikit lebam. Lengan juga luka. Laju saja dia hulur beg tangan kepada Thia.
"Ambil balik beg awak!" kata Adil sedikit kasar. Kemudian dia menjeling Thia. Muka polos, padanlah kena ragut.
"Sakit ke?" soal Thia.
Adil jeling tajam. Dah berdarah masih tanya sakit ke tidak? Perempuan ni karang tak pasal kena juga dengan aku. Aku dah jadi superhero untuk dia, boleh lagi dia tanya soalan bodoh tu. Langsung tak cakap terima kasih.
"Eh, mestilah sakit. Luka tu. Sampai luka-luka. Terima kasih sebab awak bertarung nyawa untuk selamatkan beg saya."
Adil masih pandang muka Thia. Apa jenis perempuanlah yang dia jumpa. Bosan betul Adil mendengar bebelan Thia. Dia pandang lengannya yang sudah berdarah.
"Teruknya luka tu. Kejap. Saya ada plaster dalam ni. Nasib baik bawa." Thia tercari-cari sesuatu di dalam begnya. Dia keluarkan beg kecil dari dalam beg tangannya.
"Tu la, lain kali beg tu jangan ayun-ayun sangat. Jangan nak menayang sangat. Itu namanya, mengundang bala!" Adil meluah rasa ketidakpuasan hatinya. Dah kalau berjalan tu serupa nak sedekah beg tangan kat peragut, memang dapatlah.
Thia yang sudah keluarkan plaster terus pandang Adil dengan rasa cukup bengang. Kata-kata Adil itu memang benar-benar buat Thia terasa. Macam dia suka sangatlah kena ragut.
"Siapa yang mengundang bala?!" soal Thia dengan suara yang agak tinggi. Suka-suka hati nak tuduh orang undang bala.
"Orang perempuan la. Ada beg tangan nak tayang-tayang. Tu pasal kena ragut." Tak teragak-agak langsung Adil bercakap. Peduli apa dia. Dah betul pun. Kalau tidak, masakan kes ragut berleluasa.
"Eh. Awak salahkan saya ke?" Marah bukan main lagi Thia. Dia tak boleh terima tuduhan Adil itu. Tak terfikir pun nak tayang beg tangan. Bukannya ada apa pun dalam beg tangan dia tu.
"Ada orang lain ke kat sini?" Adil buat pandang kiri kanan. Boleh lagi tanya soalan macam tu sedangkan hanya mereka berdua saja di situ.
"Eh, saya ni mangsa tau tak?" Thia pandang muka Adil. Geram saja dia tengok.
"Cuba tengok sekarang ni. Awak ke saya yang mangsa? Tengok ni." Luka ditunjuk kepada Thia.
"Awak nampak ni darah ke air sirap?" Sengaja Adil tayang-tayang lagi lukanya supaya Thia lebih jelas dengan apa yang dia kena tanggung sekarang ini.
"Siapa suruh tolong? Saya tak suruh, kan? Nak berlagak hero sangat, lepas tu kompelin!" bebel Thia.
"Siapa berlagak hero? Awak nampak tak macam mana saya belasah dia tadi? Tak ada berlagak-berlagaknya. Memang hero kut," balas Adil separuh geram. Dah tolong banyak bunyi pula.
"Hesy! Nah, ambil. Terima kasihlah tolong. Walaupun tak ikhlas!" Plaster dia campak kepada Adil. Menyesalnya jumpa lelaki ni. Kalau tidak, taklah sakit sangat hati.
Thia cuba sangkut begnya di atas bahu tapi begnya jatuh ke atas tanah sebab tali beg sudah putus. Dia ambil dan peluk begnya. Tanpa menunggu lagi dia terus berlalu dari situ sambil merungut.
Adil pandang dengan jelingan tajam ke arah Thia sambil ambil plaster yang jatuh di hadapan. "Cakap terima kasih pun tak ikhlas!"
Dia berjalan ke arah motosikal dan nak beredar dari situ. Sebelum tu sempat lagi dia pusing pandang ke arah Thia.
Pada masa yang sama, Thia pusing pandang Adil. Thia terus buat muka bengang. Adil pula kerutkan hidungnya. Huh! Dia yang cuai, orang pula yang kena marah. Tolong pun susah. Tapi kan, comel juga perempuan tu.
"Comel pun, sorry la nak buat isteri. Garang amat. Buat cari penyakit aje!" Adil terus beredar dan tak toleh-toleh lagi.
THIA atur langkah perlahan menuju ke rumah. Jalannya terhincut-hincut sebab sebelah tumit kasut dah tak ada. Sebelah tangan pegang tumit kasut, sebelah tangan lagi terpaksa peluk beg tangan.
"Eee... Sakit pula hati kita." Thia terus jalan ke arah flatnya. Macam-macam yang dia rasa ketika itu. Marah, geram, sakit hati semuanya datang serentak. Hari ni memang hari kurang baik untuknya. Mula-mula kena tinggal dengan bas. Selepas tu tumit kasut tercabut. Kena ragut lagi. Oh lupa, pagi-pagi hampir-hampir kena baling dengan bekas minuman. Memang malang betullah.
"Yang menolong pula, tak boleh pakai. Tak ikhlas langsung. Kalau macam tu, tak payah tolong pun tak apa!" Membebel Thia sorang-sorang. Setiap kali teringatkan peristiwa tadi, tak berhenti mulutnya membebel.
"Memang malanglah siapa yang dapat lelaki tu. Sudahlah muka macam rumah tak siap, perangai pula tak serupa orang!" Dalam marah, wajah Adil datang juga menjengah.
Lelaki tinggi lampai dan berkulit hitam manis itu, kalau berbudi bahasa sikit memang boleh buat Thia cair. Tapi disebabkan terlebih ajar, takkan nak cair punya.
"Mintak dijauhkanlah..." kata Thia lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co