Bab 4
GELAP samar. Pautan di lengan Irvan semakin dikemaskan oleh Maryam. Malam yang sunyi. Hanya derapan kasut mereka berdua, ditemani sahutan halus unggas malam. Laluan semakin menaik. Maryam agak semput dengan kesamaran berapa tinggi bukitnya dan berapa jauh lagi jalannya.
"Belah kiri, kawasan hutan berbukit untuk latihan asas 69 Komando. Namanya Bukit Pejabat," terang Irvan.
Maryam memalingkan wajahnya ke sebelah yang hitam sehitamnya. Kerana Irvan, Maryam tidak sedikit pun merasa seriau berjalan dalam gelap. Kepala didongak. Bulan tiada. Tetapi bintang malam bertaburan kilauannya di langit.
"Kalau berjalan dalam bulan mengambang lagi best. Kadang-kadang boleh nampak bulan berkandang."
"Bulan berkandang?"
"Ada lingkaran di sekeliling bulan. Kalau istilah orang putih, moon halo. Di Europe sana, abang pernah nampak sun halo atau sun dog, matahari terbias jadi tiga. Di sini, abang pernah nampak sekali di puncak Gunung Kinabalu. Lepas subuh, matahari naik perlahan-lahan. Mungkin suhu dingin, kabus tebal dan berada di tempat tinggi."
"Kata orang tua... petanda nak kemarau, bunyi burung balai. Kalau semut bawa telur naik atas, nak banjir. Kalau riang-riang berbunyi petang-petang, itu nak kemarau. Kalau kelekatu terbang masuk rumah, nak hujan. Kalau rama-rama masuk rumah, tetamu nak datang. Nak kata tak percaya, cam percaya."
"Tapi ada yang betul. Orang tua bersahabat dengan alam. Alam tak pernah menipu. Dan jangan bersengketa dengan alam, balalah jawabnya."
Kekura tangan Maryam dibawa ke bibir, dikucup penuh kasih.
"Ya la... sama cam abang dalam hutan. Belajar dengan alam. Walau musuh cuba ajuk suara haiwan sebagai signal, kami tetap kenal itu bunyi palsu."
"Hurmmm..."
"Para pelatih akan berada dalam hutan di Bukit Pejabat selama dua minggu semasa sesi pemilihan asas 69 Komando. Duduk beralaskan tanah dan berbumbungkan langit. Peluru hidup yang diseal, bag pack seberat empat puluh kilogram, sebuntil pasir seberat dua puluh kilogram dan sekampit ration."
"Kalau hujan?"
"Kami hanya dibenarkan menggunakan sehelai plastik untuk menutup seluruh badan."
"Kalau ribut petir berserta hujan?"
"Selubung dengan plastik itu juga."
"Tak lari berteduh di mana-mana?"
"Tak. Tetap di situ."
Tabahnya!
"Macam sia-sia saja guna plastik tu. Tentu basah juga."
"Hurmmm..."
"Jurulatih tak ikut sama ke?" soal Maryam sambil terus melangkah ditarik oleh Irvan.
"Mestilah ikut. Mereka pantau anak buah."
"Mereka juga sama dengan pelatih?"
"Sama. Jurulatih turut berpeluh bersama kami. Kalau hujan, ribut petir, mereka juga tetap tak berganjak."
"Tak boleh nak bayangkan abang hidup dalam hutan camni." Sedikit sebanyak gerun juga hati Maryam dengan pokok-pokok yang tinggi menjulang. Harapkan Irvan yang menemani, jika tidak... takkan mahunya bersendirian melangkah di atas jalan asfalt. Kiri kanan hutan tebal. Lampu jalan langsung tidak terpasang. Kem Ulu Kinta pada waktu malam kelihatan bagai berada dalam hulu banat.
"Mesti syarat nak jadi 69 sangat ketat."
"Memang. Masa pemilihan asas pun ramai yang gagal. Tempat latihan kami banyak. Luar kem pun ada. Dalam banyak-banyak acara siri latihan, survival hutan paya bakau, abang hampir minta di-RTUkan. Paling azab."
"RTU?"
"Return to unit. Dikeluarkan dari 69. Balik ke cawangan asal."
"Dulu abang cawangan mana?"
"Abang freshie. Lepas je PULAPOL, terus minta 69."
"Kat mana paya bakau tu?"
"Taiping. Sungai Buaya Bodoh. Sebab buaya kat situ bodoh la kami boleh survive."
Maryam tergelak kecil. Senang hati Irvan mendengar suara keriangan isterinya. Sesekali kekura tangan Maryam diusap. Sesekali dibawa ke bibirnya. Dikucup dengan penuh kasih. Perlakuan lembut Irvan yang sangat disenangi oleh Blackswan.
"Ya abang..." seru Maryam manja.
"Ya adik..."
"Jauh lagi ke?"
"Kejap lagi."
Sampai pun mereka atas puncak bukit.
"Ini klinik..." tunjuk Irvan kepada bangunan setingkat belah kanan. Klinik Kesihatan Ibu dan Anak. Pasukan Gerakan Am (PGA). Sunyi sepi. Keadaan agak terang sedikit dengan lampu jalan yang menyala satu dua tiang. Bunyi suara orang bersembang dan bergelak ketawa menarik perhatian Maryam. Pandangan dijatuhkan ke bawah bukit. Tersergam beberapa buah bangunan bertingkat-tingkat. Bercahaya dan meriah.
"Itu blok kelamin, Blok S untuk Batalion Satu, PGA. Kuarters keluarga," terang Irvan.
Maryam melepaskan pautannya. Memanjangkan lehernya ke arah kuarters.
"Kuatnya suara...."
"Biasa la... kat atas bukit kita dengar jelas suara orang di bawah."
Mereka berpandangan dalam senyap. Hanya senyuman di sudut bibir.
"Suka?" Irvan bersuara memecah sunyi.
"Suka apa?"
"Berjalan malam dalam kem... bersama abang?"
Semakin lebar senyuman Maryam. Nafas ditarik dalam-dalam. Menghirup udara malam. Segar. Dingin. Tenang. Irvan. Apa lagi yang aku mahu? Suami di samping ialah anugerah. Selama Maryam di Ulu Kinta ini, dia sangat berbahagia. Memasak dan menyiapkan keperluan suami. Layanan kepada Irvan diberi sepenuh hati. Tidur malam bertemankan dengkur yang sungguh menenangkan. Apa lagi yang aku mahukan?
"Tak rasa romantik ke?" soal Irvan. Agak tidak puas hati dengan reaksi berdiam diri Maryam. Tersengih-sengih. Tengok kiri kanan dengan tangan dalam poket kardigan. Kalau tak nak bagi ucapan penghargaan, paling kurang pandanglah muka aku.
"Abang rasa tak pernah lagi 69 bawa isteri berembun di tempat sebegini. Abanglah orang pertama. Tak bapak romantik ke tu?" Seperti biasa Irvan membongkakkan dirinya. Maryam menahan geli pusat.
"Macam ni romantik?" soal balas Maryam.
"Ya. Sebab tak pernah dibuat orang. Mungkin tempatnya tak gah, tak mewah, bukan luar negara... tapi alam semula jadi...."
"Adik selalu nampak apa yang orang tak nampak. Adik selalu pandang apa yang orang tak pandang. Tak cantik bagi orang, tapi cantik bagi adik. Tak romantik bagi orang, tapi romantik bagi adik. Tapi sampai sekarang adik masih tak faham erti romantik dan tak perlulah abang beria nak menjadi romantik atau bersusah payah mencipta suasana romantik. Adik suka yang semula jadi. Tak diada-adakan. Adik terima abang seadanya. Seada itulah romantik," Maryam potong cakap Irvan.
Kembang paru-paru Irvan. Hatinya sudah terayun sampai ke langit.
"Suka?" soal Irvan. Tetap mendesak ingin mendengar perkataan suka daripada Maryam.
"S u k a..." jawapan meleret yang manja daripada Maryam.
"Suka apa?"
"Suka semua apa yang abang ada."
"Rindu?"
"R i n d u..." semakin meleret. Manja meleleh.
"Rindu apa?"
"Rindu semua apa yang abang ada."
"Apa yang paling adik suka dan rindu?" Irvan semakin mengada-ada. Lelaki memang tamak. Tidak pernah puas.
"Semua-semuanya. Tapi yang paling adik suka, k e d u t."
"Kedut?" Hilang segala perasaan terawang-awang. Menyesal pulak tanya! Tweet! Bila pulak aku berkedut? Umur baru three series.
Maryam mengusap wajah Irvan lembut. Jari-jemarinya menjalar ke hujung mata Irvan.
"Kelopak mata yang menurun ke bawah. Bila tersenyum, sudut mata itu berkedut. Dan garis-garis itu sungguh menawan. Macam orang tua."
Orang tua?! Ini sudah lebih Blackswan yang suka menonggek. Menggelar suami yang masih muda belia, kacak menawan, sesiapa yang terpandang akan tersadung jatuh sebagai orang tua?!
"Orang tua yang sangat m e n g g o d a...."
Kucupan yang lembut singgah di atas kelopak mata Irvan. Irvan pegang jantung. Blackswan yang semakin pandai melawan!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co