Truyen3h.Co

Mr Anonymous

"Kak Mas, tak apa. Biar Isya kemas barang-barang ni." Aku menahan Kak Mas yang turut mengikut aku ke dapur.

"Eh, tak apa ke?"

"Tak apa. Akak pergilah tolong Kak Win." Aku boleh kemas semua barang-barang yang aku beli sebentar tadi.

Kak Mas tersenyum.

"Okey, akak pergi dulu. Susun elok-elok ya."

"Beres." Tak ada masalah pun bagiku. Memang selalu aku kemas jika aku yang belikan barang-barang dapur untuk Pusat Jagaan Al-Husna.

Bahan-bahan kering aku masukkan ke dalam stor. Tiga beg plastik yang penuh dengan bahan-bahan basah aku bawa ke atas meja di tepi peti ais.

"Assalamualaikum."

"Ya Allah." Terkejut aku jadinya. Habis terlepas beg plastik sayur bayam yang tadi dalam peganganku.

Aidil tergelak besar. Aku sudah memandang tajam dia yang berada di sebalik tingkap.

"Terperanjat ek?" katanya sambil kedua-dua belah tangan memegang grille besi yang dipasang pada tingkap.

"Apa pasal berdiri aje kat luar tu? Nak jadi maling?" Aku cekak pinggang. Dahlah mungkir janji dengan aku, sekarang nak terperanjatkan aku pula.

"Haah... Sebab nak curi hati awak."

"Eh... Tak payah nak jiwang karat sangat." Terus aku bongkokkan badan dan mengambil plastik sayur bayam yang terjatuh ke atas lantai. Nasib baik sayur berada di dalam plastik dan tidak terkeluar, jika tidak pasti aku terpaksa mendengar Kak Win membebel tentang amalan sanitasi. Jenuh pula telinga aku nak menadah nanti.

"Marah ke?" Dia menjenguk aku di bawah.

Aku mendongak memandangnya, kemudian aku terus bangun.

"Awak rasa?" Aku pulangkan soalan itu padanya.

"Sorry." Dia buat muka comel.

Eleh, ingat aku nak terpengaruh ke dengan muka comel dia tu.

"Tak nak." Aku terus susun bahan-bahan basah di dalam peti sejuk, Aidil yang berada di luar tidak lagi aku hiraukan.

Padanlah muka, dah janji nak teman aku pergi beli barang untuk Al-Husna hari ini, boleh pula dia mungkiri. Dahlah tak bagi tahu aku, buat aku tunggu dia selama sejam. Sekurang-kurangnya bagilah pesanan ringkas padaku. Sekarang tiba-tiba terpacak kat sini minta maaf.

"Tak apalah, tak nak maafkan. Saya berdiri kat sini ajelah sampai bila-bila." Merajuklah tu kononnya. Terus dia tarik muka masam.

"Tak payah nak merajuk sangat. Sepatutnya saya yang merajuk tau. Awak dah janji dengan saya tapi bukannya awak nak tunaikan." Aku luahkan juga rasa hati, dia ni bukan jenis cuba nak memahami sendiri, kena aku bagi tahu terus, tak boleh selok-belok, baru dia akan faham.

"Saya tahu ta..."

"Dah seminggu kita tak jumpa tau." Cepat aku mencelah sebelum dia habiskan ayatnya.

Wajah masamnya bertukar menjadi ceria.

"Rindulah tu, kan?"

Aku pula tarik muka masam. Lagi nak tanya. Kali terakhir aku jumpa dia masa dia hantar aku temu duga di Sekolah Seri Damai. Lepas tu, aku hanya menerima pesanan ringkas daripadanya.

"Okey, tunggu kejap." Dia bagi aku isyarat tangan supaya aku tidak bergerak ke mana-mana.

Aku biarkan sahaja, misi merajuk mesti diteruskan. Bagi dia rasa sikit.

"Alhamdulillah siap." Aku kumpul semua plastik yang tidak digunakan dan aku simpan dalam almari paling atas.

"Hai."

"Astaghfirullahalazim." Terkejut aku lagi jadinya, nyaris-nyaris nak terjatuh. Terus aku pusing ke belakang. Membulat mataku memandang Aidil, spontan kedua belah tanganku mencekak pinggang. Tak habis-habis nak buat aku terperanjat.

Aidil cuba menahan tawa dari terkeluar. Takut aku marah agaknya.

"Eee... Awak ni kan! Malaslah saya nak layan." Aku terus bergerak menuju ke bilik makan. Mentang-mentang dia sudah jadi sukarelawan tetap di pusat jagaan ini sama sepertiku suka-suka dia sahaja nak masuk dapur dan memeranjatkan aku sekali lagi.

Sampai sahaja di ruang makan, aku terus duduk di meja utama. Hidangan sarapan pagi masih lagi berada di atas meja. Banyak lagi yang tidak berusik. Tiba-tiba rasa lapar, tangan pun dah hampir nak menggigil. Pagi tadi aku memang tidak sempat nak bersarapan. Asyik menunggu Aidil sampai terlupa nak bersarapan dan merajuk punya pasal, aku terus keluar beli barang.

Belum sempat aku capai teko yang berisi kopi tangan Aidil sudah pun mencapainya. Dia senyum dan terus duduk di hadapanku. Kopi dia tuangkan ke dalam cawan dan dia letakkan di hadapanku. Pinggan pula dicapainya. Mi goreng basah diletakkan ke atas pinggan, yang pastinya untukku.

"Macam dah sejuk, nak saya panaskan tak?" Pinggan yang sudah siap berisi mi tidak jadi diberikan padaku.

"Pandai ke pegang kuali dengan sudip?" Aku capai terus pinggan di tangannya. Nak harap dia ke dapur memang taklah. Bukan baru setahun dua aku kenal dia.

Dia tersengih.

"Marah lagi tak?"

"Marahlah." Aku suap mi ke dalam mulut. Malas nak layan lebih-lebih. Baik layan perut yang tengah berlagu lapar.

"Sorrylah, saya bangun lambat. Tu yang tak sempat nak jumpa awak pagi tadi. Malam tadi saya balik lambat. Busy sangat. Banyak kerja nak kena siapkan sebelum hujung bulan ni."

"Kenapa nak cepat sangat siap semua kerja?" Macam pelik pula nak kena siapkan cepat-cepat semua kerja.

"So, tak marah lagilah, kan?"

"Isy..." Geram pula aku. Takkanlah bila dia sudah minta maaf aku tak nak maafkan? Lagipun alasan dia tu, bolehlah diterima pakai. Dan selalunya kalau Aidil dah minta maaf memang hati aku sudah terpujuk untuk maafkan.

"So, awak dah maafkanlah, kan? Okey, barulah saya boleh makan dengan berselera." Terus dia senduk mi ke atas pinggan untuknya. Bukan main berselera dia makan.

"Belum sarapan lagi ke?"

"Belum, lepas terjaga terus teringat janji saya dengan awak jadi lepas siap-siap saya terus datang sini." Makin laju suapannya.

"Lain kali tak payahlah nak tergesa-gesa sangat. Makanlah dulu. Nanti perut tu masuk angin."

"Okay, madam." Dia bagi tabik hormat padaku.

"Amboi, seronok berborak." Kak Win duduk di sebelahku.

"Berborak dengan Isya memang seronok." Bukan main melangit pujian Aidil untukku. Aku sudah tersipu malu.

"Dah habis makan dan berborak belum? Akak nak minta tolong kau betulkan bangku kayu kat taman bunga Mak Cik Hani tu. Kalau kau tak buat, silap-silap Mak Cik Hani yang angkat tukul nanti."

Bangku di taman Chik Hani rosak ke? Tak perasan pula, padahal aku menunggu Aidil di taman mini itu tadi. Kak Win dan semua penghuni di sini sudah menggelarkan taman mini itu sebagai Taman Mini Chik Hani. Sebabnya? Sebab dari mula dia mendaftar ke pusat jagaan ni dia yang menjaga taman itu. Sebelum ini bukan main susah bunga-bunga nak tumbuh di taman itu. Kalau tumbuh pun sekejap aje jangka hayatnya. Tapi bila kena dengan air tangan Chik Hani, subur jadinya bunga-bunga di sana.

"Okey, kak. Dah siap makan." Dia habiskan kopi di dalam cawannya sebelum bangun.

"Awak balik nanti saya hantar, okey?" katanya padaku sebelum berlalu.

"Eh, awak. Saya bawa keretalah!" Terpaksa aku jerit kerana dia sudah makin jauh melangkah.

"Tak kira, saya nak hantar juga." Dia turut menjerit, namun langkah tetap diteruskan.

Isy, degil sungguh!

"Isya, eh Isya..."

Aku berpaling memandang Kak Win. Dia pandang sekeliling sebelum memandangku semula. Kerusinya dirapatkan pada kerusiku.

Aku menjarakkan badanku darinya, pelik sebenarnya dengan perangai dia hari ini.

"Dah kenapa akak ni?"

"Marilah sini." Dia menarik tanganku mendekatinya. Aku ikutkan sahaja.

"Akak ada cerita nak cerita kat kau."

Cerita? Wow, nampak macam menarik. Sebab tu Kak Win nampak tak keruan macam ni. Baru dua minggu aku tidak menjejakkan kaki ke sini sudah ada cerita yang menarik ke? Maklumlah sudah masuk semester akhir, sibuk dengan kertas kerja. Lagi beberapa bulan aku akan bebas.

"Cerita apa, kak?"

"Pasal Chik Hani."

"Chik Hani? Kenapa dengan Chik Hani?" Kalut aku menyoal.

Aku kalau pasal Chik Hani memang aku agak teruja, sebab dalam kebanyakan penghuni di sini memang dia yang paling rapat dengan aku. Mula-mula memang susah untuk aku rapat dengannya, pelbagai teknik aku gunakan. Pelbagai plan aku rancang dari plan A sampai plan Z. Dan plan yang paling berjaya adalah plan menjadikan Chik Hani guru mengajiku. Sejak itu dia sudah boleh menerima aku seratus peratus.

"Anak Mak Cik Hani datang sini jumpa dia," bisik Kak Win perlahan di telingaku.

"Apa?!" Terbangun aku jadinya.

"Isy, kau ni pun janganlah jerit-jerit. Duduk." Kak Win menarik tanganku, aku terduduk semula.

"Lelaki ke perempuan anak Chik Hani?"

"Lelaki."

Dadaku sudah naik turun menahan marah. Nak buat apa budak tu datang sini?

"Nak apa jumpa Chik Hani?" Otak aku ligat mencari alasan yang munasabah kenapa dia mahu berjumpa ibunya yang sudah lama dilupakan.

"Katanya..."

"Hah, ni mesti pasal harta. Nak tanya pasal harta Chik Hanilah tu. Lepas dah dapat harta nanti, lepas macam tu aje. Tinggalkan Chik Hani kat sini se..."

Pap! Satu pukulan hinggap di bahuku.

"Aduh, sakitlah kak." Aku usap bahuku yang perit menerima pukulannya.

"Kau tu sedap mulut aje mengata orang, kan? Mana kau tahu niat dia sebenarnya? Main bantai aje mengata orang. Mana tahu niat dia baik. Suka sangat fikir yang buruk-buruk."

Huh, macam mana nak fikir yang baik-baik dengan orang macam tu?

"Can't help to not think bad." Sinis aku luahkan.

"Kita tak boleh macam tu, Isya. Kita tak tahu apa masalah yang sebenarnya antara Mak Cik Hani dengan anak dia tu. Kita tak boleh tuduh bukan-bukan kalau kita tak tahu masalah yang sebenarnya. Mak Cik Hani pun selama ni tak pernah bercerita pasal anak dia kat kita, kan? Kenapa Mak Cik Hani tiba-tiba datang sendiri ke sini pun kita tak tahu, kan?" panjang Kak Win membebel.

Memanglah Chik Hani tak pernah bercerita pasal itu semua selama ini. Tak pernah sekali pun. Kalau aku bertanya berjuta kali pun, berjuta kali itu jugalah dia akan mendiamkan diri dan terus mengalih cerita lain. Tapi, tak perlu dia bercerita kita sudah dapat mengagak apa yang berlaku. Kalau anak dia tu anak yang baik takkan dia biarkan emak kandungnya sendiri berada di pusat jagaan ini? Betul tak?

"Habis tu dia nak buat apa datang sini?" Lepas kena tazkirah dengan Kak Win aku lembutkan sikit soalan. Ikutkan hati memang aku nak terjah soalan yang pedas-pedas, walaupun tuan punya badan tak ada depan mata.

"Dia nak bawa Mak Cik Hani balik. Dia nak jaga Mak Cik Hani." Sayu betul nada Kak Win bercerita.

"Ala... Apa pasal tiba-tiba nak tunjuk baik? Nak jaga konon. Kalau dapat kat sayalah dia tu, saya tenyeh-tenyeh mu..."

"Kau ni kan Isya, emosi terlebih sangat kenapa?" Aduhai, sekali lagi Kak Win menyampuk sebelum aku habiskan ayat aku.

"Tak adalah, tiba-tiba aje nak buat baik. Macam tak logik aje. Macam tak boleh dipercayai. Macam ada udang di sebalik batu." Itu yang aku rasa.

Yalah, sudah tujuh tahun Chik Hani di sini baru nak datang. Sebelum ni ke mana tercampak?

Tiba-tiba aku terfikir sesuatu.

"Habis, Chik Hani macam mana? Setuju ke ikut anak dia tu?" Aku ajukan soalan yang mendatangkan resah padaku. Kalau Chik Hani setuju, aku sangat-sangat tidak setuju. Sebab aku risaukan Chik Hani. Entah macam mana anak dia layan dia nanti. Isy... Memang susahlah aku nak percaya anak dia tu.

"Mak Cik Hani tak nak. Masa anak Mak Cik Hani sampai, dia jumpa akak dulu. Bincang dengan akak. Lepas tu akak panggil Mak Cik Hani masuk pejabat. Mak Cik Hani nampak aje anak dia, terus berdesup orang tua tu masuk bilik dia. Puas akak dengan anak dia ketuk pintu panggil. Dia tak nak keluar juga."

Aku menarik nafas lega. Hilang semua rasa risauku tadi. Padan muka, biar dia rasa pula bila mak dia tak pedulikan dia lagi. Barulah buku bertemu ruas.

"Akak macam kesianlah kat anak dia tu."

"Eee... Nak kesian apa dengan orang macam tu? Kak... Dia biarkan mak dia daftar diri sendiri kat pusat jagaan orang tua ni tau. Tujuh tahun kak, dia biarkan mak dia. Duit setiap bulan pusat jagaan ni pun mak dia keluarkan duit sendiri. Dia satu sen pun tak bagi. Akak kalau ya pun baik hati, agak-agaklah." Memang aku tak boleh terima ayat Kak Win. Apa ke hal nak kesian dengan anak Chik Hani? Baik kesian dengan Chik Hani. Derita dia kita mana nak tahu. Perasaan ibu yang terluka mana kita dapat rasa.

"Ala, kau ni. Akak kesian juga dengan Mak Cik Hani tu. Tapi dalam masa yang sama akak kesian juga dengan anak dia tu. Anak dia tak adalah cerita lebih-lebih tapi dari kesungguhan kali pertama dia jumpa akak sebab nak bawa mak dia balik tu, akak boleh nampak keikhlasan yang terpancar kat wajah dia."

Tersedak aku jadinya. Keikhlasan yang terpancar kat wajah dia? Ya ke? Ke Kak Win yang lembut hati? Mentang-mentang anak Chik Hani tu lelaki. Bukan main lagi ya. Bagi tahu Abang Han nanti baru tahu. Sempat juga aku membebel tapi hanya dalam hatilah.

"Isya tahu, sejak dia datang sini dua minggu lepas sampai ke hari ni. Setiap pagi dia tak pernah jemu datang sini tau nak jumpa Mak Cik Hani. Cuma itulah, Mak Cik Hani tak nak jumpa dia. Setiap kali anak dia datang, setiap kali tu jugalah dia berkurung dalam bilik. Tu yang akak kesian dengan anak dia tu."

Bukan main simpati lagi Kak Win dengan anak Chik Hani.

"Eh kak, Chik Hani mana? Rasanya masa orang lalu tadi tak nampak pula Chik Hani kat tempat favourite dia." Dari aku sampai tadi aku dah pelik sebab Chik Hani tak duduk di tepi tingkap di ruang utama seperti kebiasaannya.

"Ada dalam biliklah tu. Dia memang dah jarang duduk tepi tingkap tu."

"Oh, orang nak pergi jumpa Chik Hanilah. Tak kuasa orang nak bercerita pasal anak Chik Hani tu, huh."

Aku terus bangun, dari melayan rasa kesian Kak Win pada anak Chik Hani tu baik aku berbual dengan Chik Hani. Lebih banyak faedah.

Entah macam manalah keadaan Chik Hani sekarang ni. Mesti dia tengah tertekan. Baik aku pergi tolong mengurangkan tekanannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co