Truyen3h.Co

Tiada Noktah Cinta

Bab 2

karyaseni2u

"AKU rasa pasal rasuah ini bukan perkara baru. Pemimpin sahaja yang bertukar ganti tetapi rasuah tidak dapat juga dibanteras. Berapa banyak negara kecil yang terlibat rasuah, hancur ekonomi mereka. Kau tengok saja Venezuela, apa yang terjadi?" kata Amsyar sambil merenung wajah rakan di hadapannya itu.

"Kau rasa rasuah ini bermula dari pemimpin ke?" balas Salman sambil merenung sejenak wajah Amsyar.

"Pendapat aku rasuah ini harus dibanteras dari akar umbi. Orang yang mengamalkan rasuah ini bermula dari kalangan orang-orang penting dalam pentadbiran sesebuah negara. Mereka yang membina dan mencipta sistem yang akhirnya menjadi amalan orang-orang bawahan. Macam kata pepatah, kalau cikgu kencing berdiri, murid-murid kencing berlari."

"Amboi! Lebih hebat guru dari murid kalau begitu."

"Contoh dan tauladan, Man. Anak-anak buah mengikut contoh yang ditunjukkan guru. Mereka akan menjadi lebih teruk dari guru. Kau percaya cakap aku."

"Ya... Ya, aku percaya!" jawab Salman tetapi nadanya seperti menyindir.

"Jadi, apa pandangan kau tentang Venezuela tu tadi? Aku nak dengar."

Amsyar spontan mengusap kumis tipis dan janggut sejemput di hujung dagunya. Wajah Amsyar handsome walaupun bukan seperti seorang model. Wajahnya punya daya penarik. Berkulit sawo matang dengan mata redup. Renungannya lembut dan mesra. Dia seorang yang peramah, mudah menolong orang.

Dari segi penampilan, Amsyar sentiasa berpakaian kemas, berkemeja dan bertali leher. Pilihan bajunya setiap hari adalah warna putih gading ataupun biru laut dengan tali leher yang bersesuaian. Sekali-sekala dia mengenakan baju kotak ataupun berjalur-jalur yang mengikut rentak jiwa mudanya. Kalau ada tugasan luar, dia akan mengenakan jaket. Sebagai ketua pengarang di syarikat akhbar milik salah seorang menteri dalam kabinet negara, Amsyar sangat berwibawa dalam tugasannya. Dalam usia tiga puluh satu tahun, Amsyar masih bujang.

Salman merenung Amsyar.

"Kenapa kau pandang aku gitu?" tanya Amsyar dengan nada serius.

"Aku tunggu kau berhujah. Tadi macam beria-ia sangat hendak bercerita tentang Venezuela."

"Hmmm, nantilah aku akan tulis satu artikel pasal tu. Kau rajin-rajinlah sikit membaca surat khabar, bukan baca status Facebook."

"Aku rajin apa... Semua artikel, rencana, berita yang kau tulis aku baca. Kau patut tulis novel juga. Novel satira."

"Aku ada juga terfikir. Tulis novel satira bagus juga, cuma aku takut aku aje yang gelak sorang-sorang. Orang yang baca tak rasa lucu."

"Kau tulis novel cintalah. Sesuai dengan kau. Koleksi makwe kau kan ramai."

"Aduh, kawan-kawan mesti terkejut kalau aku tulis novel cinta. Eh, Amsyar tulis novel cinta. Biar betik! Mesti dia orang cakap begitu."

Salman tertawa.

"Kau banyak pengalaman dengan perempuan. Tentu novel cinta kau nanti laku keras dan pembelinya semua perempuan." Salman menyambung ketawa.

"Sudah, jangan mengarut! Novel cinta aku tak minat. Kalau aku tulis novel, aku akan tulis kisah perjuangan, masyarakat madani dan kisah-kisah yang jadi tauladan. Aku nak menang Hadiah Sastera," bantah Amsyar.

"Wah! Bagus. Akan lahir bakal sasterawan negara. Tiba-tiba kering pulak tekak aku. Jom kita pergi minum," jawab Salman sambil mengintai waktu dari telefon bimbitnya. Tepat pukul sebelas pagi.

"Aku nak buat suntingan sikit lagi. Kau tolong bungkuskan teh tarik untuk aku."

"Agh! Aku nak balik pejabat aku lepas minum nanti. Malas aku nak patah balik ke sini semula."

"Yalah. Kau pergilah sorang. Aku nak sambung kerja," kata Amsyar seolah-olah menghalau Salman.

Salman bangun, meninggalkan bilik Amsyar kembali sepi. Amsyar mulai mengetuk kekunci komputernya, menyambung kerja yang tadi ditinggalkan apabila Salman datang. Kerja-kerja menyunting berita selesai sejam kemudian. Dia menggeliat malas. Jam sudah hampir pukul dua belas tengah hari. Perut mulai berkeroncong. Dijelingnya telefon bimbit. Dia melihat ada beberapa WhatsApp yang tidak berjawab. Amsyar membuka aplikasi WhatsApp. Dia menggeleng sendiri membaca pesanan ringkas daripada Nadia dan Mimi.

Pertanyaan mereka berdua sama sahaja.

- Abang sayang. Abang kat mana?

Malas aku nak jawab! gerutu Amsyar sendiri.

Hari ini dia nak pergi makan kari kepala ikan. Macam dah terasa-rasa di lidahnya kuah kari ikan yang pekat likat. Dia ingin bersendirian, menikmati makan tengah hari dengan tenang di restoran kari kepala ikan pinggir Sungai Klang. Restoran pilihannya terletak berdekatan dengan WTC. Sekitar pukul dua petang dia ada pertemuan dengan seorang menteri di WTC. Bosnya Datuk Rahim yang mengatur temu ramah tersebut kemudian akan memuatkan berita perkembangan politik menteri itu dalam portal berita syarikat.

Dia menekan suis untuk menutup komputer. Belum sempat dia bangun, Ziela, setiausaha Datuk Rahim menjengukkan wajahnya di muka pintu.

"Abang Am!" seru Ziela cemas.

"Apa?" tanya Amsyar sambil matanya merenung gadis manis bertudung kuning itu.

"Nadia dan Mimi datang! Ada kat ruang depan."

"Hah?" Amsyar terkejut.

Aniaya betul! Macam mana mereka berdua boleh datang serentak ke pejabat aku hari ni? Spontan Amsyar mengelus rambutnya yang lebat dan hitam.

"Dia orang tengah bertengkar tu!"

"Sebab abang ke?" tanya Amsyar setengah bingung.

"Yalah. Siapa lagi?" jawab Ziela.

"Kenapa kau tak suruh saja dia orang balik? Beritahu dia orang abang tak ada, pergi assignment. Paris, London, New York."

"Penyambut tetamu dah beritahu abang tak ada. Tapi dia orang tak percaya. Sebelum dia orang terjah bilik abang, lebih baik abang cabut lari."

"Hah, ya! Bagus idea tu," balas Amsyar dengan cepat.

"Tapi abang nak ikut mana? Bukan ke gril pintu belakang Datuk dah kunci?"

"Tak apa, saya ada kuncinya."

"Alhamdulillah!" kata Amsyar sambil buat aksi menadah tangan ke atas.

Ziela bergegas menghala ke mejanya dan mengambil kunci di dalam laci. Kunci diserahkan pada Amsyar. Tergopoh-gapah lelaki itu berjalan menghala ke pintu belakang. Ziela hanya memerhati sambil menggeleng.

Ziela tergelak sendiri. Lucu dia melihat Amsyar berlari bagai lipas kudung menghala ke pintu belakang. Hendak dibiarkan bersemuka dengan kedua-dua wanita yang sedang mengamuk itu, tidak sampai hati pula. Nanti kena ganyang muka handsome Amsyar. Sebab itulah dia segera memberitahu Amsyar tentang Nadia dan Mimi.

Dari arah pintu utama terdengar suara kecoh. Nadia dan Mimi meluru masuk meskipun Rafidah, si penyambut tetamu cuba menghalang. Kedua-dua wanita muda itu meluru ke bilik Amsyar. Mereka mendapati bilik itu kosong.

"Kan I dah bagi tahu, Abang Am tak ada. Dia ada temu janji kat luar," kata Ziela sambil menahan gelak.

"Temu janji kat mana? Dengan siapa? Kau jangan tipu!" sergah Nadia.

Nadia membetulkan rambutnya yang kusut-masai selepas bergaduh dengan Mimi. Mimi yang berambut pendek seperti fesyen rambut Lady Diana, hanya mencebirkan bibirnya. Dia masih tidak percaya Amsyar tiada kerana dia nampak kereta lelaki itu parking di hadapan pejabat.

"Jangan-jangan kau berpakat dengan dia ni! Mana dia menyorok, ha?" tengking Mimi garang.

"Buat apa I nak tipu?" balas Ziela.

"Kau bersekongkol dengan dia!" tuduh Mimi lagi menghalakan jari telunjuknya ke wajah Ziela.

"Lebih baik you all keluar dari sini. Jangan buat kecoh lagi. Nanti kalau bos I masuk, tak malu ke?" tanya Ziela.

Nadia dan Mimi terdiam. Dia tahu syarikat itu milik salah seorang menteri kabinet, Datuk Rahim. Lelaki itu memang terkenal di seluruh Malaysia. Tidak perlu lagi Ziela mengulangi kata-katanya. Mimi mulai surut dari rasa marah dan geram.

"Jom kita pergi!" kata Nadia sambil mengajak Mimi berlalu.

"Aku tak nak balik dengan kau. Kau rampas Abang Am dari aku. Aku tak sangka kau ada hubungan dengan Abang Am. Sanggup kau khianati kawan baik kau sendiri."

"Agh! Abang Am bukannya dah jadi tunang kau ataupun suami kau. Selagi dia masih single, aku takkan lepaskan dia. Walaupun dia tak pernah cakap dia sayang kat aku, tapi aku yakin perasaan kita orang sama. Lagipun dia pernah cakap dengan aku, dia bosan kawan dengan kau. Kau yang banyak mulut, suka mendesak," jawab Nadia sengit.

Mimi meradang mendengar kata-kata Nadia.

"Kurang ajar kau, ya? Kau sengaja tambah-tambah ni! Tak mungkin Abang Am cakap aku suka mendesak. Aku tak pernah desak dia. Takkanlah aku nak desak dia ikut kehendak aku. Selama ni aku jaga hati dia baik-baik," kata Mimi sambil menolak bahu Nadia dengan kasar.

Nadia berdiri tegak dengan mata dijegilkan.

"Apa tolak-tolak? Nak rasa penampar aku?"

"Tamparlah. Kau ingat aku takut?" Mimi mencabar.

Nadia membisu, hanya tangannya spontan tergenggam. Dia memang ingin menampar wajah Mimi. Namun semua itu tidak diteruskan kerana dia sedar sesuatu. Selama ini dia menyewa bilik di rumah Mimi. Dia belum mempunyai rumah sendiri.

"Ha, kenapa diam? Takut?" Mimi mencabar lagi sambil memeluk tubuh.

Lantaran terlalu geram mendengar cabaran Mimi, Nadia benar-benar menampar pipi wanita muda itu. Wajah Mimi bertukar menjadi merah padam. Pipinya berbahang sakit. Kuat juga penangan telapak tangan Nadia.

"Kurang ajar!"

Dengan kuat dia menengking Nadia sehingga seluruh pejabat itu bergema dan bergegar seperti dilanggar geroda. Beberapa orang wartawan yang berada di dalam bilik masing-masing bergegas keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku.

"Hari ini juga kau berambus keluar dari rumah aku. Aku akan saman kau, Nadia! Nanti kau! Kau orang semua saksi dia tampar muka aku!" kata Mimi sambil memerhati sekilas ke arah beberapa orang staf yang berdiri di satu sudut memerhati insiden itu.

Mimi bergerak pantas keluar dari ruang itu menuju ke pintu utama. Nadia hanya terpaku dengan hati sedikit kesal. Kenapalah tangannya begitu laju melayang ke pipi Mimi? Ah, dia mesti minta maaf jika tidak mahu dihalau keluar dari rumah Mimi. Bukan setakat dihalau, tetapi turut disaman. Di mana dia nak cari duit untuk bayar kos peguam dan saman? Hati Mimi dilanda rusuh.


KETIKA Amsyar kembali ke pejabat sekitar jam lima petang, suasana tenang dan aman. Beberapa orang staf sudah meninggalkan meja masing-masing untuk pulang. Ada juga yang masih berada di meja meneruskan kerja-kerja hingga lewat jam tujuh. Amsyar masuk ke biliknya lalu segera membuka komputer.

Dia duduk mengarang sehingga jam tujuh setengah malam. Azan dari telefon bimbit membuat dia bangun menuju ke surau di bahagian belakang pejabat. Ruang pejabat sepi, semua sudah pulang. Hanya tinggal dia seorang diri. Selepas maghrib dia turut melangkah pulang setelah memastikan pintu dan gril berkunci rapat.

Nenek Timah menunggu kepulangan cucunya untuk makan malam bersama. Amsyar memerhati gulai lemak cili nangka muda yang dicampur dengan tulang ikan talang. Gulai itu kelihatan sangat menyelerakan. Dia mencapai sudu lalu mencedok kuah dan dua ketul nangka muda lalu diletakkan di atas nasi panas. Nenek Timah memerhati tingkah laku cucunya itu. Dia tersenyum senang.

"Aini yang beri gulai itu petang tadi. Katanya dia yang masak sendiri."

Amsyar sekadar mengangguk kemudian mulai menyuap nasi.

"Sedap," komen Amsyar sepatah cuma.

"Aini tu cantik, hormat orang tua, rajin buat kerja rumah dan pandai memasak," kata Nenek Timah memuji.

Pujian yang mempunyai maksud. Amsyar tidak menanggapinya langsung. Nenek Timah memang selalu memuji Aini. Amsyar pun sedar, Aini rajin orangnya. Menghias halaman rumahnya dengan pokok bunga dan menyiramnya setiap pagi adalah tugas rutin yang tidak pernah diabaikan gadis itu.

"Ada yang datang melamarnya tapi pinangan itu ditolak Aini kerana katanya dia masih belum mahu kahwin."

"Yalah, dia masih muda lagi, nek. Baru dua puluh dua, kan?"

Nenek Timah mengangguk, mengeyakan. Bibirnya bergerak-gerak ingin menyatakan sesuatu tetapi tidak jadi. Dia memandang Amsyar yang kencang menyuap nasi. Berselera sekali cucunya itu makan. Sekejap sahaja nasi di atas pinggannya sudah habis.

"Tambah lagi?" tanya Nenek Timah sambil menghulur mangkuk nasi tambah.

Amsyar menggeleng.

"Cukup, nek. Dah kenyang," jawab Amsyar sambil tersenyum kecil.

Dia bimbang akan menjadi buncit. Dia teringat sudah lama dia tidak pergi ke gimnasium. Kalau tidak sibuk bekerja, dia akan keluar dengan Salman melepak di kedai mamak untuk bersembang. Atau sekali-sekala pergi main boling dengan kawan-kawan pejabat.

Tak apalah, hari minggu ini aku pergi gim, bisiknya sendiri sambil mengusap perut yang kekenyangan. Dia bergerak ke ruang tamu kecil yang hanya ada sebaris sofa tiga tempat duduk. Ada televisyen yang tergantung di dinding. Televisyen itu jarang dihidupkan kerana nenek tidak gemar menonton drama ataupun filem. Sekali-sekala sahaja Nenek Timah menonton filem P. Ramlee. Amsyar berjalan keluar menuju ke porch. Di situ ada dua buah kerusi kayu jati, tempat dia berehat, menikmati suasana malam di luar rumah.

Jalan raya di hadapan rumah lengang, hanya sekali-sekala kereta dan motosikal melintas. Amsyar duduk berehat di porch, menikmati angin malam. Di dalam rumah rasa amat berbahang akibat kepanasan matahari musim kemarau. Sedang asyik membaca portal berita dari telefon bimbit, dia dikejutkan dengan bunyi orang berdehem dari rumah sebelah.

"Abang Am dah makan?" tegur Aini dari arah pagar rumah sebelah.

"Baru lepas. Sedap gulai nangka campur ikan masin yang Aini beri itu."

"Abang suka?" tanya Aini lagi ingin tahu.

Amsyar tertawa kecil.

"Abang suka semua yang Aini masak. Pandai Aini masak masakan kampung."

"Aini belajar dengan emak."

"Senyap saja rumah Aini. Mana emak dengan ayah Aini?"

"Emak dengan ayah pergi ke masjid. Malam Jumaat, ada ceramah agama. Mereka lambat sikit balik malam ini."

"Aini tinggal seorang?"

Aini mengangguk.

"Baik-baik tinggal seorang. Kalau ada apa-apa Aini jerit sajalah. Abang datang, tolong ketuk kepala penjahat itu dengan pelangkung," kata Amsyar sambil tersenyum kecil.

"Kalau yang datang itu orang, bolehlah dibagi pelangkung. Tapi kalau bukan orang?" tanya Aini sengaja hendak memanjangkan perbualan.

"Hembus sahajalah dengan ayat Kursi," jawab Amsyar sambil gelak.

"Tapi Aini berani ke tinggal seorang diri?"

"Takut juga. Sebab itu Aini keluar bila nampak abang ada di luar."

"Hmmm..." Amsyar hanya mengeluh perlahan, tidak tahu apa lagi yang harus dibualkan dengan Aini.

Aini memerhati bayang-bayang wajah dan tubuh yang samar-samar kerana lampu porch sengaja tidak dinyalakan.

"Abang..."

"Ya?"

"Abang ada makwe?"

"Ada," jawab Amsyar sepatah.

"Siapa?" tanya Aini separuh berbisik.

Dalam hati mulai singgah rasa kecewa. Rupa-rupanya Amsyar sudah ada kekasih.

"Aini lah!" jawab Amsyar sambil gelak besar. Dia sengaja mengusik Aini.

"Hesy... Abang ni. Saja nak usik Aini."

"Buat masa sekarang ni abang tak ada sesiapa. Malaslah, perempuan ni buat pening kepala abang saja. Banyak kerenah," jawab Amsyar serius.

Tiba-tiba terdengar bunyi motosikal Pak Sulaiman di hadapan pagar rumah. Pasangan suami isteri itu sudah pun pulang dari masjid. Kelihatan Mak Juriah turun dari motosikal, masih dengan telekung putih membalut seluruh tubuh. Aini cepat-cepat masuk ke dalam rumah, sebelum ibu bapanya menyedari dia berbual dengan Amsyar. Amsyar memerhati sahaja Mak Juriah memasuki porch rumahnya. Pak Sulaiman memandang Amsyar yang duduk tenang sambil memegang telefon.

"Baru balik, pak cik?" tegur Amsyar ramah.

"Ya," jawab Pak Sulaiman sepatah.

Sejak dahulu Pak Sulaiman memang begitu. Tidak begitu mesra dengan Amsyar. Amsyar tidak kesah langsung. Biarkan sahajalah, orang tua pun kadang-kadang ada egonya sendiri. Sebagai orang muda, biarlah dia beralah dan menegur terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya teguran Amsyar tetap dibalas Pak Sulaiman dengan baik.

Amsyar akur. Dia orang merantau sedangkan Pak Sulaiman dan keluarganya penduduk tetap kampung itu, kampung pinggir kota yang pesat.

Hidup ni kita harus pandai bawa diri, bisik hati Amsyar.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co