Bab 12
Jam menunjukkan pukul 4.21 petang sewaktu bas yang dinaiki Dhira tiba di Melaka Sentral. Turun sahaja dari bas, gadis itu terus membawa dirinya ke bahagian bas domestik. Laju sahaja gadis itu mengayunkan langkah menuju ke arah bas Panorama Melaka.
Pandangan dilemparkan ke arah luar tingkap sepanjang perjalanan ke rumah Puan Marlina. Ralit matanya memerhatikan suasana di negeri kelahirannya. Sesekali kenangan bersama Anas menerjah ruang minda sewaktu melewati kawasan yang pernah menjadi tempat mereka menyulam perasaan.
Enam tahun sudah berlalu sejak pemergian lelaki itu. Dia sudah pun reda dan bisa menerima suratan takdir. Namun kenangan bersama lelaki itu masih kuat dalam ingatan. Kenangan manis dan juga kenangan pahit. Kenangan-kenangan itu merupakan memori yang terindah buatnya.
Loceng bas ditekan sebaik sahaja bas yang dinaikinya sudah menghampiri Kampung Lereh. Beg galas yang berisi pakaian dicapai sebelum dia turun dari bas. Gadis itu akan bermalam di rumah Puan Marlina. Sudah dua kali Dhira bermalam di rumah wanita itu. Setiap kali dia datang melawat, pasti Puan Marlina menegahnya dari balik ke Kuala Lumpur semula. Sanggup Puan Marlina belikan tiket bas yang baru semata-mata mahu dia bermalam di rumah wanita itu.
Dhira mengorak langkah ke rumah Puan Marlina yang tidak jauh dari jalan utama. Santai sahaja langkah gadis itu. Tidak tergesa-gesa. Empat buah kereta tersadai di pekarangan rumah Puan Marlina. Dua buah daripadanya milik Encik Daud dan Mimi. Sebuah kereta Honda CR-V berwarna hitam menarik perhatian gadis itu. Kereta itu mengingatkannya pada Zafran. Jenis dan warna kereta Zafran sama dengan kereta di hadapan rumah Puan Marlina.
Namun, mana mungkin kereta itu milik Zafran. Macamlah lelaki itu seorang sahaja yang memakai kereta Honda CR-V berwarna hitam di dunia ni.
Rumah Puan Marlina kelihatan sunyi. Pintu rumah tertutup rapat. Pelik. Dhira memberi salam. Sepi. Sekali lagi dia menghulurkan salam tetapi sama seperti tadi, salamnya tidak bersambut. Mata mula meninjau-ninjau sekeliling. Perlahan-lahan Dhira melangkah ke kebun di tepi rumah Puan Marlina. Manalah tahu petang-petang ni, mereka sekeluarga ambil angin di kebun. Mustahil pula mereka tiada di rumah memandangkan kedua-dua kereta tersadai di garaj. Siap ada tambahan dua buah kereta lagi. Pasti tetamu Puan Marlina.
Senyuman terukir di bibir. Tepat tekaannya. Langkah dipercepatkan.
"Assalamualaikum," ucap Dhira sedikit kuat.
"Patutlah Dhira bagi salam, tak ada siapa sahut. Semua kat sini rupa-rupanya," omel gadis itu sambil mendekati Puan Marlina sekeluarga.
Seorang lelaki berbaju T dan berseluar pendek paras lutut menoleh ke belakang apabila terdengar suara orang memberi salam. Serentak, pandangan mereka bertaut. Dua-dua terkaku. Parang di tangan lelaki itu hampir terlepas.
"Waalaikumussalam. Sampai juga Dhira... Lama mama tunggu. Kenapa tak beritahu dah sampai? Boleh mama suruh Mimi pergi ambil Dhira."
Dhira tidak memberi sebarang respons. Matanya masih lagi terpaku pada seorang lelaki yang sedang berdiri di bawah pokok belimbing. Mulut gadis itu sedikit ternganga.
Puan Marlina mula berasa pelik. Dia menoleh ke arah anaknya. Dua-dua saling berpandangan sebelum menjongketkan bahu masing-masing. Pandangan Puan Marlina kemudian dihalakan ke arah dua figura yang sedang berpandangan sesama sendiri. Silih berganti.
"Kamu berdua dah kenal ke?" tanya Puan Marlina mula mengesyaki sesuatu.
Dhira tersentak. Kembali ke dunia nyata. Matanya dilarikan ke arah Puan Marlina. Bibirnya bergerak-gerak tetapi tiada bicara yang terluah. Gadis itu kelihatan teragak-agak.
"Errr... Dia klien Dhira," balas Dhira kemudian dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Puan Marlina.
"La... Jadi selama ni Dhira dah kenal Ali rupa-rupanya. Kecilnya dunia. Tak sangka kamu berdua dah kenal."
Dhira tersenyum kecil. Dia cuba menghalang dirinya daripada memandang lelaki yang dipanggil Ali oleh Puan Marlina. Gadis itu masih lagi terkejut melihat Zafran di situ. Lupa pula nama penuh lelaki itu Zafran Ali bin Zainal.
"Mama kata ada buat makan-makan satu kampung malam ni. Tapi tak nampak macam ada makan-makan pun," ucap Dhira sebelum melabuhkan duduknya di atas pangkin.
Puan Marlina tersengih. Memang dia sengaja beritahu Dhira dan Ali sebegitu. Malah dia tidak memberitahu Dhira yang dia menjemput Ali. Begitu juga sebaliknya. Selama ni, kalau dia sebut nama Dhira, pasti Ali tak akan muncul di rumahnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Ada sahaja alasan yang diberikan lelaki itu.
Dhira pula... bila dia sebut Ali nak datang rumah, terus gadis itu batalkan plan untuk ke rumahnya. Takut sangat dia kenenkan mereka berdua. Sudahnya, dia pun buat rancangan makan-makan untuk temukan mereka. Tidak sangka pula mereka berdua saling mengenali.
"Makan-makan tu belah malam. Tapi makan-makan dengan anak-anak mama aje. Saja mama nak kumpulkan anak-anak mama. Biar meriah sikit rumah ni. Malam nanti, kita buat barbeque," kata Puan Marlina bersahaja.
"Kak... Lelaki yang tengah kais sampah tu, tunang Mimi. Haliq," beritahu Mimi memperkenalkan tunangnya.
Haliq dan Dhira berbalas pandangan. Senyuman terukir di bibir masing-masing.
"Hai... Akhirnya dapat juga kita berjumpa," tutur Dhira dengan nada mendatar dari tempatnya. Malas nak bergerak.
"Dah lama ke Dhira sampai Melaka?" tanya Encik Daud yang sedang menabur baja di sekeliling pokok.
"Baru aje, pak cik. Dhira terus ke sini. Tak ada pergi mana-mana."
"Kenapa tak beritahu dah sampai? Boleh mama suruh Mimi ambil Dhira." Puan Marlina mengulangi pertanyaannya.
Dhira kuntum senyum.
"Tak apalah. Saja Dhira nak buat surprise."
Tapi Dhira pula yang dapat surprise. Gadis itu menyambung bicaranya dalam hati sambil melirik ke arah Zafran. Rasa mahu sahaja dia meluru ke arah lelaki itu dan menghamburkan segala tanda tanya yang menerjah ruang mindanya. Namun dia sabarkan hati. Takut kecoh pula jadinya. Sabar, Dhira. Sabar. Banyak lagi masa.
Riuh halaman rumah Encik Daud dan Puan Marlina malam itu dengan gelak tawa mereka sekeluarga. Puan Marlina yang sudah hampir kekenyangan menghalakan pandangan ke arah Zafran. Sedari tadi lelaki itu sibuk memanggang. Belum menjamah apa-apa. Padahal Encik Daud dan Haliq sudah bergilir-gilir membantu Zafran.
"Ali... marilah makan. Nanti sejuk pula ikan bakar tu," ucap Puan Marlina sedikit kuat agar didengari Zafran.
Zafran kalih pandang. Masih cuba menghindari pandangan Dhira.
"Tak apalah, ma. Makanlah dulu. Nanti Ali makan."
Haliq bingkas bangun lalu menuju ke arah Zafran. Bahu Zafran ditepuk.
"Pergilah makan. Biar aku pula yang handle sini."
Zafran telan liur. Lambat-lambat dia menuju ke meja makan di luar rumah. Dalam keadaan terpaksa, lelaki itu duduk di hadapan Dhira memandangkan hanya tempat itu sahaja yang masih kosong. Sejak petang tadi dia cuba jauhkan diri serta pandangan dari Dhira tetapi kini dia terpaksa duduk berhadapan dengan gadis itu.
"Hulurkan ikan dengan ayam tu pada Ali, Dhira," pinta Puan Marlina.
Dhira terkesima. Namun begitu, dia tetap menghulurkan ikan pari dan seketul ayam kepada Zafran. Buat sesaat, mereka berbalas pandangan.
"Mimi nak teman Haliq bakar daging," tutur Mimi seraya bangkit dari duduknya lalu mendekati tunangnya.
"Mama nak ke dapur kejap. Buat air. Air pun nak dekat habis. Jom bang. Tolong Lina ketuk ais," ajak Puan Marlina.
Laju sahaja wanita itu mengangkat punggung lalu meninggalkan Dhira berdua dengan Zafran. Sengaja dia tinggalkan mereka berdua. Beri ruang. Macam dia tak perasan ada sesuatu yang tak kena antara mereka berdua. Tajam betul mata Puan Marlina.
Suasana di meja makan menjadi sepi setelah Dhira ditinggalkan berdua dengan Zafran. Pandangan mata gadis itu dihalakan ke arah Zafran. Sudah lama dia mencari peluang untuk berdua dengan lelaki itu. Masanya sudah tiba. Masa untuk dia lontarkan segala pertanyaan yang berlegar dalam fikiran.
Dhira membersihkan tekaknya.
"Ali," sebut Dhira sepatah. Keningnya terjongket sedikit apabila mata mereka bertaut.
"Mama selalu cerita pasal anak angkat baru dia, Ali. Sejak bila pula awak guna nama kedua awak?" soal Dhira bersama nada yang mendatar. Tidak sinis. Tiada unsur perli. Tiada unsur sindir. Gadis itu menggunakan kata ganti nama saya-awak seperti waktu dahulu. Tiada lagi I-you. Mungkin kerana mereka tidak lagi berurusan pasal kerja.
"Mama yang nak panggil Ali. Dia kata klasik," balas Zafran tanpa memandang Dhira.
Suasana kembali sepi. Dhira berpuas hati dengan jawapan Zafran. Lama kemudian, dia melontarkan soalan yang kedua.
"Kenapa?"
Zafran menghela nafas perlahan. Meskipun soalan gadis itu kurang jelas, Zafran tahu apa yang dimaksudkan Dhira. Air sirap diteguk. Kemudian dia menghalakan pandangan ke arah Dhira. Bersedia untuk menjawab segala pertanyaan gadis itu. Dia tahu dia tidak boleh larikan diri dari gadis itu. Buat seketika, mereka saling berpandangan tanpa sebarang bicara.
"Sebab rasa bersalah."
"Dia orang tahu siapa awak sebenarnya?"
Kepala Zafran digeleng perlahan.
"Saya kenal dengan mama secara kebetulan."
"Kenapa rasa bersalah?" Soalan itu sengaja dilontarkan.
Zafran tidak segera memberikan jawapan. Dhira ditenung. Gadis itu membalas renungan Zafran tanpa rasa gentar.
"Sebab kematian anak mama ada kaitan dengan saya," tutur Zafran dengan nada yang tenang. Dia masih lagi merenung Dhira. Soalan gadis itu dijawab dengan jujur.
Dhira menjatuhkan pandangan. Matanya tertancap pada parut di lengan kiri Zafran. Serta-merta ingatannya teringatkan peristiwa lalu. Timbul rasa bersalah dalam dirinya.
"Parut dekat lengan awak tu..." Dhira kembali memandang Zafran sebelum menyambung bicaranya.
"Disebabkan saya, kan?"
Lengan Zafran di atas meja terus diturunkan. Tidak mahu Dhira melihat parut itu. Dia tidak sedar gadis itu memerhatikan parutnya. Mata Zafran dilarikan ke arah lain. Tidak mampu menentang pandangan gadis itu. Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan. Kemudian dia memberanikan diri untuk memandang Dhira.
"Saya tak rancang semua ni. Saya tak rancang untuk libatkan diri saya dengan keluarga kekasih awak. Saya tak rancang pertemuan kita. Saya minta maaf kalau awak rasa tak selesa. Saya janji lepas ni saya tak akan berhubung dengan keluarga ni lagi dan awak tak akan jumpa saya lagi. Saya minta maaf sebab tak dapat penuhi permintaan awak."
"Permintaan yang mana?" Tenang sahaja nada suara Dhira. Matanya menentang pandangan redup Zafran.
"Jangan muncul depan awak lagi."
Dhira menelan liur. Bibir diketap perlahan. Lelaki itu masih ingat lagi permintaannya sedangkan dia sendiri sudah lupa. Nafas dihela berat.
"Awak tak perlu putuskan hubungan dengan keluarga ni. Mama sayangkan awak. Dan saya yakin dia masih boleh terima awak kalau dia tahu siapa awak sebenarnya. Sebab dia tak pernah salahkan sesiapa atas kematian Anas. Semuanya sudah tertulis. Sudah sampai ajal arwah. Bukan salah awak. Bukan juga salah saya," tutur Dhira yang sudah bisa menerima ketentuan takdir.
Jari-jemari digenggam. Seolah-olah mencari kekuatan untuk meneruskan bicaranya. Mungkin ini waktu yang sesuai untuk dia meluahkan apa yang terpendam.
"Zaf..." Lembut gadis itu memanggil Zafran. Matanya terhala tepat ke laman wajah lelaki itu.
"Saya nak minta maaf. Apa yang saya buat kat awak... Tersangatlah teruk. Sampai saya tinggalkan parut kat lengan awak. Saya minta maaf sebab salahkan awak atas kematian Anas, hina awak, cederakan awak... Saya lepaskan..."
"Dhira, please..." Zafran memotong bicara Dhira.
"Saya tak nak cakap pasal hal yang dah lepas."
"Tapi saya..."
"Dhira."
Sekali lagi Zafran mematahkan bicara Dhira. Kali ini nadanya kedengaran tegas.
Terlepas keluhan dari bibir Dhira.
"Saya minta maaf."
Zafran tidak memberi sebarang respons. Dia diam dan kembali menjamah makanan yang masih berbaki tanpa sebarang suara. Dhira turut mendiamkan diri. Patah terus niatnya untuk meluahkan segala yang terbuku dalam hati. Zafran tidak mahu berbicara tentang kisah silam mereka dan Dhira menghormati permintaan lelaki itu. Sedar akan kesilapan yang pernah dia lakukan dahulu.
Pertemuan dengan Zafran di rumah Encik Daud dan Puan Marlina membuatkan Dhira susah melelapkan matanya. Minda gadis itu dipenuhi seraut wajah. Wajah siapa lagi kalau bukan wajah bekas suaminya. Satu per satu kenangan lalu terlayar di ruang minda, mengingatkan dia pada kebodohannya. Sungguh, dia malu. Malu dengan Zafran apabila terkenang kembali perbuatannya. Bodoh!
"Akak dah tidur ke?" soal Mimi di sebelahnya.
Dhira sedikit tersentak. Terkejut.
"Eh, akak ingat Mimi dah tidur."
"Tak boleh tidur."
"Teringatkan Haliq ke?" usik Dhira sambil mengiring menghadap Mimi. Kegelisahan dan keresahannya cuba diusir jauh. Tidak mahu hanyut dengan rasa bersalah yang berpanjangan.
"Yang akak tu, tak tidur lagi... Teringat Abang Ali ke?"
Terdiam Dhira dibuatnya. Tak pasal-pasal dia pula yang kena balik.
"Akak borak apa dengan Abang Ali tadi? Nampak serius aje. Takut Mimi nak kacau."
Dhira mengubah posisinya. Menghadap siling semula.
"Borak biasa aje."
"Yalah tu... Mimi tak percaya."
"Selalu ke Abang Ali tu tidur sini?" tanya Dhira ingin tahu.
"Tak adalah selalu. Tapi mama tu suka ajak Abang Ali tidur sini. Abang Ali tak sampai hati nak tolak. Bilik arwah along dah macam bilik Abang Ali dah," terang Mimi.
"Abang Ali tu baik, kak. Baik sangat. Mimi tak tahulah kenapa lelaki sebaik dia boleh jadi duda. Mama pernah tanya dia, tapi dia tak jawab. Dia perahsia sikit. Jarang cerita pasal hal peribadi dia."
Dhira tergamam. Sentap pula mendengar bicara Mimi. Abang Ali memang baik... Akak yang jahat, balas Dhira dalam hati.
"Dah lama ke mama kenal Abang Ali?"
Mimi mengangguk perlahan.
"Lama. Masa tu along baru aje pergi."
"Macam mana dia orang boleh kenal?"
"Dia orang jumpa kat kubur. Masa tu mama lawat kubur arwah along. Entah macam mana, mama pitam kat sana. Abang Ali yang jumpa mama dan bawa mama balik ke rumah," cerita Mimi tanpa mengesyaki apa-apa.
"Sejak tu, mama rapat dengan Abang Ali. Terus dijadikan anak angkat. Abang Ali tu umpama pengganti along."
"Of course tak ada siapa boleh ganti along. Tapi boleh dikatakan macam itulah. Sebab lepas jumpa Abang Ali, mama dah boleh terima pemergian along," tambah Mimi.
Cerita Mimi menimbulkan satu rasa aneh dalam hati Dhira. Rasa yang tidak pasti. Sukar diungkapkan. Hatinya sedikit tersentuh setelah mendengar cerita Mimi. Ya, memang tidak boleh dinafikan. Zafran memang seorang lelaki yang baik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co