Truyen3h.Co

Urusan Cinta Elena & Tuah

Bab 13

karyaseni2u

Setelah hampir setengah jam menanti Tuah di restoran seperti yang dipinta lelaki itu semalam, Elena sudah mula hilang sabar. Lama dia merenung ke skrin telefonnya seperti mahu tembus saja. Malah, dia terasa seperti mahu menjerit saja kerana mendapati bateri telefonnya sudah habis. Tidak cukup dengan itu, dia baru teringat yang dia tidak membawa pengecas power bank bersamanya. Sudahlah begitu, Tuah pula masih belum muncul. Bagaimanalah dia mahu menghubungi lelaki itu?

Elena memanjang-manjangkan lehernya cuba mencari kelibat Tuah tetapi hampa. Ada ramai pengunjung yang keluar masuk ke restoran itu. Maklum sajalah, waktu makan tengah hari begini memang semua tempat akan penuh. Elena tenung saja gelas jus buah di hadapannya. Kemudian, straw pula dimain-mainkan sekadar mahu membunuh masa. Bosan gila apabila terpaksa menunggu orang. Berkira-kira mahu bangkit ke tandas, terdengar namanya dipanggil. Elena berhenti, memandang ke hadapan dan mengerutkan kening.

"Ya?" ajunya kepada seorang wanita yang cantik mengenakan blaus corak flora dan berskirt paras lutut berwarna kuning.

"Cik Elena, kan?" Wanita tadi mendekat. Elena pula angguk-angguk sebelum memandang wanita itu yang sedang menghulurkan tangan.

"Hai, saya Nina. Nina Jasmine," ujarnya bersama ulas senyuman yang manis.

"Nina?" Teragak-agak Elena menyebut nama itu. Paras wanita cantik di hadapannya dipandang lama. Rasa-rasanya dia tidak ada apa-apa pertemuan atau perjumpaan dengan sesiapa tengah hari ini kecuali dengan Tuah. Tetapi, kenapa wanita bernama Nina ini datang seperti mahu berurusan dengannya?

"Oh, minta maaf. Lupa pula nak kenalkan diri. Saya PA Encik Tuah Zulkarnain. Sebenarnya, dia yang meminta saya datang ke sini berjumpa dengan Cik Elena."

Elena hanya terkebil-kebil sambil memandang Nina yang baru saja melabuhkan duduk di hadapannya. Erk, kenapa Tuah hantar PA dia pula ni? Kenapa dia tak datang?

"Encik Tuah ke mana, ya?"

"Encik Tuah tak dapat datang. Dia ada urusan penting jadi dia minta saya berjumpa dengan Cik Elena hari ini."

Sepuluh saat mendiamkan diri, baru Elena mengangguk-angguk. Tiba-tiba saja terasa seperti hilang semangat bila dia gagal bertentang empat mata dengan Tuah. Sepatutnya, dia sudah pun berjaya menyelesaikan 'misi penyiasatan' tak bertauliahnya selama beberapa hari ini berkenaan dengan Tuah. Dan sepatutnya misteri yang menyesakkan kepalanya ini telah berjaya dirungkai namun, lain yang dirancang lain pula yang jadi.

"Cik Elena... Nak bayar bil kerosakan kereta Encik Tuah, kan? Cik Elena boleh berikan saja kepada saya. Nanti saya sendiri akan sampaikan kepada Encik Tuah." Nina bercakap penuh yakin dan dengan senyuman yang masih tidak lekang di bibir.

Elena menarik nafas sedalam-dalamnya dan cuba mengumpul kembali semangatnya yang hilang. Angkat kepala, mata Nina yang ditenungnya.

"Minta maaf, Cik Nina. Saya bukan tak percaya pada Cik Nina cuma saya rasa lebih elok kalau saya serahkan sendiri bil kepada Encik Tuah."

"Saya faham tapi kalau Cik Elena tak kesah, saya boleh hubungi Encik Tuah sekarang. Cik Elena boleh bercakap dengan dia dalam telefon." Hampir saja lagi Nina mahu menelefon Tuah, Elena terlebih dulu memintas.

"Saya akan bayar bil kalau saya berjumpa dengan dia. Selagi saya tak bertentang mata dengan dia, selagi tu saya tak akan bayar bil kerosakan kereta dia," ujar Elena dengan lancar dan penuh keyakinan. Hanya itu yang boleh dijadikan alasan untuk dia bertemu dengan Tuah.

"Eh, kenapa macam tu pula?"

"Macam inilah, Cik Nina. Nanti awak maklumkan saja pada Encik Tuah yang saya sendiri nak berjumpa dengan dia. Saya tak nak guna orang tengah untuk selesaikan urusan kami. Saya harap sangat-sangat yang awak boleh sampaikan hasrat saya pada dia."

"Kalau dah itu kata Cik Elena, saya tak boleh buat apa-apalah," jawab Nina sedikit pasrah.

"Tapi..." Nina menyambung lalu berhenti sehingga membuatkan Elena yang sedang menyedut jusnya mengangkat muka. Agak terpinga-pinga dengan tingkah Nina. Ah, kenapa harus ada tapi-tapi pula ni?

"Esok... Encik Tuah akan berangkat ke London. Dia akan ke sana selama lebih kurang tiga bulan atas urusan perniagaan. Jadi, saya rasa agak mustahil kalau Cik Elena nak berjumpa dengan dia dalam masa terdekat."

Uhuk! Uhuk!

Elena terbatuk-batuk. Hampir saja lagi tersedak dek terkejut dengan kata-kata Nina. Alahai, kenapa dia kena ke luar negara sekarang juga? Tak boleh ke kalau tunggu mereka berdua bertemu dulu? Dan... Kenapa harus ke sana selama tiga bulan? Tiga bulan tu bukanlah tempoh waktu yang singkat. Padanya, tempoh tersebut terlalu lama untuk dia menyelesaikan semuanya. Banyak perkara yang dia perlu tahu. Jadi, macam mana dia mahu bertahan selama tiga bulan sehingga urusan Tuah di sana selesai?

"Cik Elena... Awak okey ke?" Kelam-kabut Nina menyuakan tisu kepada Elena. Elena hanya menunjukkan ibu jari, mengisyaratkan yang dia okey-okey saja. Segan juga apabila dia tersedak-sedak di hadapan Nina macam ni. Tapi, salah Nina jugalah. Siapa suruh beritahu berita mengejut tentang Tuah sewaktu dia sedang minum?

"Cik Nina... Saya ada soalan. Kalau saya bertanya, boleh awak jawab dengan jujur?"

"Soalan berkaitan apa tu?"

"Tuah... Dia..." Elena kesat hujung bibirnya yang comot. Sengaja berhenti seketika sambil mencari reaksi di wajah Nina.

"Dia... Ada kembar ke?"

Nina menggeleng sebelum tergelak. Mungkin lucu mendengar pertanyaan Elena yang tidak terjangka.

"Macam mana Cik Elena boleh terfikir sampai ke situ pula?"

"Tak ada apa-apa. Tapi, satu lagi soalan saya nak tanya. Encik Tuah, bos Cik Nina tu... Pernah accident ke? Maksud saya accident yang teruk yang mungkin mengakibatkan kecederaan parah."

Dahi Nina kini dah berkerut.

"Tak pernah."

"Errr... Kalau kemalangan kecil? Maksud saya, dia pernah terjatuh? Dia pernah terhantuk kat mana-mana tak? Atau dia ada sejenis penyakit mudah lupa? Ada?"

"Kenapa Cik Elena tanya soalan-soalan macam ni? Kelakar tau!" Nina ketawa sambil mengatup mulutnya.

"Tak ada apa-apa." Elena hanya mampu tersengih. Soalan dia tadi tu kelakar sangat ke sampai Nina boleh ketawa?

"Jadi, Encik Tuah nak ke luar negara selama tiga bulanlah, ya?" Elena sekadar mahu memastikan sekali lagi. Manalah tahu kot-kot telinganya tersumbat sewaktu Nina mengkhabarkan berita itu tadi.

"Hmmm... Tiga bulan."

"Dia akan balik ke Malaysia selepas tiga bulan?"

"Ya."

"Okey, kalau macam tu... Saya akan tunggu juga. Tak kiralah berapa lama dia nak ke luar negara. Lepas dia balik, saya akan selesaikan urusan kami face to face."

"Kalau dah itu kata Cik Elena... Saya tak boleh membantah. Cik Elena jangan risau, nanti saya maklumkan pada dia." Nina ukir senyuman manisnya lagi.

Elena pula dihurung rasa kecewa dalam diam. Sambil meraup wajah, dia berdoa semoga pertemuannya dengan Tuah akan dipercepatkan. Dia berharap yang Tuah tak jadi ke London selama tempoh tersebut. Dia juga berharap yang penerbangan ke London ditangguhkan atau pun pasport Tuah dibatalkan dan dia tidak dibenarkan ke luar negara. Dia hanya mahu cepat-cepat bertemu Tuah. Tiga bulan terlalu lama dan dia tak sanggup untuk mengharungi tempoh itu dalam tanda tanya.

Oh, Tuah. Kau buat aku jadi gila tahu tak?

Elena menghempaskan beg tangannya ke atas katil bujang di bilik tidurnya. Sehari suntuk dia asyik memikir-mikir tentang Tuah, hal yang berlaku di restoran siang tadi dan sebagainya. Rasa macam nak pecah saja kepalanya apabila persoalan-persoalannya masih belum terjawab. Bagi mengurangkan beban perasaan yang terpaksa ditanggung, Elena bangkit ke bilik air untuk membersihkan diri.

Usai semua urusan diselesaikan, dia mencapai sebuah novel dari atas rak dan duduk bertenggek di atas sofa yang berada berhampiran tingkap bilik tidurnya. Bosan membaca, novel tadi dia campak ke sofa lalu bergerak menghampiri jendela. Langsir diselak. Pandangan dilempar jauh ke luar. Keadaan di luar sudah pun sunyi sepi. Tak ada pula terdengar suara anak-anak jiran yang bergelak ketawa mahu pun budak-budak lelaki yang meronda di kawasan perumahan menaiki motosikal. Masing-masing dah masuk tidur agaknya.

Bosan, Elena menyangkutkan dagunya ke birai tingkap. Matanya terkebil-kebil memandang langit tanpa awan. Bagai sedang melihat Tuah sedang tersenyum manis kepadanya sehingga tanpa sedar, dia turut mengukir senyuman. Namun senyumannya pudar sebaik saja terdengar deruan enjin sebuah kenderaan yang baru saja melintasi kawasan rumahnya. Kelam-kabut Elena bangkit dan menjengah keluar. Mahu memastikan kereta yang baru melintas tadi adalah kereta Perodua Kancil berwarna putih milik Tuah.

Tetapi, sangkaannya meleset sama sekali. Elena menarik muncung sedepa. Kecewa yang amat sangat walau dia sendiri tahu rasa kecewa itu langsung tidak berasas. Macam manalah dia boleh terfikir kereta tersebut adalah kereta Tuah sedang dia sendiri sudah tahu bahawa lelaki itu tidak ada di sini. Angaukah dia?

Elena menggeleng. Kepalanya ditepuk sebelum tertawa kecil. Berniat untuk menyambung semula pembacaan novel, Elena terperasankan sesuatu. Ekor matanya bagai menangkap gerak-geri sesuatu di belakangnya. Hatinya mula berdebar. Dia menjeling jam di dinding. Hampir pukul satu pagi!

Hati Elena tak semena-mena berdebar bagai nak gila.

Dup! Dap! Dup! Dap!

Oh, Tuhan... Jangan kata ada... Elena telan air liur. Ah, mengarut, Elena! Mengarut!

Dengan mata yang terpejam, dia beranikan diri menoleh. Mukanya pula sempat disorokkan di belakang novelnya yang dibuka seluas-luasnya.

"Hargh!" Ezra menyergah.

"Abang Ez!" Spontan novel dibaling ke kepala Ezra. Mujurlah juga lelaki itu sempat mengelak sebelum menekan-nekan perutnya menahan geli hati. Kelakar sangat tengok muka Elena yang cuak.

"Uiks, nasib baik tak bocor kepala aku."

"Padan muka! Siapa suruh berdiri kat situ diam-diam? Kan dah dapat ubatnya!" protes Elena dengan mengetap-ngetap bibirnya. Sumpah, jantungnya rasa nak tercabut. Kalaulah bukan Ezra yang berdiri di hadapan pintu biliknya, sah-sah dia dah pengsan kat sini.

"Buat apa kat situ?" aju Ezra setelah tawanya reda. Dia duduk bertenggek di atas meja kecil milik Elena di sebelah pintu.

"Baca novel la. Tak nampak ke?"

"Eh, ya ke? Bukan kau skodeng orang kat tingkap tu?"

Elena menelan liur yang semakin kesat. Isy, takkanlah Si Ezra ni dah nampak apa yang dia buat sejak tadi? Tapi, kenapa dia tak sedar waktu Ezra masuk ke sini? Lagipun, seingatnya dia telah pun menutup pintu biliknya. Tak ada pula terdengar tanda-tanda pintu bilik itu ditolak ketika dia ralit menjenguk keluar tadi.

"Mana ada skodeng sesiapa. El baca novel la. Tu... Novel yang kat kaki Abang Ez tu... El tengah bacalah."

"Eleh, menipu sangat! Macamlah aku tak nampak yang kau duk terhendap-hendap kat tingkap tu."

"Eee... Menyampahlah bercakap dengan Abang Ez ni. Abang Ez nak apa masuk bilik orang ni? Dah lewat malam. Tak reti-reti nak tidur ke?"

"Aku tak boleh tidur la. Lagipun aku ada banyak kerja nak buat."

"Eh... Eh... Takkan bawa balik kerja kat studio sampai ke rumah kut?"

"Terpaksalah. Deadline aku lusa, takut tak sempat nak siapkan. Sebab itu aku bawa balik kerja studio ke rumah."

"Habis tu, dah tahu ada deadline... Buat apa menyibuk kat sini? Pergilah siapkan kerja dalam bilik sendiri."

"Aku nak minta tolong kau."

"El nak kena tolong apa pula ni?" Elena sudah tergaru-garu belakang kepala. Aduh, macam-macamlah abangnya ini.

"Buatkan aku kopi. Aku nak yang kaw punya." Ezra menayang sengihan seolah-olah dia baru saja mengkhabarkan berita gembira buat Elena.

"Eee... Buatlah sendiri. Abang Ez bukannya budak kecik. Kopi aje pun. Lagi pun, El bukannya bibik kat dalam rumah ni. Dah... Syuh... Syuh... Pergi buat sendiri. Jangan kacau El!" Elena menolak-nolak bahu Ezra agar keluar dari biliknya. Ketenteramannya rasa terganggu dengan kehadiran Ezra yang boleh bikin kepalanya pusing.

"Weh, Elena! Berkiranya kau!" teriak Ezra di sebalik pintu yang baru dirapatkan.

Elena mencebik. Kemudian, terdengar pula ketukan pintu bertalu-talu dari luar.

"Pergi buat sendirilah, Abang Ez!"

"Tolonglah. Secawan kopi aje pun. Waktu-waktu macam inilah kau boleh berbakti pada aku."

"Ceh, berbakti apanya Abang Ez, oi? Dah tengah malam ni. Tak kuasalah nak layan!"

Elena mendiamkan diri sambil menahan tawa. Lama membiarkan Ezra mengetuk-ngetuk pintu biliknya sambil terus merayu sehingga suara Ezra hilang ditelan masa. Elena cepat-cepat melekapkan telinga ke pintu bilik. Sepertinya Ezra telah benar-benar beredar. Mungkin saja sudah masuk ke biliknya atau pun dia sendiri yang turun ke dapur dan membancuh air untuk diri sendiri. Tak sampai hati, Elena menarik pintu bilik. Dia menjengah ke luar dan ternyata Ezra memang tiada.

"Abang Ez?" Dia memanggil tapi panggilannya tidak bersahut.

Elena turun ke dapur mencari Ezra. Tak puas hati sebab dia langsung tak dengar derap langkah abangnya itu tadi. Lampu di tepi tangga ditekan. Terang-benderang serta-merta tetapi keadaan di situ lengang dan sunyi. Tiada tanda-tanda ada seseorang yang baru memasuki dapur.

Elena mencapai satu mug besar dan segera membancuh kopi pekat untuk Ezra. Kemudian, dia membacuh secawan Horlicks buat diri sendiri. Elena tergeleng-geleng bila mengingati perangai entah apa-apa abangnya itu. Buang tabiat sungguh!

Elena panjat semula tangga dan menuju ke bilik Ezra. Beberapa kali mengetuk pintu, Elena sebal. Geram bila panggilannya tidak bersahut. Dah tidur agaknya.

Tak puas hati, Elena menolak pintu bilik. Lampu ditekan. Semerta ruang bilik Ezra itu terang-benderang tetapi yang peliknya, kelibat Ezra tidak pula kelihatan di mana-mana. Puas Elena memanggil-manggil namun masih tidak bersahut.

"Isy, dia ni pergi mana pula? Tadi sibuk minta aku buat kopi, sekarang dah hilang."

"Elena?"

Hampir saja lagi kopi di dalam mug terlepas ketika namanya diseru. Pusing ke belakang, ternampak Ezra sedang berdiri tercegat di belakangnya sambil menggalas beberapa perkakas kamera dan peralatan fotografinya.

"Kau buat apa kat sini?"

"Abang Ez pergi mana? Penat ajelah orang panggil dia. Boleh dia main sorok-sorok pula." Elena mencebik.

"El nak hantar kopi. Nah, El dah buatkan kopi kaw macam yang Abang Ez nak."

Mug diletak ke atas meja kerja Ezra dan melangkah keluar dengan selamba namun sebaik dia melintasi Ezra, Elena berhenti melangkah.

"Nanti sekejap."

"Ada apa?"

"Bila masa aku minta kopi?" Bersungguh-sungguh Ezra bertanya siap dengan muka pelik lagi.

"Abang Ez jangan nak buat lawak malam-malam macam ni. El tak ada masa nak bergurau tau. Tadi kan sibuk sangat suruh El pergi buatkan kopi. Kata nak stay up malam ni sebab nak buat kerja. Tu... Orang dah buat kopi. Lepas ni jangan ganggu El lagi."

"Weh, bila masa aku minta kau buat kopi ni?"

"Isy, sakit jiwa la layan perangai Abang Ez ni. Ada-ada aje, kan?"

Elena berlalu ke biliknya namun sebaik memulas tombol pintu biliknya, hatinya berderau mendengarkan kata-kata Ezra.

"Weh, gila! Kau ni mimpi ke nyanyuk? Aku baru aje balik. Bila masa pula aku minta kau buatkan kopi?"

"Habis tu... Yang tadi tu apa?"

"Manalah aku tahu!" Ezra mengangkat bahu. Berkerut dahinya memandang Elena yang seperti kehilangan arah.

"Eee... Janganlah main-main! Abang Ez masuk bilik El minta kopi kut!"

"Bila aku masuk bilik kau?"

"Adalah dalam lima belas minit lepas."

"Lima belas minit lepas?"

"Hmmm."

Ezra belek jam di pergelangan tangannya.

"Lima belas minit lepas aku masih lagi dalam kereta. On the way nak balik ke rumah."

"Biar betul Abang Ez ni?"

"Betullah. Kau tak dengar ke enjin kereta aku sekejap tadi? Aku baru balik kut!" Ezra menayang-nayang beg yang mengandungi perkakas kameranya di hadapan Elena. Elena pula hanya mampu menelan liurnya yang kesat.

"Abang Ez!" Hampir saja lagi dia mahu menangis. Kalau betullah apa yang diperkatakan oleh Ezra, siapa pula yang datang ke biliknya tadi dan bercakap-cakap dengannya?

"Ah, apa-apa ajelah kau ni. Oh, by the way... Thanks for the coffee. Aku baru aje bercadang nak berjaga malam ni. Ada kerja yang aku kena buat."

Ezra bergerak masuk ke biliknya dan terus menguci pintu. Elena pula masih lagi tercegat. Kakinya bagai terpaku. Fikirannya cuba menghadam sebaik mungkin kejadian tadi. Lengannya pula terus digosok-gosok lalu memandang ke kiri dan kanan.

Tik! Tok! Tik! Tok!

Jarum jam yang sedang bergerak terdengar sangat menyeramkan. Spontan Elena melompat naik ke atas katilnya dan berselubung di bawah comforter. Dia tak peduli kalau lampu biliknya masih terang. Kalau bil elektrik bulan ini meningkat naik, dia janji yang dia akan tolong bayarkan bil elektrik rumah keluarganya untuk tempoh tiga bulan lagi.

"Good morning!" teriak Ezra dengan mulut yang penuh dengan makanan saat terpandangkan Elena baru saja melintasi meja makan. Elena hanya memandangnya sekilas, mengangguk dan terus duduk.

"Apa hal mata kau dah jadi macam mata panda? Kau tak tidur, eh?" teka Ezra.

Elena melepaskan nafas berat. Susahnya nak menghadap semua ini pada ketika dirinya masih lagi dihujani dengan teka-teki dan persoalan tentang kejadian malam semalam.

"Haah, El. Betul ke kamu tak tidur malam semalam? Kamu melayan K-drama sampai subuh ke?" aju umi sambil tersenyum-senyum padanya. Umi menuangkan kopi yang masih lagi berasap-asap ke dalam cawan dan menolaknya ke hadapan Elena. Memandang kopi di dalam cawan buat hati Elena bergoncang kuat. Seram sehingga bulu romanya terasa meremang.

"Taklah, umi. Cuma..." Elena memain-mainkan jari-jemarinya sambil menunduk. Umi pula sibuk menyendukkan nasi lemak yang dimasak awal pagi lagi ke atas pinggan lalu meletakkan beberapa keping timun yang dipotong kecil-kecil di sebelah nasi lemak.

Elena angkat wajah dan merenung Ezra yang sedang bahagia menikmati sarapannya. Tidak cukup sepinggan nasi lemak yang dibedal, dia mencapai pula sekeping roti canai seperti tak pernah berjumpa makanan selama seminggu. Melihat air muka Ezra yang selamba seperti tidak ada apa-apa berlaku malam semalam, Elena jadi pelik.

"Abang Ez sampai ke rumah semalam pukul berapa?"

"Kenapa?"

"Just answer me, Abang Ez! Semalam balik ke rumah pukul berapa?"

"Entah. Aku tak ingat." Ezra angkat-angkat bahu dan sambung makan.

"Tak ingat atau buat-buat tak ingat?"

"Weh, apa hal kau ni? Tanya soalan macam nak cari gaduh dengan aku!" Tiba-tiba saja Ezra hampir membentak namun sebaik terpandangkan umi, dia memperlahankan suaranya.

"Kenapa ni, Elena? Ada apa-apa yang tak kena?" aju umi cuba masuk campur.

"El bukan nak cari gaduh cuma..." Tangisan Elena hampir saja lagi mahu pecah. Sakit kepala apabila asyik fikirkan hal semalam.

"Umi." Elena memandang umi di sebelahnya.

"Rumah kita ni pernah ada kejadian orang mati kena bunuh ke?"

Umi tersengih-sengih manakala Ezra pula sudah terbahak-bahak ketawa.

"Kenapa ketawa? El ada salah cakap ke?"

"Kelakarlah kau ni!" sindir Ezra sambil ketawa.

"Isy... Benda ni tak kelakarlah, Abang Ez. El tanya betul-betul ni. Umi... Pernah ke ada kejadian macam tu?"

"Kenapa tanya soalan pelik-pelik sangat ni, El?" Tangan Elena, umi tepuk-tepuk.

"Sebab semalam..." Hujung bibirnya digigit-gigit. Dia ternampak ada senyuman nipis yang tersungging di bibir Ezra. Elena mencerunkan matanya memandang lelaki itu. Ezra pula berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Tak ada apa-apalah." Akhirnya Elena menggeleng. Agaknya, mungkin Ezra yang sengaja bergurau kasar dengannya semalam. Konon mahu menakut-nakutkannya. Maklumlah, dalam rumah ini dialah manusia yang paling penakut. Sengajalah tu Ezra nak mengusiknya.

Kalau bukan sebab Ezra bergurau pun, mungkin saja otaknya yang dah biul. Asyik berfikir tentang Tuah buat wayar-wayar dan fius dalam otaknya tercabut satu demi satu. Sebab itu dia asyik berhalusinasi.

Jadi, dia membuat dua kesimpulan. Yang pertama, memang Ezra punya kerja. Dan yang kedua, dia hanya berimaginasi. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co