Bab 3
MALAM itu Rin tidak dapat melelapkan matanya. Eiyra yang sudah lama dibuai mimpi dipandangnya sebelum dia bangun dan menuju ke meja studinya.
Komputer riba dibuka dan jari-jemarinya laju menaip sesuatu sebelum apa yang diinginkan muncul terpapar di hadapan skrin.
Setelah sekian lama, malam ini dia kembali membuka akaun Facebook milik Fiqri. Selepas Fiqri menghancurkan hatinya dua tahun lalu, dia sudah pun blocked dan unfriend lelaki itu dari laman sosial miliknya. Tapi entah mengapa, tidak lama selepas itu dia kembali unblocked Fiqri walaupun mereka bukan lagi kenalan di laman sosial. Rin membaca status terbaru Fiqri.
I will see you again.
Because you never really left.
I feel you walk beside me.
Rin mengetap bibir. Hatinya terasa sakit. Status sebelumnya dibaca.
I miss you.
Rin tahu kepada siapa status itu ditujukan. Siapa lagi kalau bukan kekasihnya, Syasya. Terasa seperti hatinya sedang ditoreh-toreh dengan pisau. Dengan segera, Rin menutup komputer ribanya. Dia sedar dia tidak kuat untuk terus menyaksikan kerinduan Fiqri kepada Syasya.
Lama dia termenung di mejanya. Mukanya diraup perlahan. Tidak lama kemudian, dia menarik laci meja tersebut. Buku nota hitam diambil dan dibuka. Ada gambar terakhir dia dan Fiqri Aiman yang diambil tiga tahun lalu sebelum Fiqri ke Melbourne, Australia untuk menyambung pelajarannya.
Dia menterbalikkan gambar tersebut. Ayat di belakang gambar itu dibaca.
I will waiting for you.
Sebab awak VVIP di hatiku. <3
Dan serentak dengan itu, air matanya terus bercucuran di pipi. Fiqri Aiman... Serta-merta kenangan lalu kembali terimbau dalam fikirannya.
"Fiq, boleh aku tunggu kau sampai kau balik?" soal Rin. Ketika itu, mereka sedang berbual melalui Skype.
Sejak Fiqri ke Melbourne, hubungan mereka menjadi rapat. Pelbagai cerita dikongsi bersama. Apatah lagi dua bulan lepas, Fiqri baru memutuskan hubungan dengan kekasih hati pengarang jantungnya sejak zaman sekolah iaitu Syasya.
Ketika Fiqri kecewa, Rinlah tempat dia meluahkan segala perasaannya dan itu jugalah yang membuatkan mereka menjadi rapat meski kini sedang jauh beribu-ribu batu. Bahkan hampir setiap hari mereka akan berhubung melalui laman sosial seperti Skype dan Facebook untuk berkongsi cerita.
"Tunggu aku? Untuk apa?" soal Fiqri. Dahinya dikerutkan.
"Saja. Nak membazirkan masa," balas Rin geram. Dia tak tahu ke maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik kata-kata aku?
"Hah? Banyaknya masa kau sampai nak bazir-bazirkan, eh?" sindir Fiqri. Dia terus ketawa.
Rin menggaru-garu pipinya. Tiba-tiba dia rasa dia telah mengutarakan soalan yang salah.
"Hesy, malaslah nak cakap dengan kau. Aku nak log out dah."
"Ai, merajuk ke?" usik Fiqri. Senyumannya mula melebar.
"Mana adalah," nafi Rin.
"Habis tu, kenapa nak log out? Dahlah tanya soalan tak habis."
"Malas dah cakap dengan kau."
"Ala, sorry. Janganlah malas-malas dengan aku. Okey. Okey. Aku serius sekarang. Kau tanya balik soalan tu, eh?" pujuk Fiqri.
Rin mengeluh. Inilah yang paling dia lemah. Pujukan Fiqri cukup mencairkan hatinya. Tak perlu bagi hadiah bunga atau coklat, sekadar senyum sahaja sudah cukup mencairkan hatinya.
"It is okay. Anggap aje kau tak pernah dengar soalan tu. Sorry tanya soalan merepek malam-malam buta ni."
"Itu bukan soalan merepeklah. Hmmm... Boleh aku tahu kenapa kau nak tunggu aku?"
Rin mengeluh. Pipinya yang tidak gatal digaru-garu. Kemudian dia menjongket bahu. "Entah."
"Hah? Entah? Setiap apa yang berlaku ada sebabnya Rin."
Rin mengetap bibir.
"Hmmm... Sebenarnya aku pun tak tahu. Betul. Sungguh aku tak tahu," kata Rin. Dia berjeda seketika, mencari kata-kata yang sesuai.
"Yang aku tahu masa kau nak fly dulu aku cakap kat diri aku, aku akan tunggu kau dan sampai sekarang aku masih menunggu kau," kata Rin. Wajah Fiqri di skrin dipandang sebelum dia menunduk malu.
"Cuma sekarang ni, tak tahu kenapa aku asyik terfikir-fikir. Is it worth for me to waiting for you until the next four years?" soal Rin.
"Four years? Why four years? Not two years? Or maybe next year?" soal Fiqri. Sengaja dia ingin bergurau bagi menceriakan suasana. Mana tidaknya, wajah gadis yang terpapar di hadapannya itu kelihatan sangat gelisah.
Rin mengetap bibir. Mamat ni memang tak tahu ke atau sengaja buat-buat tak tahu. "Entah. Sebab nombor empat tu cantik kut."
"Hah, tengok. Orang tanya betul-betul dia jawab main-main pula," balas Fiqri.
"Mana ada main-main. Orang jawab betul-betullah ni. Tak nampak ke muka tengah serius ni?" soal Rin. Skrin komputer riba dipandang dengan wajah yang serius.
Terus terhambur tawa Fiqri.
"Hah, orang seriuslah. Kenapa ketawa?" soal Rin.
"Lawaklah bila tengok kau serius macam ni."
"Hesy, kau ni ada aje, kan? Hmmm... Fiq, cepatlah jawab. Is it worth for me?"
Fiqri diam kembali. Bibirnya masih mengukir senyum.
"Erm, aku tak pasti macam mana nak bagi jawapan kepada kau. Aku takut salah jawab aje. Betul ke kau nak tunggu aku?" sekali lagi Fiqri mengulangi soalan yang sama.
Laju Rin mengangguk.
Melihat anggukan Rin, Fiqri menyambung. "Kalau kau rasa berbaloi untuk tunggu aku, kau tunggulah. Tapi kau tahulah aku sekarang kat luar negara, tak dapat jaga kau selalu." Sekali lagi Fiqri berjeda.
"But Insya-Allah it will worth because love will ignore the distance."
"So?" Rin tidak sabar untuk mengetahui kesimpulan daripada kata-kata Fiqri.
"Jodoh pertemuan ni, di tangan Allah, kan? Rin, Allah dah tetapkan jodoh yang terbaik untuk kita semua. Kita sebagai hamba-Nya hanya perlu taat dan patuh pada-Nya. Berdoalah, mohon petunjuk agar Allah jadikan pilihan kita nanti, pilihan yang betul. Dan, sudah tentu aku akan doakan supaya penantian kau akan mendatangkan kebaikan untuk kita berdua." Sambung Fiqri.
Jawapan daripada Fiqri itu membuahkan senyuman di wajah Rin.
"So, aku boleh tunggu kaulah?"
Fiqri mengangguk sambil tersenyum lebar. "Tunggulah. Insya-Allah it will worth for us."
Rin mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Gambar itu diletakkan kembali ke tempat asalnya. Fiqri Aiman! Lelaki itulah yang memberikannya harapan tetapi kemudian lelaki itu jugalah yang menghancurkan hatinya.
Mana tidaknya, selepas sahaja sesi luahan perasaannya itu, hubungan mereka ibarat sudah naik satu tangga. Seperti hubungan orang bercinta. Setiap hari mereka akan berkongsi cerita tetapi sebulan kemudiannya tiba-tiba Fiqri menghilang tanpa berita. Lebih seminggu juga segala mesej, e-mel dan panggilan daripada Rin tidak dijawab Fiqri. Saat itu bukan main risau lagi Rin akan keadaan Fiqri. Namun, tiada siapa menduga kerisauannya berakhir dengan kehancuran hati bilamana suatu hari dia terbaca status daripada Syasya berbaur romantis di dinding Facebook Fiqri.
Dengan nasihat Eiyra ketika itu, Rin belajar untuk bertenang dan menanti Fiqri membalas mesejnya dan penantiannya itu berakhir pada suatu hari.
Rin, how are you?
Rin mengetap bibir. "Selepas berminggu-minggu hilangkan diri, baru sekarang nak muncul?" marah Rin sendirian. Kerana geram, dia terus menutup komputer ribanya dan terus menuju ke katil. Kononnya tidak mahu membalas mesej Fiqri yang dihantar melalui aplikasi Facebook itu.
Tubuhnya direbahkan ke atas katil dan dia terus menarik selimutnya. Rin cuba memejamkan matanya namun tidak sampai lima minit, dia bangun kembali. Bersama keluhan, dia kembali semula ke meja belajarnya. Komputer riba dibuka kembali.
I am fine. You?
Laju sahaja jari-jemarinya menaip. Nampaknya sekali lagi Rin kalah dengan perasaannya. Tidak sampai seminit, ada balasan daripada lelaki itu.
Me too. Hmmm... Sorry sebab tak balas mesej-mesej kau. Aku sibuk. Banyak sangat assignment dan project yang nak kena submit.
Membaca alasan Fiqri membuatkan hatinya berasa lega.
Oh, ya ke? Sorry sebab kacau. Aku ingatkan ada apa-apa yang berlaku kat kau. Tapi sekarang aku bersyukur kau okey kat sana.
Fiqri membalas.
Thanks for your concern. Oh, by the way Rin, can you ask me again about your question before?
Rin mula menggaru kepala. Soalan mana ni?
Hah? Soalan yang mana ni? Banyak kut soalan duk tanya.
Fiqri membalas.
Ala, soalan hari tu. Pasal tunggu tu.
Saat itu Rin mula teringat. Jari-jemarinya pantas menaip.
Soalan "is it worth to waiting for you" tu ke?
Dengan dahi berkerut-kerut, Rin menaip dan menanti balasan Fiqri.
Haah. Yang itulah.
Hmmm... Rin... Kau betul-betul ke nak tunggu aku?
Dada Rin mula berdebar-debar. Apa yang ingin disampaikan oleh Fiqri? Dia mula tidak keruan.
Yes. Why?
I am sorry for do this.
Ayat pertama daripada jawapan Fiqri membuatkan Rin semakin cuak namun dia sabar menanti ayat Fiqri yang seterusnya. Hampir lima minit dia menanti...
Rin, sebenarnya aku takut penantian kau nanti akan sia-sia. Aku tak tahu tentang hati dan perasaan aku pada masa akan datang dan aku harap hati aku ni akan pilih yang terbaik buat aku kelak. Tapi, maafkan aku sebab dah banyak susahkan kau. Aku harap kau faham.
Rin, tolong berhenti mengharapkan aku kalau kau dah tak mampu untuk teruskannya. Aku gembira sebab dapat tahu isi hati kau. Terima kasih Rin. Tapi, kau janganlah risaukan aku kat sini. Aku okey. Fokus pada studi kau dan kau jadilah anak yang baik, ya?
Tanpa disedari, air mata Rin mula bertakung. Membaca setiap bait kata-kata yang dikarang oleh Fiqri membuatkan hati Rin terasa bagai disiat-siat. Oh, jadi inilah punca kehilangan Fiqri secara misteri selama ini?
Rin mengetap bibir. Air matanya mula mengalir laju sehinggakan pandangan matanya jadi berbalam-balam. Rupa-rupanya selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan dan sikap baik Fiqri kepadanya selama ini tidak lebih daripada seorang kawan? Tangisan Rin semakin kuat apabila dia tersedar selama ini hanya dia yang terhegeh-hegeh seorang diri.
"Tapi kalau betul dia tak sukakan aku, kenapa dia pernah bagi harapan dulu? Kenapa hari tu dia tak terus cakap yang dia tak sukakan aku?" tangisnya sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co