Prolog
BESAR langkahnya mendaki setiap satu anak tangga. Sampai di tingkat seterusnya, mata dia melilau. Tiada hatta bayang insan lain kelihatan. Dia berlari ke arah tangga semula, mahu ke aras atas pula.
Kali ini dia semakin hilang sabar. Dua anak tangga dilangkaunya serentak, biar semakin cepat dia sampai ke aras seterusnya. Dia lakukan perkara sama, mencari. Negatif. Masih tiada sesiapa di situ. Sekali lagi, dia meluru ke tangga.
Sampai saja di aras atas sekali, dia termengah-mengah keletihan namun dia tidak endahkan keadaan diri sendiri. Yang ada dalam fikirannya hanyalah dua insan. Dua wanita.
"Mana awak, Isya?" Dia menyoal sendiri.
"Mana kau bawa dia, Asyfa?" Satu lagi soalan diaju, tak lain tak bukan hanya untuk dijawab angin. Sebaik telefon pintarnya berdering, cepat-cepat dia jawab panggilan itu. Tubuh kembali menegak.
"Mana Isya? Kau suruh aku ke sini tapi Isya tak ada, kau pun tak ada. Apa yang kau dah buat dengan Isya? Mana kau sekarang? Kenapa kau tipu aku?!"
Bertubi-tubi soalan dia lempar kepada si pemanggil, langsung tak bagi peluang untuk si pemanggil katakan apa-apa. Julat tinggi tak dapat dikawal lagi walaupun sebentar tadi, dia berazam untuk cuba berdiplomasi dan bertolak ansur kerana dia bimbang kekasarannya akan mengundang malapetaka kepada wanita yang dia gelar Isya.
Terangkat kening dia bilamana bunyi tawa si pemanggil hinggap ke telinga.
"Kau ketawa?" Dia bertanya bodoh dengan rasa tidak percaya.
"Maaflah tapi aku tak boleh tahan diri. Kau menghiburkan aku."
"Jangan main-mainlah! Mana kau? Mana Isya? Mana kau orang?!" Dia menjerkah dek kesabaran yang semakin menipis. Dirasakan darah dipam-pam ke seluruh tubuh dengan maha laju.
Sungguhlah... Kalau si pemanggil ada di depan mata dia saat ini, akan dikerjakannya habis-habisan!
Tawa si pemanggil hilang serta-merta.
"Pusinglah belakang. Kita orang ada kat bangunan bertentangan," kata si pemanggil.
Sepantas kilat dia memusingkan tubuh. Mata terus terpaku pada bangunan bertentangan yang juga kosong seperti bangunan ini. Lihat saja dua wanita di situ, mata dia membuntang. Langkah sudah dibuka. Dia mahu berlari turun dan pergi ke bangunan tersebut tetapi ayat-ayat si pemanggil telah membunuh segala niatnya.
"Kalau kau datang sini, aku tembak kepala dia. Biar berkecai, di depan mata kau."
Tubuh dia mengeras. Tak, dia yakin si pemanggil tidak bercanda. Itu bukanlah omong kosong. Si pemanggil boleh, mampu dan akan melakukan apa yang telah dikatakan.
Dia pandang seorang wanita yang terikat tangan dan kakinya di atas kerusi. Dari jarak sejauh ini, dia lihat wanita itu menangis mengongoi. Dalam mulutnya, ada gumpalan kain. Kejamnya! Padahal andai kain itu tidak disumbat ke dalam mulutnya sekalipun, wanita itu takkan boleh menjerit meminta tolong!
Kemudian dia pandang seorang lagi wanita. Berdiri tegak di sisi kerusi. Seluruh tubuhnya bebas tanpa sebarang ikatan. Sementara tangan kiri memegang telefon pintar yang melekap di telinga, tangan kanan pula mengacu pistol pada kepala wanita yang diikat itu. Ya, itulah si pemanggil.
"Lepaskan Isya, Asyfa." Serak-serak dia bersuara. Berbanding marah, dia lebih kepada merayu. Dari jauh, dia bertentang mata dengan wanita bernama Asyfa itu.
"Aku akan buat apa aje, asalkan kau lepaskan Isya," pinta dia lagi. Juring mata terasa hangat tetapi sedaya mungkin dia kawal diri agar air mata tidak jatuh berjuraian.
"Betul kau akan buat apa aje?" Sengaja pula Asyfa menduga.
"Betul. Kalau kau nak bunuh aku pun, aku sanggup. Tapi tolonglah jangan apa-apakan Isya," kata dia, menawarkan nyawa sendiri sebagai ganti tanpa berfikir sama sekali.
"Aku tak nak nyawa kau, Tengku Hadi," kata Asyfa. Ada senyuman melekat di bibir namun senyuman itu tidak menyenangkan mata yang memandang.
"Aku nak kau kahwin dengan aku." Asyfa menyambung kemudiannya.
"Kahwin dengan aku atau aku bunuh dia sekarang, di depan mata kau."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co