Bab 12
Shah memandang Reny dari jauh. Gadis itu sibuk mengelap kabinet kaca yang menempatkan beberapa jenis cupcakes pelbagai perisa. Wajahnya tenang dan harmoni, seperti langsung tiada masalah.
Shah menggigit bibir. Mengapa hanya dia yang berasa sakit hati dengan pertemuan semula mereka? Adakah Reny tidak mengenali dirinya? Tak... Tak mungkin gadis itu lupa akan wajahnya. Walaupun dahulu Shah kurus kering dan sekarang tubuhnya sado, wajahnya tidak banyak berubah. Ah, dia yakin Reny berpura-pura tidak mengenalinya!
"Kau gembiralah kan sebab dapat tarik perhatian Shah?"
Satu suara sumbang tiba-tiba muncul di belakang Reny. Syafa berdiri di hadapan bar minuman dengan senyuman sinis.
"Maksud kau?"
"Eh, kau jangan nak pura-pura tak perasanlah yang Shah tu selalu pandang kau?"
"Kalau aku perasan pun, apa masalahnya? Suka hati dialah dia nak pandang mana pun. Bukan mata aku, mata dia." Reny malas melayan mulut longkang Syafa. Dia meneruskan tugasannya.
"Alahai, kau tak payah nak poyo sangatlah. Tak payah nak budget hot. Aku tahu kau tu ada hati dekat Shah."
"Eh, apa masalah kau sebenarnya ni? Kau yang ada hati dekat dia, lepas tu kau nak kaitkan nama aku pula. Kalau kau rasa berkehendak sangat dekat dia, pergilah tackle dia. Tak payah nak libatkan aku!"
Reny yang panas telinga mula meninggikan suara. Dia bersemuka dengan Syafa yang terkulat-kulat dek gerun melihat wajah marahnya.
"Sorry, Reny. Aku gurau saja. Janganlah marah." Syafa cepat-cepat meminta maaf.
Bimbang Shah memandangnya serong jika dia bergaduh dengan Reny dalam kafe itu. Sejak awal lagi, Syafa perasan yang Shah selalu mencuri pandang ke arah Reny. Namun, tiada pula lelaki itu terang-terangan cuba mengayat Reny. Dia lebih suka memerhati dari jauh. Dan Syafa rasa cemburu dengan pandangan Shah terhadap Reny itu. Renungan matanya berbeza daripada kebiasaan.
"Maaf diterima. Kau ni melepak dekat sini, tak ada kerja ke dekat dapur?" soal Reny berbasa-basi. Reny malas membesarkan perkara remeh-temeh.
"Aku tengah tunggu pastri siap dibakar."
"Oh..."
"Tapi kan Reny, aku nak bagi kau satu nasihat."
"Nasihat apa?"
"Kau hati-hati sikit dengan Shah tu. Dia tu bad boy. Skandal keliling pinggang. Dia tu dah ada tujuh orang tunang. Kau tahu tak?"
Uhuk!
Jemah yang sedari tadi memasang telinga dari dapur tersedak air liur sendiri. Pantas saja dia mengayun langkah mendekati Syafa. Walaupun Jemah tidak berkenan dengan gadis itu, namun jika bab bergosip dia pasti join sekaki. Sebab itulah, dia dipanggil dengan nama Jemah!
"Tujuh orang tunang? Kau berlawak ke apa ni Syafa?" soal Jemah sambil membeliakkan biji matanya. Sementara Reny tidak terkesan dengan berita itu.
"Aku seriuslah. Aku dulu kan belajar dekat MSU, sama batch dengan Shah dan Jazz. Waktu dekat MSU dulu, dia dah ada lima orang tunang."
"Peliknya? Macam mana boleh ramai sangat tunang dia? Tunang putus, tunang putus ke apa?"
"Setahu aku, dia bertunang secara rasmi sebanyak tiga kali dan selebihnya tak rasmi."
"Tunang rasmi dan tak rasmi?"
Jemah sedikit bingung. Tidak pernah mendengar istilah pelik seperti itu.
"Tunang yang rasmi tu bila parents dia pergi sarung cincin dekat bakal menantu. Tunang tak rasmi pula, Shah cuma bagi cincin saja dekat perempuan tu tanpa pengetahuan keluarga." Petah sekali Syafa menerangkan hal itu.
"Pertunangan yang sah adalah bilamana, lelaki dan perempuan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga. Kalau setakat bagi cincin saja, tanpa niat untuk bernikah, itu tak lain dan tak bukan sekadar tiket untuk melakukan maksiat."
Reny yang tadi berdiam diri mula bersuara lantang.
"Haish, Reny. Perlahan sikit suara tu. Dia dengar nanti, habislah kita!"
Jemah mencucuk pinggang Reny sambil memerhatikan Shah yang duduk tidak jauh dari tempat mereka bergosip. Pemuda itu kelihatan sedang membaca surat khabar.
"Gasak dialah. Aku tak takut pun!" tutur Reny sedikit marah.
Dia meninggalkan Jemah dan Syafa sebelum kembali ke kaunter juruwang. Wajah yang tenang tadinya mula dihiasi bayang-bayang kekecewaan.
"Syafa, kalau tiba-tiba dia melamar kau untuk jadi tunang tak rasmi dia yang kelapan. Kau terima tak?" soal Jemah ingin tahu.
"Eh, tak sangguplah aku. Tak pasal-pasal nanti aku kena tinggal. Dia tu dahlah bad boy!" Syafa menjawab sambil tersengih-sengih. Bicaranya tidak seiring dengan hatinya.
Jemah bukan bodoh untuk menilai pandangan penuh berharap Syafa terhadap Shah. Jemah yakin, jika saat itu Shah memberikan Syafa sebentuk cincin, gadis itu akan menerimanya sepantas kilat. Melihat daripada ketaasuban Syafa kepada Shah, gadis itu mungkin akan menggila untuk menjadi tunang tak rasmi bad boy itu!
Cuma Jemah pelik mengapa Reny kelihatan meradang setelah mendengar berita yang Shah pernah bertunang sebanyak tujuh kali? Tak akanlah Reny sukakan Shah? Emmm... Mustahil. Reny setia pada cintanya!
"Reny?" Jemah mendekati sahabatnya itu.
"Emmm?"
"Cuti minggu ni aku ingat nak pergi shopping. Kau nak pesan pakaian dari Azi Boutique tak?"
"Of course. Aku bagi kau duit, nanti kau belilah apa-apa koleksi terbaru yang aku tak ada." Reny tersenyum nipis.
"Kita pergi shopping sama-sama sajalah nanti? Boleh kau pilih sendiri bajunya?"
"Nope. Aku tak nak. Kau belikan sajalah."
"Okey."
Jemah garu-garu kepala yang tak gatal. Satu lagi sikap pelik Reny yang dia tidak faham, sahabatnya itu gemar memakai koleksi pakaian dari sebuah butik yang bernama Azi Boutique. Setiap bulan pasti ada koleksi baru yang dibelinya.
Namun, tidak pernah sekali pun Reny mengunjungi butik itu. Dia lebih suka memberi duit kepada Jemah, dan mengarahkan Jemah membeli pakaian-pakaian butik itu untuknya. Puas Jemah mengajak Reny agar sama-sama berkunjung ke butik itu. Tapi, sahabatnya itu menolak habis-habisan. Mujurlah Jemah sudah arif mengenai saiz pakaian Reny. Jika tidak, sukar juga dia hendak membelikan pakaian untuk gadis itu.
"Hei, akak. Termenung apa tu?"
Teguran Jazmi membuatkan lamunan Reny terhenti serta-merta. Sudah beberapa minit matanya tidak berkelip memandang ke arah jalan raya melalui cermin kaca kafe itu.
"Tak ada apa-apalah. Emmm... Cupcakes apa tu?"
Jazmi sedang memegang kek cawan yang berhias cantik dengan aising warna coklat dan merah.
"Ha, ini nak suruh akak rasa. Jazz dan Cef Ron cuba buat cupcakes perisa baru," beritahu Jazmi ceria.
Cef Ron adalah nama salah seorang chef yang bertugas di dapur kafe itu. Jazmi menyuakan kek cawan itu ke mulut Reny. Reny tidak teragak-agak untuk membuka mulut dan menggigitnya.
"Emmm... Sedap!"
"Serius?"
Jazmi tersenyum girang sebelum sama menjamah kek cawan itu. Kebiasaannya memang Reny yang akan menjadi first tester bagi setiap percubaan masakan Jazmi. Jazmi tidak sedar yang ada sepasang mata sedang terbakar melihat gelagatnya.
"Serius sedap. Boleh tambahkan dalam perisa baru cupcakes kita."
Reny tersenyum manis. Lagi manis senyumannya, lagi hangus hati orang yang melihatnya dari jauh. Lebih lebar senyumannya, lebih rabak hati dan perasaan Elman Shah!
Jazmi dan Reny berborak kosong buat seketika sebelum mata mereka tertumpu ke arah seorang gadis berkaca mata hitam yang melangkah masuk ke dalam premis itu. Gadis itu mengenakan skirt pendek paras lutut bersama blouse lengan panjang. Rambutnya disanggul rapi gaya wanita-wanita berkerjaya.
Reny tergelak kecil saat melihat Jazmi tidak berkelip biji mata. Ralit betul sahabatnya itu memandang gadis berkenaan dari atas hingga ke bawah.
"Seksinya kaki dia," getus Jazmi selamba.
Belum sempat Reny mengambil oder, Jazmi terlebih dahulu membawa sekeping buku menu ke arah meja gadis itu. Dasar bad boy sungguh! getus Reny dalam hati.
Bukan Reny tidak perasan, jika ada sebarang pelanggan yang berdahi licin dan memenuhi cita rasanya, Jazmi cepat saja cuba memancing. Perangai lebih kurang sama sahaja dengan Shah. Mujurlah Jazmi tidak pandai melabel perempuan sebagai tunang tak rasmi!
"Ulat bulu dah naik daun..."
Jemah yang sama terlihat gelagat majikannya itu menderam kecil. Dia dan Reny sama-sama memerhatikan situasi yang bukan perkara baru itu.
Dalam masa tak sampai dua minit, gadis yang baru tiba itu mampu ketawa gedik sambil menampar lembut lengan Jazmi. Sah, umpan Jazmi mengena! Entah berapa tan ayat manislah digunakan bos mereka itu untuk mengayat gadis tersebut.
"One iced Americano, please? Jemah, cepat buat!"
Selesai mengambil pesanan gadis itu, Jazmi kembali ke bar membuat minuman yang terletak bersebelahan kaunter juruwang.
"Ambil oder pandai. Nak buat oder malas pula!"
Jemah mencebik bibir tidak puas hati. Mujurlah Jazmi itu rapat dengannya, jika tidak masakan dia berani mengutuk majikan sendiri. Mahu kena buang kerja!
"Eh, membebel pula. Kenapa, kau jealous ke?" soal Jazmi sambil mengenyitkan mata nakal. Suka betul dia menyakat Jemah.
"Tak ada masa aku nak jealous."
"Kau jangan bimbang Jemah, aku lebih sayangkan kau sebab perempuan tu tua daripada aku. So, aku kurang minat."
Jazmi sengaja mengeluh di hujung ayatnya. Walhal, dia temberang sahaja. Manalah dia tahu berapa umur perempuan itu.
"Reny lebih tua daripada kau, tapi kau minat saja?"
"Kakak lain. Walaupun umur dia 100 tahun, dia tetap muda di mata aku. Walaupun giginya rongak dan dia bongkok tiga, aku masih menganggap wajahnya seperti Taylor Swift."
Berderai tawa Jemah dan Reny yang mendengar lawak merepek Jazmi. Sebab itulah, mereka bertiga boleh rapat. Kepala semua gila-gila!
"Eh, kau tengok tu."
Selesai menghantar minuman yang dipesan, Jemah berbisik di telinga Reny.
Mata mereka menyorot ke arah Shah yang tiba-tiba bangun dari duduknya dan menghampiri gadis yang menarik perhatian Jazmi tadinya. Mereka tidak dengar apa yang diperkatakan pemuda itu. Namun, mereka terkejut bila gadis itu mengizinkan Shah duduk semeja dengannya.
Mereka berdua berbual panjang. Siap tergelak-gelak seperti sedang menonton cerita lawak. Menjelang pukul 5.00 petang barulah gadis itu beredar meninggalkan kafe. Itu pun setelah Shah mendapat kad namanya dan berjaya mengucup tangan gadis itu.
Reny sekadar terpanar tanpa bicara saat Shah sempat menjelingnya dengan renungan mengejek berserta senyuman bangga!
"Jom, aku hantar kau balik."
Reny terkejut apabila Shah menegurnya tiba-tiba. Sangkanya, pemuda itu sudah pulang ke rumah. Rupa-rupanya elok sahaja dia menunggu Reny di sisi luar premis Jazz Cafe. Reny mendengus kecil. Mengapa perlu bertembung dengan mamat ini?
Jemah pula pulang lewat hari itu kerana dia terlambat masuk kerja.
Skuter yang selalu ditunggang Reny tersadai di bengkel kerana mengalami masalah enjin. Entah bila boleh siap, Reny pun tak pasti.
"Saya balik naik bas," tutur Reny laju.
Baru dia hendak melangkah pergi, Shah membaling sebuah full face helmet ke arahnya. Secara spontan Reny menangkap objek itu daripada menghentam kaki lima. Matanya mencerlung ke arah Shah yang bersandar dan bersilang kaki dengan penuh lagak di sisi superbike Kawasaki Z250 berwarna hitam berkilat.
Mamat ni nak ajak aku merempit ke apa? bisik Reny dalam hati.
"Saya tak naik motor."
Reny membaling semula helmet itu kepada tuannya. Menggelabah juga Shah menyambut objek itu. Tidak menyangka Reny begitu keras hati.
"Oh, tak naik motor. Habis tu, skuter yang kau selalu tunggang tu kenderaan spesies apa? Kapal selam?" perli Shah bengang.
"Orang bodoh sajalah tak dapat nak bezakan mana motor, mana kapal selam."
"Oh, bodoh? Kau memang suka cakap aku bodoh, kan? Tapi, tak apalah. Sebodoh-bodoh aku, aku mampu beli superbike. Sepandai-pandai kau, kau mampu beli skuter buruk saja."
Wajah tenang Reny berubah keruh dalam sekelip mata. Kata-kata pemuda itu dengan riak sombongnya sungguh menggores hati. Namun, dia tidak mampu untuk berbalah. Silapnya juga kerana membodohkan Shah. Dia terpaku lama di kaki lima itu.
"Ya, memang saya mampu beli skuter buruk saja. Jadi, awak silalah balik ke rumah dengan superbike awak tu. Saya lebih rela naik bas."
Shah mengetap bibir geram, terbakar betul hatinya melihat wajah tidak berperasaan gadis itu.
"Kenapa kau susah sangat nak naik superbike aku ni?! Aku cuma nak hantar kau balik rumah! Atau motor ni tak cukup mahal untuk kau duduki?! Nak suruh aku jemput kau pakai private jet, baru kau puas hati?!" Suara Shah meledak tinggi.
"Tak adalah. Saya tahu superbike awak tu mahal. Tapi, jika awaklah pemandunya, harga superbike itu setara dengan sampah."
"What?!"
Tersirap darah Shah hingga ke kepala. Kurang ajar punya perempuan!
"Apa awak ingat kalau awak bawa private jet, saya akan terhegeh-hegeh nak menumpang? Tolonglah... Awak silap orang. Kalau awak ada sayap yang boleh terbang tinggi di langit sekalipun, saya tak sudi dekat dengan awak. Sebab mulut awak macam longkang."
Reny memulang paku buah keras dalam intonasi yang lembut, namun cukup berbisa. Reny fikir, jika dia bukan perempuan, memang dia akan dibantai Shah saat itu.
"Eh, akak. Tak balik lagi ke? Jom, Jazz hantarkan?"
Kemunculan Jazmi menyelamatkan keadaan. Tepat-tepat sahaja pemuda itu keluar dari Jazz Cafe untuk pulang ke rumah.
"Nak baliklah ni, tapi ada sampah mengganggu jalan aku. Jomlah Jazz, aku dah penat."
Reny berlenggang ke arah kereta sport Lotus Elise kepunyaan Jazmi yang terparkir tidak jauh dari situ.
Jazmi memandang Shah lama sebelum geleng-geleng kepala. Dia melihat semua yang berlaku tadinya dan dia tidak berani masuk campur. Jalan yang terbaik adalah menjauhkan Reny dari Shah. Shah bila marah memang tak ingat dunia. Jazmi bimbang, Shah akan mengapa-apakan kakak angkatnya itu.
"Perempuan keparat!"
Sepeninggalan Jazmi dan Reny, Shah membaling helmet full facenya ke atas kaki lima. Amarahnya sudah tiba di puncak tertinggi. Bisikan-bisikan syaitan mula menguasai pemikirannya.
"Kau tunggu, Reny! Kau tunggu pembalasan dari aku!" ujarnya kepada diri sendiri dengan mata merah menyala.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co