Truyen3h.Co

Urusan Cinta Elena & Tuah

Bab 11

karyaseni2u

Fikiran Elena asyik melayang mengingati kejadian tengah hari tadi sehingga memandu kereta untuk pulang ke rumah pun dah serupa siput. Punyalah lambatnya sehingga beberapa kenderaan lain berkali-kali membunyikan hon serta memberi lampu tinggi kepadanya. Yalah, siapa suruh berada di bahagian kanan jalan kalau cuma mahu pandu 60/km per jam?

Sesampai saja di persimpangan masuk menuju ke rumahnya, dia memberhentikan kereta di pinggir jalan. Tanpa berfikir panjang, pantas dia memboloskan diri keluar dari keretanya. Elena bersandar ke pintu kereta buat beberapa ketika sambil memerhati rumah kosong yang telah menggamit perhatiannya sejak pagi tadi.

Gelap. Sunyi. Tiada tanda-tanda seperti ada orang di dalam rumah. Tidak nampak sebarang pergerakan mahu pun bunyi-bunyian daripada televisyen atau radio. Memang benar-benar kosong nampaknya namun naluri yang dimiliki oleh Elena telah mendorongnya agar menghampiri pagar rumah berkenaan. Lehernya dipanjang dan cuba mengintai ke kawasan di sebalik pagar. Halaman rumah itu kosong. Tiada sebarang kenderaan seperti yang dilihatnya pagi tadi. Bukan saja kereta, basikal pun tidak ada. Jadi, memang benarlah rumah ini masih kosong seperti sebelum ini?

Tak puas hati, Elena memberanikan diri memanjat tembok kecil di tepi pagar dan mula meninjau-ninjau ke halaman rumah. Masih kekal sunyi dan sepi. Masih sama kelam dan suram. Pokok mempelam yang menghiasi laman rumah berkenaan pula membuatkan rumah itu kelihatan benar-benar menyeramkan. Ia kelihatan seakan-akan rumah tinggal tanpa penghuni seperti yang ditontonnya di dalam filem. Elena menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Dia sedikit hampa bila harapannya untuk bertemu Tuah semakin pudar. Sejak bertemu dengan lelaki itu siang tadi, dia sungguh berharap agar lelaki itu benar-benar tinggal di sini. Di rumah kosong tanpa penghuni ini. Tapi, kenyataan tak seperti apa yang diharapkan.

"Buat apa kat sini, Elena?" Tiba-tiba ada satu suara asing menegurnya dari belakang. Terkejut punya pasal, Elena hampir saja tergelincir dari tembok berkenaan. Mujur dia sempat berpaut di pagar besi sehingga tangannya terasa sedikit pedih. Elena menggosok-gosok tangannya yang sudah memerah sambil tersengih seperti kerang busuk apabila melihat Mak Cik Saodah dan Mak Cik Latifah, jiran yang tinggal berselang beberapa buah rumah dari rumah keluarganya sedang tercongok di hadapannya dalam persalinan telekung. Fuh, semangat! Dah serupa hantu bungkus! Nasib baik tak pengsan kat sini!

"Errr... Tak ada buat apa-apa. Mak Cik Saodah dengan Mak Cik Latifah buat apa kat sini?" ujarnya dengan suara yang tenggelam timbul melawan rasa terkejutnya.

"Kami berdua baru aje balik dari masjid. Kamu tu... Buat apa kat sini? Duk terhendap-hendap macam pencuri. Cari apa?" Berkerut muka Mak Cik Saodah sambil memandang Elena lalu menyuluhkan lampu picitnya ke wajah gadis itu.

"Errr... Tak ada apa-apa, mak cik." Tergagap-gagap dia menjawab.

"Tadi... Saya ada ternampak anak kucing. Lintas depan kereta saya dan terus lari ke dalam kawasan rumah ni. Saya cuma risau kalau-kalau saya terlanggar anak kucing tu. Itu aje." Selamba dia mencipta alasan sambil tangan tergaru-garu belakang kepala.

"Hmmm... Ingatkan apalah tadi. Rasanya kalau anak kucing tu dah berlari masuk ke dalam halaman rumah ni, tak ada apa-apa la tu kut? Eloklah kalau kamu balik ke rumah terus, Elena. Dah malam ni. Tak elok berada di luar seorang diri malam-malam macam ni," ujar Mak Cik Latifah pula sedikit prihatin.

"Mak cik..." panggil Elena ketika kedua-dua orang wanita itu mahu beredar.

"Ya, ada apa?"

"Mak cik berdua ada dengar-dengar tak pasal orang yang sewa rumah ni?" Elena menyoal sambil memintal-mintal hujung rambutnya. Rasa terujanya mula mencanak-canak apabila memikirkan tentang gerangan orang yang menyewa di rumah ini.

Mak Cik Saodah dan Mak Cik Latifah pula mula berpandangan sesama sendiri.

"Kenapa?"

"Oh, tak ada apa-apa. Saya cuma tertanya-tanya aje. Sebab masa nak keluar pergi kerja pagi tadi, saya ternampak ada kereta kat halaman rumah ni. Mungkin kereta milik penyewa baru agaknya."

"Berapa lama dah agaknya ada orang baru yang menyewa kat sini, ya?" Dia menyambung.

"Setahu mak cik, tak ada pula dengar mana-mana penyewa yang dah berpindah masuk ke sini," jawab Mak Cik Saodah bersungguh-sungguh. Jawapan wanita itu membuatkan kening Elena bercantum. Serius? Takkanlah kut? Habis tu macam mana dia boleh ternampak kereta Perodua kancil milik Tuah berada di balik pagar ini?

"Biar betul, mak cik? Sungguh ke tak ada sesiapa yang menyewa rumah ni?"

"Betul, Elena. Takkan mak cik tak tahu kalau ada penyewa baru kat rumah ni? Lagipun, rumah mak cik cuma berselang dua buah aje dari sini. Kalau ada jiran baru, mak ciklah orang pertama yang tahu. Kamu beria-ia bertanya ni... Ada apa-apa ke?" Mak cik Latifah beria-ia menyoal. Mungkin sedikit hairan dengan pertanyaan luar alam Elena itu.

Elena hanya tersengih tanpa jawapan.

"Kamu beria-ia bertanya pasal rumah ni... Ada kawan-kawan kamu yang nak menyewa ke?"

"Errr..."

"Kalau ada kawan-kawan kamu nak menyewa... Suruh aje dia orang cari tempat lain," ujar Mak Cik Saodah.

"Kenapa, mak cik?"

"Isy, kamu ni... Takkan tak pernah dengar kut?" bisik Mak Cik Saodah sambil mendekatkan mukanya dengan telinga Elena.

"Dengar apa?" balas Elena dengan suara yang sangat perlahan. Melihatkan wajah kedua-dua wanita itu membuatkan Elena seakan dapat memahaminya dengan sendiri. Elena lekas-lekas meminta diri tanpa sempat mendengar cerita selanjutnya daripada jiran-jirannya itu.

Sesampai saja di rumah, Elena bersandar rapat ke belakang pintu sambil melepas lelah. Baru sekarang dia rasa seriau dan kecut perut. Masa dia sibuk terhendap-hendap di pagar rumah kosong tersebut, tidak pula ada apa-apa perasaan seram.

"Baru balik, Elena?" Satu suara menyapa garau, membuatkan mulut Elena spontan terkumat-kamit membaca doa yang tunggang-langgang. Mataya dipejamkan serapatnya sebelum terasa bahunya digoncang.

"Mak!!!" Terjerit Elena dibuatnya. Mahu membuka mata dia tidak berani. Mahu berlari ke atas, kakinya seperti melekat di lantai. Sudahnya, dia hanya menyorokkan mukanya di sebalik tangan sendiri.

"Astaghfirullahalazim, Elena! Apa yang kamu terjerit-jerit ni? Macam nampak hantu. Babah la ni!"

Mendengar sekali lagi suara seperti tadi bergema di telinganya, baru dia berani membuka mata. Sejurus kemudian, terlihat pula ayahnya sedang berdiri di hadapannya sambil memandang pelik padanya.

"Errr... Babah? Kus semangat! Babah ni buat orang terkejut ajelah. Bila babah balik? Tak nampak pun kereta babah kat luar?"

Dadanya diurut-urut. Lega apabila yang berdiri tercongok di hadapannya ini bukan sesiapa kecuali ayahnya. Tangan langsung dihulur untuk menyalami lelaki itu. Sungguh, dia tidak tahu pula yang ayahnya akan pulang secepat ini. Setahu dia, babah akan pulang ke rumah beberapa hari lagi kerana mempunyai urusan di luar negeri.

"Petang tadi babah dah sampai. Kereta babah pula ada di pejabat. Babah terus ambil teksi masa kat airport tadi. Tak sempat pun nak singgah pejabat. Maklumlah, jammed. Kamu ni, kenapa? Berpeluh bukan main lagi. Kena kejar dengan siapa?"

Elena menyengih-nyengih saja bila disoal siasat oleh ayahnya. Peluh renik yang muncul di dahi cepat-cepat dikesat dengan belakang tangan lalu menggeleng kepala.

"Tak ada apa-apa. Errr... Umi mana?"

"Umi ada kat atas tu. Lepas makan malam tadi, umi kamu terus masuk bilik. Pening kepala katanya."

"Umi tak sihat?"

"Hmmm... Umi kurang sihat. Katanya, banyak sangat kerja kat kolej tu. Tak cukup rehat agaknya. Tapi tak payah risaulah. Lepas makan ubat, nanti eloklah umi kamu tu. Kamu dah makan ke?"

"Dah... El dah makan kat luar tadi. Tak apalah, babah. El naik atas dulu. El nak mandi lepas tu nak solat. Badan dah melekit-lekit dah ni. Lepas solat kejap lagi El pergi jenguk umi, okey." Senyuman manisnya dipamer lalu beredar masuk ke bilik.

Bersihkan diri sudah.

Solat isyak sudah.

Jenguk umi pun sudah.

Elena akhirnya menghumbankan tubuhnya ke katil. Terkebil-kebil sebentar memandang siling sebelum dia teringat tentang sesuatu. Kelam-kabut dia mencapai beg tangannya dari atas meja dan menyelongkar mencari sesuatu.

"Aiseh, mana pula aku letak ni?" Elena mengerut dahi apabila barang yang dicarinya tidak dijumpai.

"Isy, aku salah letak ke? Tiba-tiba saja tak ada."

Sekali lagi dia menyelongkar beg tangan namun masih tidak menemui apa yang dicarinya.

"Entah-entah tertinggal dalam kereta."

Idea itu datang serta-merta. Segera Elena melompat turun dari katil dan menonong keluar dari rumah. Keretanya dibolosi, mencari-cari barang yang tidak ditemui sejak tadi untuk beberapa minit.

"Yes! Jumpa!" Elena terjerit suka sebaik saja kad nama pemberian Tuah siang tadi sudah berada di tangan. Baru saja hendak menutup pintu kereta, terdengar pula bunyi enjin sebuah kereta melepasi hadapan pagar rumahnya. Elena menoleh. Semerta matanya membulat sebaik ternampak kelibat kereta Perodua Kancil putih.

"Tuah?"

Pintu pagar ditolaknya. Terjenguk-jenguk ke arah kereta Perodua Kancil yang sudah menjauh. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan, dia mengintai kereta yang diyakini milik Tuah yang sudah pun terparkir di hadapan rumah kosong di hujung simpang jalan. Sah, itu memang Tuah!

Berkira-kira mahu berjalan kaki saja menuju ke arah Tuah, terdengar pula lolongan anjing yang entah dari mana. Berderau darah Elena ketika itu sampai-sampai dia menggigil. Sempat dia meliarkan matanya ke kiri dan kanan sebelum merasa cuak. Tanpa berfikir panjang, dia kembali ke dalam rumah dan terpaksa melupakan niat sucinya untuk bertemu dengan Tuah. Huh, seram kut! Cari nahas namanya kalau dia menapak ke rumah di hujung simpang tersebut malam-malam macam ni seorang diri. Kata orang, bila anjing melolong-lolong macam tu... Adalah benda bukan-bukan. Ah, tak pasal-pasal ada juga yang koma kat tengah jalan nanti!

Elena bersandar ke belakang pintu bilik tidurnya. Debar di dada masih kencang seperti tadi. Namun bila membelek kad nama di tangannya hilang semua rasa berdebar itu. Kali ini yang muncul ialah rasa teruja.

Telefon dicapai. Nombor telefon Tuah seperti yang tertera di atas kad nama itu disimpan. Karang kalau kad nama ni hilang, dia juga yang meroyan. Seminit selepas nombor Tuah disimpan, dia menekan-nekan skrin dan memasuki aplikasi WhatsApp. Dia menaip sesuatu di situ dengan panjang lebar sebelum memadamkannya. Kemudian, sekali lagi dia menaip dan memadamkannya kembali seperti tadi sambil menggigit bibir. Telefon diketuk-ketuknya ke dagu sendiri sambil berfikir.

"Isy, aku nak mesej apa pada dia? Nak minta maaf? Atau nak tanya pasal kereta dia yang aku dah calarkan siang tadi? Atau pun nak tanya pada dia pasal rumah kosong di hujung simpang jalan tu?" Elena menggaru-garu hujung hidungnya yang tidak gatal. Tiba-tiba dia jadi hilang arah. Terkeliru untuk menaip pesanan buat Tuah.

"Esok ajelah aku mesej dia." Sudahnya dia menyerah. Tak mahu mengganggu Tuah walaupun perasaannya sendiri yang masih terganggu. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co