Bab 12
Jebat mencapai pedang yang tergantung pada dinding. Dia bergerak perlahan-lahan mendekati tingkap. Dia meninjau ke luar. Dia nampak beberapa orang lelaki bersenjatakan parang dan pistol meluru masuk ke kawasan rumah Bujang setelah memecahkan pintu pagar.Peluh jantan mula mengalir di dahi. Walaupun situasi berdepan dengan musuh seorang diri bukanlah pertama kali baginya tetapi dia tidak boleh pandang rendah kepada kekuatan lawannya. Dia benci dengan apa yang perlu dia lakukan. Setelah berjanji dengan dirinya untuk tidak terlibat dengan sebarang pergaduhan, akhirnya dia terpaksa juga terjebak semula dengan perbuatan-perbuatan silamnya.Jebat tarik nafas. Dia tidak pasti berapa orang kesemuanya. Apa yang dia tahu, dia perlu berusaha keras untuk melepaskan diri dari kawasan itu. Untuk keluar dalam keadaan selamat tanpa mencederakan sesiapa bukanlah satu perkara mudah. Kalau membunuh itu bukan satu dosa besar, sudah lama ditembak saja kesemua penceroboh itu dari jarak jauh.Dia berasa sedikit lega apabila memikirkan Mastura yang sudah pergi bersama Airen dan Uncle Bujang. Jika Mastura bersamanya di situ, tentu akan merisikokan keselamatan isterinya. Dia yakin Mastura lebih selamat jika tidak bersamanya ketika itu.Jebat bergerak ke ruang tamu. Dia berselindung di sebalik dinding. Empat orang lelaki masuk ke dalam rumah. Dua daripada mereka terus berlari naik ke tingkat atas. Jebat berdiam di sebalik dinding. Menunggu masa yang tepat untuk menyerang hendap.Salah seorang penceroboh bergerak menghampirinya. Sepantas kilat Jebat menarik lelaki itu, dikilas lengan kanannya sehingga pistol yang dipegang terjatuh. Mulut lelaki itu ditutup supaya jeritan kesakitan tidak kedengaran. Kemudian tangannya 'menetak' kuat pangkal leher lelaki itu sehingga pengsan."Huh... Muda lagi budak ni." Jebat menggeleng kepala melihat anak remaja berbangsa Melayu yang sudah pengsan itu. Alangkah ruginya masa muda anak itu dihabiskan dengan terlibat dalam kumpulan kongsi seperti itu. Dia seperti melihat dirinya satu ketika dulu...Jebat segera mencapai pistol di atas lantai. Dia bertindak menyerang seorang lagi lelaki yang berada di ruang tamu itu. Jebat melibas kaki lelaki itu dengan pedang. Libasan itu menyebabkan lelaki Cina itu menjerit kesakitan. Darah mula membasahi lantai mozek.Lelaki itu terbaring sambil memegang kakinya yang luka. Dia mengerang menahan sakit tetapi Jebat tidak ada masa untuk berasa simpati kepadanya. Jebat terus berlari keluar. Dia yakin dua lagi lelaki yang berada di tingkat atas pasti mendengar jeritan itu dan akan menyerangnya bila-bila masa. Dia perlu segera keluar dari rumah itu.Di luar rumah, Jebat nampak sebuah kenderaan jenis Hilux betul-betul di hadapan pagar yang terbuka luas. Pasti kenderaan itu milik mereka. Jebat menembak tayar depan dan belakang kenderaan itu supaya tidak boleh digunakan untuk mengejarnya nanti. Tanpa berlengah lagi Jebat mendapatkan motosikalnya. Dia tak boleh lambat walau seminit kerana bila-bila masa dia boleh ditembak.Pon! Pon!Jebat berpaling apabila mendengar bunyi hon kereta. Mulutnya ternganga. Dia tak tahu sama ada nak maki hamun atau menangis. Tidak jauh dari kenderaan Hilux itu, Mastura sudah berada di dalam kereta. Masa bila pula dia ada kat situ? Jebat dipagut rasa kecewa melihat Mastura di situ."Abang! Sini, cepat!" Mastura menjerit memanggilnya. Jebat masih tercegat. Dia tak sangka Mastura mengingkari arahannya. Ya Allah, apalah aku nak buat dengan dia ni! Dalam situasi begitu, nak marah pun sudah tidak ada gunanya."Long!" Jebat terdengar namanya dipanggil. Dia lihat seorang lelaki Melayu sudah berada di muka pintu rumah. Sepucuk pistol sudah terhala ke arahnya. Mata Jebat membulat, spontan tangannya mengangkat pistolnya dan tembakan dilepaskan serentak!Pow!!!Tembakan lelaki itu tersasar mengenai tayar motosikalnya tetapi tembakan Jebat tepat mengenai kaki lelaki itu. Jeritan erangan kedengaran. Jebat tak tunggu lama, bila-bila masa seorang lagi daripada mereka akan menyerangnya. Dia terus berlari ke arah kereta yang dipandu Mastura. Jebat membuka pintu kereta lalu terus melompat masuk."Kan aku suruh kau ikut Airen! Kau ni memang tak reti ikut arahan, kan? Apa nak jadi dengan kau ni, Mas?" "Mas tak peduli abang nak marah tapi Mas takkan tinggalkan abang!""Kau ni... Haish!"Jebat sempat membebel sambil menyelitkan pistol di pinggangnya. Wajah Mastura berkerut melihat suaminya menyimpan senjata api itu di situ."Abang nak buat apa dengan pistol tu... Salah tau simpan pistol tanpa lesen," tegur Mastura. Jebat buat tak tahu. Bukan masanya nak fikir pasal semua itu. Dia berpaling ke belakang. Tidak ada sesiapa yang mengekori mereka. Jebat rasa sedikit lega."Siapa dia orang tu? Kenapa dia orang serang rumah uncle? Kenapa dia orang tembak abang?" Bertubi-tubi pula soalan Mastura. Tak tahu yang mana satu perlu dijawab dahulu. Sudahnya Jebat diam sahaja."Dia orang nak apa sebenarnya?" Kali ini Mastura merendahkan suaranya. Kalau dia marah-marah mungkin Jebat tidak mahu memberi jawapan. Jadi, dia perlu menggunakan pendekatan yang lebih lembut dan berdiplomasi."Kau berhenti tepi... Biar aku bawa kereta."Jebat mengarah lagi. Mastura gigit bibir. Soalan-soalannya tidak berjawab. Alih-alih dia pula diarah itu ini."No! No! No! Mas takkan berhenti. Kita dalam bahaya. Cara terbaik, kita pergi ke balai dan buat laporan... Biar polis ambil tindakan."Mastura buat keputusan. Kebetulan matanya terpandangkan papan tanda yang mengatakan balai polis hanya lima kilometer di hadapan. Tidak begitu jauh. Dalam sepuluh minit mereka sudah boleh mendapatkan bantuan. Pihak berkuasa tentu lebih tahu cara mengatasi situasi begitu."Kita tak boleh libatkan polis dalam hal ni." Jebat membantah. Wajahnya berubah tegang sebaik saja mendengar perkataan polis."Kenapa pula? Ini bukan hal kecil, abang... Ada orang ceroboh masuk dan lepaskan tembakan. Ini dah jadi kes jenayah. Dia orang tu ada pistol, machine gun bagai... Perkara yang libatkan jenayah, biar polis yang uruskan. Negara kita ada undang-undang dan peraturan... Kalau kita tak ikut prosedur yang betul, apa gunanya peraturan dan undang-undang tu wujud!"Jebat geleng kepala. Memang susahlah nak fahamkan pengamal undang-undang seperti Mastura. Panjang lebarlah hujahnya. Kenapalah dia bekas ahli kongsi gelap boleh jatuh cinta dan berkahwin dengan bekas peguam? Kan best kalau aku tak perlu dengar hujah-hujah bosan ni... Undang-undang negara bukan main nak ikut. Cakap suami tak nak pula dia ikut?"Lagipun, Abang Ary kan ada... Kita boleh dapatkan bantuan dia untuk berikan pelindungan dan siasat apa punca serangan ni. Dia lebih pakar dalam soal jenayah macam ni...""Aryan tu?" Jebat mencebik. Dengar sahaja nama sepupu isterinya itu dia rasa mual. Memanglah dari dulu dia tak ada chemistry dengan manusia yang berjawatan polis. Apatah lagi polis yang berperangai bongkak seperti Inspektor Aryan!"Kenapa buat muka macam tu? Alalala... Cemburu la tu... Kan?" Mastura cubit pipi Jebat. Cepat-cepat Jebat tepis. Ada tawa nakal kedengaran. Jebat tak ada mood nak bergurau ketika itu."Ada sebab ke aku nak cemburu? Tak ada hatilah aku nak cemburu dengan dia tu.""Eleh... Mengaku ajalah, sayang... Asal sebut nama Abang Ary aja, buat muka." Mastura masih nak mengusik."Ni masalah keluarga aku, Mas... Biar aku yang uruskan. Kenapa nak libatkan Aryan pula?""Sebab dia tahu apa nak buat. Dia boleh tolong kita... Abang sendiri tak tahu kenapa dia orang serang kita, kan? So, biarlah Abang Ary yang siasat... Entah-entah dia orang tu perompak yang suka pecah masuk rumah orang kaya-kaya." Mastura buat spekulasi.Mastura tahu, Jebat tidak menjawab soalan-soalannya kerana suaminya itu sendiri tidak tahu siapa gerangan lelaki-lelaki yang menceroboh rumah Uncle Bujang. Biar dia buat spekulasi sendiri. Kalau bukan perompak, apa sebab lelaki-lelaki itu pecah masuk rumah orang?"Aku tahu dia orang tu siapa... Dia orang tu lebih bahaya daripada perompak, Mas.""Huh?""Tapi buat masa ni, kau tak perlu tahu apa sebabnya. Sekarang ni, aku tak nak libatkan polis atau Aryan sekali pun. Kita akan pergi ke Taiping.""Taiping? Nak buat apa pula ke sana?""Kalau kita nak hidup tenang, kita perlu ke sana dan jumpa sendiri orang yang jadi punca semua ni.""Siapa? Orang tadi tu? Kalau bukan perompak, habis dia orang tu siapa?""Kau boleh tak jangan banyak tanya, Mas? Aku stres tahu tak?""Tak boleh! Abang mesti beritahu Mas... Siapa dan apa dia orang nak sebenarnya?"Mastura terus provoke Jebat. Selagi Jebat tak cerita selagi itu dia akan mendesak."Dia orang tu nak bunuh aku!!!" "Huh? Bu... Bunuh abang?" Mastura terkejut. Mendengarkan perkataan bunuh pun sudah buat dia rasa seram sejuk."Kau jangan tanya kenapa sebab aku sendiri tak tahu..." Jebat dapat agak soalan Mastura seterusnya. Mastura ternganga. Nak kata apa lagi? Naluri hati Mastura yakin, ada sesuatu yang disembunyikan Jebat. Sesuatu yang serius dan Jebat memang tak nak dia tahu. Dia memperlahankan pemanduan. Di kiri jalan terdapat sebuah stesen minyak lama. Sudah agak usang tetapi masih beroperasi.Mastura membelok ke arah stesen minyak yang agak lengang itu dan terus menghentikan kereta. Dia menarik brek tangan dengan cara agak kasar. Jelas dia sedang menahan rasa marah."Mustahil tak ada sebab." Mastura geleng kepala sambil memandang wajah Jebat yang tak menyangka tindakannya."Kita buat apa kat sini?" tanya Jebat pula. Dia terpinga-pinga. Kenapa mesti Mastura berhenti di situ? Kali ini soalannya pula tidak berjawab. Mastura ambil beg tangan sambil buka pintu kereta dan keluar. Kawasan di situ agak terpinggir. Stesen minyak itu juga tidak ramai pelanggan. Kalau dilihat kepada keadaan stesen minyak itu boleh agak tempat itu jarang disinggahi."Kau nak ke mana, Mas? Masuk!" Jebat turut keluar. Arahannya tidak dilayan. Mastura berjalan mencari tandas. Jebat mengekorinya. Sebaik sahaja jumpa tandas, dia terus masuk dan mengunci pintu. Membiarkan Jebat terkebil-kebil di depan pintu itu."Fisya... Minit mesyuarat yang saya minta awak buat tu dah siap ke?"Hannah bertanya kepada Fisya ketika dia melewati meja setiausaha syarikatnya itu. Dahulu lelaki itu merupakan PA kepada adiknya tetapi telah dinaikkan pangkat kepada setiausaha selepas Mastura berkahwin dengan Jebat."Sudah, Puan Hannah... Dah print out pun. Kejap lagi saya letak atas meja puan."Jawapan itu acuh tak acuh. Fisya kelihatan muram sahaja. Reaksi itu menarik perhatian Hannah untuk terus mendekati Fisya. Dia menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan lelaki lembut itu."Yang awak ni nampak muram aja dua tiga hari ni kenapa? Ada masalah?"Hannah bertanya dengan nada lembut. Selalu memang dia garang seperti singa dengan pekerja-pekerjanya tetapi apabila melihat wajah muram Fisya ketika itu, terdetik dia untuk ambil tahu. Manalah tahu ada masalah besar yang perlu diberi perhatian."Tak adalah, puan... Bosan aja. Mastura tak ada, dunia saya sepi..."Setiausahanya itu kelihatan sedih sambil menyapu tubir matanya dengan tisu. Hannah gigit bibir. Kasihan bercampur kelakar pula melihat lelaki lembut itu begitu. Aku ingatkan apalah masalahnya... Rindukan Mastura rupanya. Sebenarnya bukan Fisya saja, dia pun rindukan adiknya."Alah... Mas tu pergi honeymoon aja pun. Bukan berhenti kerja... Tak lama lagi dia masuk kerja, bolehlah awak bergosip dengan dia... Tak pun, bolehlah awak ikut dia memonteng kerja, kan..." Hannah sedikit mengusik. Fisya cepat-cepat menggeleng."Mana ada saya memonteng kerja, puan. Semua tu Mas yang paksa saya ikut dia sebab nak skodeng Abang Jebat dia tu. Sekarang dah kahwin pun dengan Jebat tu. Lepas ni, tak adalah dia memonteng lagi dah... Entah-entah lepas ni, Jebat tu pula yang memonteng kerja kat kolam ikan suami puan tu..." Fisya mengekek ketawa. Hannah turut ketawa. Senang pula hati Fisya, jarang bosnya itu berbual mesra begitu dengannya."Awak ni, Fisya... Ada-ada ajalah. Emmm... Awak ada call atau mesej Mastura tak?""Emmm... Tak adalah, puan. Orang tu kan tengah honeymoon, takkanlah saya nak kacau daun..."Fisya tersipu-sipu malu. Wajah Hannah sedikit berkerut. Fisya rapat dengan adiknya, sebab itu dia bertanya begitu. Manalah tahu jika Mastura ada menghubungi Fisya tapi ternyata setiausaha itu juga tidak tahu apa-apa."Saya bukan apa. Sejak semalam saya cuba hubungi dia tapi tak dapat. Mak Awa ada telefon Mastura dan dia beritahu yang dia dan Jebat nak balik ke Malaysia sebab bapa saudara Jebat sakit...""Tak dapat? Pelik juga, ya... Kalau dia dah balik mestilah dah sampai ke rumah kan, puan? Sejak semalam pun Instagram Mastura tak ada pos gambar baru. Tak tahu pula saya dia dah balik Malaysia. Tak apa puan, siap kerja saya ni... Saya cuba hubungi dia.""Saya rasa tak sedap hatilah, Fisya..." Hannah mula dipagut rasa risau."Tak sedap hati kenapa pula, puan...""Yalah, selalu saya call dia berjawab tapi kali ni tak pula. Jebat pun tak jawab call.""Puan jangan risaulah. Dia kan dengan Jebat. Suami dia yang gagah perkasa tu tentu boleh jaga dia elok-elok... Kalau ada apa-apa yang tak baik berlaku, tentu pihak polis dah hubungi puan, kan? Entah-entah dia dengan Jebat ada di rumah Uncle Bujang kut... Kat sana kan susah dapat line, puan..."Fisya cuba menenangkan perasaan Hannah yang jelas resah. Dia tak mahu majikannya itu risau tak tentu pasal. Terpamer raut gelisah di wajah Hannah. Fisya yakin Mastura dan Jebat dalam keadaan baik. Gagal menghubungi orang yang jauh sudah menjadi perkara biasa. "Haah, kan... Ya Allah, harap-harap tak ada apalah.""Amin..."Tiba-tiba telefon di atas meja Fisya berdering. Segera dia menjawab. Panggilan itu daripada Tan Sri Idris."Ya, Tan Sri... Ada ni, baiklah... Saya beritahu dia." Fisya meletakkan gagang telefon. Dia kembali memandang Hannah yang angkat kening minta penjelasan."Puan Hannah... Tan Sri nak jumpa puan di bilik dia..." beritahu Fisya sambil tersenyum."Sekarang?""Ya, puan... Sekarang. Cepat puan, nanti Tan Sri tertunggu-tunggu pula."Fisya angguk. Cepat-cepat Hannah berlalu pergi ke bilik datuknya. Selepas mengetuk pintu, dia segera masuk."Kenapa, tok ayah?" Dia bertanya sebaik sahaja melihat datuknya."Kamu dah dapat call Mas ke?" Tan Sri Idris sedang duduk di atas sofa sambil membaca surat khabar. Hannah Maryam terus duduk di sebelahnya."Belum, tok ayah..." Dia menggeleng. Terus sahaja Tan Sri Idris melipat surat khabar lalu diletakkan di atas meja."Sepatutnya dia dah sampai ke Malaysia tapi budak bertuah tu tak ada pula nak telefon kita. Tok ayah pun cuba call Jebat tapi tak dapat juga. Ke mana sajalah dia orang berdua tu. Buat kita risau aja," keluhnya.Rupanya bukan Hannah sahaja yang risaukan Mastura, tok ayahnya juga cuba menelefon cucunya itu tapi tak dapat."Agaknya macam yang Fisya cakap kat saya, tok ayah. Mungkin mereka sekarang di rumah Uncle Bujang. Kawasan rumah dia tu di pinggir hutan. Susah dapat line telefon."Tan Sri Idris angguk. Ada betulnya kata-kata Hannah itu. Dia mengambil telefon pintar di atas meja kopi lalu membuat satu panggilan. Hannah hanya memerhati. Seketika kemudian Tan Sri Idris menggeleng kepala sambil menyimpan gadget itu ke dalam saku blazer."Ni, Aryan lagi satu hal... Tok ayah call dia pun tak berjawab.""Sibuk dengan kerja tu agaknya.""Hmmm... Dia pun dah lama tak balik ke kampung. Telefon tok ayah pun jarang. Masih marahkan tok ayah sebab nikahkan Mastura dengan Jebat tu agaknya."Ada rasa kesal di wajah tua itu. Hannah menghela nafas berat. Memang perkahwinan Mastura dan Jebat perkara yang paling sukar untuk diterima Aryan. Bahkan tok ayahnya juga tidak begitu gembira dengan keputusan itu. Namun mereka semua menghormati kehendak Mastura. Cinta tak boleh dipaksa, apatah lagi perkahwinan. Setiap orang mempunyai hak masing-masing untuk menentukan masa depan."Tok ayah janganlah risau. Awal-awal ni memanglah dia merajuk. Setahun dua lagi okeylah tu.""Setahun dua?""Tok ayah kena faham. Ini soal hati dan perasaan. Bukan senang tau nak ubat rasa kecewa.""Aku ni datuk dia, Hannah. Aku tahu benar perangai dia kalau dah berkecil hati... Bimbang tak cukup setahun dua, kalau dia tak nak cari ganti macam mana?""Ish... Takkan sampai macam tu. Tak apalah. Nanti Hannah call Ary minta dia balik kampung ya, tok ayah..." Hannah ukir senyuman manis. Itu sahaja kata-kata yang mampu dia tuturkan untuk menyedapkan hati tok ayahnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co