Bab 10
Suasana riuh-rendah di pekarangan rumah Nizam. Saat itu, mereka menyambut ulang tahun kelahiran Reny yang ke-19. Rakan-rakan sekelas Reny dijemput hadir ke majlis itu. Nizam dan Mazni mengadakan barbeku dan menempah sebuah kek coklat tiga tingkat bagi menjamu para tetamu yang hadir.
Ridzwan dan Azizah sama sibuk melayan tetamu yang agak ramai. Puluhan belon bertaburan di sana sini bagi mewarnai majlis. Sebuah meja panjang, ditimbuni dengan hadiah hari jadi Reny.
"Happy birthday, princess."
Sejambak mawar segar menjamah pandangan Reny. Dia mengangkat kepala dan terlihat wajah kacak Faiz. Bunga bertukar tangan. Pemuda yang sedang menuntut pengajian di universiti tempatan itu cuti semester. Mazni turut menjemputnya hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
"Thanks."
Reny sekadar tersenyum hambar. Dia meletakkan jambangan bunga di atas meja. Hari itu sepatutnya dia bergembira, tapi disebabkan amanah yang ditugaskan Azizah kepadanya, jiwanya berantakan. Semangatnya hilang melayang entah ke mana.
"Hari ni birthday kau, yang kau monyok semacam kenapa? Gaduh dengan Shah?" tebak Faiz selamba.
Reny berkerut dahi, mengapa soalan sama yang diajukan mama dan papanya turut keluar dari mulut Faiz? Ketara sangatkah perubahan wajahnya yang tidak sudah memikirkan hal Elman Shah?
"Tak adalah... Aku mana ada gaduh dengan dia."
"Reny, saya nak bercakap dengan awak."
Elman tiba-tiba muncul antara Reny dan Faiz. Sudah dua minggu Reny berperangai pelik. Gadis itu kurang ceria, namun Reny masih melayan Elman seperti biasa. Apabila ditanya, Reny kata dia stres dengan persediaan untuk STPM.
"Bagi aku 10 minit Elm, aku nak berbual dengan Faiz. Dah lama aku tak jumpa dia."
Reny cuba memberi alasan. Namun, dia terkejut besar bila Elman menarik lengannya kasar dan mengheretnya ke bahagian belakang rumah. Mujurlah saat itu dia memakai gaun lengan panjang. Jika tidak, pasti dia berbalah besar dengan Elman yang sesuka hati menyentuhnya.
Reny hairan, selama ini tak pernah sekali pun Elman menyentuh dirinya dengan sengaja walaupun berlapik. Sentiasa ada jarak yang memisahkan mereka. Elman pandai menjaga batas dalam persahabatan mereka. Tapi, saat itu Elman seperti bertukar menjadi orang lain. Wajahnya juga kelihatan masam mencuka.
"Awak boleh tak jangan berdiri dekat sangat dengan Faiz?!" jerkah Elman tiba-tiba.
"Dekat apanya, tak bersentuh hidung pun? Yang kau tiba-tiba bawa aku ke belakang rumah ni dah kenapa? Majlis kat depan, kan?"
Intonasi Reny sedikit meninggi. Tiada seorang manusia pun di kawasan itu kecuali mereka berdua.
"Saya nak bagi awak hadiah."
"Alahai, letak sajalah dekat meja depan tu. Tak payah susah-susah heret aku ke belakang ni."
"Tak, saya nak bagi sendiri hadiah ni pada awak."
"Apa hadiahnya?" tanya Reny sambil berpeluk tubuh.
Dia memandang sahabatnya yang kelihatan teragak-agak mengeluarkan sesuatu dari dalam poket. Sepucuk surat dihulurkan kepada Reny. Reny pegun dan tergamam. Inikah surat yang diceritakan Azizah kepadanya?
"Awak baca bila awak bersendirian nanti, ya?" pinta Elman dengan pipi kemerahan menahan malu.
Sementara Reny mengangguk bak burung belatuk.Rona pucat menghiasi muka. Seolah-olah baru terlihat hantu. Nadinya bergetar sayu dan dia menahan diri daripada mengalirkan air mata. Dia melipat kemas surat itu dan menggenggamnya erat. Tangannya sedikit menggigil. Amanah Azizah, perlu diselesaikan hari itu juga!
"Elman Shah, aku nak tanya kau sesuatu. Boleh kau jawab jujur soalan aku?" soal Reny setelah terdiam lama.
"Apa dia?"
Mata bersabung mata. Mengungkap rahsia hati yang tak tergapai dek minda. Reny menggenggam buku lima kuat. Tolong beri aku kekuatan, Ya Allah...
"Adakah selama ini kau anggap aku macam kakak kau?" tanya Reny dengan mata yang tajam menikam pandangan Elman.
Pemuda itu gugup seketika. Berfikir panjang sebelum memberikan jawapan yang sesuai. Dia enggan menyembunyikan perasaannya.
"Tak. Saya tak pernah anggap awak macam kakak saya," jawab Elman serius.
"Jadi, aku ni apa? Teman baik kau, kan?"
"Bukan." Elman semakin gelisah.
"Habis tu?"
"Kenapa awak tiba-tiba tanya saya soalan macam ni?"
"Aku saja nak tahu. Senang aku nak merancang masa depan..."
Intonasi Reny sedikit mendatar. Cuba memancing perasaan sebenar sahabatnya itu. Berharap yang Elman takkan mengungkap hal yang satu itu...
"Saya cintakan awak!"
Jeritan Elman buat Reny terpempan. Penyataan maut itu terlucut keluar dari mulut Elman. Reny bungkam dengan mata yang mula berkaca. Dia menekur tanah untuk beberapa ketika. Cuba mengumpul semangat yang hilang...
"Apa? Aku salah dengar? Atau kau tersilap cakap?"
Riak kosong menghiasi tampang Reny. Terhabis baik cuba mempamerkan muka tak berperasaan. Gelojak jiwanya hanya Allah yang tahu. Duka hatinya hanya Allah yang tahu. Reny hanya berharap akan satu perkara. Moga semua ini berlalu dengan pantas...
"Awak tak salah dengar dan saya tak tersilap cakap. Saya cintakan awak, Reny. Saya tak nak berpisah dengan awak."
Tenggelam timbul suara Elman meluahkan rahsia hati yang paling dalam. Berulang kali menyebut kalimah itu.
"What? Cintakan aku?"
Reny pura-pura terkejut sebelum tawanya meledak kuat di belakang rumah itu. Gayanya seperti puntianak yang mengilai akibat sakit kena paku. Gelak yang membiaskan kedukaan...
"Reny, saya serius tentang perasaan saya. Kenapa awak ketawa? Saya yakin yang awak pun cintakan saya..." gumam Elman yang tak lekang memerhatikan Reny.
"Yakin? Eh, kau sedar tak apa yang kau cakap ni?!"
Mata Reny membulat dan kemerahan memandang Elman. Wajahnya bengis tanpa secalit senyuman.
"Sedar."
"Oh, kau cakap kau sedar? Jadi, aku nak kau dengar baik-baik, Elman Shah. Sepanjang kita bersahabat, tak pernah sedetik pun aku mencintai kau. Selama ini, aku cuma anggap kau macam adik lelaki aku. Aku tak sangka yang kau berfikiran lebih dari itu!"
"Tapi..."
"Aku belum habis cakap lagi! Kau sedar sikit yang kau tu kurus kering macam kerangka berjalan. Comot! Nerd! Lepas tu hodoh! Bodoh pula tu! Kau boleh syok sendiri cakap cintakan aku? Kau dah gila ke apa?!" jerkah Reny bertalu-talu.
Hinaan Reny menghentam jiwa Elman seperti petir yang mematahkan dahan pokok. Dahan yang tumbuh subur dan berimpian ingin mencecah awan. Sekarang, dahan itu dicantas daripada terus mencacak megah...
Hati yang tadi berdebar-debar dek meluahkan perasaan cinta, kini terasa umpama ditusuk dengan lembing beracun. Bait-bait yang keluar dari bibir merah itu lebih busuk mengalahkan air longkang!
"Kalau awak tak cintakan saya, kenapa selama ini awak layan saya dengan baik?!" soal Elman dengan mata berkaca.
"Kau ni memang jenis tak faham bahasa agaknya. Kan aku dah cakap, aku anggap kau macam adik. Ayah kau tu kawan baik papa aku, ayah angkat aku. Sudah tentulah aku kena layan kau dengan baik. Yang kau nak perasan sangat kenapa?!"
"Tak, saya tak percaya. Saya dapat rasakan yang awak mencintai saya sama macam saya mencintai awak!"
Elman tak dapat menerima kenyataan yang pahit bak hempedu itu. Adakah selama ini dia bertepuk sebelah tangan? Adakah layanan istimewa Reny tak membawa apa-apa makna?
"Kau nak aku cintakan kau? Boleh... Boleh..."
Reny berjalan ke hulu dan ke hilir di hadapan Elman. Seolah-olah memikirkan sesuatu yang rumit. Selang seketika, dia kembali bersemuka dengan sahabatnya itu.
"Pertama, kau pergi makan banyak-banyak sampai berat kau melebihi berat badan aku. Tapi, jangan sampai gemuk gedempol. Kau ubah penampilan selekeh kau yang menyakitkan mata aku tu!"
Reny gigit bibir sendiri. Menahan mata daripada membiaskan sinar hati. Menggigil seluruh tubuhnya dek menahan gelojak perasaan. Nadinya berdenyut pilu...
"Kedua, kau belajar pandai-pandai dan dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Aku paling benci orang yang bengap lagi bebal macam kau ni!"
Elman masih pegun di situ. Seolah-olah, malaikat maut ingin mencabut nyawanya. Mengapa Reny jadi begitu?
"Dan akhir sekali, kau pergi kumpul harta banyak-banyak. Selagi harta kau tak melebihi harta papa aku, kau tak payah nak berangan yang aku boleh cintakan kau!" cemuh Reny sesedap rasa.
"Reny, tergamak awak cakap macam tu dekat saya?!"
Air mata mengalir di pipi Elman. Selama ini, sekali pun Reny tak pernah mengutuk akan kekurangan dirinya. Namun, hari itu jelas ternyata Reny memandangnya hina. Reny sama seperti pelajar-pelajar lain yang selalu mengutuknya dalam diam. Apa salah yang telah dilakukannya hingga Reny berubah sedemikian rupa?
"Eh, aku bosanlah dengan drama air mata kau. Cengeng nak mampus! Macam betina saja aku tengok! Cubalah jadi jantan sikit! Dah lembik macam ni ada hati nak cintakan aku?! Tsk... Tsk... Tsk..." desis Reny sambil mencemikkan wajah.
"Hei, kau orang berdua ni bergaduh ke apa?"
Faiz yang sedari tadi memasang telinga dari jauh segera masuk campur. Dia mendengar semua perbualan antara mereka. Faiz rasa Reny sangat biadab saat itu.
"Ha, kau tengok Si Faiz ni. Macam inilah gaya lelaki yang layak aku cintai. Kau tu apa ada? Pergi cermin diri kau sikit!"
"Reny..."
Mati kutu Faiz apabila Reny tiba-tiba saja memeluk lengannya. Apa sebenarnya niat gadis ini?
"Mulai hari ni kita putus kawan!"
Jerkahan Elman buat Reny tersentak dan Faiz yang hendak berkata-kata, pegun seketika. Faiz memandang wajah merah padam Elman dengan perasaan kasihan. Tergamak Reny menghina sahabat baiknya sedemikian rupa. Apa salah budak lelaki itu?
"Kau ingat aku kesah? Nak putus kawan? Putuslah! Kau boleh berambus dari hidup aku! Aku tak hadap nak tengok muka kaulah!"
Itu adalah ayat terakhir yang didengari Elman Shah sebelum mereka berpisah. Ayat yang mampu merubah seluruh kehidupannya. Ayat yang membangkitkan dirinya dari lembah kegagalan. Ayat yang merantai jiwanya dengan dendam tanpa kesudahan...
Dan ayat itu adalah ayat terakhir yang diungkapkan Reny Fathia untuk seorang insan yang sangat bermakna dalam hidupnya. Ayat itu memusnahkan sebahagian dirinya dan ayat itu juga membelenggu jiwanya umpama satu sumpahan...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co