Truyen3h.Co

THE REASON

Bab 8

karyaseni2u

PANDANGAN Ammara beralih. Matanya terkebil-kebil memandang Hajah Najihah di depan mata. Jauh benar dia larut dalam kisah lalu hinggakan tak sedar bos sedang berdiri tegak di depannya.

"Ya, bos?" Dia angkat tubuh. Tak ubah macam spring. Terkejut.

"You tak sihat ke, Ara?" Wajah Hajah Najihah jelas risau.

Dia kenal Ammara dah lama. Sejak wanita ini bekerja di sini pada awal usia dua puluhan hingga kini, Ammara begitu berdedikasi. Setiap apa urusan, Ammara akan jalankan dengan penuh tanggungjawab. Ada masanya, dia tak perlu memberikan arahan lebih. Ammara sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

Apatah lagi nak berangan begini. Memang bukan Ammara.

"Kalau you tak sihat, I izinkan you balik."

"Tak apa, bos. Saya okey. Mengantuk kut..." nafi Ammara bersama sengih.

"Haih... You buat I risau aje. Ni, miting dah habis. I nak keluar awal sikit lunch dengan kontraktor tu sambil bincang-bincang. Kejap lagi staf Bintang Makmur tu datang jumpa you. You copy file daripada dia dan print untuk I nanti. Bukan hari inilah. Esok-esok pun boleh. You copy aje dulu, ya?"

"Baik, bos..."

Hajah Najihah terus berlalu keluar sebaik saja meninggalkan beberapa helai dokumen penting padanya. Ammara kembali duduk. Dah hampir tengah hari. Sepuluh minit aje lagi nak menginjak ke jam satu. Dia rasa malas sangat nak keluar. Andai dulu, bila Ina ada kerja luar... Mereka akan luangkan masa makan tengah hari sama-sama.

Ina... Akan korbankan apa saja untuknya. Dan kini, di mana akan aku cari ganti serupa dengan kau, Afina?

Ammara memusingkan kerusi dan memandang cermin kaca. Nampak jelas puncak KLCC daripada cermin kaca pejabatnya. Memandang cermin kaca ini, membuatkan dia teringat akan janjinya pada lelaki itu dulu.

"Jangan risau. Saya call awak nanti..."

Dia percaya janji itu. Malah untuk beberapa ketika, dia sentiasa berharap biarpun Ina terus kejutkan dia daripada terus jauh tenggelam jatuh ke dalam lubuk janji yang membuatkan dia kelemasan. Tak sedar, Ammara koyak senyum. Lebar. Entah untuk apa. Gamaknya, dia dah penat bermuram durja.

"Senyum dekat dinding, tak dapat apa-apa. Baik senyum dekat saya..."

Ammara menoleh ke pintu. Tubuhnya diangkat menyambut tetamu. Lelaki pagi tadi. Agaknya, dialah yang bos maksudkan.

"Saya minta maaf. Tak perasan encik masuk. Errr... Nak bagi softcopy file CPM tu, kan?"

"Yes..." Thumb drive itu dihulurkan.

"Saya nak e-mel tapi fail besar sangat. Tak lepas. Alang-alang saya ada miting, saya bagi dekat awak ajelah."

Ammara tak berkata apa. Terus dicucuk ke CPU. Dia pandang lelaki itu.

"Eqwan, kan?" soal Ammara.

"Ya. Betul. Mohd Eqwan..." Dia ingat perempuan ini menyeru namanya pada awal pagi tadi.

"Saya Ammara. Wan Ammara..."

"Saya tahu..."

"I beg your pardon?"

Lelaki itu ketawa kecil.

"Saya tengok dekat pintu bilik awak ni..." Jari telunjuknya diluruskan pada sebaris nama yang tertampal kemas pada pintu bilik pejabat Ammara.

WAN AMMARA WAN ISMAIL

Cantik nama. Sesuailah dengan orangnya.

"Oh, ya..." Dia senyum. Canggung. Perasan orang nak mengayat kau ke apa, Ammara oiii...

"Okey, dah..." Ammara hulurkan semula thumb drive tersebut.

"Eh, cepatnya..."

"Hurm... Ofis kami semua komputer macam The Flash lajunya..." Dia cuba bergurau.

"Ada apa lagi boleh saya bantu?"

"Hurm..." Eqwan pandang Tag Heuer di pergelangan tangan kanan. Dah masuk waktu rehat. Dia teringat akan kopi yang tumpah pagi tadi.

"Nak saya ganti kopi awak?"

"Oh... Tak perlu..." Ammara gawangkan tangan di depan Eqwan.

"Kalau saya nak, saya pergi beli sendiri nanti."

"Kalau macam tu, nak keluar makan tengah hari?"

"Terima kasih. Tapi saya tolak cara baik. Saya ada lunch date dengan kawan-kawan ofis kejap lagi..." Padahal, kawan-kawan dia semua sibuk.

"Okay, then. Kalau macam tu, saya pergi dululah. Jumpa lagi..."

"Baik, encik..."

"Encik?"

"Come again?" Ammara nampak terpinga-pinga dengan soalan Eqwan.

Seperti tadi, Eqwan ketawa kecil melihat wajah keliru Ammara.

"Nama saya Eqwan. Tak perlu panggil encik. Kalau nak kira, awak lagi tinggi statusnya daripada saya memandangkan awak pembantu peribadi puan hajah..."

"Kalau setiap rasa hormat tu kita determine dengan kedudukan dan pangkat, macam mana dengan orang biasa yang tiada apa tapi masih layak dihormati? Dengan cara masing-masing?" tempelak Ammara.

"Ouch..." Eqwan tengadah. Dia sengih dan sekali lagi garu kepala. Terkena pula aku.

"Sorry. My bad. Apa pun, jumpa lagi..." Dia terus berlalu bersama segaris senyum demi menahan malu yang menjalar dalam diri.

Padan muka!

Dia tebalkan muka untuk ajak Ammara makan tengah hari kerana rancangannya dah berubah. Dia patut menjemput adiknya di KLIA tapi budak bertuah tu melarangnya. Katanya, dia akan pulang sendiri. Tapi umpannya tak mengena.

Eqwan menyeringai. Malu!

LEGA sangat. Mujurlah Kak Mas faham bila dia terpaksa jemput Amaris lewat sedikit daripada biasa. Dia perlu beli beberapa keperluan untuk majlis makan-makan di pejabat hari lusa. Kalau tak beli hari ni, esok memang dah tak sempat dah. Karang ada yang meroyan kata dia tak bertanggungjawab terhadap perkara itu biarpun remeh. Hanya harapkan simpati dan kepercayaan bos besar aje selama ni.

Itu semua tuduhan dan seperti telah dia katakan... Dia terima hinaan itu sebagai satu hukuman untuknya. Dia akan terima dengan hati yang reda setiap kali perkara itu terjadi. Segala yang buruk menimpanya, sepatah pun dia tak pernah persoalkan. Itu semua ujian dan tiada hak untuk dia nafikan.

Sesekali, bila Ammara kembali ke sini dan melalui tempat itu... Kakinya akan terhenti tanpa dia pinta. Lama dia renung adik-adik barista yang sedang bekerja. Sesekali, ada yang menoleh ke arahnya yang berdiri bagai patung cendana di situ. Sama ada dia dianggap bukan sesiapa atau juga dirasakan seperti orang gila.

Tapi, setelah lima tahun... Wajah-wajahnya juga sudah berbeza. Sudah bertukar ganti entah untuk ke berapa kali. Sepertinya, hanya dia yang setia di sini. Yang dinanti, entah ke mana menghilang. Dia sendiri tidak pasti, mengapa rindunya pada lelaki itu menggamit tiba-tiba? Hatinya kembali berdebar. Kencang. Rasanya lelaki yang sentiasa berpakaian kemas dengan senyuman menawan itu berdiri di situ.

Suaranya yang parau itu juga terngiang-ngiang melayani pelanggan.

Hanya sekali... Tidakkah kau berasa terbeban dengan apa yang terjadi?

Hanya sekali... Tidakkah kau mahu menoleh?

Hanya sekali... Tidakkah kau rasa mahu selami hati? Mencipta peluang untuk diri kita berdua? Membaiki kesilapan? Membina kebahagiaan yang sering kau impikan?

Hanya sekali... Tak pernahkah kau teringat pada aku?

Tidak aku berharap kau merindu, cukup sekadar teringat. Biarpun hanya melintas sekelip mata dan kau kembali melupakan; itu sudah memadai.

Namun, dia yakin... Dia tak pernah ada dalam memori lelaki itu. Dia telah dilupakan dalam sekelip mata.

SEJAK tadi, Ina tak putus memandang wajahnya.

"Kau kecewa?" soal Ina suatu hari itu.

"Sikit..."

"Perlu ke?" Wajah Ina dah berubah.

"Entah. Tapi dah lama tak nampak dia kat sini. Gamaknya, dah berhenti kerja..."

"No... He's not. Aku rasa syif dia dekat Masjid Jamek. Atau perlu ke aku tanya untuk kau dapatkan kepastian?"

"Hari tu kau cakap dia upload gambar surat resign, kan? Jangan risaulah. Kalau ikut prosedur pun, paling tidak sebulan. Kau bukan tak tahu. Aku yakin dia ada dekat sana..."

Suasana sepi seketika sebelum Ina kembali menyambung.

"Kau tahu sesuatu tak, Ara? Aku ni kata aje menyampah bila kau asyik cakap pasal budak ni, tapi aku tetap ambil tahu. Aku tak setuju pun sebab aku nampak kau main-main tapi kenyataannya, aku nak kau bahagia..."

Seboleh-bolehnya Ammara cuba bertenang. Dia benar-benar kalah dengan kata-kata sendiri. Dia benar-benar jatuh suka pada Eqram. Macam mana? Usah dipersoalkan kerana dia sendiri tak tahu.

Akhirnya, dia beranikan diri menghantar pesanan pada Eqram. Untuk kali ini dia cuba menegur dan berharap moga Eqram memberi tindak balas positif agar harapannya yang baru dia tanam ini, boleh bercambah sedikit.

+ Boleh tanya? - Nur.Amaris

++ Apa? Tapi awak hari tu masa order kemain gelabah. Gelabah, kan? LOL... - Eqram

+ Bukan gelabah. Berdebar. - Nur.Amaris

++ Kenapa perlu berdebar? Saya muda lagi tau. 21 tahun. Dan saya tak tahu umur awak berapa... - Eqram

+ Saya tahu awak baru 21 tahun dan jujurnya saya lagi tua daripada awak. Tapi saya memang tak ada niat bukan-bukan. Saya cuma suka tengok awak. - Nur.Amaris

++ Sebab rupa saya? - Eqram

Kali ini, Ammara ambil masa yang agak lama untuk memberi jawapan. Perlu atau tidak dia memberi jawapan berlandaskan kejujuran atau sebaliknya? Padanya, perwatakan dan riak wajah Eqram langsung tak seperti usianya. Dia nampak matang.

Ya... Kerana wajahnya. Wajah yang membuatkan dia tersenyum tiap kali menatapnya. Yang menghilangkan segala resah hati. Yang melapangkan dada yang sesekali sesak. Yang mendatangkan debar yang bukan sedikit di dalam dada.

Namun...

+ Tak juga. Cuma suka tengok. - Nur.Amaris

Dia membohongi lelaki itu dan diri sendiri.

++ Haha... Okey. - Eqram

+ Marah? - Nur.Amaris

++ Mana ada. Orang baru habis solat Jumaat... - Eqram

+ So, lepas ni bolehlah saya pandang awak lagi, kan? - Nur.Amaris

Dan, perbualan itu berakhir di situ. Soalannya tergantung lagi. Hati Ammara dibelah kecewa sekali lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co