Truyen3h.Co

Urusan Cinta Elena & Tuah

Bab 15

karyaseni2u

Elena menarik brek tangan sesudah memarkirkan keretanya di hadapan premis Elena Cake Studio. Sehelai tisu dicapai lantas dahi yang berpeluh dikesatnya. Pendingin hawa yang terpasang tidak langsung menyejukkan badannya. Elena mencapai beg tangan dan beberapa fail serta dokumen di atas kerusi sebelah lantas bergegas keluar. Setelah meletakkan barang-barangnya di dalam bilik pejabatnya, dia keluar ke studio. Ada perkara yang perlu diumumkan, ada perkara yang perlu diberitahu kepada anak-anak buahnya.

Elena tarik nafas dalam-dalam dan hembus keluar dengan begitu perlahan. Kertas yang dipegang dipandang sebelum menghalakan matanya kepada para pekerjanya yang masih lagi ralit melakukan rutin masing-masing.

"Lola, Jay, Kat!" jerit Elena agak kuat sehingga mengejutkan para pekerja yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan kek, biskut serta beberapa manisan.

"Ya, bos!" Ketiga-tiga mereka menjawab serentak.

Terkocoh-kocoh Lola, Jay dan Katrina menghampiri Elena sebaik nampak isyarat gadis itu.

Elena memandang satu per satu wajah di hadapannya sebelum tersenyum nipis. Satu fail nipis yang dibawa bersama diletak di atas meja berhampiran.

"Kenapa, bos? Ada apa-apa yang tak kena ke?" aju Lola sedikit cuak. Namun, Elena hanya menggeleng dan membuatkan Lola mengerutkan kening.

"Yes! Yes! Yes!" Tiba-tiba saja Elena terjerit-jerit sambil menayang kertas yang dipegang sedari tadi.

"Kenapa ni, bos?" soal Jay pula sambil cuba mencapai kertas dari tangan Elena.

"Guess what? Kita baru saja mendapat tempahan daripada seorang klien penting!" teriak Elena teruja. Hampir saja lagi dia menarik Lola yang berada berdekatan dengannya ke dalam pelukan tetapi Lola pula sibuk menilik kertas yang baru diambil dari tangan Jay.

"Apa benda ni, bos?"

"Itu nota-nota penting yang saya catat tadi dan..." Elena mengetuk-ngetuk permukaan fail nipis tadi.

"Dalam fail ni ada semua maklumat tempahan daripada klien kita."

"Siapa klien kita, bos?" soal Katrina ingin tahu.

"Datin Maria."

"Datin Maria, bos? Seriously?" Terbeliak biji mata Jay menyoal Elena. Elena mengangguk.

"Betul ke ni? Maksud bos Datin Maria yang cerewet nak mati tu ke?"

"Yup. Datin Maria, klien yang pernah buat tempahan kek kat sini beberapa bulan lepas."

"Wah, kelas! Dia nak tempah giant cake macam dalam kertas ni ke? Dia nak kek besar mana, bos? Sebesar Dewan Filharmonik ke macam mana?" Lancang Jay bersuara sambil tergelak-gelak sesudah selesai menilik dengan teliti lakaran yang telah dibuat oleh Elena di atas kertas tadi.

"Banyaklah awak punya kek besar Dewan Filharmonik. Mampu ke nak buat?" usik Elena sambil menjeling kecil.

"Demi bos, apa pun boleh. Asalkan ada bonus!"

"Ceh, bonus aje yang difikirnya. Okey, macam ni. Datin Maria nak kita buat kek gergasi untuk satu majlis menyambut kepulangan anak dia. Majlis tu akan diadakan pada 24 Disember nanti. Lebih kurang beberapa minggu dari sekarang."

"Bos, tarikh tu kan sehari sebelum Krismas. Kalau ikutkan pada jadual kita, tempahan minggu tu dah penuh pun," ujar Lola penuh yakin.

"Serius?"

"Ya, bos. Saya baru aje cek jadual. Minggu tu tempahan kita memang dah penuh."

"Kalau macam tu, kita berpecah kepada beberapa kumpulan. Minta Mira, Didi dengan Rini settle tempahan yang lain. Lola, Jay dengan awak Katrina... Saya perlukan awak bertiga untuk projek ni. Boleh?"

Masing-masing saling berpandangan sesama sendiri sebelum membatukan diri. Elena pula memandang satu per satu wajah mereka.

"Dah kenapa diam pula ni? Ada malaikat yang lalu ke?"

Mereka hanya menggeleng dan tersengih-sengih. Elena menghembuskan nafas panjang sambil fikiran ligat berpusing mengingati kejadian beberapa jam sudah. Masih segar dalam ingatan apa yang telah dibincangkan bersama Datin Maria ketika dia berkunjung ke pejabat wanita itu tadi. Menurutnya, dia akan menjemput kenalan-kenalannya yang terdiri daripada golongan VVIP serta para media yang akan membuat liputan untuk majlis itu nanti.

Elena yakin keputusannya untuk menerima tempahan daripada Datin Maria bakal melonjakkan nama bakerinya ke seluruh Malaysia malah berpotensi untuk tersebar ke luar negara sekiranya dia berjaya memuaskan hati wanita itu. Baginya, inilah peluang keemasan yang tak seharusnya dilepaskan seumur hidup. Malah, selain melihat nama bakerinya menjadi bualan orang ramai, dia juga mengimpikan untuk melihat Elena Cake Studio tercatat dalam The Malaysia Book of Records.

"So? Setuju?"

"I'm in!" ujar Lola lalu menyuakan tangannya ke hadapan. Lola memandang Jay dan Katrina silih berganti sambil memberi isyarat. Tak lama kemudian, kedua-dua mereka meletakkan tangan masing-masing ke atas tangan Lola sebelum akhirnya Elena turut berbuat perkara yang serupa.

"Good. Dengar betul-betul apa yang saya nak cakap ni." Elena mengambil semula kertas yang mempunyai lukisan hasil seni dari tangannya sendiri lalu menyuakan kepada Lola.

"Datin Maria mahukan Tower Bridge Giant Cake. Saya dah buat lakaran kasar masa saya meeting dengan Datin Maria tadi dan dia kata dia suka dengan apa yang saya lukis ni. Dia kata, dia akan menjemput ramai kenalan VVIP serta pihak media untuk membuat liputan di majlis tu nanti dan saya nak kita buat yang terbaik. Datin Maria dah bayar pun deposit kek tu dan dia sanggup bayar berapa saja asalkan hasilnya nanti cukup memuaskan hati dia. Kalau apa yang kita buat ni berjaya, Datin Maria akan bagi kontrak selama dua tahun kepada Elena Cake Studio dengan sebuah badan korporat. Kita akan jadi supplier kek kepada badan korporat tersebut selama dua tahun."

"Seriously, bos?" aju Jay seakan tidak percaya. Melopong mulutnya mendengarkan penerangan Elena. Kalau betullah seperti yang diperkatakan, dia pasti yang Elena Cake Studio akan terus memacu kejayaan demi kejayaan dan memperluaskan empayarnya. Manakala dia pula akan terus mengembangkan kariernya sebagai pembuat arca terhebat nanti.

"Bos, dalam banyak-banyak benda... Kenapa Datin Maria pilih Tower Bridge? KLCC ke... KL Tower ke... Dia tak nak ke?" Tiba-tiba Katrina menyampuk. Baginya yang merupakan seorang penghias kek yang telah berpengalaman, ada banyak idea yang boleh disumbangkan ke dalam projek ini sekiranya Datin Maria memilih bangunan pencakar langit kebanggaan Malaysia berbanding mercu tanda di luar negara.

"Dia pilih Tower Bridge sebab London merupakan kampung keduanya selepas Malaysia. Ramai dalam kalangan ahli keluarganya yang tinggal di sana dan anak bongsunya pun dah menetap di sana sejak berumur 13 tahun lagi. Jadi, tak salahkan kalau dia pilih Tower Bridge."

"But, why Tower Bridge? Kat London kan banyak lagi bangunan-bangunan dan benda yang menarik contohnya Trafalgar Square, Buckingham Palace, Royal Albert Hall, London Eye atau pun double decker bus."

Elena mencerun matanya kepada Katrina sebaik gadis itu bertanya soalan yang kurang cerdik. Katrina terus terkebil-kebil lalu tersengih melihatkan pandangan tajam Elena.

"Sorry, bos!"

"Bos, kasi saya tengok lakaran tu sekejap," pinta Jay secara tiba-tiba. Lama dia merenung kertas yang diberikan oleh Elena sehingga memusing-musingkan kertas itu ke atas dan ke bawah.

"Ada yang tak kena ke?"

"Bos, saya rasa... Kalau kita tambah beberapa arca kat kawasan jambatan ni okey tak?"

"Meaning?"

"Maksud saya, lebih dramatik dan nampak real kalau kita tambah bot, arca para penyelamat, pasukan paramedik, pihak berkuasa dan sebagainya. Kita buat scene ala-ala dalam filem orang putih tu. Penjenayah dikejar pihak berkuasa. Cool, kan?" ujar Jay memberi cadangan.

"Kalau nak nampak lebih realistik, kita boleh tambah scene kebakaran atas jambatan ni. Lepas tu, tambah sikit scene kemalangan. Dramatik tak, bos?" sambung Jay lagi.

"Hmmm... Dramatik memang dramatik but it's too complicated, Jay."

"Ala, bos. Cool kut cadangan saya tu."

"Cool? Okey, nanti saya buat lakaran tambahan dan saya bagi pada Datin Maria dulu. Kalau dia approve, then we can proceed. Tapi, awaklah yang kena kerja keras." Elena jongket kening sambil memandang pada Jay. Jay pula cantumkan jari telunjuk dan ibu jarinya lalu ditayang kepada Elena menandakan yang dia tidak ada masalah dengan hal itu.

"Tapi, walau apapun... Kita semua kena pastikan kek gergasi yang kita buat ni masuk dalam The Malaysia Book of Records," sambung Elena bertekad.

"Erk? Serius ke, bos? Bukan senang kut nak masuk dalam The Malaysia Books of Records." Lola mempertikai.

"Ya, memang bukan senang tapi di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita cuma kena pandai gunakan peluang yang ada ni untuk capai apa yang sepatutnya kita dapat. Get it?"

Wajah Lola, Jay dan Katrina dipandang satu per satu sebelum bibir Elena mengoyak senyuman nipis. Di matanya, tergambar nama Elena Cake Studio terlakar di dalam buku 'paling agung' itu. Malah, terlayang-layang juga wajah malu dan kesal para juri serta 'musuh-musuh' dalam pertandingan realiti televisyen yang telah melancarkan permusuhan dengannya secara langsung dan tak langsung. Ketika itu, dia yakin yang mereka tak akan pernah memandang rendah kepadanya lagi.

"Yes, bos." Ketiga-tiganya menjawab.

"Lola, sekejap lagi masuk ke ofis saya. Ada benda yang saya nak bincangkan dengan awak." Elena memberi arahan. Sejurus kemudian, dia kembali ke bilik pejabatnya bersama sejuta rasa yang saling bercampur. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co