Truyen3h.Co

Tiada Noktah Cinta

Bab 10

karyaseni2u

"ABANGGG..."

Amsyar pantas mengalih wajah dari skrin komputer apabila terdengar suara Nadia di muka pintu. Nadia berdiri di tengah-tengah pintu bilik kerja Amsyar. Seperti biasa, dengan gaya seksi, Nadia mengenakan skirt ketat paras lutut dan baju bertali halus mendedahkan bahu. Mujur kulitnya putih mulus. Gadis itu nampak menarik dan cantik.

Amsyar langsung tidak menyahut. Hanya matanya sahaja terarah ke wajah Nadia yang rapi bersolek. Nadia berjalan mendekati meja Amsyar.

"Sibuk ke bang?"

"Macam biasa. Banyak kerja. Kenapa kau datang sini?"

"Diya nak jumpa abanglah!"

"Kau lupa ke peristiwa kat restoran dulu? Kau kotorkan baju kemeja aku sampai aku terpaksa buang dalam tong sampah. Sekarang kau nak apa? Nak kotorkan kemeja aku lagi?" tanya Amsyar dengan agak kasar, tidak lagi berbahasa 'abang' seperti selalu.

Tiba-tiba dia rasa meluat melihat wajah Nadia yang tersenyum manis di hadapannya.

"Abang masih marah kerana peristiwa tu? Diya minta maaf."

Amsyar hanya merengus. Dia menyambung kerja menaip artikel yang belum selesai, membiarkan Nadia duduk di kerusi hadapan mejanya. Nadia diam sejenak apabila Amsyar melayaninya dengan dingin. Pernyataan maaf daripadanya langsung tidak dibalas.

"Abang, Diya betul-betul minta maaf. Diya salah," kata Nadia dengan wajah kesal. Dia tertunduk seketika kemudian kembali memandang Amsyar.

"Apa kata tengah hari ni Diya belanja abang makan? Dah dekat pukul satu tengah hari. Kita makan di restoran kegemaran abang. Ataupun kita pergi makan kat KLCC."

Amsyar menggeleng.

"Kau pergi sajalah sorang," jawab Amsyar ringkas.

"Alaaa..." Nadia merengus manja, pura-pura sedih untuk menarik perhatian Amsyar.

"Kau boleh ajak kawan baik kau Mimi," kata Amsyar sambil bangun.

Dia mengambil artikel yang sudah dicetak, yang baru sahaja keluar dari pencetak di belakang mejanya. Kemudian dia bergerak keluar menghala ke bilik grafik. Agak lama dia berbincang dengan pereka grafik tentang reka letak dan gambar yang perlu dimuatkan di dalam artikel keluaran akhbar terbaru syarikat. Dia sengaja berlama-lama di dalam bilik grafik sambil berharap Nadia akan meninggalkan bilik kerjanya. Namun semasa dia kembali ke bilik kerjanya itu, Nadia masih menunggu.

"Abang, jomlah kita pergi makan. Dah pukul satu lebih. Diya lapar. Abang tak lapar?"

Amsyar menggeleng.

"Aku tak ada selera," jawab Amsyar sambil duduk kembali di kerusinya dan mulai menaip semula.

"Abang mesti jaga kesihatan. Nanti perut masuk angin kalau tak makan."

"Aku tahu jaga diri aku." Amsyar meneruskan sikap dinginnya.

Dia tidak akan melayani Nadia lagi setelah gadis itu dan Mimi memalukannya di restoran dahulu.

Jika diikutkan hati yang geram, mahu sahaja dia menghalau Nadia pergi. Namun dia masih punya timbang rasa. Dia berharap Nadia akan keluar sendiri tanpa perlu disuruh apalagi dihalau.

"Abang masih marahkan Diya. Tak apalah. Nanti abang telefon Diya kalau dah hilang rasa marah abang tu," kata Nadia sambil bangun.

Amsyar diam sahaja. Nadia berlalu pergi. Hatinya sedikit hampa kerana Amsyar benar-benar tidak ingin melayaninya lagi. Dia sedar perbuatannya di restoran itu dahulu agak keterlaluan. Dia mesti melakukan sesuatu untuk menawan hati Amsyar semula.

Nadia berjalan-jalan sendiri di kompleks KLCC. Dia memasuki sebuah kedai yang menjual minyak wangi. Dia memilih minyak wangi untuk lelaki yang akan dihadiahkannya kepada Amsyar. Setelah selesai membuat pembelian, dia berselisihan dengan Mimi yang juga berjalan sendirian.

"Eh, kau dari mana?" tanya Mimi ramah walaupun kali terakhir mereka bertemu dahulu mereka bergaduh. Nadia tidak lagi tinggal bersamanya.

"Aku baru lepas beli minyak wangi untuk Abang Amsyar," kata Nadia sambil menunjuk beg kertas di tangannya.

Bibir Mimi tercebik.

"Kau masih kejar dia? Macam tak ada lelaki lain," ejek Mimi.

"Biarlah. Kau sibuk-sibuk kenapa?" balas Nadia sengit.

"Aku dah ada boyfriend baru. Tak ingin aku kejar si Amsyar tu! Bukan dia sorang jantan dalam dunia ni," ejek Mimi.

"Suka hati akulah kalau aku nak kat Amsyar sorang aje," jawab Nadia sambil terus berjalan meninggalkan Mimi.

Mimi memerhati Nadia yang berjalan dengan lenggang-lenggoknya. Dia termenung sejenak. Rupa-rupanya Nadia masih mengejar Amsyar! Sebenarnya dia pun masih tak punya boyfriend. Dia sengaja menyatakan pada Nadia, dia sudah dapat pengganti. Mimi buat kemudian untuk turut memujuk Amsyar. Mimi tahu dia sudah menyakiti hati Amsyar. Dia perlu minta maaf.

Hadiah apa yang sesuai dibelikan untuk Amsyar? soal hatinya sendiri. Dia memandang ke arah kedai kasut lelaki tidak jauh dari tempat dia berdiri. Kasut? soal hatinya sendiri sambil terus melangkah memasuki kedai kasut itu.


PULANG awal bukanlah kebiasaan bagi Amsyar. Namun lantaran dia terlalu penat dengan kerja tanpa rehat, Amsyar membuat keputusan untuk pulang pada jam lima petang. Setibanya di rumah, dia menjenguk nenek di bilik. Nenek sedang tidur nyenyak. Balutan simen di kaki nenek masih belum dibuka. Ada dua hari lagi balutan simen akan dibuka. Amsyar berharap neneknya boleh kembali berjalan seperti biasa, sekurang-kurangnya nenek dapat bergerak bebas di dalam rumah.

Perlahan-lahan Amsyar masuk ke kamar tidurnya. Dia tidak mahu mengejutkan nenek yang sedang berehat. Amsyar membuka baju dan memakai tuala. Dia ingin membersihkan diri dan mengerjakan solat asar. Ketika dia bergerak ke bilik air yang terletak berdekatan dapur, pintu belakang ditolak dari luar. Terjengul wajah Aini. Aini terkejut melihat Amsyar yang berdiri di tengah-tengah ruang dapur dengan hanya bertuala.

Aini terus tertunduk malu. Amsyar perasan di tangan Aini ada pinggan berisi kuih.

"Eh, sorry! Sorry!" kata Aini sambil meletakkan pinggan di atas meja dapur lalu keluar.

Amsyar terpinga-pinga sahaja melihat Aini berlalu pergi dengan cepat. Dia menggeleng kemudian masuk ke bilik mandi untuk membersihkan badan dan mendirikan solat lantaran waktu asar sudah semakin suntuk.

Selesai solat asar, dia mengejutkan nenek yang sudah pasti belum menunaikan solat. Amsyar membancuh kopi sementara nenek mengerjakan solat asar. Kemudian kedua-duanya duduk menghadapi meja makan dan menikmati kopi serta kuih keria yang dibawa Aini.

"Bila Aini menghantar kuih ni?" tanya Nenek Timah.

"Masa nenek tidur tadi," jawab Amsyar.

"Ada-ada saja kuih yang dihantarnya setiap petang," kata Nenek Timah sambil memamah kuih keria yang lembut dan manis itu. Berselera dia makan kuih pemberian Aini.

"Rajin. Calon isteri yang baik," kata Nenek Timah lagi.

"Nek, jangan mulakan," kata Amsyar sambil membeliakkan matanya seolah-olah marah.

Nenek Timah ketawa kecil.

"Nenek teringin nak tengok anak kau, Am. Nenek dah tua. Terlalu tua sebenarnya. Ramai kawan-kawan nenek dan saudara-mara kita yang seumur dengan nenek dah pun pergi mengadap Tuhan."

"Nenek jangan bimbang. Nanti Am kahwin juga."

"Dengan siapa? Kau dah ada calon? Kalau tak ada..."

Amsyar menggertapkan bibir sambil memerhati wajah Nenek Timah. Wanita tua itulah yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Wanita yang berkorban seperti pengorbanan seorang ibu untuk melihat dia bahagia. Amsyar tidak menafikan peranan nenek dalam mencorakkan hidupnya sejak kecil hingga dewasa. Dan dia amat sayangkan wanita tua itu. Dia ingin membuat neneknya bahagia.

Jika memiliki cicit akan membuat Nenek Timah bahagia, dia akan berkahwin pada tahun itu juga. Saat itu dia terbayangkan wajah Jasmeen.

"Sekejap ada, sekejap tak ada, nek," jawab Amsyar sambil gelak kecil.

"Apa maksudnya tu?" tanya Nenek Timah dengan dahi berkerut.

"Sekarang dia tak ada dengan Am."

Makin jelas kerutan di dahi Nenek Timah.

"Am nak ke depan sekejap. Merokok," kata Amsyar sambil bangun.

Kopinya sudah habis di dalam muk. Dia membawa muk ke singki, mencucinya dengan tertib dan meletakkannya kembali di rak pinggan.

"Kau tu asyik merokok saja. Tengok kat tv tu kata, merokok itu tak bagus untuk kesihatan. Kau tu muda lagi, harus hidup lama. Harus jaga paru-paru dan jantung. Lainlah nenek ni dah tua, yang bila-bila masa saja akan mati," kata Nenek Timah, seakan-akan meleteri Amsyar.

Amsyar segera angkat kaki, bergerak laju ke ruang hadapan. Dia memang tidak suka mendengar neneknya berleter. Pun begitu, kalau neneknya diam dia juga yang akan risau dan hairan. Dia takut dengan kemarahan nenek lebih-lebih jikalau marahnya itu dalam diam.


AINI berbaring di atas katil sambil membelek telefon bimbit. Sudah puas dia melayani pelbagai aplikasi di telefon bimbit. Muka buku, TikTok, Instagram dan Twitter. Dia sudah naik bosan. Dia meletakkan telefon bimbit di sisi sambil mata dihalakan ke siling rumah.

Sekonyong-konyong wajah Amsyar tergambar di permukaan siling putih bersih bilik tidurnya itu. Bagaikan melihat tayangan wayang gambar, dia nampak susuk tubuh Amsyar yang hanya bertuala. Aini spontan memekup kedua-dua tangan ke wajah. Dia ingin melupakan kejadian petang tadi. Malu dan tidak sangka. Dia tidak ingin mengingatkan kejadian itu tetapi entah mengapa ia datang lagi tanpa dipinta. Aini tidak dapat melupakan Amsyar setelah melihat susuk tubuh lelaki itu yang tegap dan sado.

Oh, Tuhan! Kenapa aku harus nampak dia dalam keadaan gitu? Bahunya tegap dan kekar, bagaikan memanggil untuk disandarkan kepala. Dadanya bidang, dengan bulu dada yang kemas bagaikan disusun. Lengannya juga tegap. Barangkali Abang Amsyar rajin pergi ke gim untuk membuat senaman otot, fikir Aini lagi berlarut-larutan.

Oh, Tuhan! Aku boleh jadi gila kerana teringatkan dia. Betul ke aku sukakan dia? Macam mana dengan dia? Dia sukakan aku ke tak? Jangan-jangan hanya aku yang syok sendiri... Aini gelisah.

Dia bangun lalu duduk di tubir katil. Dicapainya telefon bimbit lalu dia membuka aplikasi WhatsApp. Dia lihat nama Amsyar di aplikasi WhatsApp. Dia menaip sesuatu untuk Amsyar tetapi kemudian memadamkannya semula.

Kau gila! marah hatinya sendiri. Apa yang ingin kau tulis kepadanya? Perasaan kau? Agh! Kau betul-betul gila, marah hatinya lagi hingga Aini merengus sendiri. Dia mencampak telefon bimbitnya ke atas tilam semula. Kemudian dia berbaring dan memejamkan mata sambil berharap wajah Amsyar akan hilang dari ingatan dan pandangan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co