Bab 7
"Doktor Aireen!" Langkah Aireen terus mati dan tubuh dipusingkan ke belakang.
"Assalamualaikum, doktor."
Sebaik mata tertala ke arah seorang lelaki yang bernama Tengku Aidit, senyum nipis dipamer.
"Waalaikumussalam, Tengku."
"Janganlah panggil saya macam tu. Panggil saja saya Aidit."
"Mana boleh. Pangkat yang tertinggi itu kan harus dihormati," balasnya sopan. Setahunya, Tengku Aidit bukan lelaki berdarah raja yang sembarangan tetapi kedudukan keluarganya adalah dari kedudukan yang tertinggi juga di dalam hierarki diraja.
"Tiada apa yang istimewanya dengan pangkat dan keturunan saya, doktor. Saya masih juga sama seperti orang kebanyakan. Tetap sakit dan memerlukan orang macam doktor untuk mengubatkan."
Mendengar manis bicara lelaki itu, Aireen tersenyum. Bukan senyum kerana terpikat dengan kata-kata bergula itu tetapi senyum kerana apa yang didengari tentang lelaki itu tidaklah semulia sikap yang ditunjukkan sekarang.
"Ermmm... Doktor sibuk sekarang?"
"Boleh tahan."
"Saya selalu datang pada waktu yang salah. Tapi saya tetap juga hendak mencuba nasib manalah tahu kedatangan saya hari ini tidak sia-sia," balas Aidit dengan senyum tersungging di bibir.
"Maksud Tengku?" Aireen kerutkan dahi.
Tengku Aidit hulurkan senyum manis.
"Saya datang ke sini sebab nak ajak Doktor Aireen lunch dengan saya." Sopan dia bersuara dengan nada penuh mengharap.
Aireen terdiam. Terkedu dia mendengar pelawaan lelaki itu. Ini bukanlah kali pertama tetapi sudah berkali-kali lelaki itu mencuba. Nampaknya lelaki itu tidak pernah jemu walau telah ditolak dengan baik setiap pelawaannya.
"Please, untuk kali ini sahaja. Saya betul-betul hendak membalas budi baik doktor menolong saya tempoh hari." Tengku Aidit bersuara lagi. Lebih bersungguh dari tadi.
"Tengku Aidit, saya..."
"Please, doktor..." Belum sempat Aireen menghabiskan kata-katanya cepat sahaja Tengku Aidit memintas. Langsung tidak memberi peluang untuk Aireen menolak.
Perlahan-lahan Aireen hela nafas. Dia kalau boleh tidak mahu ada sebarang hubungan lain dengan pesakit selain hubungan profesional tetapi lain pula bagi Aidit. Dari cara Aidit, Aireen tahu lelaki itu mengharapkan lebih dari hubungan begitu.
"Okey, tapi saya tak boleh lama sebab saya perlu memeriksa pesakit saya yang baru selesai menjalani pembedahan." Akhirnya dia akur walau terpaksa berdalih.
"Sekejap pun sudah cukup bagi saya." Aidit tersenyum lebar. Gembira akhirnya dia berpeluang juga untuk duduk berdua-duaan dengan doktor pujaan hatinya itu.
Dengan riak yang tidak selesa, Aireen berdeham dan tersenyum nipis. Menyesal pula dia bersetuju tadi. Bimbang dia andai lelaki itu tersalah tafsir persetujuannya itu.
"Kita minum di kafe hospital saja, ya?"
Aidit tersenyum dan mengangguk.
"Boleh, asal saja doktor sudi minum dengan saya."
Aireen tersenyum tawar dan mula buka langkah. Kalau Fazrin tahu dia minum berdua-duaan dengan Tengku yang dikatakan buaya ini tentu tidak berhenti mulut sahabatnya itu membebel memarahinya. Tapi macamlah berita seperti itu tidak akan tersebar? Dia pasti ada banyak mata yang memandang berkali-kali apabila melihat dia berdua-duaan dengan Tengku yang agak hot di sebelahnya itu. Maklumlah, orang kacak, bergaya dan kaya. Sudah tentulah menjadi kegilaan gadis-gadis yang mementingkan pangkat dan harta.
"Untungnya doktor sebab Tengku Aidit sampai sanggup datang ke sini semata-mata nak ajak lunch."
"Betul tu. Sudahlah handsome, terkenal, hot pula tu."
"Doktor dengan Tengku Aidit memang sepadan sangat. Dia handsome, doktor cantik."
Teringatkan kata-kata usikan dari beberapa orang jururawat yang bertugas dengannya tadi, Aireen tersenyum. Jika kacak, terkenal dan digilai ramai gadis menjadikan ukuran untuk dia sukakan Tengku Aidit, nampaknya mereka tersilap kerana dia langsung tidak memandang semua itu. Dia hanya mengharapkan kebaikan, ketulusan dan keimanan daripada seorang lelaki. Dia tidak perlukan harta berjuta kerana dia lebih senang beserderhana dalam kehidupan.
Adam...
Nama Adam terucap lagi untuk kesekian kalinya. Kenapa hatinya bergetar setiap kali nama lelaki itu terucap di bibir? Kenapa jiwanya resah setiap kali wajah lelaki itu menyapa ingatannya? Dan kenapa setiap kali itu hati begitu teringin untuk memiliki lelaki itu sebagai teman sehidup semati?
Allah... Keluhan kecil dilepaskan.
"Termenung!" sergah Fazrin dan bahu sahabatnya itu ditepuk agak kuat.
Terkejut diperlakukan begitu, Aireen hela nafas dan dadanya diusap.
"Ya Allah, Faz!" marahnya dan sahabatnya itu dipandang dengan mata mencerlung.
"Ampun!" Fazrin buang sengih dan terus duduk walaupun tidak dipelawa.
"Letih aje nampak? Bukan patutnya senyum sampai telinga ke?" sambungnya sengaja mengusik.
"Letihlah. Baru keluar dewan bedah." Tubuh disandarkan ke kerusi.
"Kes yang mana?" soal Fazrin penuh minat. Padahal dia ada benda lain yang hendak ditanyakan. Tapi kata orang sebelum mula lebih baiklah bermukadimah dulu. Kena sembur sia-sia. Walaupun Aireen bukan jenis yang suka melenting tidak tentu pasal tetapi mana tahu perihal hati dan perasaan lain pula caranya.
"Appendix."
"Oh!" Fazrin angguk kepala.
"So, macam mana? Okey?"
"Alhamdulillah, selamat semuanya." Air kopi panas di atas meja dicapai dan disisip.
Sekali lagi Fazrin mengangguk. Haih! Melihat keadaan Aireen, rasa berat pula mulutnya hendak bertanya tentang anak raja yang datang mencarinya tengah hari tadi walau hati bukan main menggedik hendak tahu cerita selanjutnya.
"Ermmm... Kau datang cari aku ni ada apa?" Fazrin yang sedang terangguk-angguk di hadapannya dikerling. Mesti ada sebabnya, kalau tidak tentu Fazrin tidak bersusah payah menapak ke tempatnya.
Sengih Fazrin melebar.
"Aku dengar orang tu..."
"Aku dah agak dah mesti nak tanya tentang Tengku Aidit, kan?" pintas Aireen mematikan bicara sahabatnya itu.
Fazrin senyum meleret.
"Tak ada apa yang istimewa pun yang boleh aku ceritakan. Pertemuan kami tadi hanya sekadar pertemuan seorang doktor dan pesakitnya. Itu sahaja," balasnya malas.
"Itu pada kau, pada dia?"
"Selama ni ada tak aku kesah tentang apa yang orang fikirkan tentang aku?" Fazrin dipandang dengan kening terjongket.
"Masalahnya, Tengku Aidit ni bukan macam lelaki-lelaki lain yang pernah sukakan kau sebelum ni. Dia ni kalau kata dia nak, dia akan cuba dapatkan walau dengan apa cara sekalipun," ucap Fazrin meluahkan kerisauannya.
"Kalau aku tak melayan tentu tak akan jadi apa-apa, kan?"
"Selagi kau menolak selagi tu dia akan kejar. Tahu tak?" Fazrin geleng kepala.
"Janganlah risau. Aku bukannya cantik sangat pun sampai dia sanggup buat apa aje. Pada aku, apa yang dia buat sebab rasa terhutang budi," balas Aireen cuba menenangkan sahabatnya.
"Ikutlah kalau itu yang kau fikir tapi aku tetap rasa dia tu ada perasaan yang lain pada kau," tekan Fazrin lagi.
"Kita tak payah nak susah-susah fikir tentang dia eh. Buang masa aje." Aireen tegakkan tubuh.
"Weekend ni jadi tak nak ke rumah anak-anak yatim tu?" soalnya sengaja mengubah topik perbualan mereka. Dia tahu Fazrin risaukan dirinya tetapi baginya tiada apa yang perlu dikhuatirkan asalkan dia bijak menghindari dirinya dari Tengku Aidit pasti tiada apa yang akan berlaku.
Dengan muka cemberut, Fazrin mengangguk sahaja. Geram kerana nasihatnya tidak didengari sahabatnya itu.
"Aku blah dululah," ucapnya dan bingkas bangun.
"Faz..." panggil Aireen apabila dia terfikirkan sesuatu.
Fazrin menoleh.
"Apa pandangan kau kalau perempuan meminang lelaki pada zaman sekarang?"
Fazrin tercengang. Aireen dipandang dengan mata terkebil-kebil.
Melihat reaksi Fazrin, Aireen ketawa kecil.
"Aku sekadar bertanya. Tak ada maksud apa-apa pun," ucapnya dan turut bangun. Stetoskop miliknya dicapai dan disangkutkan ke leher.
"Tak salah pun kalau kau betul-betul sukakan dia," jawab Fazrin akhirnya.
Aireen terdiam.
"Tapi pastikan yang dia bukan lelaki sembarangan. Yang tak akan kau sesal bila kau memilih dia walau kau terpaksa merendahkan maruah kau di hadapannya," pesan Fazrin bersungguh.
Sambil merenung dinding kosong di hadapannya, kata-kata Fazrin petang tadi terngiang-ngiang lagi.
"Tapi pastikan yang dia bukan lelaki sembarangan. Yang tak akan kau sesal bila kau memilih dia walau terpaksa merendahkan maruah kau di hadapannya."
Akan jatuhkah maruah seorang gadis andai dia melamar seorang lelaki? Rendahkah nilai seorang gadis andai dia memulakan langkah demi memiliki sebuah cinta?
Tidak... Saidatina Khadijah R.A telah membuktikannya dan telah terlebih dahulu memulakannya dengan meminang Nabi Allah, Muhammad SAW kerana dia percaya bahawa wanita juga berhak untuk memilih lelaki yang selayaknya untuk mereka. Wanita juga berhak untuk memilih bahagia mereka sendiri.
Membaca kisah cinta agung wanita mulia itu dan Rasulullah, hati sentiasa diusik rasa bahagia. Ya Allah, mampukah dia memiliki cinta sehebat cinta Khadijah dan Rasulullah? Dan mampukah dia menjadi seperti Khadijah yang rela berkorban apa sahaja demi lelaki yang disayangi dan dicintai?
KISAH CINTA SEJATI NABI MUHAMMAD SAW DAN SITI KHADIJAH.
Cinta sejati dan kesetiaan mencintai diukur setelah perkahwinan, bahkan lebih terbukti setelah kepergian yang dicintai. Walaupun Nabi Muhammad SAW sangat mencintai Aisyah R.A, namun cinta beliau kepada Siti Khadijah R.A pada hakikatnya melebihi cinta beliau kepada Aisyah R.A, bahkan cinta itu melebihi semua cinta yang dikenal umat manusia terhadap lawan jenisnya. Sementara hikayat tentang cinta, seperti Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, tidak teruji melalui kehidupan bersama mereka sebagai suami isteri. Kerana itu, sekali lagi dikatakan bahawa cinta Rasulullah SAW kepada Khadijah R.A adalah puncak cinta yang diinginkan oleh seorang laki-laki kepada perempuan dan sebaliknya.
Sangat besar rasa cinta Rasulullah kepada Khadijah, sampai-sampai Aisyah mengatakan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, "Tidak pernah aku merasa cemburu kepada seorang pun dari isteri-isteri Rasulullah seperti kecemburuanku terhadap Khadijah. Padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah seringkali menyebut-nyebutnya. Jika ia memotong seekor kambing, akan ia potong-potong dagingnya, dan mengirimkannya kepada sahabat-sahabat Khadijah.
Maka aku pun berkata kepadanya, "Sepertinya tidak ada wanita lain di dunia ini selain Khadijah..."
Maka berkatalah Rasulullah, "Ya, begitulah ia, dan darinyalah aku mendapatkan anak."
Dalam suatu riwayat dikisahkan, suatu saat Aisyah merasa cemburu, lalu berkata, "Bukankah ia (Khadijah) hanya seorang wanita tua dan Allah telah memberi gantinya untukmu yang lebih baik darinya? (maksud Aisyah yang menggantikan Khadijah adalah dirinya). Maka baginda pun marah sampai bergoncang rambut depannya. Lalu baginda bersabda, "Demi Allah! Ia tidak memberikan ganti untukku yang lebih baik darinya. Khadijah telah beriman kepadaku ketika orang-orang masih kufur, ia membenarkanku ketika orang-orang mendustakanku, ia memberikan hartanya kepadaku ketika manusia lain tidak mahu memberiku, dan Allah memberikan kepadaku anak darinya dan tidak memberiku anak dari yang lain."
Maka aku berkata dalam hati, "Demi Allah, aku tidak akan lagi menyebut Khadijah dengan sesuatu yang buruk selama-lamanya."
Ketika Aisyah ingin menampakkan kelebihannya atas Khadijah, ia berkata kepada Fatimah R.A, puteri Nabi dari Khadijah R.A: "Aku gadis ketika dinikahi ayahmu sedang ibumu adalah janda ketika dinikahi ayahmu." Rasul SAW yang mendengar ucapan ini dari puterinya yang mengeluh bersabda: "Sampaikanlah kepadanya 'Ibuku (maksudnya Khadijah RA) lebih hebat dari engkau, beliau menikahi ayahku yang jejaka, sedang engkau menikahinya saat beliau duda."
Kerana cinta dan perasaan hormat Rasulullah kepada Khadijah, dia tidak memadu Khadijah dengan wanita lain, sedang semua isteri selainnya dimadu. Malah teman-teman Khadijah masih diingati oleh Rasulullah dan baginda sering berpesan kepada puteri-puteri beliau agar terus menjalin hubungan kasih dengan mengirimkan hadiah walau sederhana kepada mereka.
Ketika Fath Makkah, yakni hari keberhasilan Rasulullah SAW memasuki Kota Mekah bersama kaum Muslim, beliau telah berkunjung ke lokasi rumah Khadijah R.A, karena rumah itu sendiri telah tiada. Beliau juga pada hari itu menyendiri, di tengah kesibukan bersama pasukan kaum Muslim, dengan seorang wanita tua sambil bercakap-cakap dengan wajah berseri-seri. Aisyah R.A yang melihat hal tersebut bertanya: "Siapa orang itu dan apa yang dibicarakannya?" Ternyata wanita tua itu sahabat karib Khadijah R.A dan pembicaraan Nabi SAW dengannya berkisar pada kenangan manis masa lalu.
Gerak langkah suara dan ketukan pintu yang biasa dilakukan Khadijah RA pun terus segar dalam benak dan fikiran Rasulullah. Hingga suatu ketika beliau mendengar ketukan dan suara serupa. Baginda berkomentar: "Itu cara ketukan Khadijah. Saya duga yang datang adalah Hala (saudara perempuan Khadijah R.A) dan ternyata dugaan beliau itu benar.
Secebis kisah yang diambil dari naskhah Khadijah, The True Love Story of Muhammad SAW itu dibaca dengan perasaan yang sarat dan entah bagaimana untuk ditafsirkan. Bukan sekali karya hasil nukilan Abdul Mun'im Muhammad itu dibaca tetapi sudah berkali-kali sehingga dia sudah dapat menghafal setiap baris ayat di dalamnya. Dan setiap kali itulah perasaan cintanya dibawa bersama indahnya kisah cinta kedua-duanya.
Ya Allah, beruntungnya menjadi Khadijah kerana tetap dirindui suami walaupun setelah kepergiannya. Dan bertuahnya Khadijah kerana melalui dialah, Rasulullah memiliki zuriat tetapi bukan dengan yang lainnya. Allahuakbar, bisiknya dan buku berwarna merah jambu itu dipeluk dan dibawa rapat ke dada bersama helaan nafas.
Tetapi, mampukah aku menjadi sehebat dan semulia Khadijah? Rela berkorban apa sahaja untuk lelaki yang dicintai kerana Allah. Bukan hanya mengorbankan dirinya tetapi harta kekayaannya juga. Malah sanggup juga menempuh pelbagai dugaan semata-mata kerana Allah dan cintanya kepada Rasulullah.
Perlahan-lahan kepalanya digeleng. Mana mungkin aku mampu kerana aku bukanlah perempuan sebaik itu. Aku hanya manusia biasa yang banyak cacat celanya dan tidak sempurna mana imannya, keluhnya.
Memang dia tidaklah sehebat wanita agung itu, tetapi tidak salah untuk dia mendapatkan cinta dari lelaki yang selayaknya. Lelaki yang boleh membimbingnya untuk mencari keredaan Dia. Lelaki yang mampu memberi kebahagiaan yang dicari.
Adam...
Ya, Adam... Dialah lelaki itu. Lelaki yang sempurna imannya, lembut bicaranya dan sopan tingkah lakunya. Jika Khadijah tidak pernah gentar untuk memiliki cintanya kenapa dia perlu malu? Jika Khadijah, wanita yang agung dan terhormat sanggup merendahkan dirinya untuk memiliki cinta Rasulullah, jadi kenapa dia perlu gentar? Tak cuba tak tahu, Aireen. Tekadnya dan spontan itu telefon bimbitnya dicapai dan nombor Mak Cik Liza didail.
Selesai berbicara seketika dengan mak ngahnya, talian dimatikan. Jika Allah mengizinkan, pasti Dia akan menunjukkan jalannya, tekadnya.
Buku berwarna pink itu direnung lagi.
"Terima kasih Mualim kerana menghadiahkan saya karya cinta yang sungguh indah dan sangat memberikan inspirasi ini," bisiknya bersama senyuman.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co