Truyen3h.Co

Zinnirah

Bab 2

karyaseni2u

"TAK apa, adik pergi sendiri." Zinnirah mengukir senyum.

"Adik tak cakap awal-awal dekat ibu. Kalau tak, bolehlah ibu suruh Nadim ambil CRK ke, MC ke, temankan adik." Hayati memandang wajah anak susuannya itu. Dulu, wajah itu sebesar tapak tangannya sahaja. Comel dengan anak matanya yang besar, melebihi putih matanya. Keningnya tidak terlalu tebal juga tidak terlalu nipis. Bibir sejemputnya sebesar siling 20 sen sahaja.

Kini anak itu membesar sebegini cantik. Sejuk mata-mata yang memandang. Kulitnya bersih. Ada beberapa bekas parut jerawat tetapi tidaklah ketara. Biasalah, wajah remaja mana yang tidak pernah tercemar dengan jerawat. Bibirnya yang kecil dahulu, kini sudah sebesar siling 50 sen. Betapa dia terkilan kerana tidak dapat melihat Zinnirah membesar di hadapan matanya.

"Tak perlulah, ibu. Minggu lepas masa nak uruskan pengebumian arwah abah dan mama, Nadim dah ambil cuti dua hari. Adik tak nak kacau dia lagi." Zinnirah menyuap nasi lemak ke dalam mulut. Enam belas tahun sudah berlalu, namun rasa nasi lemak itu tetap juga sama. Ah, sungguh dia rindu!

"Lagipun, adik dah 24 tahun, ibu." Zinnirah tarik sengih. "Ibu mesti fikir adik ni masih lagi budak darjah dua yang tak ada kawan tu, kan?"

Hayati menuangkan teh susu ke dalam cawan. "Ibu ni tak habis fikir lagi. Macam manalah anak ibu ni membesar dulu? Siapa nak main dengan Nera bila abang-abang Nera tak ada? Susah hati ibu ni."

Zinnirah tersenyum, mengerti walang dalam hati ibu susuannya. "Ibu jangan risaulah. Anak ibu ni membesar elok saja. Adik rasa, adik tak sempat pun nak buat kawan. Dulu, setiap tahun adik pindah rumah, tukar sekolah. Adik memang tak ada kawan. Kalau adik ada kawan, rasa sedih pula nak tinggalkan sekolah. Cuma bila dah masuk universiti, adik beli kanta lekap sebab adik tahu adik bukannya boleh berpindah universiti walaupun adik selalu pindah rumah. Bila dah pakai kanta lekap, ramai aje kawan yang adik ada. Dan adik ada seorang kawan yang masih sudi berkawan dengan adik walaupun dia tahu mata adik macam ni."

Secawan teh susu diletakkan di sebelah pinggan Zinnirah. Hayati kelihatan teruja benar mendengar cerita anaknya. "Ya? Siapa nama kawan adik tu? Nanti kalau dia datang ke Raub ni, bawalah dia jumpa ibu. Nak juga ibu kenal-kenal dengan kawan adik."

"Nama dia Yahaira. Adik panggil dia Aira. Insya-Allah, nanti kalau ada peluang, adik bawa dia jumpa ibu." Zinnirah mencapai cawan berisi teh susu yang disediakan oleh ibunya. Teh susu yang masih berasap itu ditiup perlahan-lahan sebelum disisip.

"Kerja adik dekat pelabuhan tu macam mana? Bos adik dah tahu yang adik tak tinggal di Lumut lagi lepas ni?" soal Hayati sambil melabuh duduk bertentangan dengan anaknya di meja makan. Dia belum sempat berbual banyak dengan Zinnirah. Sejak Zinnirah mula menetap dengan keluarganya seminggu yang lalu, Zinnirah belum mahu meluah perasaan. Dia pula tidak mahu bertanya selagi Zinnirah tidak buka mulut untuk bercerita. Dia faham bahawa anaknya itu memerlukan masa untuk beradaptasi dengan suasana baharu.

"Dah, bos dah tahu dah. Lagipun masa awal-awal adik kerja situ, adik dah kata yang adik kerja sementara saja. Sementara nak tunggu convo."

"Kenapa adik tak cari kerja tetap terus? Adik dah habis belajar tahap ijazah, kan? Ijazah dalam bidang apa?" tanya Hayati.

"Psikologi. Adik memang ada dapat tawaran kerja. Tapi semua tawaran tu dekat Kuala Lumpur. Adik fikir, sementara belum convo lagi, adik tak nak kerja jauh dari abah dengan mama. Tu yang adik kerja dekat pelabuhan tu. Kebetulan ayah Aira memang ada business dekat situ, jadi Aira ajak adik sekali untuk kerja dengan dia." Ringan mulut Zinnirah bercerita. Apalah sangat yang dia mahu rahsiakan daripada ibu susuan yang sudah dianggap seperti ibu kandung itu?

Sejak Zinnirah lahir lagi dia sudah disusukan oleh Hayati yang pada ketika itu sedang menyusukan Nadim. Usia Nadim berbeza tiga bulan dengan Zinnirah, tetapi Nadim lahir pada penghujung tahun 1993 manakala Zinnirah lahir pada awal tahun 1994. Arwah ibu Zinnirah memang tidak mampu untuk menghasilkan susu badan yang mencukupi. Dengan izin Tuhan berserta khasiat daripada susu badan Hayati yang menyusukan Zinnirah sehingga usianya dua tahun, Zinnirah mampu membesar dengan sihat.

Selama dua tahun itu, kasih sayang Hayati tumpah buat Zinnirah. Dua tahun Hayati menyusukan Zinnirah, sudah tentulah dia sedar akan keunikan sepasang mata Zinnirah yang tidak pernah dia lihat pada bayi lain. Warna mata Zinnirah kelihatan normal semasa dia baru dilahirkan, namun dari bulan ke bulan, keunikan mata Zinnirah semakin terserlah.

Disebabkan keunikan itulah Zinnirah tidak didekati anak-anak di kampung. Semuanya takut dengan Zinnirah. Dikatanya Zinnirah itu makhluk asing. Bukan setakat itu, ibu kandung Zinnirah juga dituduh oleh orang kampung, berzina dengan lelaki asing sehingga melahirkan anak yang tidak hitam warna iris matanya.

Semakin banyak Zinnirah dihina dan disisihkan, semakin sayang Hayati kepada Zinnirah. Sementelah, Hayati pun tidak ada anak perempuan. Dia sudah tidak boleh mengandung lagi selepas melahirkan Nadim memandangkan semasa proses bersalin, Hayati akan mengalami tumpah darah yang boleh meragut nyawanya. Kepada Zinnirahlah Hayati menumpang kasih sayang seorang anak perempuan.

"Ibu tak perlu risau. Balik dari Lumut ni, adik akan terus cari kerja. Adik tak mahu menyusahkan ibu. Ibu dah bagi adik duduk sekali dengan ibu ni pun adik dah bersyukur sangat." Zinnirah memberi jaminan apabila melihat ibunya berdiam diri sejak tadi. Tidak dapat dia mengagak apa yang bermain dalam fikiran ibunya itu.

"Eh, apa adik ni? Janganlah cakap macam tu. Ibu tak minta apa-apa pun. Allah dah temukan adik dengan ibu ni, ibu dah bersyukur sangat. Tak ada lagi anugerah yang paling indah yang ibu harapkan selain dapat berjumpa semula dengan adik. Ibu tanya tentang kerja adik tu untuk kepentingan adik sendiri, untuk masa depan adik." Hayati mengetap bibir. Biarlah tuturnya berlapik. Dia cukup kenal dengan ibu bapa Zinnirah. Asbab mereka berpindah-randah, dia tahu semuanya. Asbab ibu bapa Zinnirah membunuh diri pun, dia dapat mengagak.

Hal itulah yang dia bimbangkan. Dia tidak mahu Zinnirah menerima tempias rentetan perbuatan ibu bapanya. Sebab itulah dia beria-ia mengajak Zinnirah duduk dengannya. Mujurlah Zinnirah bersetuju dengan pujuk rayunya. Hanya dengan cara ini dia mampu melindungi Zinnirah.

Zinnirah tersenyum. "Adik pun bersyukur dapat jumpa dengan ibu semula. Adik minta maaf sebab tak pernah cari ibu sebelum ni. Bila adik dapat tahu yang ibu dah tak duduk di Kuantan, adik tak usaha pun nak cari ibu di tempat lain. Adik minta maaf, ibu."

Hayati menggeleng-geleng. "Sepatutnya ibu yang cari adik. Tapi itulah, nombor telefon arwah mama asyik berubah-ubah. Ibu pergi rumah kamu di Muar, tapi kamu sekeluarga tak ada. Terkilan betul ibu sebab tak dapat peluk cium kamu masa kamu pindah dulu." Mata Hayati bergenang dek teringatkan kenangan lalu. Zinnirah sekeluarga berpindah semasa dia sedang terlantar di hospital, koma akibat langgar lari.

ZINNIRAH memerhatikan telefonnya yang berbunyi. Masuk kali ini, sudah lima kali Talha menelefonnya. Keluhan berat dilepaskan. Dia tahu ibu ialah orang yang bertanggungjawab untuk memberitahu Talha bahawa dia sedang berada di dalam bas menuju ke Lumut pada hari ini. Dia faham kerisauan ibu terhadap pilihannya untuk bergerak dari Raub ke Kuala Lumpur kemudian ke Lumut secara bersendirian.

Zinnirah menetapkan telefonnya pada mod senyap. Dia tidak mahu Talha terlibat dalam urusannya. Biarlah dia pulang ke rumah arwah ibu bapanya secara bersendirian. Dia masih belum tahu apa yang menantinya di Lumut. Bukannya dia tidak pernah nampak orang-orang jahat mencari abah dan mamanya dahulu.

Bas akhirnya berhenti di Stesen Bas Lumut. Separuh hari dihabiskan sejak pukul 8 pagi tadi untuk ke Lumut hanya semata-mata kerana dia terpaksa menukar bas dari Kuala Lumpur ke Lumut. Tidak ada bas yang menawarkan perkhidmatan terus dari Raub ke Lumut.

Zinnirah turun dari bas. Kepalanya tertoleh-toleh mencari Yahaira. Stesen Bas Lumut bukannya macam Terminal Bersepadu Selatan. Setakat nak cari seorang Yahaira, tak perlu landmark pun dia boleh cari.

Namun apabila batang hidung Yahaira tidak kelihatan, Zinnirah tahu bahawa Yahaira masih belum tiba. Telefon bimbitnya dikeluarkan lalu Yahaira dihubungi. Sambil menunggu panggilan bersambung, Zinnirah melangkah untuk mencari tempat duduk. Matanya sibuk meliar ke sebelah kiri sehinggakan dia terlupa untuk memandang ke hadapan.

Lengan kanan Zinnirah berlanggar dengan sesuatu. Pantas Zinnirah berkalih pandang. Pada masa yang sama, panggilan telefonnya berjawab.

"Aira, aku dah sampai. Ambil aku sekarang." Zinnirah segera mematikan talian.

"Maaf. Saya tak sengaja." Zinnirah memerhatikan buah tembikai yang sudah terjatuh di atas lantai. Bulat matanya merenung wajah kanak-kanak yang sudah tercebik bibirnya. Sikit saja lagi anak kecil itu akan menangis.

"Alamak, encik! Saya betul-betul minta maaf!" Zinnirah memandang lelaki yang sedang mendukung anaknya itu. Dia sedar bahawa mata lelaki itu tidak berkelip langsung saat memerhatikan wajahnya. Tidak sedikit pun lelaki itu peduli dengan anaknya yang sudah menangis.

"Sekejap, sekejap. Acik beli buah tembikai baru." Zinnirah segera berlari mendapatkan Pak Akob, jiran sekampung yang menjual buah-buahan sejuk di serata Lumut.

Lelaki tadi masih tidak lepas matanya daripada memerhatikan Zinnirah. Gadis itu sudah berlari semula mendekatinya dengan plastik berisi tembikai di tangan. Sebaik tiba di hadapannya, gadis itu mengeluarkan sepotong tembikai dari dalam plastik.

"Nah!" Zinnirah menghulurkan potongan tembikai kepada anak kecil itu. Berdebar dia menanti reaksi anak kecil yang senyap memerhatikan potongan tembikai di hadapan matanya.

Meskipun di hadapan matanya terhidang buah kegemarannya, anak kecil itu tetap juga menangis. Anak kecil itu memalingkan wajahnya membelakangi Zinnirah. Leher bapanya dipeluk.

Zinnirah cemas. Segera dia bergerak ke belakang lelaki itu. Bersungguh-sungguh dia ingin memujuk anak kecil tersebut.

"Ala, janganlah menangis. Acik dah beli yang baru ni." Zinnirah menyeka air mata anak kecil itu. Rambutnya yang menutupi dahi dikuak ke belakang berkali-kali.

Anak kecil itu mengalihkan pandangannya ke arah Zinnirah. Diperhati wajah wanita itu sehingga akhirnya dia senyap sendiri. Potongan tembikai yang dihulurkan oleh Zinnirah diambil tanpa sebarang bicara.

"Sofea?" Bapa kepada anak kecil itu akhirnya bersuara setelah terlalu lama dia berdiam diri. Dia memusingkan tubuhnya menghadap Zinnirah.

"Nama awak Sofea ke?" Zinnirah mengukir senyum ramah, bercakap dengan anak kecil itu. Tiada balasan yang diterima daripada anak kecil itu. Hanya matanya yang setia menatap wajah Zinnirah.

Zinnirah memandang lelaki di hadapannya. "Saya minta maaf sebab tak perasankan encik tadi. Silap saya, berjalan ke depan tapi tak pandang depan."

"Ayah." Seorang kanak-kanak lelaki yang datang bersama-sama seorang wanita di sisinya menegur lelaki di hadapan Zinnirah.

Zinnirah memandang wajah kanak-kanak lelaki tersebut. "Ni pun anak encik juga?" Bibir Zinnirah mengukir senyum.

"So..." Bicara wanita yang datang bersama-sama kanak-kanak lelaki itu terputus apabila lelaki di hadapan Zinnirah mengangkat tangannya sebagai isyarat supaya wanita itu berhenti berbicara.

"Bawa Eshaan ke kereta. Dia tak ada dekat sini."

"Tapi tu..." Wanita itu teragak-agak untuk berbicara. Matanya melekat pada wajah Zinnirah. Keningnya berkerut-kerut.

"Dia tak ada, Qabila." Tegas lelaki itu bersuara.

Qabila menundukkan wajah. Segera dia memalingkan tubuh dan membawa Eshaan pergi seperti yang diarahkan oleh lelaki itu.

Zinnirah memerhatikan Eshaan yang masih tidak lepas daripada memandang wajahnya. "Hurm?" Berkerut kening Zinnirah melihat wajah kanak-kanak itu.

Zinnirah memerhatikan lelaki di hadapannya. "Kenapa anak encik pandang saya macam tu?"

"Maaf, cik. Kita pernah jumpa ke sebelum ni?" tanya lelaki itu.

Terkebil-kebil Zinnirah memerhatikan wajah lelaki di hadapan matanya. Sungguh dia tidak menyangka bahawa soalan seperti itu yang dia akan terima daripada lelaki itu. Sangkanya, apabila lelaki itu membuka mulut, dia boleh mendapat jawapan kepada persoalannya. Tapi sekarang ini, dia pula yang kena memberi jawapan!

Tawa Zinnirah terlepas. "Encik pakai taktik zaman bila ni? Encik nak tahu nama saya ke? Kenapa tak tanya straightforward aje?"

Zinnirah menggelengkan kepala dengan tawa yang masih bersisa. "Saya Zinnirah. Maaf sebab terlanggar encik. By the way, saya rasa encik ni dah berkahwin pun, kan? Anak pun ada dua orang. Jadi setakat tahu nama saya tu cukuplah. Saya minta diri dulu."

Memandangkan Yahaira sudah tiba dengan motosikalnya, Zinnirah terus membuka langkah. Sebelum pergi, sempat dia berikan plastik yang mengandungi sepotong lagi buah tembikai kepada lelaki tadi. Zinnirah melambai kepada anak kecil tersebut dengan senyuman lebar.

"MAMA..." Si kecil Eileen asyik menutur panggilan itu sejak tadi. Tidak diam mulutnya sejak Zinnirah pergi.

Mata Qareeb melekat pada kawasan parkir motosikal. Di situlah dia melihat Zinnirah buat kali yang terakhir.

"Ayah, yang tadi tu bukan mama?" Eshaan juga sedang memerhatikan kawasan sama yang menjadi perhatian mata Qareeb.

"Haah, angah. Tu Sofea, kan?" tanya Qabila. Dia yakin seratus peratus bahawa wanita yang dilihatnya tadi ialah bekas kakak iparnya. Tetapi mengapa abangnya beria-ia mengatakan bahawa Sofea tidak ada di situ?

Qareeb menggeleng. "At first, angah pun ingat dia tu Sofea. Tapi bukan, Qabila. Tu bukan Sofea."

"Ngah, orang buta pun boleh tahulah dia tu Sofea! Suara dia pun sebijik suara Sofea. Takkanlah sebab dia pakai tudung, angah kata dia tu bukan Sofea?" Panas hati Qabila. Bukannya dia tidak kenal abangnya itu. Baik hati tidak bertempat. Entah-entah wanita tadi tu memang betul-betul Sofea tetapi abangnya sengaja mahu berahsia.

"Astaghfirullahalazim, Qabila. Angah dah kata kan, dia bukan Sofea. Empat tahun dia hidup dengan angah, angah tahulah." Lembut Qareeb menjawab.

Qabila mendengus. "Habis tu, yang tadi tu siapa? Pelanduk dua serupa? Dengan muka sebijik serupa, suara sama macam tu, angah nak kata dia pelanduk dua serupa? Angah ingat sikit, Sofea tu adik-beradik pun tak ada, apatah lagi kembar!"

Qareeb mengetap bibir. Bukan setakat Qabila, dia sendiri pun sakit hati apabila orang yang mereka cari tidak berjaya ditemui. Pada awalnya dia terkejut apabila melihat Zinnirah tidak mengenali dia dan Eileen. Tetapi apabila dia melihat wajah wanita itu dengan teliti, dia tahu bahawa itu bukan Sofea.

Sejak usia Sofea 10 tahun lagi dia sudah mengenali gadis itu, senyum Sofea tidak pernah menampakkan gigi. Tetapi senyum gadis tadi sangat berbeza auranya. Sepasang matanya juga lain sinarnya berbanding mata Sofea. Wajahnya juga bersih tanpa sebarang calitan bedak mahupun alat solek yang lain. Sofea tidak pernah keluar dari rumah dengan wajah yang kosong.

Zinnirah...

Jika gadis itu bukan Sofea, maka siapa dia?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co