Truyen3h.Co

Tiada Noktah Cinta

Bab 13

karyaseni2u

CEK yang mengeram sekian lama di dalam laci mejanya ditenung. Perlukah dia menunaikannya? Bukankah wang sebanyak tiga ribu ringgit itu agak lumayan? Kenapa ia perlu dibiarkan di dalam laci tanpa digunakan untuk buat sesuatu? Amsyar berfikir-fikir apa yang akan dilakukannya dengan duit itu sekiranya ditunaikan. Tiba-tiba dia memetik jari. Ya! Lebih baik duit itu disalurkan ke rumah anak-anak yatim ataupun rumah kebajikan orang-orang tua.

Amsyar bergegas keluar dari biliknya. Dia menuju ke pintu hadapan. Namun langkahnya terhenti apabila dia lihat Nadia sedang berbual-bual dengan penyambut tetamu. Nadia nampak dia yang baru keluar di ruang itu lantas berjalan mendekatinya.

"Abang!"

"Hmmm..." Amsyar sekadar mengangguk, tidak punya hati untuk membalas panggilan Nadia dengan mesra seperti suatu masa dahulu.

"Abang nak ke mana? Assignment?"

"Tak. Aku nak pergi ke bank sekejap," jawab Amsyar ringkas sambil terus berlalu. Namun Nadia mengejarnya dari belakang.

"Abang, tunggu sekejap! Diya nak beri abang hadiah. Diya betul-betul menyesal," kata Nadia sambil menghulur beg kertas berwarna coklat ke arah Amsyar. Lelaki itu diam sahaja sambil memerhati tangan Nadia yang masih tergantung, menghulur beg kertas itu dengan penuh hormat.

Amsyar menggeleng.

"Okey. Aku maafkan kau tapi aku tak nak apa-apa hadiah. Kita ni bukan lagi kawan. Pasangan kekasih lagilah bukan. Lebih baik kau balik saja. Bawa hadiah kau tu sekali sebab aku tak mahu terima apa-apa."

Pergi sahaja dari hidup aku, bisik Amsyar dalam hatinya sahaja.

"Ambillah, abang. Tolonglah. Diya Ikhlas."

Amsyar menggeleng. Dia tidak akan menerima apa-apa hadiah daripada Nadia. Dia terus berlalu membiarkan Nadia memanggil namanya bebeberapa kali. Dia langsung tidak menoleh lagi ke belakang. Niat dalam hatinya ingin segera pergi ke bank untuk menunaikan cek itu kemudian terus menuju ke rumah anak-anak yatim di Cheras. Setelah semuanya selesai, dia kembali ke pejabat sekitar jam tiga petang. Dia lihat di atas mejanya terletak damai beg kertas milik Nadia. Dia menggeleng sendiri sambil mengintai isi beg kertas itu. Sebuah kotak kecil berisi minyak wangi jenama yang menjadi kegemaran Amsyar.

Amsyar termenung sejenak. Pandai juga dia mengambil hati, bisik hatinya sendiri. Nak maafkan Nadia ke tak? Tak... Tak... Dia menggeleng sendiri

Dia tidak inginkan sebarang perhubungan lagi dengan Nadia ataupun Mimi. Bersahabat pun dia sudah tidak mahu. Kini hatinya mulai diisi dengan seseorang. Sejak dia melihat gadis itu, dia sering memikirkan tentang dirinya. Dia sering ingin menemui dan dia selalu merindui gadis itu. Perasaan yang hadir itu tidak pernah dia pinta. Ia datang tiba-tiba, ketika dia dikepung kesibukan dengan kerja setiap hari, sehingga dia berhenti menaip ataupun menulis. Dia akan gigit hujung pen sambil berfikir mengapa fikirannya berlarut-larutan memikirkan perihal Jasmeen. Hal-hal kecil yang berlaku antara mereka membuat dia tersenyum sendiri.

Kadang-kadang dia terhenti mengetuk papan kekunci komputer apabila teringatkan jelingan garang dari mata Jasmeen dan iris mata coklat gadis itu kelihatan bersinar-sinar. Amsyar sedikit gelisah. Dia ingin menyatakan perasaannya pada Jasmeen lantaran dia tidak tahan lagi menyimpan perasaan. Hatinya seperti tanah gersang yang kemarau bertahun-tahun. Dan hanya hujan dari pelupuk mata sang kekasih yang akan mampu membasahi atmanya.

Amsyar mencapai telefon bimbit lalu membuka WhatsApp. Dia melihat nama Jasmeen. Tanpa sedar bibirnya tersenyum dan dia mulai menaip sesuatu.

- Jasmeen, saya nak tanya awak sesuatu.

- Apa dia?

- Awak ada hubungan apa-apa ke dengan Mithtaff Hakimi?

- Tak ada

- Jasmeen, saya nak anggap awak kekasih saya.

- Apa?

- Saya sukakan awak. Bukan... Saya cintakan awak.

- Awak jangan main-main, Amsyar.

- Saya sungguh-sungguh.

- Saya tak percayakan lelaki dan cinta. Kita bersahabat saja.

- Saya nak kedua-duanya. Kekasih dan sahabat.

- Awak jangan tamak, Amsyar. Saya hanya boleh tawarkan persahabatan saja.

- Saya tamakkan cinta awak, Jasmeen.

- Dahlah. Saya banyak kerja.

- Jasmeen, tolong beri saya peluang.

- Peluang apa?

- Peluang untuk mencintai awak. Berikan saya peluang untuk buktikan saya ikhlas cintakan awak.

Jasmeen senyap.

- Jasmeen...

Jasmeen terus senyap.

-Meen...

Jasmeen masih senyap tapi gadis itu masih belum meninggalkan aplikasi WhatsApp. Amsyar nampak Jasmeen masih online.

- Sayang...

- Jangan panggil saya sayang.

- Saya... Errr, abang sayang Meen sungguh-sungguh.

- Abang? Semakin peliklah awak ni.

- Sayang.

Jasmeen keluar dari aplikasi WhatsApp dan meninggalkan bluetick. Dia tidak menjawab kata-kata Amsyar.

Amsyar memerhati sahaja skrin telefon bimbitnya. Dia mengeluh perlahan.

Ahhh, sudah! Dia marah ke? soal hati Amsyar tidak keruan. Dia hanya menyatakan apa yang dia rasa ketika dan saat ini.


JALAN di hadapan rumah lengang. Aini duduk sendirian di kerusi tempawan hitam di ruang porch kecil itu. Dia memerhati sahaja deretan bunga di dalam pasu yang menghiasi sepanjang tembok yang menjadi sempadan di antara rumahnya dan rumah sewaan Amsyar. Ada pokok bunga keladi yang berdaun rimbun, berwarna hijau dan merah. Ada juga beberapa pasu pokok bunga mawar merah dan pink.

Sekali-sekala Aini menjeling ke porch rumah Amsyar. Kereta Amsyar tiada di situ menandakan lelaki itu belum pulang. Sudah beberapa hari Aini tidak melihat Amsyar pulang awal. Sering kali dia mendengar bunyi enjin kereta Amsyar masuk ke porch pada lewat malam.

Dia betul-betul sibuk kebelakangan ini, bisik hati Aini.

Aini berharap Amsyar akan pulang lebih awal hari ini. Dia bagaikan merindui kehadiran jejaka itu di hadapannya. Dia ingin mereka bertegur sapa seperti dahulu. Perbualan singkat yang akan membuat Aini tersenyum sendiri kala bersendirian. Aini teringin melihat senyuman di bibir Amsyar. Walaupun dalam keletihan setelah pulang dari kerja, Amsyar tetap akan melemparkan senyuman mesra kepadanya.

Petang itu ibunya tidak menyediakan sebarang juadah. Tiada alasan untuk dia ke rumah Amsyar seperti selalu. Terasa malu pula apabila bertandang ke rumah orang tanpa membawa sebarang buah tangan walaupun Nenek Timah langsung tidak mengharap jauh sekali meminta.

"Kenapa kau masih duduk kat luar? Dah dekat pukul tujuh malam," sergah Pak Sulaiman yang hendak keluar ke masjid.

Aini tersentak. Tidak sedar, matahari sudah pun jatuh ke kaki langit dan suasana sekeliling kelihatan samar-samar.

"Errr, dalam bilik panas," jawab Aini ringkas.

"Panas buka kipas ataupun aircond," jawab bapanya lagi.

"Pergi masuk. Tak baik duduk kat luar senja-senja macam ni."

Aini tidak menjawab namun segera untuk masuk ke dalam.

Sebaik sahaja masuk ke ruang tamu, telinganya menangkap bunyi enjin kereta Amsyar memasuki porch.

Abang Am dah balik! Hatinya melonjak.

Tapi Aini tidak berani keluar semula. Bapanya masih ada di muka pintu, menunggu emaknya bersiap-siap untuk ke masjid. Aini bergerak masuk ke dalam bilik tidur dan melempar diri ke atas tilam.

Emaknya menjenguk dan berpesan agar Aini mengunci pintu hadapan dan mengerjakan solat. Aini akur. Memang dia tidak pernah meninggalkan solat sejak akil baligh hingga kini. Cuma ada ketika Allah memberikan dia kelonggaran agar tidak mengerjakan solat. Waktu-waktu itu tidak pula dia persia-siakan. Zikir dan tahmid akan dilaziminya tanpa jemu. Cuma kebelakangan ini dia bagaikan terganggu fikiran apabila teringatkan jejaka sebelah rumah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co