Truyen3h.Co

Mr Anonymous

"Wei, sini!" jerit Zaini dan Nora padaku yang baru sahaja melepasi pintu kaca White Cafe.

Mataku membulat memandang mereka berdua yang duduk di samping dua kawanku yang lain. Aku ketap bibir dan menarik nafas sedalam mungkin. Suka hati dia saja mahu menjerit di tempat awam sebegini. Nampak sangat tidak beretika. Langkahku makin perlahan menuju ke meja yang berada paling tengah. Terasa jauh benar meja itu dengan diriku apabila semua mata pelanggan di situ memerhatikanku setelah mendengar jeritan Zaini dan Nora.

Terpaksa juga aku memaniskan wajah dan melontarkan senyuman pada semua pelanggan yang memandang, sebagai tanda meminta maaf akan sikap rakan-rakanku yang kurang kesedaran sivik.

"Cepatlah!" jerit Nora lagi.

Aku sudah hilang sabar. Terus sahaja mataku memandang Nora. Aku tunjukkan penumbukku padanya.

Mulutku sudah membebel tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Sakit dalam hati terpaksa diluahkan dengan cara begitu. Sampai sahaja di meja nanti tahulah aku nak bahasakan mereka berdua.

Aku terus duduk berhadapan dengan Nora apabila sampai ke meja. Ingin sahaja aku cekak kolar bajunya, namun aku sabarkan diri kerana masih ada mata-mata yang memerhati setiap tingkah kami di meja.

"Kau orang berdua ni boleh tak sopan sikit? Terjerit-jerit macam beruk masuk kampung ni kenapa? Kau ingat ni kafe uni kita ke?" kataku perlahan pada mereka tapi mataku masih memandang pelanggan yang tetap memandangku dan Nora. Aku lebarkan senyuman pada pasangan yang berada di sebelah meja kami. Hanya mata mereka yang tidak henti-henti memerhati.

Melihat tindakanku, Nora turut tersenyum pada mereka sambil menundukkan sedikit kepala tanda memohon maaf. Dan kini barulah mereka meneruskan perbincangan mereka yang tergendala tadi. Aku mengerling memandang meja mereka. Banyak sungguh fail dan kertas di atasnya, mengalahkan mejaku sewaktu aku mahu menyiapkan assignment.

"Mana kita orang tak jerit? Dah kau tu lambat sangat kenapa? Bukannya lima minit. Sejam tahu kau lambat, mengalahkan labi-labi," rungut Nora.

Amboi, sedapnya bahasa. Ini yang membuatkan aku hendak mengungkit kisah lama.

"Ewah, bukan main marah nampak. Eh minah, ni baru kali pertama aku lewat tau. Yang selalu kau lewat tu ada kau fikir? Kadang-kadang sampai dua jam aku kena tunggu kau tau?" balasku namun masih cuba mengekalkan momentum suara agar tak keterlaluan.

Akhirnya Nora hanya mampu membalas kata-kataku dengan senyuman simpul. Aku tengah marah boleh pula dia tersenyum begitu?

"Aku lain." Dia sudah tersipu-sipu malu.

Pelik dengan tingkahnya itu aku terus bertanya. "Apa yang lainnya?"

Kawan-kawanku yang lain sudah tidak mahu ikut campur. Kalau aku dan Nora sedang bertegang urat memang mereka tidak akan masuk campur. Mungkin takut dengan mereka sekali kena bambu.

"Aku kalau lambat pun atas sebab munasabah."

"Apa sebabnya?"

"Sebab waktu tu aku tengah study dengan Mokhtar."

Tergelak sinis aku dibuatnya. Belajarlah sangat, bukan baru sehari dua aku kenal dia dengan Mokhtar, sudah bertahun. Kalau ke perpustakaan tu niatnya memang baik hendak belajar tapi bila sudah berjumpa berbual mengalahkan sudah bertahun tak berjumpa. Tapi kalau sudah bergaduh pula, macam nak runtuh perpustakaan jadinya.

"Ini kau punya study." Aku mengepal penumbuk ke arahnya.

Nora masih dengan senyumannya. Kalau sesiapa sebut sahaja nama Mokhtar atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Mokhtar memang begitulah jadi dirinya, angau tak mengira tempat.

Isy, geram betul aku dibuatnya. Tanpa sedar terus aku tertumbuk muka meja. Aku tersentak dengan tindakanku sendiri. Mujur bunyinya tidak sekuat mana. Mataku terus memandang pasangan di meja sebelah, mereka memandangku dengan pandangan tajam dan aku terpaksa membuka senyuman buat kali yang entah keberapa.

"Sorry, luar kawalan," kataku pada mereka. Mereka menggelengkan kepala seketika dan terus menyambung tugas mereka yang terbengkalai tadi.

Aku menarik nafas lega. Mataku terlihat meja di belakang pasangan ini. Seorang lelaki dengan sebuah akhbar yang sudah terlipat kemas di atas meja memandangku dengan senyuman sinis. Aku terpaksa membuka senyuman untuknya sama sambil mengangkat tangan memohon maaf padanya juga. Namun tiada balasan, dia masih lagi dengan senyumannya.

Sudahnya, aku kalih pandangan pada Zaini, tidak sanggup membalas pandangan Nora. Nanti tak pasal-pasal berlaku pertengkaran sekali lagi sekali gus memalukan diriku sendiri. Oh, aku tidak sanggup.

"Okeylah, terus pada tujuan asal kita ke sini. Pukul berapa nak jumpa businesswoman tu sebenarnya? Kenapa tak boleh jumpa kat pejabat dia aje? Kenapa nak kena jumpa kat sini? Kalau kat pejabat dia kan senang. Boleh kita ambil gambar operasi syarikat dia sebagai lampiran." Aku memang tidak berpuas hati sejak mereka kata temu bual akan berlangsung di sini. Apa yang susah sangat untuk berjumpa dengan usahawan kosmetik itu? Mengalahkan mahu berjumpa dengan perdana menteri pula lagaknya.

"Dah tu permintaan dia, ikutkan aje la." Ila yang berada di sebelah menjawab.

"Kenapa aku terasa macam kerek aje businesswoman tu ek? Kita cari businesswoman lain nak tak?" Saranan aku berikan. Sejak kali pertama aku menelefon usahawan wanita itu, aku sudah tidak berkenan. Hendak tidak hendak sahaja dia menjawab panggilanku. Nasib baiklah ini berkaitan dengan markah akhir semester, jika tidak... Sudah lama aku basuh dia cukup-cukup.

"Kau ada cadangan lain ke? Sempat ke nak deal dengan yang lain?" Zaini kurang yakin.

Menukar tajuk pada saat-saat akhir begini aku juga cuak. Tapi aku tidak rasa calon pertama kami itu akan memberi kerjasama yang baik.

"Insya-Allah sempat. Aku ada ambil beberapa nama usahawan kat Internet malam tadi." Beg galas aku buka, mencari buku nota kuningku. Puas aku geledah begku, namun masih tidak berjumpa dengan barang yang aku cari.

Aduh, mana pula perginya?

"Hai."

Aku tidak menoleh pada suara yang kuat menyapa. Mataku masih tekun mencari buku nota kuning. Ke mana pula perginya? Matilah kalau buku tu hilang. Semua daily note aku sepanjang semester ini aku catat di dalamnya. Satu kerja pula mahu menyalin yang baru. Mahu berpinar biji mata dibuatnya.

"Beb..." Ila cuba membisikkan sesuatu di telingaku.

Pantas aku menolaknya ke tepi.

"Kejaplah, buku aku hilang ni."

"Wei..." Ila masih menarik-narik bajuku, namun aku meneruskan pencarian.

"Ala..." Aku menghembuskan nafas kesal. Buku kesayanganku entah ke mana perginya. Aku angkat wajah dan memandang Ila.

"Buku aku hilanglah. Macam mana ni?"

"Isy kau ni, buku tu nanti-nanti boleh cari. Tu tengok tu, sebelah kau tu." Ila memuncungkan mulutnya ke arah sebelah kananku.

Aku menoleh ke sebelah kananku tanpa sebarang rasa. Melihat seorang lelaki berdiri tegak di situ membuatkan aku mendongak memandang wajahnya. Pantas aku menoleh ke meja di belakang pasangan yang sibuk berbincang. Lelaki tadi sudah tiada di tempat duduknya, tempat itu sudah kosong, cawan dan pinggan yang berada di atas meja tadi pun sudah siap dibersihkan. Kini aku alihkan bebola mata sekali lagi. Memandangnya semula. Surat khabar yang tersisip di celah lengannya membuatkan aku yakin dia lelaki yang tersenyum sinis padaku tadi.

"Hai."

Terkebil-kebil mataku memandangnya. Aku liarkan pandangan pada kawan-kawanku pula. Mana tahu mereka mengenali lelaki yang nampak penuh ramah mesra. Namun reaksi muka yang mereka tunjukkan menidakkan jangkaanku.

"Hai," sapanya lagi.

Kembali aku memandangnya dan menghalakan jari telunjukku pada diriku sendiri.

"Saya?" soalku.

Dia mengangguk laju. Kemudian dia memandang kawan-kawanku satu per satu.

"Sorry mengganggu, boleh saya bercakap dengan dia sekejap?" Dia meminta izin pada kawan-kawanku terlebih dahulu. Dan kawan-kawanku yang teramat baik hati mengangguk laju.

Setelah mendapat persetujuan dia terus memandangku.

"Ingat saya lagi?"

Aku memandangnya dari atas ke bawah kemudian dari bawah ke atas. Aku menggeleng.

"Tak. Kita pernah jumpa ke sebelum ni?" soalku.

Dia mengiakan. Dan sekali lagi aku memerhati dirinya dari atas ke bawah dan kali ini wajahnya kutenung lama. Betul ke pernah jumpa?

"Cepatnya lupa. Tahap IQ awak berapa, ya?"

Ewah, sampai mempersoal tahap kecerdasan minda aku pula. Ini sudah lebih.

"Ke IQ awak yang rendah sampai tak boleh nak bezakan dia yang sedang awak fikirkan sekarang ni, dengan saya?" balasku lembut tapi sengaja menyalakan api dalam hatinya.

Dia tersenyum lebar.

"Awak..." Dia menudingkan jarinya padaku.

"Dengan dia..." Dia menuding jari pada kepalanya pula. "Adalah orang yang sama," sambungnya.

"Maaf, rasanya awak salah orang."

Aku malas mahu memanjangkan cerita, lebih baik aku fikirkan mana aku letak buku kuningku. Habislah, sudahlah semua sumber rujukan untuk semua assignment semester ini aku catit di dalam buku itu. Memang masalah besar kalau buku itu hilang.

"Saya tak rasa saya salah orang."

Aku memaniskan rona wajah.

"Mungkin pelanduk dua serupa?" Aku sehabis daya membidas semua katanya. Aku yakin memang aku tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini.

"Tak mungkin." Dia tetap tidak mahu mengalah.

"Awak salah pandang kut."

Dia menggeleng.

"Deja vu?" Aku terus mengelak.

"Deja vu?" Dia tergelak kecil.

Aku keliru mendengar tawanya. Apa yang kelakarnya dengan perkataan deja vu? Atau dia tidak tahu makna deja vu?

Dia berdehem membetulkan suaranya seketika.

"Macam inilah..."

Dia mengambil surat khabar yang dipegangnya sedari tadi dan mengoyakkan bahagian tepi yang kosong tanpa sebarang tulisan.

"Ada pen?"

Dia menghulurkan tangannya padaku.

Beg yang terbuka luas tadi aku tutup rapat. Aku menggeleng kepala, sedangkan bekas penselku tersimpan kemas di dalam beg. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku perlu berbuat begitu?

"Saya ada."

Nora dengan baik hati menghulurkan pen miliknya. Aku membesarkan mata pada Nora. Suka sangat buat tindakan di luar dugaanku.

"Terima kasih."

Dia menyambut pen Nora dan menulis sesuatu di atas cebisan kertas surat khabar. Pen kemudiannya dikembalikan pada Nora dan cebisan kertas diserahkan padaku.

Melihat keenggananku menyambut pemberiannya, dia lantas meletakkan cebisan kertas itu di atas meja. Betul-betul di hadapanku.

"Balik nanti tenangkan fikiran, bayangkan muka saya dan fikir elok-elok. Lepas tu telefon saya."

Aku mengerling cebisan kertas yang diberikan. Memang tercatit nombor telefon tanpa nama di atasnya.

"Tengoklah kalau saya dapat ingat."

Aku ikutkan sahaja kerana aku yakin selepas ini aku tidak akan bertemu dengannya lagi. Dan yang paling aku yakin, aku tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini.

"Kalau tak dapat ingat pun boleh call saya. Nanti saya boleh bagi klu."

Klu pula? Pening kepalaku melayan kerenah lelaki ini. Jadi aku lemparkan senyuman yang nyata tidak ikhlas bersama anggukan kepala. Mengharapkan dia cepat berlalu apabila melihat reaksi balasku. Bukan aku sengaja tidak mahu melayan. Namun aku rasa perlu ada had antara aku dan dia memandangkan aku memang tidak mengenalinya. Keselamatan harus aku utamakan.

"Okey, saya minta diri dulu."

Aku menarik nafas lega. Akhirnya lelaki itu pergi juga. Namun rasa legaku tidak lama kerana tidak sampai beberapa saat dia berpatah semula.

"Kalau terasa nak jadi bidan terjun sekali lagi. Saya sedia berkhidmat," katanya sebelum terus meninggalkanku dengan senyuman lebar.

Bidan terjun? Pantas aku berpaling memandangnya.

"Abang nurse?" lonjak suaraku perlahan sambil memandangnya yang makin menjauh.

"Siapa abang nurse?" tanya Nora.

Aku mengangkat telunjukku pada lelaki yang sudah melepasi pintu kaca. Macam mana aku boleh lupa? Oh, kejam terasa...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co