Truyen3h.Co

VVIP Dihatiku

Bab 14

karyaseni2u

DIA terduduk di bawah pohon redang itu. Air matanya yang sejak tadi ditahan, mengalir laju.

Sungguh dia benar-benar rasa bersalah kepada Haikal. Kata-kata lelaki itu tadi semuanya benar belaka. Di sisinya selama ini bukan Fiqri Aiman tetapi Haikal. Haikal yang setia bersama-samanya selama ini. Tapi kenapa terlalu sukar untuk dia membuang sebaris nama Fiqri Aiman dari dalam hatinya dan membiarkan ruang tersebut dihuni oleh Haikal? Kenapa hatinya terlalu sukar untuk berubah?

"Ya Allah, macam mana aku nak lupakan Fiqri? Atau aku memang tak boleh lupakan dia sampai bila-bila?"

Rasanya sudah hampir setahun Rin tidak bertemu Fiqri. Kali terakhir mereka bertemu pun sewaktu majlis hari lahir Sofia. Kata-kata Fiqri supaya mereka kembali berhubung pun bagai angin lalu. Buktinya, tidak pernah sekali pun Fiqri menghubunginya. Bahkan, sewaktu dia kehilangan ayah dan uminya tidak lama dahulu juga Fiqri tidak muncul. Mustahil Fiqri tidak tahu sedangkan rakan-rakan mereka yang lain semua sedia maklum tentang kemalangan tersebut.

Zaman sekarang ini zaman teknologi. Dalam masa yang singkat, berita boleh tersebar ke seluruh dunia. Jadi, mana mungkin Fiqri tidak maklum dengan berita kemalangan tersebut, kan?

Rin memejamkan matanya rapat-rapat. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

Lama Rin bersendirian di situ. Ketika azan asar berkumandang, barulah dia bangun dan berjalan ke jalan utama untuk mencari teksi. Sejam kemudian, barulah dia tiba di rumah Nia.

"MACAM mana lunch tadi?" soal Eiyra sebaik sahaja Rin muncul di hadapannya.

"Macam biasa aje," kata Rin acuh tak acuh. Dengan selamba, dia merebahkan tubuhnya ke atas katil Nia sebelum gadis itu tiba-tiba menjerit.

"Rin, baik kau bangun. Tu katil pengantin akulah. Mana boleh kau rasmi dulu." Tangannya menarik tangan Rin supaya gadis itu bangun namun Rin tidak bergerak. Beratnya. Macam anak gajah.

"Ala, aku tumpang sekejap aje. Tak terjejas pun kau punya katil ni."

"Tak boleh juga. Nanti basi."

Terus tegak badan Rin mendengar alasan Nia itu.

"Basi apa bendanya? Kau ingat ni makanan ke? Huh, kedekut. Aku doa malam esok kau jatuh katil," kata Rin sambil bangun.

"Huh, jahat gila mulut kau. Ada ke patut doa macam tu."

"Habis tu, siapa suruh kau kedekut sangat?" balas Rin. Dengan malas, dia bangun sebelum dihampiri Eiyra.

Tangannya diambil Eiyra dan dibelek-belek.

"Kau ni kenapa?" soal Rin. Pelik juga dengan tingkah Eiyra. Gaya macam kena sampuk hantu aje.

"Cincin mana?"

"Sejak bila aku pakai cincin?" tanya Rin kembali. Kemudian, dia tersedar.

"Kejap, kau tahu pelan Haikal, kan?"

Eiyra menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih bagai kerang busuk.

"Pelan apa ni?" Nia terpinga-pinga. Wajah Rin dan Eiyra dipandang silih berganti.

"Errr... Aku baru aje tahu tadi," jawab Eiyra. Dia masih tersengih.

"Then, why you don't tell me?"

"Haikal suruh aku diamkan dulu. Nanti tak surprise. Jadi, bukan salah akulah, kan?" Eiyra membela diri.

Rin mendengus.

"Kau orang tengah cakap pasal apa ni?" Nia mengulangi soalannya. Sungguh, dia tidak faham dengan apa yang sedang dibualkan oleh Rin dan Eiyra.

"Haikal lamar Rin."

"What?! Bila?" Dalam terkejut, Nia tidak dapat mengawal rasa terujanya.

"Habis tu, kau cakap apa Rin?"

"I am not ready yet."

Eiyra dan Nia masing-masing ternganga.

"Itu aje?"

Rin mengangguk laju. "Habis tu, kau nak aku cakap apa lagi?"

"Kau memang tolak mentah-mentah macam tu aje ke?" soal Eiyra tak puas hati.

"Yalah," jawab Rin sambil mengangguk laju. Saat itu, terdengar keluhan Eiyra.

"Kau ni memang tak berperasaanlah. Tahu tak yang Haikal tu bukan main excited lagi nak buat surprise dekat kau tapi kau boleh pula tolak dia mentah-mentah," kata Eiyra tak puas hati.

"Kau orang tahu hati aku macam mana, kan? Jadi, takkanlah aku nak pura-pura happy dan tipu dia dan perasaan aku sendiri?"

"Tapi Haikal tu dah lama tunggu kau. Takkan kau tak kasihankan dia?"

"Aku tak pernah pun suruh dia tunggu aku, kan? In fact, aku dah banyak kali suruh dia cari orang lain, kan?" Rin membela diri. Dia sendiri tidak tahu kenapa, Eiyra begitu membela Haikal. Sejak dari dulu lagi, Eiyralah yang menjadi penyokong setia Haikal.

"Kau ni memang kejamlah, Rin."

"Eiyra, membazir air liur kau aje kalau bercakap pasal ni dengan Rin. Ada aje nanti hujah dia," kata Nia.

"Baik ikut aku sambung buat kerja," sambungnya sebelum keluar dari bilik pengantin dan menuju ke ruang tamu. Dia tahu hati Rin, kerana itulah dia tidak mahu memaksa Rin menerima Haikal.

Rin dan Eiyra mengikutnya dari belakang, namun sebelum itu, sempat lagi Rin menjelir lidahnya ke arah Eiyra. 

BARU sahaja Rin mahu mencapai gelas berisi air sirap yang baru dituangnya itu, Eiyra lebih cepat mengambil gelas tersebut lalu menghabiskan air sirap di dalam gelas itu.

"Kauuu..."

"Thank you," ucap Eiyra dengan muka tidak bersalah.

"Kau ni, suka buli aku."

"La, bila masa pula aku buli kau? Bukan kau memang tuangkan air tu untuk aku ke?" soal Eiyra. Dengan selamba, karipap yang berada di depan matanya disuakan ke mulut.

Rin mencebik. Air sirap dituangkan sekali lagi ke dalam gelasnya.

"Kau bulilah aku sementara ada masa ni. Nanti bila aku tak ada, mesti kau menyesal," kata Rin.

"Kenapa, kau nak pergi mana?" soal Eiyra.

"Adalah," kata Rin sambil tersengih-sengih.

"Siapa yang nak pergi mana ni?" soal Mak Cik Jannah yang turut terdengar perbualan mereka.

"Tak ada apalah, mak cik. Rin ni, saja aje nak buat ayat sedih," jawab Eiyra.

"Eh, mana adalah. Aku betul-betul nak pergi ni."

"Kau nak pergi mana, kahwin?" soal Eiyra. Dia masih beranggapan yang Rin hanya bergurau dan turut main-main.

"Maybe?" balas Rin dengan sengihan.

"Tengoklah tu, mak cik. Suka betul dia main-main."

"Bukan Rin aje. Eiyra pun bukan suka main-main juga ke?" balas Mak Cik Jannah.

Sengihan Rin terus melebar. Bukan main suka lagi dia apabila Mak Cik Jannah turut mengenakan Eiyra.

"Rin nak pergi mana-mana ke?" soal Mak Cik Jannah, berbalik kepada soalan pertamanya tadi.

Sengihan Rin terus bertukar menjadi senyuman nipis. Pipinya digaru perlahan. "Rin nak sambung belajar," kata Rin. Serentak itu, dua pasang mata memandangnya tanpa kelip.

"Kau betul-betul ke main-main ni?" soal Eiyra dengan rasa musykil.

"Betul-betullah. Takkan aku nak tipu mak cik kut."

"Baguslah Rin nak sambung belajar. Eloklah sambung belajar terus sebelum ada apa-apa komitmen lain. Rin nak sambung belajar kat mana?" soal Mak Cik Jannah.

Rin mengetap bibirnya. Nafas ditarik sebelum satu patah perkataan itu terbit dari bibirnya. "Melbourne."

DUA pasang mata kini tertumpu kepada Rin yang sedang duduk di atas katil pengantin Nia.

"Rin, baik beritahu kita orang. Kau nak pergi Melbourne buat apa sebenarnya?" soal Eiyra tidak puas hati. Dia bercekak pinggang.

"Haah. Aku pun musykil. Kenapa kau tiba-tiba nak pergi Melbourne ni?" soal Nia. Dia memandang Rin tanpa berkelip seperti seorang pendakwaraya yang ingin mendakwa pesalah.

"Mana ada tiba-tiba. Sebelum ni pun aku dah pernah beritahu kau orang yang aku nak sambung belajar, kan?"

"Memanglah ada. Tapi takkan secepat ni?" soal Nia. Sungguh dia terkejut apabila diberitahu tentang berita tersebut sebentar tadi. Mulanya, dia sangka Rin hanya main-main tapi melihat wajah Rin, dia tahu gadis itu sedang serius.

"Kenapa Melbourne?" soal Eiyra pula.

"Haah. Kenapa Melbourne?" Bukan sahaja Eiyra bahkan Nia turut menagih jawapan daripada soalan yang sama.

"Dah Melbourne yang bagi tawaran dekat aku secepat ni. Takkanlah aku nak tolak pula?"

"Bukan sebab lain?" duga Eiyra.

"Mana adalah," nafi Rin meski dia tahu maksud disebalik pertanyaan Eiyra itu. Entahlah, sebenarnya dia pun tidak tahu kenapa hatinya memilih Melbourne. Tiada jawapan yang spesifik. Dia hanya mengikut kata hatinya. Dan sudah pasti hatinya memilih Melbourne kerana pemiliknya berada di sana.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co