Truyen3h.Co

Jebat Diadaptasi Dari Filem

"Papa nak ke mana?"

Airen yang baru selesai membantu mamanya memasak di dapur terkejut melihat Bujang yang sudah berpakaian kemas.

Papanya mengenakan baju kemeja hitam dan berjaket kulit warna yang sama. Selalunya jika berpakaian begitu, papanya ada urusan di luar. Sejak tidak aktif lagi dalam dunia kongsi gelap, papanya itu jarang keluar pada waktu malam. Akhir-akhir ini papanya sudah mula pergi solat di masjid tapi malam itu Airen tak jangka papanya mahu ke tempat lain.

"Papa ada urusan kat luar... Ada orang setuju nak jual ladang getah kat papa... So, papa nak jumpa orang tu untuk bincang pasal harga," beritahu Bujang.

Airen rasa tidak perlulah urusan sebegitu dilakukan pada waktu malam. Seeloknya, buat perbincangan di pejabat pada waktu siang lebih sesuai. Lagipun, cuaca pada malam itu tidak begitu baik.

"Esok sajalah, papa... Dah malam ni. Lagipun hujan kat luar sana. Papa call aja orang tu suruh dia datang ke pejabat kita. Kalau nak orang ambil pun kita boleh hantar orang jemput dia."

Airen menghalang. Memang sejak petang hujan turun tanpa henti. Mungkin kerana sudah masuk musim hujan setelah berbulan-bulan negara dilanda cuaca panas.

"Dah janji dengan orang... Mana boleh batal. Airen mesti ingat, kita sekarang dah buat perniagaan bersih. Kalau papa gagal dapatkan tanah ladang yang bagus, kita yang rugi... Lagipun kita yang nak beli tentulah kena ikut permintaan penjualnya..."

Airen angguk tanda mengalah. Kalau dia halang pun papanya tentu berdegil juga. Sedangkan mama pun selalu gagal memujuk, inikan pula dia.

Airen menemani papanya hingga ke muka pintu.

"Drive hati-hati ya, pa... Hujan lebat lagi tu," pesan Airen.

Bujang ketawa kecil. Saling tak tumpah dengan perangai isterinya.

"Yalah, anak papa sayang..."

Bujang mengusap kepala anak perempuan kesayangannya. Dia mencari-cari kelibat Carissa, isterinya tetapi tidak kelihatan.

"Mama di dapur, ya?" tanya Bujang sambil menyarung kasut.

Airen angguk.

"Beritahu mama, papa pergi dulu, ya?"

"Okey..." Airen angguk lagi.

Bujang memandu kereta melewati kawasan perumahan. Pertemuan dia dan orang yang mahu menjual tanah itu di sebuah restoran yang jauh dari kawasan bandar.

Pada awalnya dia agak keberatan juga mahu berjumpa di kawasan yang terpencil tetapi mungkin perbincangan mereka memerlukan ketenangan. Oleh kerana dia memang serius mahu membeli tanah yang hendak dijual, dia menurut saja permintaan penjual itu.

Ketika melalui jalan lengang yang kiri dan kanannya hutan, tiba-tiba keretanya ditahan sebuah MPV berwarna hitam.

Bujang terpaksa menghentikan kereta BMW yang dipandunya kerana kenderaan MPV itu berhenti mengejut di hadapannya. Seorang lelaki keluar dari perut kereta dan mengisyaratkan agar dia keluar.

"Keluar!!!" jerit lelaki itu dengan wajah bengis.

Dada Bujang berdegup kencang. Dia baru teringat yang dia langsung tidak membawa senjata api untuk perlindungan diri. Sejak dia dan Ah Kwan cuci tangan daripada terlibat dengan jenayah kongsi gelap, dia sudah tidak membawa senjata api ke mana-mana. Kalau ada pun, disimpan saja di rumah untuk melindungi keluarganya jika perlu.

Bujang masih tidak bertindak apa-apa. Dia tidak keluar seperti yang diarahkan.

"Keluar!!!" Sekali lagi dia menerima arahan itu tetapi Bujang masih tidak bergerak.

Pintu kereta dibuka dari luar. Bujang ditarik keluar secara paksa.

"Apa hal ni, hah? Kau orang ni siapa? Nak apa?" tanya Bujang. Beberapa orang lelaki lagi keluar dari MPV itu. Dalam kesamaran cahaya lampu kereta, Bujang nampak tatu yang dicacah pada lengan mereka. Orang-orang Keong?

Buk!

Bujang ditumbuk beberapa kali di bahagian perut. Dia rebah dan mengerang kesakitan. Lelaki Melayu yang memukulnya itu langsung tidak ada belas kasihan.

Bujang menahan kesakitan. Dia sudah terbaring di atas tanah. Kemudian seorang pemuda berbangsa Cina mendekati lalu mengacukan muncung revolver di kepalanya.

"Kau orang nak apa sebenarnya?"

Bujang makin cuak. Dia kenal benar dengan lambang tatu itu. Itu lambang kumpulan Double Snake. Ketuanya ialah Ah Keong, rakan kongsi dia dan Ah Kwan sejak 20 tahun yang lalu. Kali terakhir dia dapat tahu pasal Ah Keong, lelaki itu cuba membunuh diri. Kemudian dia tak pasti bagaimana keadaan lelaki itu.

"Hoi, orang tua! Kau bagi tau kita orang... Mana Ah Kwan menyorok?"

"Aku tak tahu..." Bujang menyapu wajah yang sudah basah ditimpa hujan yang turun renyai. Walaupun dia tahu di mana abang iparnya, dia tidak akan memberitahu hal itu. Kalau dibunuh sekalipun, dia tetap akan melindungi ahli keluarganya.

"Kau orang kanan dia, takkan tak tahu?"

"Itu dulu... Sekarang aku dah tua... Aku dah tak buat kerja kotor dah. Kwan pun bukan sihat. Setahu aku, anak dia Tiger bawa dia berubat tapi dia tak beritahu aku di mana."

"Lu jangan tipulah, orang tua! Bagi tau atau kita orang bunuh aja kau kat sini!" Pemuda Melayu itu pula mengugutnya. Muncung revolver masih diacu di kepala.

"Betul aku tak tahu! Kalau kau bunuh aku pun tak ada gunanya..."

Geram dengan jawapannya, pemuda Melayu itu menyepaknya beberapa kali.

"Ini daripada Tuah! Dia kirim salam kat kau dan Long!"

Salah seorang pemuda Cina turut menyepak tubuh Bujang. Termengah-mengah dia menahan sakit. Nak melawan, kudrat tuanya sudah tak sehebat dulu. Ketiga-tiga pemuda itu pula gagah dan bertenaga.

Bujang pejam mata. Dia mengenangkan zaman mudanya. Ketika itu, dia berada di tempat anak-anak muda itu. Kuat, gagah dan berkuasa. Berapa ramai orang sebayanya yang pernah dia sepak terajang satu ketika dulu?

Berapa banyak keluarga yang menderita kerana kejahatannya? Ada yang cacat dan hilang mata pencarian. Tidak terhitung kerana begitu lama dia mengotori tangan dan kakinya dengan dosa menganiayai orang yang lemah.

Berapa ramai orang yang hidup dalam ketakutan kerana diburu oleh dia dan ahli kumpulannya?

Bujang pejam mata. Dia pasrah dengan apa yang berlaku kepadanya itu. Jika itu adalah kafarah dosa-dosa silamnya, dia terima dengan reda.

Kali ini dia menerima nasib sama seperti mereka yang dianiayainya. Kehidupan di dunia ini umpama roda. Apa yang pernah kita lakukan sama ada perkara baik atau jahat pasti menerima balasan. Cepat atau lambat dan kalau tak diterima balasan di dunia, di akhirat tentu dia akan hadapi juga.

"Blah!"

Pemuda Melayu mengajak kawan-kawannya beredar.

Bujang rasa lega. Dia dengar bunyi deruan enjin kereta dan kenderaan itu bergerak pergi.

Bujang gagahkan diri untuk bangun. Dia segera mengatur langkah ke arah keretanya. Tubuh tuanya berasa sakit. Dia mahu membatalkan niatnya bertemu tuan tanah yang mahu dijual. Lebih baik dia pulang saja ke rumah.

Baru sahaja Bujang nak buka pintu kereta, terdengar namanya dipanggil.

"Bujang!!!"

Dia berpaling. Silau lampu kereta membuatkan matanya mengecil.

Dalam rintik-rintik hujan itu Bujang nampak MPV itu berhenti lagi tapi jaraknya agak jauh. Pemuda Melayu itu keluar semula dan berjalan beberapa langkah ke hadapan sambil mengangkat sepucuk pistol yang dipasang silencer.

Satu das tembakan dilepaskan ke arahnya. Bujang terkejut apabila merasakan kesakitan pada perutnya. Dia langsung tak menjangkakan semua itu. Dia fikir dia sudah dilepaskan!

"Allahuakbar!!!"

Bujang menjerit sambil menahan sakit. Dia terduduk di sisi keretanya. Dia menarik nafas dalam sambil tangan meraba perutnya. Darah sedang membuak keluar. MPV samar-samar menghilang dari pandangan.

Bujang teringatkan Carissa dan Airen yang sudah tentu menantinya di rumah...

"Airen... Sayang dah tidur ke?"

Suara di luar pintu bilik mengejutkan Airen yang sedang membelek album gambar. Dia tak suka diganggu ketika sedang menggamit memori dia bersama Long.

Mahu tak mahu dia menyahut juga panggilan mamanya itu.

"Belum, mama... Kejap lagi, mama tidurlah dulu," jawabnya dengan suara yang kuat. Tidak ada lagi pertanyaan daripada mamanya.

Airen menutup lampu bilik dan hanya membuka lampu di tepi katil sahaja. Dalam kesamaran itu dia menonton pula beberapa rakaman video yang disimpan di dalam telefon pintar miliknya. Hanya cara itu saja yang dapat melepaskan kerinduannya kepada Long selama ini. Menggamit semula memori-memori indah saat lelaki itu sentiasa ada dalam hidupnya satu ketika dulu.

Semalam dia ada menghantar mesej bertanyakan khabar Long yang berbulan madu di Prague. Namun begitu, tidak ada sebarang balasan. Mungkin lelaki itu tidak punya masa lagi untuk melayan mesejnya. Maklum sahaja, orang sudah beristeri dan sedang honeymoon pula. Apatah lagi Long mengahwini gadis secantik Mastura. Sudah tentulah dengan mudah Long melupakan dirinya.

Airen menyeka air mata yang mengalir di pipi. Dia berasa sedih mengenangkan nasib cintanya yang tidak berbalas.

Airen cemburukan Mastura yang menjadi pilihan Long. Tentu gadis itu berasa bahagia dan gembira dilayan manja oleh Long. Sedangkan dia ditinggalkan sendirian melayan rasa kecewa cinta yang tak berbalas.

Airen memainkan semula video hari jadinya yang disambut bersama Long beberapa tahun yang lalu. Itu kali terakhir mereka bersama. Ada juga video mereka bercuti bersama di beberapa buah negara Eropah.

Long bukan jenis yang suka melancong tetapi apabila menemaninya, lelaki itu tidak lokek mengeluarkan wang membeli apa sahaja yang dia mahukan. Dia dilayan umpama tuan puteri dan begitu disayangi Long. Sebut sahaja apa yang dia mahukan, lelaki itu tidak pernah gagal memenuhi permintaannya.

Tapi itu dulu. Sebelum lelaki itu berubah. Long sudah menjadi Jebat. Orang yang hidupnya sederhana. Lebih banyak berdiam tetapi baik hati dan masih prihatin seperti dulu.

Dia tak kesah Long berubah dan tidak berduit sekalipun tetapi kenapa mesti dia dibuang begitu sahaja? Kadang-kadang dia berasa seperti bermimpi ngeri.

Dia ingin bangun dari lena dan keluar daripada mimpi itu. Dia mahukan Longnya yang dulu. Dia mahukan kehidupan bersama Long di mana tidak ada kewujudan perempuan bernama Hannah Mastura!

Adakala memikirkan semua itu buat dia rasa tertekan. Dia semakin hari semakin sukar untuk tidur. Dia sedar dia sedang mengalami kemurungan tetapi dia tidak mahu mama dan papa risau dengan keadaan dirinya.

Dia sudah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kaunseling tetapi begitu sukar untuk dia melupakan bayangan Long yang begitu bermakna dalam hidupnya.

Kalaulah melupakan Long begitu mudah, sudah tentu hidupnya tidak kecewa begitu. Dia rasa tidak adil ditinggalkan setelah dia banyak berkorban. Walaupun dia menawarkan janji mahu berubah menjadi lebih baik, Long tetap tidak mahu mengahwininya. Sebegitu dalam dia mencintai Long dan begitu dalam juga dia membenci Jebat!

Airen menutup aplikasi video. Jika dia terus memikirkan tentang Long yang sudah melupakan dirinya, dia hanya akan menambahkan rasa murung yang melanda jiwa.

Airen turun dari katil. Dia menghampiri tingkap. Melalui cermin kaca gelap itu dia melontar pandangan ke arah jalan raya yang samar-samar dilimpahi cahaya lampu limpah.

Hujan yang turun lebat sejak petang tadi sudah mula renyai. Mungkin beberapa jam lagi akan berhenti.

Hari sudah mula menjangkau lewat malam. Dia teringatkan papanya yang masih belum pulang. Airen mengambil semula telefon pintarnya. Dia membuat panggilan ke talian milik papanya. Namun begitu, tidak ada sebarang jawapan. Airen mula rasa tak sedap hati.

Tiba-tiba dia melihat cahaya lampu kereta di jalan. Dia kenal itu kereta BMW milik papa. Dia tersenyum dan rasa lega.

Tiba-tiba senyumannya mati. Kereta itu memang milik papa tetapi berasa hairan kerana dipandu dalam keadaan perlahan dan pemanduannya begitu mencurigakan. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Kemudian kereta itu berhenti betul-betul di depan pagar.

Airen terkejut apabila melihat papanya keluar dari kereta kemudian rebah di atas jalan. Airen tanpa berlengah keluar dari bilik.

"Mama!!! Papa kat luar!" Airen menjerit memanggil mamanya.

"Mama!!! Ada yang tak kena dengan papa."

"What's wrong, Airen? Kenapa terjerit-jerit ni?"

Carissa keluar dari bilik dan terkejut melihat anaknya berlari menuruni tangga dalam keadaan cemas.

Carissa mengekori Airen keluar dari rumah. Dia turut berasa cemas walaupun tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku.

"Papa!!!"

Airen menjerit melihat papanya masuk ke kawasan rumah dalam keadaan terhuyung-hayang.

"Jangan bising, Ai... Nanti jiran dengar."

Bujang melarang anaknya menjerit. Dia tak mahu keadaannya itu mengejutkan jiran tetangga. Mujurlah rumahnya agak jauh dengan jiran lain.

"Kenapa ni, papa? Siapa tembak papa ni?" Carissa turut terkejut. Dia mula menangis melihat keadaan suaminya walaupun bukan pertama kali dia berdepan dengan keadaan sebegitu.

Hati isteri mana yang tidak cemas jika suami pulang dalam keadaan pakaian dibasahi darah.

"Mama... Mama jangan panik. Call Doktor Albert! Suruh dia datang cepat. Dia tahu apa nak buat."

Bujang mengarahkan isterinya menelefon doktor peribadi mereka. Sejak dulu lagi, jika berlaku situasi begitu, Albert yang akan mengeluarkan peluru dari badannya.

Orang seperti dia dan Ah Kwan, jika menerima kecederaan begitu, hospital bukanlah pilihan terbaik. Jika mereka ke hospital, pasti kes akan dirujuk kepada pihak polis. Mereka tidak mahu terlibat dengan polis kerana jenayah mereka pasti dapat dihidu.

"Kita ke hospital aja, papa... Teruk sangat ni." Carissa kelihatan begitu risau. Dia dan Airen segera memapah Bujang masuk ke dalam rumah.

"Tak payah aku kata. Ini bukan kali pertama. Lagi teruk daripada ni pun pernah. Cepat call Albert! Dia tahu nak keluarkan peluru ni... Tak dalam mana pun."

Bujang terbaring lesu di atas sofa. Dia tak peduli darah yang membasahi perabot itu. Wajahnya semakin pucat.

Carissa segera menelefon doktor dan meminta datang segera. Airen pula bergegas ke dapur untuk mengambil air dan kain. Dia mahu membersihkan darah yang membasahi tubuh ayahnya itu.

"Albert datang secepat mungkin," beritahu Carissa. Dia membantu suaminya menanggalkan jaket dan kemeja yang sudah basah dengan darah.

Dia perlu segera menghentikan pendarahan sementara menunggu Albert sampai.

"Siapa yang tembak papa?"

"Orang Keong... Aku pun tak tahu apa salah aku kat dia!" Bujang rasa sakit hati. Dia teringat salam yang disampaikan pemuda Melayu yang menembaknya.

Siapa pula Tuah yang dimaksudkan? Apa pula kaitannya lelaki itu dengan Keong?

"Papa okey ke?" Carissa risau melihat keadaan suaminya.

"Okey... Mama jangan cemas... Macam tak biasa," Bujang masih sempat ketawa dan berseloroh.

"Dah lama papa tak balik dalam keadaan macam ni... Dah cuci tangan pun papa masih kena tembak macam ni. Manalah mama tak risau..."

"Carissa... Abang minta maaf sebab sepanjang jadi isteri abang... Awak selalu berdepan keadaan macam ni..."

"Syhhh... Abang rehat aja. Jangan banyak bercakap."

Ketika itu Airen sudah muncul bersama kain dan air suam. Dia lihat mamanya sedang menyeka air mata. Airen ketap bibir. Dia sendiri tak tahu kenapa ayahnya dalam keadaan begitu. Dia perlu segera memberitahu Long supaya lelaki itu segera pulang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co