Bab 11
MASA berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar, sudah beberapa bulan berlalu setelah peristiwa Rin kehilangan ahli keluarganya. Kini Rin juga telah menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya.
Tetapi, tidak dapat tidak hatinya masih terasa terkilan kerana ayah dan uminya tidak sempat melihat dia menamatkan pengajiannya. Setiap kali mengingati peristiwa kehilangan secara mengejut itu, hatinya diterjah perasaan menyesal.
Benarlah kata orang, kita tak tahu sampai bila orang yang kita sayang itu akan bersama-sama kita. Oleh itu, kita perlu sentiasa menggembirakan dan menghargai mereka. Bukannya jadi macam dia, salah faham sikit terus lancarkan mogok dan lari dari rumah. Dan kini, dia langsung tidak punya peluang untuk memohon maaf daripada ayah dan uminya. Jika dia menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun, ayah, umi, Dafi dan Reena tetap takkan kembali.
Rin kembali ke alam realiti apabila terdengar bunyi ketukan pintu berselang-seli dengan suara kakaknya dari luar. Dengan malas, dia bangun dari katil queen yang disediakan Datin Azmah kepadanya.
Sejak tamat pengajiannya, Datin Azmah dan Dato Karim, ibu dan bapa mentua Farah sepakat menyuruhnya tinggal bersama mereka. Walaupun pada mulanya dia menolak namun akhirnya dia akur jua apabila melihat kesungguhan mereka memujuknya.
"Ada apa, kak long?" soal Rin kepada kakaknya yang sedang mendukung Firash sebaik pintu bilik dibuka.
"Ada tetamu datang."
"Ada tetamu? Siapa?" soal Rin pelik.
"Bakal mak mentua Rinlah."
"Hah? Hesy, kak long ni main-mainlah pula."
"Betullah. Mana ada main-main. Mak Cik Suri datang tu."
"Mak Cik Suri?" Rin terlopong. Buat apa Mak Cik Suri datang ke rumah keluarga kakaknya? Takkan nak datang meminangnya lagi kut?
Dengan dahi yang dikerutkan, Rin kembali semula ke dalam biliknya dan menukar pakaian sebelum dia mengikut langkah Farah ke ruang tamu tingkat bawah. Di situ dilihatnya Mak Cik Suri dan suaminya sedang berbual-bual dengan Dato Karim dan Datin Azmah.
"Dah dua bulan lebih arwah tinggalkan kita semua. Saya rasa dah sampai masanya kita tunaikan amanah arwah, Datin, Dato," kata Mak Cik Suri tidak lama selepas Rin menyertai mereka.
"Amanah apa? Maaflah, saya tak tahu besan saya ada tinggalkan amanah apa-apa," kata Dato Karim.
Rin di hadapannya turut mengerutkan dahinya. Amanah apa pula ni? Hesy, Mak Cik Suri ni banyak betul dramanya.
"Amanah untuk nikahkan Amir dengan Airin," beritahu Mak Cik Suri. Sebaik saja mendengarnya, masing-masing saling berpandangan.
"Apa ni, mak cik? Bukan benda ni dah selesai ke? Kan Rin dah cakap Rin tak nak kahwin dengan Amir." Tiba-tiba Rin bersuara lantang. Memang Mak Cik Suri ni tak ada kerja lain agaknya.
"Rin..." Farah menjeling adiknya supaya mengawal diri.
"Umi Rin tangguhkan dulu sebab Rin belum bersedia. Tapi sekarang kan Rin dah habis belajar, jadi boleh teruskan pelan asal, kan?" Lembut bicara Mak Cik Suri.
"Mak cik..." Belum sempat Rin menghabiskan ayat, pahanya ditepuk oleh Farah dan dia diberikan isyarat agar bertenang.
"Sebenarnya saya tak tahu apa-apa pasal ni. Sebab besan kami tak pernah cakap apa-apa pasal ni. Tapi kami serahkan kepada Airin. Kalau setuju, boleh teruskan. Kalau Airin tak setuju, kami tak ada hak nak paksa dia." Dato Karim bersuara.
Rin menghembuskan nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tahu yang Dato Karim takkan memaksanya.
"Saya bukan nak memaksa, tapi ni amanah arwah. Mereka nak sangat bermenantukan Amir. Jadi, apa salahnya kita tunaikan amanah arwah?"
"Kami bukan tak nak tunaikan tapi ni masa depan Rin. Biarlah dia sendiri yang tentukan. Saya tak nak Rin menderita nanti," kata Farah.
"Rin takkan menderita. Percayalah cakap mak cik. Mak cik kenal sangat anak mak cik. Dia tu baik. Dia pasti akan jaga adik Farah ni baik-baik." Mak Cik Suri meneruskan misi pujuk memujuknya.
"Memang anak mak cik baik tapi..." Belum sempat Farah menghabiskan kata-katanya, Rin menyampuk.
"Saya tak cintakan Amir. Mak cik tak payah nak pujuk rayu sebab saya memang tak nak kahwin dengan Amir. Cukup-cukuplah paksa saya."
"Tapi..."
"Sebelum ayah dengan umi meninggal, saya dah beritahu yang saya tak nak kahwin dengan Amir. Dan ayah dah cakap yang dia takkan paksa saya untuk kahwin dengan Amir."
"Suri, Usop... Memandangkan Rin tak setuju, kami tak boleh nak paksa. Macam yang Farah cakap tadi, ni masa depan Rin. Jadi biarlah dia sendiri yang tentukan," kata Dato Karim.
"Maaflah kalau kami nampak macam memaksa sikit. Dato tahu ajelah, isteri saya ni dah berkenan sangat dengan Airin ni. Itu yang dia nak sangat jadikan Rin menantu." akhirnya bersuara juga suami Mak Cik Suri.
Sejak sampai tadi hanya suara Mak Cik Suri sahaja yang kedengaran manakala Pak Cik Usop itu hanya diam di tempat duduknya.
"Berkenan dekat Rin atau dekat harta yang ayah tinggalkan?" soal Rin dengan nada yang perlahan namun masih mampu didengari oleh mereka yang berada di ruang tamu itu. Sekali lagi Rin dihadiahkan jelingan maut oleh kakaknya.
"Macam inilah, Dato dengan Datin berbincanglah dulu dengan Airin. Saya dengan isteri sedia terima apa sahaja keputusan," kata Pak Cik Usop.
"Elok juga tu. Usop dan Suri bagi kami masa. Yalah, benda-benda macam ni nak kena berbincang dulu. Tak boleh terburu-buru," kata Dato Karim.
Pak Cik Usop mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Dato Karim tapi isterinya di sebelah bukan main mencuka lagi wajahnya. Pasti dia tidak puas hati dengan keputusan Dato Karim. Bukannya dia tak tahu, jika dibiarkan Rin yang buat keputusan sendiri pasti niatnya untuk bermenantukan Airin Nadia akan terkubur begitu sahaja.
SEBAIK sahaja Mak Cik Suri dan suaminya beredar, Rin terus bangun.
"Nak pergi ke mana tu?" soal Dato Karim.
"Naik biliklah."
"Duduk dulu. Daddy nak bincang sikit," kata Dato Karim. Memandangkan besannya telah meninggal, dia rasa menjadi kewajipannya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah kepada Rin.
Rin menggaru kepalanya yang tidak gatal. Namun, arahan Dato Karim dipatuhi. Dia kembali duduk.
"Apa dia?"
"Betul ke Rin tak nak kahwin dengan Amir?"
"Soalan apa ni, daddy? Daddy, mummy, kak long, buat kesekian kalinya Rin nak cakap yang Rin tak nak kahwin dengan Amir. Titik."
"Tapi kenapa?" tanya Farah.
"What do you mean by 'kenapa' kak long? You know that I don't like him. Lagipun Rin muda lagilah. Tak terasa lagi nak kahwin."
"Macam inilah, kalau Rin betul-betul tak nak kahwin dengan Amir, daddy takkan paksa. Nanti daddy beritahu Mak Cik Suri yang kita tolak pinangan dia."
"Thank you, daddy. Nanti mummy bagi balik cincin dia tu, ya? Suruh dia bagi kat girlfriend anak dia. Agaknya dia ingat Rin tak tahu yang anak dia dah ada girlfriend," kata Rin. Teringat pula kes dia terserempak dengan Amir bersama-sama seorang wanita di Mesra Mall tidak lama dahulu.
Amir langsung tidak menunjukkan riak serba salah ketika memperkenalkan teman wanitanya itu kepada Rin. Kerana itulah, Rin semakin yakin. Perkahwinan ini bukan kemahuan Amir juga.
"Oh, kiranya Rin tak nak dekat Amir ni sebab dia ada girlfriendlah ni?" soal Dato Karim sekadar bergurau. Dia cuba menceriakan suasana yang suram sejak kehadiran Suri dan Usop.
"Tu salah satu sebab juga. Tapi yang penting Rin tahu yang Amir tu bukan yang terbaik untuk Rin."
"Habis tu, kalau bukan Amir siapa? Haikal?" teka Farah. Bukannya dia tidak tahu hubungan rapat adiknya itu dengan Haikal. Sejak Rin menamatkan pelajarannya, hampir setiap minggu Haikal akan datang ke Kemaman untuk bertemu dengan Rin. Tetapi setiap kali dia bertanya kepada adiknya itu akan hubungannya dengan Haikal, jawapan Rin pasti sama. Sekadar kawan biasa.
"Taklah. Kita orang kawan ajelah," nafi Rin.
"Kawanlah sangat kalau tiap-tiap minggu sanggup datang dari KL semata-mata nak jumpa Rin," sindir Farah.
"Patutlah Amir yang handsome tu dia tak nak, rupa-rupanya dah ada orang lain. Bila nak kenalkan kepada mummy dengan daddy?" tanya Datin Azmah.
"Ala mummy, mana adalah. Kak long auta aje tu." Rin membela diri. Bibirnya tersenyum lebar apabila selepas itu telefon bimbitnya berbunyi.
"Tersengih-sengih tu mesti Haikal."
"Mana adalah. Nia. Rin lupa yang Rin janji nak pergi rumah dia. Ni semua Mak Cik Suri punya pasallah," kata Rin. Dia bangun sebelum menjawab panggilan daripada Nia dan terus menuju ke tingkat atas.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co