Bab 9
"AIGOO... aku ingat kak long kawasan tak sir balik dah... miahahaha..." sapa Haziq kegirangan tika membantu Irvan mengangkat beg.
"Hmmm..." Itu sahaja jawapan Maryam
"Tak elok adik duduk lama-lama sebab adik tu bawa budak. Bunda pun pesan jangan lama. Pulang mesti siang hari takut ada yang mengikut," jawab Irvan bagi pihak Maryam.
Beg disusun di anak tangga dulu, sebelum Maryam segera bergegas ke ladang lebahnya dengan diekori oleh Haziq dan Irvan.
"Allah Tuhan! Siapa lepas kambing ke sini?" keriau Maryam. Segera dihalau gerombolan kambing dengan menggawang-gawangkan tangannya berserta rasa cemas.
"Habis la koloni bumble bee saya!"
Irvan yang tidak sempat menghalang aksi terlampau aktif Maryam lebih awal, segera memegang tubuh isterinya.
"Duduk sini diam-diam. Adik tu berisi. Jaga perut tu. Biar abang yang buat."
"Hei Dolly! Orang tak halau kambing lagu tu. Mu jerkah kuat-kuat. Demo terus jatuh pengsan. Tengok hak pengsan, hak lain chuda lari. Miahahaha." Petua Haziq disertai dengan tempikan yang kuat dari mulutnya. Beberapa ekor kambing tergolek jatuh dan yang lain mengembek, lari ketakutan.
Irvan dan Haziq tertawa geli hati. Berterusan bertempik. Semakin kuat bertempiaran lari kawanan kambing ke arah kandang mereka. Mana-mana yang tersembam pengsan, turut mengembek panik, segera bingkas bangun mengejar kawan-kawannya.
Tweet! Dolly? Selalu Haziq panggilnya dol kenapa hari ni lain pulak?
"Awat Dolly?"
"Dah hang perempuan yang dol. Aku dol sebab lelaki. Dolly and Dol. Cun, kan?" jawab Haziq.
Irvan tertawa dengan perbualan dua beradik susuan yang sangat rapat ini. Hubungan yang sangat unik. Ternyata, Haziq dan Maryam sangat menyayangi antara satu sama lain tanpa mereka sedar. Tetapi Irvan dapat melihat kasih sayang itu. Kasih sayang yang jujur.
"Mu buat-buatlah pengsan, aku siram mu dengan minyak RON97. Kemudian aku bakar. Lebih penjimatan!" tempik Haziq lagi keras disusuli dengan gelak ketawa daripada mereka bertiga.
"Nak Abang One sponsor seventeen wheel full tanker?"
Riuh-rendah ladang lebah dengan suara embekan kambing dan tawa.
"Asal dia jadi camtu?" soal Irvan dalam ketawa.
"Aigoo... tak pernah bela kambing ke?" soal Haziq semula.
Pandangan mata Irvan sudah memberi jawapan.
"Tak tau la bakpo jadi lagu tu? Keturunan kuat melatah kut. Ataupun keturunan terperanjat beruk. Mudah lemah semangat. Tidak pun masa mok dia nak beranak ke dia, hujan ribut petir. Mok dia tersentak-sentak masa nak teran."
"Kalu gini la perangai, mudah la nak tangkap sembelih. Jerkah dia, dia rebah. Pelik sungguh! Orang kalau terkejut, lari. Dia tergolek jatuh."
"Sebab dia bukan orang la dia rebah. Lagi satu aku rasa dia buat-buat pengsan. Dia ingat bila dia pengsan tu, musuh kesian kat dia. Dol! Dah la nakut dengan air."
Aduh la. Haziq... Haziq.
"Kenaling tu gak aku. Nyat. Nyat. Nyat. Debar dalam dada." Haziq melekapkan tapak tangan ke dadanya.
"Panik pasaipa?" soal Maryam dengan telor pekat Kedah.
"Mula-mula tengok demo pakat rebah, aku takutlah demo mati sungguh. Nak royat gapo ke bak?"
"Iya juga la kan. Nak royat gapo?" balas Maryam. Sambil bercakap, Maryam mengangkat frame lebah di koloni. Seekor dua diusap dengan lembut.
Irvan memerhati dengan takjub. Maryam langsung tidak seriau menyentuh lebah-lebah yang berbisa itu. Dan lebah-lebah itu juga tidak mengapa-apakan Maryam. Kenal tuannya kut.
"Jantan ke betina?" soal Irvan.
"Betina. Lebah pekerja."
"Nasib baik."
"Awat?"
"Kalau jantan, abang c e m b u r u...."
Maryam tertawa.
"Dengan lebah pun cemburu."
"Dengan semua lelaki dan jantan, abang c e m b u r u...."
Tertawa lagi Maryam. Comelnya kalau Abang One bercakap sepatah-sepatah dan meleret. Sengaja ditekankan perkataan cemburu itu. Menandakan dia sangat cemburu!
"Adik chik, mok der jangok tunggu nak pegang perutmu. Takut anakmu songsang." Haziq datang mencelah setelah selesai kerja menghambat dan memasukkan kambing ke dalam kandang.
"Bilanya?"
"Esok la."
"Minggu depan la. Malas la...."
"Tak boleh. Mu kena ikut jadual mok der. Jadual dia penuh sampai tahun 2020."
"Tu diaaaa..."
"Naeyyy... mok der jangok va va voom tu, kan bidan tersohor rumah sebelah balai bomba Kubang Kerian. Dia ada temu janji serata Malaysia. Fully booked you know! Kalu mu tak sir esok, mu kena tunggu giliran lain. Tak tau bila pula. Kena tengok dalam takwim hijriah mok der. Lambat lagi la tu. Kisahnyaaa..."
"Tu diaaa..." serentak Irvan dan Maryam bersuara.
"Mok der dah ada PA (Personal Assistant). Pok der."
"Tu diaaaa lagiiii...."
"Mu dua ni mabuk daun ketum ke? Duk tu dia, tu diaaa."
"Tu diaaaa..."
"Arghhhh... mencik!"
Hashtag#mokdervavavoombidantersohorsebelahbalaibomba
MARYAM menyandar kepalanya ke dada bidang Irvan. Sesekali jari-jemarinya mengusap perut Irvan. Berdua duduk di sofa sambil menunggu kantuk mata.
"Ada berapa jam lagi?" soal Maryam.
"Lapan."
"Abang kena balik?"
"Hmmm..." berat dan malas jawapan Irvan.
"Abang..."
"Hmmm..."
Bila Maryam tetap senyap, Irvan menundukkan kepalanya. Roman wajah Maryam ditenung.
"Kenapa?"
"Hmmm..." giliran Maryam pula mengeluh.
"Kesian tidur sorang..." luah Irvan perlahan.
Maryam mendongak. Mata bertentang. Sayu.
"Abang pun kesian... tidur sorang...."
"Dulu tak biasa tidur berdua, sekarang tak biasa tidur sorang...." Irvan mengucup dahi Maryam. Mata Maryam terpejam.
"Jaga diri," pesan Irvan sambil terus merenung belahan nyawanya. Maryam membuka mata.
"Bila kita boleh bersama?" soalnya penuh harapan.
"Adik sanggup tinggalkan semua ni?"
Angguk. Mata tetap bertentang.
"Tak rindu?"
"Rindu abang lagi...."
Satu kucupan yang lebih hangat ke atas dahi Maryam. Lama.
"Nanti kita bincang bila adik dah bersalin. Bukan mudah nak pindah sana. Syarat bak. Adik juga nak sambung belajar. Kalau dah gitu, siapa nak jaga Muhammad?"
"Ya la..."
"Sabar dulu ya adik..."
"Hmmm...."
"Tak mengantuk?"
"Tak... tak payah tidurlah malam ni. Jom kita sembang sampai cerah. Esok abang tak ada."
"Adik je la sembang. Abang nak peluk adik je."
"Adik pun nak peluk abang je."
Sekali lagi Irvan menundukkan kepalanya.
"Tak nak tidur?"
"Tak..." balas Maryam sambil mengeratkan pelukannya ke perut Irvan. Menahan pedih hati.
Faham dengan reaksi Maryam, Irvan turut mengeratkan dakapannya.
"Tiada tempat yang paling indah melainkan berada dalam pelukan abang. Adik mahu kita berdua selamanya begini. Sama-sama menikmati hening malam...."
"Apa yang adik mahu dalam hidup ini?" bisik Irvan.
"Adik hanya mahu abang. Cukuplah abang...."
Madah yang sungguh menyentuh hati seorang lelaki. Irvan mengusap bahu Maryam. Kelu jadinya. Sebagai seorang lelaki, apa lagi yang dimahukan? Kata-kata ringkas ini sangat bermakna bagi seorang lelaki. Kata-kata yang membuatkan seorang lelaki sanggup mati kerananya.
"Abang juga hanya mahu adik...."
Maryam memejamkan mata. Darah membeku. Denyutan nadi seakan terhenti. Sedih pilu. Sayu syahdu. Bahagia dan gembira. Berbagai-bagai rasa berbaur.
"Nak dengar cerita tak?"
Tadi tak mahu sembang. Maryam menyembunyikan senyumnya sambil menganggukkan kepalanya.
"Satu hari di waktu hujan renyai, seorang api..."
"Seorang api?" Maryam mendongak. Belum sempat Irvan melanjutkan cerita.
"Ya... seorang api. Api yang berbentuk seperti seorang manusia. Ada perasaan, ada akal..."
"Okey..."
"Ia berteduh dalam sebuah gua. Sejuk dan sepi. Kesepiannya itu dipecahkan dengan titisan air hujan yang menitis dari celah gua. Dia memerhati titisan air hujan itu dengan ralit. Beberapa ketika kemudian titisan air hujan itu bertakung dan membentuk tubuh seorang manusia yang berupa air. Seorang air itu adalah seorang gadis."
"Hurmmm... seorang api itu lelaki?"
"Ya, lelaki... lupa nak cakap. Tapi api dan air yang masih remaja."
Mereka tertawa tanpa bunyi. Semakin menarik cerita ini. Maryam semakin mengeratkan rangkulannya ke dada Irvan.
"Seorang api itu sangat terkejut dengan pembentukan seorang air di depan matanya tapi kehadiran seorang air ni telah menghilangkan kesepiannya. Mereka mula berkawan dan berkongsi apa saja. Tapi malangnya, seorang api tak boleh menyentuh air. Sama ada api terpadam atau air itu akan terpanas seterusnya memeluwap ke udara kerana sifat kedua-duanya berbeza. Mereka tak boleh berdekatan apalagi bersentuhan."
Cerita yang semakin menarik. Apa pengajaran yang ingin disampaikan oleh Irvan di sini?
"Seorang api mendapat idea. Dia menemui seketul batu yang leper dan panjang. Diangkat batu itu dan mereka memegang setiap hujungnya. Seorang api dan seorang air sudah boleh saling berdekatan tanpa membahayakan salah seorang. Mereka juga boleh berpegangan...."
"Hurmmm... ending yang menarik..."
"Belum lagi..."
"Okey... sambung..."
"Pada satu hari ketika mereka sedang tidur, seorang pemburu tersesat masuk ke dalam gua itu..."
"Oh oh..." Maryam seperti boleh mengagak.
"Pemburu sangat gembira kerana dia menemui seorang api dalam malam yang pekat. Api ketika itu sangat susah didapati dan ia sangat berguna. Pemburu boleh pulang ke rumahnya dengan segera, tak perlu menunggu hari siang dan api boleh menjadi sumber cahaya dan juga bahan api..."
"Lepas tu..." Maryam sudah semakin tidak sabar.
"Pemburu mengambil seorang api itu dengan meletakkannya di sebatang obor kayu maka dibawa pulang. Seorang air terjaga dan sempat melihat kelibat pemburu tersebut. Oleh kerana dia terlalu kecil, malam yang gelap menyebabkan seorang air tersesat. Teraba-raba dia mencari seorang api... sehinggalah dia terlihat kelip-kelip api di dalam sebuah rumah. Dia mendekat dan melihat dari jendela, seorang api sudah berada di dalam sebuah pelita. Seorang api itu menjadi api pelita..."
"Dan..."
"Air bersusah payah memanjat jendela masuk ke dalam dan menghampiri api yang terperangkap dalam balang kaca pelita. Berlaku pertemuan yang sangat mengharukan di antara dua jiwa. Masing-masing merindu di antara satu sama lain. Seorang api menghalang seorang air dari mendekatinya kerana suhu panas dari pelita akan menyerap air, tapi seorang air degil. Dia tak mahu berganjak dari api. Dia tak mahu kehilangan api lagi. Ketika sedang bercakap itu, air rebah... kerana keletihan berjalan jauh mencari api... juga kerana balang kaca pelita yang semakin panas... menyebabkannya cair ke lantai dan perlahan-lahan air memeluwap menjadi wap. Api merasa sangat sedih... sedih... sedih... kerana mereka tak boleh berdekatan tanpa membahayakan satu sama lain... dan sekarang apa yang ditakuti sudah terjadi. Air sudah bertukar menjadi wap. Ketika itulah baru api terfikir, kenapa air sanggup mencarinya dan membahayakan dirinya? Kenapa air tak mahu terpisah darinya walau tahu apa akibat jika mereka bersama?"
"Kenapa?"
"Cinta.... Api mendapat jawapan yang air mencintainya. Hanya orang yang bercinta sanggup berkorban apa saja walaupun nyawa sendiri demi cintanya. Kehilangan air di depan matanya menyebabkan dia ditimpa satu perasaan yang sangat pedih untuk diungkapkan."
"Perasaan apa?"
"Cinta.... Ketika itulah api menyedari dia juga mencintai air. Terlalu mencintai sehingga api sangat bersedih. Hilang segala kekuatan dan cahayanya... api terpadam. Kesan daripada padamnya api menyebabkan terbitnya asap yang naik ke atas permukaan pelita, memeluwap sehingga ke udara. Ketika itulah api menemui air. Mereka sama-sama menjadi wap. Mereka bukan saja boleh berpegangan tetapi mereka juga boleh berpelukan. Cinta berkuasa merubah segalanya."
"Dan...?"
"1 2 1 5 5. K.i.s.s. T.a.m.a.t."
Maryam mendongak. Irvan menunduk. Maryam mengeluh.
"Hurmmm..."
"Apa yang menderam macam kucing ni...?" tegur Irvan menahan senyum.
"Nak lagi..."
"Lain kali pulak. Ini sebagai bekalan kalau adik rindukan abang bila abang pergi esok, ingat-ingatlah cerita ni...."
"Sekarang pun dah rindu...."
Mereka berpandangan sambil tersenyum.
"Orang tua yang sangat sensitif, manja dan kuat c e m b u r u..."
"Hurmmm..." giliran Irvan pula yang menderam-deram.
"Jaga diri adik untuk orang tua ni..."
"Suka adik panggil abang, orang tua?"
"S u k a... sangat-sangat..."
Kalau hati sudah suka, dipanggil apa sahaja semua okey.
Beberapa ketika kemudian, dengkur kedengaran. Maryam tahu siapa empunya. Biarlah Abang One lena. Aku tak mahu tidur. Setiap detik yang masih bersisa ini tak harus kubiarkan ia berlalu begitu saja. Aku ingin mendengar dengkurnya. Aku ingin mendengar degup jantungnya. Aku ingin menikmati kehangatan tubuhnya. Aku ingin menghidu bau nafasnya.
Belum apa-apa mode Irvan-less dah on.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co