Truyen3h.Co

1 Pengakuan 9 Luahan

Bab 13

karyaseni2u

Bungkusan nasi lemak di atas meja makan membuatkan mata Dhira membulat besar. Gadis itu kelihatan teruja. Laju dia melangkah ke meja makan.

"Wah... Nasi Lemak Lereh ya, ma?" soal Dhira seraya menarik kerusi yang masih kosong, menyertai Puan Marlina dan Mimi.

Anggukan Puan Marlina membuatkan Dhira kecur liur. Laju sahaja tangannya mencapai sebungkus nasi lemak.

"Dah lama Dhira tak makan Nasi Lemak Lereh ni, ma. Siapa yang beli?"

"Ali. Favourite dia juga ni," balas Puan Marlina yang hampir selesai bersarapan.

Pergerakan Dhira terhenti. Dia baru sahaja selesai membaca doa makan dan ingin menyuap suapan yang pertama ke dalam mulut. Mata gadis itu meliar memerhatikan sekeliling. Cuba mencari bayang Zafran.

"Mana yang lain? Sunyi aje. Tidur balik ke?"

"Dia orang joging kat Klebang, kak. Akak tu yang lambat bangun. Kalau tak, boleh kita join dia orang," omel Mimi.

Bibir Dhira terkatup rapat. Kemudian dia tersenyum malu. Sedar dirinya yang bangun lewat pagi itu. Pukul 10 pagi baru dia terjaga. Buat malu aje. Sudahlah menumpang rumah orang. Bangun lambat pula tu. Inilah padahnya kalau tidur balik lepas subuh. Konon nak tidur kejap. Siap kunci jam pukul lapan pagi, tapi tup-tup bunyi loceng pun tak dengar.

"Asal Mimi tak kejut akak?"

"Lena sangat Mimi tengok akak tidur. Tak sampai hati nak kejut. Mama pun tak kasi Mimi kejut akak."

"Pukul berapa Dhira tidur semalam?" Puan Marlina mengajukan soalan sebelum menyisip air kopi yang masih panas.

Dhira tidak segera memberikan jawapan. Bola matanya bergerak ke kiri dan ke kanan.

"Hmmm, dalam empat lebih. Tak boleh tidurlah, ma."

"La... Lepas kita borak semalam tu, akak tak tidur lagi ke? Habis tu, akak buat apa?"

Bibir Dhira dicebikkan.

"Golek sana golek sini. Tak tahu kenapa akak tak boleh tidur malam tadi. Puaslah akak paksa diri."

"Aik, selama ni boleh aje Dhira tidur masa kat rumah mama. Lepas jumpa Ali, terus susah nak tidur. Dah tersuka kat Ali ke? Tu yang sampai tak boleh tidur," usik Puan Marlina bersama tawa nakal. Sengaja dia mengusik Dhira.

Hampir tersedak Dhira tika itu. Terus dia buat muka tak puas hati.

"Ada pula ke situ mama ni. Merepek betul!"

"Apa pula merepek? Kalau dah tersuka pun, apa salahnya? Dua-dua single. Tak hairanlah kalau Dhira jatuh cinta pandang pertama dengan Si Ali tu. Ali tu kan tall, dark and handsome." Puan Marlina masih lagi ingin mengusik.

Mimi sudah tergelak-gelak. Suka betul bila Dhira diusik sebegitu. Dhira tayang wajah selamba. Malas nak layan usikan Puan Marlina. Kalau dilayan, makin menjadi-jadi pula.

"Ha, apa yang tall, dark and handsome tu?" soal satu suara dari ruang tamu. Suara Encik Daud.

Dhira telan liur.

Alamak! Dia orang dah balik! Entah kenapa, Dhira mula berdebar. Namun begitu, dia cuba mengawal dirinya. Tidak mahu sesiapa perasan akan rasa cemasnya yang hadir tanpa dipinta. Nasi lemak yang masih berbaki separuh disuap ke dalam mulut dengan penuh tertib. Tiba-tiba aje jaga adab makan. Kalau tak, selamba aje dia sumbat nasi ke dalam mulut. Teruja dapat makan nasi lemak kegemarannya.

Mahu tak teruja... Dulu dia dengan Anas jalan kaki aje sebab nak makan nasi lemak ni. Masa tu mereka baru sekolah rendah. Dia dengan Anas pun masih status berkawan. Belum ada perasaan apa-apa pun masa tu. Pernah juga dia merajuk dengan Anas sebab Anas janji nak belikan nasi lemak untuk mereka makan sama-sama di kantin sekolah, tetapi Anas terlupa. Nostalgia betul Nasi Lemak Lereh ni.

"Abang Alilah, siapa lagi? Mama kan suka cakap Abang Ali tall, dark and handsome," balas Mimi bersahaja.

"Oh... Ingatkan mama cakap pasal papa."

Puan Marlina lempar senyuman. Matanya terhala ke arah Encik Daud, Haliq dan Zafran yang sudah menyertai mereka di meja makan.

"Pergi joging ke tadi? Tak berpeluh pun?"

Encik Daud, Haliq dan Zafran saling berpandangan sebelum melepaskan gelak.

"Tak joging pun. Pak cik ni tiba-tiba teringin nak main layang-layang. Ada orang main layang-layang tadi. Kami temankan ajelah," jawab Haliq.

"Macam budak-budak pula pak cik kamu ni," komen Puan Marlina seraya menjeling suaminya.

Pandangan mata Dhira dihalakan ke arah Encik Daud.

"Pak cik dah makan ke?" tanya Dhira. Segan pula bila dia seorang sahaja yang tengah makan. Puan Marlina dan Mimi sudah pun menghabiskan nasi lemak mereka.

"Dah... Kami semua dah makan sebelum ke Klebang tadi. Dhira makan ajelah. Kami minum air aje."

Dhira simpulkan senyuman. Lambat-lambat dia suap nasi ke dalam mulut. Segan!

"Ali balik KL petang ni, kan?" Puan Marlina mengajukan soalan.

Zafran mengangguk perlahan.

"Insya-Allah."

"Hmmm, kalau macam tu, Dhira ikut Ali ajelah balik KL. Tak payah naik bas." Selamba sahaja Puan Marlina memberikan cadangan.

Dhira dan Zafran saling berpandangan. Terkejut.

"Errr, Ali tak kesah kan kalau tumpangkan Dhira?" tanya Puan Marlina. Matanya dihalakan ke arah Dhira dan juga Zafran. Silih berganti.

Dhira telan liur yang terasa kesat.

"Tak apalah, ma. Dhira dah beli tiket. Membazir aje nanti kalau tak naik." Gadis itu cuba menolak cadangan Puan Marlina dengan baik.

"Apa pula membazir? Kan lagi selesa kalau Dhira balik sana naik kereta? Dengan Ali aje pun. Bukan Dhira tak kenal dia. Kata klien Dhira. Betul tak Ali?"

Perlahan-lahan Zafran mengangguk. Sedikit pun dia tidak pandang Dhira. Takut melihat reaksi gadis itu. Jauh di sudut hatinya, dia gembira dengan cadangan Puan Marlina. Barangkali kerana dia diberikan peluang untuk bersama dengan Dhira. Entah bila lagi dia akan dapat peluang sebegitu.

"Betul ke ni? Awak tak kesah ke saya ikut awak balik KL?" tanya Dhira, ingin kepastian. Pandangan matanya dihalakan ke arah Zafran.

Zafran membalas pandangan Dhira. Sekali lagi dia mengangguk.

"Saya tak kesah. Lagipun satu jalan."

Puan Marlina ukir senyum. Hatinya dicuit rasa gembira apabila cadangannya diterima dengan baik.

"Sebelum balik sana, jomlah ikut aku dengan Mimi ke A'Famosa," ajak Haliq.

Zafran toleh ke arah Haliq.

"Ada apa-apa yang menarik ke kat sana? Atau saja-saja makan angin?"

"Saja nak jalan-jalan kat Freeport A'Famosa Outlet. Baru buka tu. Aku dengan Mimi belum pernah pergi lagi."

"Jomlah Abang Ali, Kak Dhira... Mana tahu Abang Ali dengan Kak Dhira nak shopping sekali kat sana." Mimi mula bersuara, mengajak Zafran dan Dhira untuk menyertai dia dan Haliq.

"Freeport A'Famosa Outlet tu macam JPO dengan Mitsui Outlet Park KLIA ke?" Dhira mengajukan soalan.

Laju Mimi mengangguk.

"Akak pernah pergi dua-dua tempat tu?"

"Tak."

Baik Johor Premium Outlet, baik Mitsui Outlet Park KLIA... Dua-dua Dhira tak pernah jejakkan kaki. Fei Fei selalu aje ajak tapi dia yang malas. Bukannya apa... Dia memang tak suka pergi ke tempat membeli-belah dengan Fei Fei mahupun Ken. Nanti dia orang akan belikan dia bajulah, beglah, kasutlah... Segan Dhira dibuatnya. Barang-barang yang mereka belikan untuk dia bukannya murah-murah. Mahal belaka. Manalah Dhira tak segan.

Walaupun Ken dan Fei Fei selalu cakap mereka tak kesah, mereka ikhlas nak memberi tetapi Dhira yang ambil kesah. Dia tidak mahu terhutang budi dengan keluarga Auntie Lin. Sudah terlalu banyak budi yang ditaburkan kepadanya. Tak mampu Dhira nak membalas. Hmmm, kalau nak cerita pasal budi yang diterimanya, seminggu pun belum tentu habis.

"Ha, sebab itulah akak kena join kami. Jomlah kak. Cantik tau tempat tu. Jom Abang Ali!"

"Betul tu, Ali... Pergilah singgah sana sebelum balik. Lepas tu, kamu terus keluar Tol Simpang Ampat." Puan Marlina kembali bersuara.

"Mama dengan pak cik tak ikut sekali ke?" Zafran mengajukan pertanyaan.

"Malaslah kami nak ke sana, Ali," balas Encik Daud.

Dhira memberanikan diri untuk melontarkan pertanyaan kepada Zafran.

"Awak nak pergi ke?"

"Ikut awaklah," jawab Zafran.

Mimi dah mula cuit-cuit lengan Dhira.

"Jomlah kak. Jomlah," rengek Mimi.

Lambat-lambat Dhira memberikan persetujuan. Lebar senyuman Mimi. Gembira hatinya.

"Maknanya kita pergi dua keretalah... Kau nak terus balik kan lepas tu?" soal Haliq kepada Zafran.

Zafran hanya mengangguk.

Setelah hampir setengah jam tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, mereka akhirnya tiba juga di Freeport A'Famosa Outlet. Mujur masih ada tempat parkir. Itupun terpaksa parkir di A'Famosa Resort. Kawasan parkir di outlet sudah penuh. Menurut Mimi, outlet itu baru sahaja dibuka secara rasmi bulan lepas. Tidak hairanlah jika ramai yang berkunjung ke situ.

Mereka berempat mengorak langkah di bawah terik matahari menuju ke Freeport A'Famosa Outlet. Mimi dan Haliq jalan di depan. Dhira dan Zafran di belakang. Sunyi. Sama seperti di dalam kereta tadi. Tiada apa yang ingin dibualkan. Apabila Zafran diam, Dhira pun diamlah. Ada juga dia cuba memulakan perbualan dengan bertanya kepada Zafran. Tetapi Zafran, sepatah ditanya, sepatah dijawab. Bosan! Terus Dhira matikan niat untuk berbual dengan Zafran. Dia melemparkan pandangan ke luar tingkap sahaja. Berkhayal!

Seni bina outlet yang bercirikan warisan Belanda menarik perhatian Dhira. Matanya terpaku ke arah bangunan di hadapan matanya.

"Kak... Ambilkan gambar Mimi dengan Haliq," pinta Mimi dengan nada ceria. Telefon pintarnya sudah pun dihulurkan kepada Dhira. Gadis itu ingin bergambar berlatarbelakangkan pintu masuk outlet.

"Hesy, panas-panas pun nak bergambar," komen Dhira. Namun begitu, dia tetap mengambil telefon pintar daripada Mimi.

Mimi mengukir senyuman.

"Mana ada panas, kak. Kan dah mendung ni," balas Mimi bersahaja. Gadis itu mendekati Haliq, mengambil posisi untuk bergambar.

Satu klik. Dua klik. Tiga klik.

"Cukup?" tanya Dhira bersama jongketan di kening.

Mimi sengih.

"Cukuplah tu. Nanti kat dalam ambil lagi."

"Ambil gambar akak pula!"

"Ceh, tadi kata panas. Meh sini phone."

Dhira tergelak kecil. Telefon pintarnya diserahkan kepada Mimi. Kini giliran dia pula yang bergambar. Mana mungkin dia lepaskan peluang untuk bergambar. Dah alang-alang jejakkan kaki ke situ, haruslah dia bergambar dengan bangunan yang bercirikan warisan Belanda itu.

"Abang Ali tak nak join sekali ke?" Mimi bertanya.

Zafran yang sedang leka memerhatikan tingkah laku Dhira, tersentak. Pandangan matanya dilarikan ke arah Mimi. Kepalanya menggeleng perlahan.

"Alah, pergilah... Mimi tolong ambilkan gambar Kak Dhira dengan Abang Ali."

Bicara Mimi membuatkan Dhira tergamam seketika. Matanya silih berganti memandang Mimi dan Zafran.

"Jomlah... Dah makin terik ni," ucap Dhira cepat-cepat. Tidak mahu dibelenggu dengan situasi janggal itu lama-lama.

Mimi tidak memberikan sebarang komen. Telefon pintar dipulangkan semula sebelum dia kembali berjalan di sisi Haliq. Dhira melemparkan senyuman nipis saat matanya bertemu dengan mata Zafran. Gadis itu cuba berlagak biasa. Satu per satu kedai mereka kunjungi. Cuci mata. Bila Mimi dah mula ralit mencuci mata, Haliq menyerah diri. Dia biarkan sahaja Mimi cuci mata bersama Dhira. Dia dan Zafran berdiri di satu sudut. Malas nak ikut kaum Hawa yang sedang melihat-lihat kasut di kedai Clarks.

Sepasang kasut bertumit tinggi menarik perhatian Dhira. Terus kasut itu dicapai lalu disarungkan ke kakinya. Kemudian dia mula menilik kasut yang sudah tersarung di kakinya itu. Lama.

"Cantiknya, kak," komen Mimi yang entah dari mana muncul.

"Akak pun rasa cantik."

"Belilah. Berapa ribu kasut tu?"

Dhira tersenyum.

"Amboi! Tak adalah sampai ribu. Over tau Mimi ni," tutur Dhira. Kasut itu ditanggalkan lalu dia kembali memakai kasutnya.

Mimi mencapai kasut yang ditanggalkan Dhira. Ingin melihat harga kasut itu.

"From 450 to 150. Wow! You should buy, kak!"

"Seratus lima puluh aje? Serius?" soal Dhira seperti tidak percaya. Kasut di tangan Mimi dicapai. Ingin melihat sendiri tag harga.

"Seratus lima puluh, kan? Tak percaya cakap Mimi. Akak cubalah pakai semula."

Sekali lagi Dhira menyarung kasut bertumit tinggi itu. Gadis itu mula berkira-kira dalam hati. Ragu-ragu pula nak membeli. Cantik tu memanglah cantik. Harga pun boleh tahan. Mampu milik.

Tapi... kalau dia beli, bila pula dia nak pakai? Dia jarang pakai heels. Selalu sarung flat shoes aje sebab senang nak bergerak ke sana sini. Tak sakit kaki. Tambah pula dia selalu guna public transport. Kalau terpaksa kejar bas ke, kejar train ke... Senang! Ini kalau dia pakai heels, terkedek-kedek pula dia jalan nanti.

"Abang Ali..." panggil Mimi sedikit menjerit sambil melambai-lambaikan tangannya.

Tak sampai seminit, Zafran sudah berdiri di depan mereka. Dhira sedikit tergamam apabila Mimi memanggil Zafran. Dah kenapa Mimi panggil Zafran pula ni?

"Cantik kan kasut tu?" tanya Mimi, inginkan pendapat Zafran.

Zafran pandang Dhira buat seketika. Kemudian pandangannya dijatuhkan ke bawah. Memandang kasut berwarna putih yang tersarung di kaki Dhira. Kepalanya diangguk perlahan-lahan.

"Cantik! Nak beli ke?" tanya Zafran, kembali memandang Dhira.

"Tak kut," balas Dhira perlahan.

"Kenapa?"

Dhira hanya mengukirkan senyuman. Dia mula menukar kasut dan kasut bertumit tinggi itu diletakkan ke tempat asal.

"Jomlah... Kita pergi kedai lain pula."

"La... Kenapa tak nak beli? Seratus lima puluh aje tu... Jangan menyesal..." omel Mimi. Gadis itu mengekori Dhira dari belakang.

Seperti tadi, Dhira tidak memberi sebarang respons.

Zafran menjeling ke arah kasut yang dipakai Dhira sebentar tadi sebelum meninggalkan kedai itu.

Mimi dan Dhira kembali mencuci mata di kedai lain. Kali ini mereka masuk butik pakaian pula. Mimi mula rambang mata kerana harga yang ditawarkan sangat menarik. Pakaian yang tergantung pula cantik-cantik belaka. Laju sahaja tangannya mencapai beberapa pasang baju dan seluar, kemudian dia menghilangkan diri ke fitting room. Dhira pula masih lagi memerhatikan pakaian yang ada di situ sementara Haliq dan Zafran berborak di luar kedai.

Satu per satu kedai mereka kunjung. Tangan Haliq sudah penuh dengan beg kertas dan juga beg plastik. Hasil pembelian Mimi. Mimi yang banyak membeli-belah sementara yang lain hanya cuci mata.

Setelah puas membuat 'lawatan sambil membeli-belah' di Freeport A'Famosa Outlet, Mimi ajak berehat di kincir angin. Berehatlah sangat. Sebenarnya Mimi sibuk nak bergambar di sana. Dhira layankan aje sebab dia pun nak bergambar. Tika itu, Zafran meminta diri untuk ke tandas. Tinggallah mereka bertiga sahaja yang ralit bergambar di kawasan berhampiran dengan kincir angin.

"Lamanya Ali pergi toilet," ucap Haliq sambil melihat jam di pergelangan tangan.

Mimi dan Dhira mula tercari-cari bayang Zafran di sekeliling mereka.

"Buang air besar kut," tebak Mimi bersama tawa kecil.

"Jomlah kita tunggu dia dekat situ," ajak Haliq. Tangannya menuding ke arah dr. Cafe.

Mereka bertiga mula mengorak langkah. Dhira menilik menu yang tertera.

"Akak nak air apa?"

"Cappuccino. Hot."

Haliq mengangguk perlahan.

"Akak duduk dululah dengan Mimi. Hmmm, Ali nak belikan apa, ya? Mocha?"

Laju Dhira menggeleng.

"Dia tak suka mocha. Belikan aje macam akak."

Mimi kerling Dhira. Wajahnya penuh dengan rasa curiga. Jari telunjuk diletakkan ke bibir. Dhira buat tak tahu aje. Dia terus tinggalkan Mimi dan mula mencari meja yang masih kosong.

"Macam mana akak tau Abang Ali tak suka mocha?" Mimi melontarkan soalan sebaik sahaja mereka melabuhkan duduk.

"I smell something fishy here..."

Dhira tayang wajah selamba.

"Dia kan klien akak. Akak tahulah."

"Ya ke?" soal Mimi, tidak percaya.

"Jangan-jangan akak ada apa-apa tak dengan Abang Ali? Macamlah Mimi tak perasan dari semalam. Akak dengan Abang Ali lain macam tau. Tak macam hubungan dengan klien pun."

"Terpulanglah pada Mimi nak percaya atau tak."

Belum sempat Mimi ingin membalas, telefon pintar Dhira berbunyi. Gadis itu sedikit tersentak apabila melihat nama yang tertera. Namun begitu, panggilan itu tetap dijawab.

"Kat mana?"

"Dr. Cafe."

"Okey."

Pap! Talian putus.

"Abang Ali ke?" Mimi bertanya. Gadis itu masih lagi sangsi dengan hubungan Dhira dengan Zafran.

Dhira hanya mengangguk.

"Pelik! Kenapa Abang Ali call akak? Bukan Mimi? Bukan Haliq?"

Terlepas keluhan berat dari mulut Dhira. Gadis itu menyandarkan tubuhnya.

"Mi... Tolonglah... Tak ada yang peliklah. Sejak bila pula Mimi jadi macam mama ni?" perli Dhira dengan niat ingin mengusik.

Mimi terkekek ketawa. Tangannya menutup mulut. Bahu sudah terhinjut-hinjut dek tawa yang masih belum reda. Dalam masa yang sama, Haliq muncul bersama dua bekas minuman.

"Latte for my sayang, cappuccino for Kak Dhira," kata Haliq. Kemudian lelaki itu kembali ke kaunter untuk mengambil minumannya dan juga Zafran. Sempat dia capai beberapa peket gula.

"Thank you, Haliq. Berapa ni?" tanya Dhira.

"It's okay. Haliq belanja."

"Betul?"

"Betullah, kak. Muka Haliq ni ada macam main-main ke?"

Dhira tergelak kecil.

"Terima kasih sekali lagi."

"Amboi, Abang Ali... Lamanya ke tandas," ucap Mimi sebaik sahaja Zafran menghampiri mereka.

Dhira dan Haliq memalingkan pandangan ke arah Zafran.

"Sorry... Abang terserempak dengan kawan tadi. Tu yang lambat," jelas Zafran bersama sebuah senyuman. Lelaki itu duduk di sebelah Dhira.

"Eh, ni air untuk abang ke?"

Haliq dan Mimi mengangguk kepala serentak.

"Aku nak belikan kau mocha tadi. Tapi selamat Kak Dhira beritahu kau tak minum mocha. Dia suruh aku oderkan cappuccino," beritahu Haliq bersahaja.

Zafran dan Dhira saling berpandangan buat seketika.

"Thanks," ucap Zafran. Sekali lagi dia melemparkan senyuman manisnya kepada Dhira.

Oh, manisnya senyuman itu. Kenapa sebelum ini dia tidak pernah nampak Zafran tersenyum macam tu? Atau sebenarnya dia yang tidak perasan? Atau dia tidak berpeluang untuk melihat senyuman itu?

Tiba-tiba Dhira rasa lain macam. Tak tahu macam mana dia nak jelaskan perasaannya tika itu. Semuanya disebabkan senyuman Zafran.

Haliq menyisip perlahan latte yang masih panas. Matanya dikerling ke arah Mimi.

"Dah puas shopping?"

Mimi tayang sengih. Kepalanya diangguk.

"Bagus! Lepas ni teman kami shopping pula."

"Kami?" tanya Mimi dengan dahi yang sedikit berkerut.

"Ha dengan Ali la. Kami nak masuk kedai Nike."

"Alah... Kena beraturlah... Nak buat apa masuk kedai tu?"

"Beli baju gym." Serentak Haliq dan Zafran memberikan jawapan. Mereka berdua berbalas senyuman.

Mimi mencemik.

"Tak habis-habis dengan baju gym dia."

"Eh, mestilah... Tengok lengan Ha ni." Haliq mula tayang otot di lengannya.

Mimi lepas gelak.

"Tolonglah, Ha... Tak nampak pun otot kat lengan Ha."

"Awak tak ada nak beli apa-apa ke?"

Tiba-tiba semua pandang Dhira. Gadis itu yang sedang berkhayal sedikit tersentak. Gadis itu terpinga-pinga.

"Akak ni berangan ke? Abang Ali tanya akaklah..."

Dhira pandang ke arah Zafran. Bibir gadis itu sedikit bergetar. Terkejut barangkali.

"Awak tanya apa tadi?"

"Awak tak ada nak beli apa-apa ke?"

"Ada! Nanti saya nak singgah kedai Forever 21 semula."

"Ni mesti nak beli baju dengan seluar yang akak try tadi, kan? Hmmm, tadi kenapa tak beli?" tanya Mimi.

Dhira tersenyum nipis.

"Akak nak tengok kedai lain dulu. Mana tahu ada yang lagi cantik ke..."

"Hmmm, kalau macam tu kita berpecahlah. Mimi teman Kak Dhira. Ha dengan Abang Ali pergilah Nike. Mi malas nak ke sana."

"Amboi! Tadi kita teman dia, sekarang dia kata malas pula nak teman kita," omel Haliq bersama mata yang membesar.

Mimi tayang muka comel dia di depan Haliq.

"Ha tak kesah, kan?"

Dengan selamba Haliq tarik sedikit selendang Mimi. Lepaskan geram. Terjerit Mimi. Cepat-cepat dia betulkan selendangnya.

"Jahatlah Ha ni..."

"Siapa suruh buat muka macam tu? Padan muka! Yalah, kita berpecah. Kami pun dah letih menunggu Mi dengan Kak Dhira shopping."

Terus Mimi hadiahkan sebuah jelingan kepada tunangnya. Haliq melepaskan tawa. Zafran tersenyum dalam hati. Hatinya senang melihat kemesraan Haliq dan Mimi. Terselit rasa cemburu melihat kemesraan itu. Dhira dikerling. Bisakah dia bergurau senda sebegitu dengan Dhira? Bisakah dia bermesra sebegitu dengan Dhira? Sekali lagi, Zafran tersenyum dalam hati. Senyumannya kini lebih kepada sinis. Jangan bermimpilah, Zafran. Itu semua mustahil!

Kereta Zafran bergerak perlahan meskipun mereka kini berada di lebuh raya. Mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dhira buang pandang ke luar. Pandangannya sahaja di luar sedangkan fikirannya sudah melayang entah ke mana. Zafran mengetuk-ngetuk stereng kereta. Dia mula kebosanan. Tangannya mula menuju ke arah radio. Ingin menekan punat di situ. Namun jari Dhira lebih pantas daripadanya. Mereka saling berpandangan kemudian berbalas senyuman.

"Bosan," tutur Dhira perlahan.

Zafran tidak memberi sebarang respons. Mindanya sedang ligat mencari topik untuk berbual. Pelik pula rasanya bila mereka berdua diam sahaja sedari tadi. Biasanya kalau dia balik Kuala Lumpur bersama Jannah, gadis itu rajin berbual. Tidaklah dia rasa bosan memandu.

"Awak..."

"Dah lama..."

Serentak mereka berdua menuturkan bicara. Mata saling bertentangan. Terlakar senyuman di bibir masing-masing.

"Awak dulu," putus Zafran. Memberi peluang kepada Dhira untuk menghabiskan bicaranya.

Baru Dhira ingin bersuara, telefon pintarnya berdering. Mata gadis itu sedikit membulat. Panggilan video? Dah kenapa tiba-tiba Fei Fei buat panggilan video? Nak tak nak, Dhira jawab jugalah panggilan video daripada Fei Fei itu.

"Babe!!!" jerit Fei Fei kuat. Terkejut Dhira dibuatnya. Malu pula dengan Zafran. Dhira mengetap bibir.

"Hesy, you ni kenapa tiba-tiba buat video call? Menjerit pula tu. Satu kereta boleh dengar, tahu tak?"

Fei Fei terkekek ketawa.

"Eh, you kat mana ni? Dalam kereta siapa?"

"Kawan I lah."

Dahi Fei Fei berkerut.

"Kawan?" Bibir gadis itu diherotkan ke kiri dan ke kanan.

"Kawan yang mana? I kenal tak?"

"Tak kut! Kenapa you call I ni?" tanya Dhira, ingin alihkan perhatian Fei Fei.

"Youlah!!!" Fei Fei kembali menjerit.

"You pergi outlet kat Melaka tu tanpa I. Sampai hati you! Dah tu selamba aje upload gambar kat IG. Sengaja bagi I jealous." Masam wajah Fei Fei. Merajuklah konon.

"Oh... Pasal tu. Alah, girlfriend... Sorrylah. I tak plan pun nak ke sana. Mimi yang ajak I. I pun singgah ajelah sebelum balik KL."

"I tetap jealous!"

"Fei... Nanti I dah sampai rumah, I call you balik, okey," pinta Dhira yang kurang selesa berbual dengan Fei Fei di dalam kereta bersama Zafran.

"Janji you akan call I? You tu dah jarang call I tau."

"Ya... I janji. You pergilah bervideo call dengan Rezza dulu."

"Miss you!"

"Miss you too!"

Dhira mematikan talian. Telefon pintar disimpan semula ke dalam beg tangan. Kemudian dia tumpukan pandangannya ke arah Zafran.

"Awak nak cakap apa tadi?"

Zafran pandang Dhira sekilas.

"Entah. Dah lupa."

Dhira mengalihkan pandangannya ke depan. Kereta masih bergerak perlahan.

"Tadi awak nak cakap apa?" Giliran Zafran pula bertanya.

Bahu Dhira dijongketkan. Gadis itu tayang sengih.

"Lupa juga."

Suasana di dalam kereta kembali sepi.

"Boleh saya tanya sesuatu?" tanya Dhira kemudian.

Zafran hanya mengangguk.

"Kenapa awak pilih untuk jadi corporate lawyer? Setahu saya, awak dengan abang saya lebih minat criminal."

Lelaki itu tidak segera memberikan jawapan. Dia berfikir seketika. Cuba mencari jawapan yang sesuai. Mana mungkin dia beritahu gadis itu perkara yang sebenarnya.

"Sebab saya ke?" soal Dhira apabila Zafran masih lagi membisu.

Entah macam mana, gadis itu teringat dia pernah mengejek Zafran. Kononnya anak pembunuh tidak layak jadi peguam jenayah. Tersangatlah kebudak-budakan. Malu pula dia apabila kenang semula kesah lalu.

Zafran tersentak.

"Kenapa awak fikir macam tu?"

"Sebab kata-kata saya pada awak dulu..."

Diam. Lama.

"Heels tadi kan cantik. Kenapa awak tak beli?" tanya Zafran. Tukar topik.

Dhira melepaskan keluhan kecil.

"Kenapa awak ingatkan saya pada heels tadi? Sengaja nak buat saya menyesal, ya?" balas Dhira bersama keluhan kecil. Mata dilirik ke arah Zafran. Dia biarkan sahaja Zafran menukar topik. Faham bahawa lelaki itu tidak mahu membangkitkan kisah lama.

Zafran tersenyum nipis.

"Taklah... Cuma curious. Kenapa awak tak beli sedangkan awak suka heels tu?"

"Suka tu memanglah suka. Cantik. Tapi saya jarang pakai heels. Kalau saya beli, bila masa pula saya nak pakai? Macam membazir pula," jelas Dhira.

"Awak boleh pakai untuk special occasion."

Tiada respons. Dhira diam. Betul juga kata Zafran. Tetapi mereka sudah pun meninggalkan outlet tersebut. Mana mungkin dia suruh Zafran berpatah balik semata-mata nak beli kasut tu. Sudahlah, Dhira. Tak ada rezekilah tu.

Dhira buang pandang ke luar. Suasana kembali sepi dan Dhira sedang mencari-cari topik untuk berbual. Dia tidak mahu suasana di dalam kereta berterusan sepi. Lebih janggal rasanya.

Namun apa yang ingin dibualkan? Nak cerita pasal kakak Zafran? Cerita pasal famili dia? Cerita pasal kerja Zafran? Hmmm, semuanya akan berbalik kepada kisah enam tahun lepas.

Deringan telefon memecahkan tembok kesunyian. Kali ini telefon pintar Zafran yang berbunyi. Lelaki itu mencapai fon telinga tanpa wayar lalu disumbatkan ke telinga sebelum menjawab panggilan.

"Hello, Zaf. Kau kat mana?"

"On the way balik KL. Kenapa?"

Terdengar keluhan di hujung talian.

"Aku baru baca agreement yang staf kau bagi."

"Kenapa? Ada masalah ke dengan agreement tu?" tebak Zafran.

Si pemanggil mengeluh lagi. Sedikit kuat. Seolah-olah kecewa dengan servis yang diberikan kepadanya.

"Macam mana staf kau buat kerja, Zaf? Banyak mistake. Purchase price terkurang dua kosong, tahu tak? Rugilah company aku macam ni. Company number pun salah. Terms pun banyak salah. Macam mana staf kau boleh e-mel aku agreement macam ni, Zaf? Rubbish! Signing date esok. Pukul sepuluh. Takkanlah aku nak bawa agreement ni."

Zafran sedikit terkejut mendengar aduan daripada Aliff, klien merangkap temannya. Bibir diketap.

"Aku minta maaf bagi pihak staf aku, Lep. Macam nilah, lepas sampai KL nanti, aku review agreement kau dan e-mel kau agreement yang baru. Malam ni juga aku hantar kat kau."

"Make sure semua details betul," pesan Aliff.

"Don't worry. Aku akan pastikan semua details betul."

"Tegur staf kau tu juga. Dia perlu tahu silap dia. Kalau dia asyik buat silap macam ni, rosaklah reputation firm kau."

"Thanks, Lep. Sekali lagi, aku minta maaf dengan kau."

Zafran menanggalkan fon telinga tanpa wayar dari telinganya. Wajah lelaki itu kelihatan sedikit tegang. Jam di dashboard kereta dikerling. Trafik masih bergerak perlahan. Zafran mula membuat kira-kira dalam minda.

"Awak boleh drive tak Dhira?"

Dhira tersentak. Kepalanya ditoleh ke arah Zafran.

"Boleh. Kenapa?"

"Awak drive kereta ni, boleh tak? Saya ada kerja nak buat."

Drive kereta Zafran? Dhira telan liur. Cemas tiba-tiba.

"Boleh tak?" Zafran bertanya lagi apabila Dhira diam sahaja.

Lambat-lambat Dhira mengangguk.

"I'm driving, Dhira. Saya tak boleh nampak awak geleng atau angguk." Nada Zafran bertukar keras. Barangkali mood lelaki itu kurang baik.

"Boleh. Awak stoplah dekat R&R depan tu," cadang Dhira. Dari perbualan Zafran sebentar tadi, Dhira dapat mengagak kenapa mood lelaki itu berubah.

Serius sungguh wajah Zafran. Tidak berani pula Dhira nak bersuara. Suasana yang janggal bertambah janggal. Tiba-tiba Dhira rasa perjalanan mereka ke Kuala Lumpur terlalu lama.

Zafran membelokkan keretanya ke kawasan rehat. Kereta diparkir dan dia terus keluar dari kereta. Bonet kereta dibuka, briefcase dicapai kemudian dibawa ke tempat penumpang bahagian hadapan. Tika itu, Dhira sudah pun beralih tempat ke bahagian pemandu.

Wajah Zafran masih lagi serius. Samsung Note 10.1 dikeluarkan dari briefcase. S Pen ditarik keluar. Briefcase dicampak ke seat belakang. Kemudian dia mengerling ke arah Dhira.

"Tunggu apa lagi? Drivelah."

Dhira ketap bibir. Zafran sudah fokus pada Note 10.1. Tanpa sebarang bicara, Dhira menurunkan brek tangan.

"Seat-belt. Awak memang tak suka pakai seat-belt, eh?"

Terhenti terus niat Dhira yang ingin menukar gear. Perlahan-lahan gadis itu menarik tali pinggang keledar. Usai melilitkan tali pinggang keledar di tubuh, Dhira mula memandu kereta Zafran keluar dari petak parkir. Hati yang sedikit resah cuba ditenangkan. Dhira memberikan tumpuan yang penuh pada pemanduannya. Dibiarkan sahaja Zafran tenggelam dengan kerjanya. Lagu-lagu dari CD Zafran menemaninya. Menghilangkan rasa bosan.

"Zaf, saya nak singgah R&R kejap. Nak ke tandas," kata Dhira setelah setengah jam memandu. Pundi kencingnya sudah penuh. Tidak mampu nak tahan lagi.

Zafran diam. Tidak beri sebarang respons.

"Awak nak pergi mana pula ni?" tanya Zafran apabila Dhira membelokkan kereta ke kawasan rehat. Nada lelaki itu masih kedengaran kasar seperti tadi.

"Janganlah buang masa. Kita bukannya makan angin. Semua R&R nak berhenti."

Bicara terakhir Zafran membuatkan Dhira hilang sabar. Dia mula bengang. Tidak puas hati apabila lelaki itu menggunakan nada kasar dengannya sedari tadi. Marah dengan orang lain, dia pula yang kena.

"Tadi kan saya dah cakap saya nak ke toilet. Saya dah tak tahan. Jalan jammed pula tu. Bukannya saya saja-saja nak buang masa awak."

Kereta diparkir. Tali pinggang keledar dibuka.

"Kut ya pun marah dengan orang lain, janganlah lepaskan pada saya. Ingat saya ni apa? Punching bag awak? Kalau tak suka saya ikut awak balik, cakap awal-awal. Saya boleh naik bas. Tiket bas pun saya dah beli." Dhira melepaskan geram sebelum melangkah keluar dari kereta.

Sedikitpun dia tidak pandang wajah Zafran. Lantaklah! Dia sudah hilang sabar. Macamlah kerja dia tu tak boleh buat balik nanti. Orang lain punya salah, kita pula yang kena. Gadis itu masih merungut dalam hati.

Zafran terpempan. Matanya tidak lepas daripada memandang Dhira yang semakin hilang dari pandangan. Kepalanya disandarkan ke kerusi sebaik sahaja bayang Dhira hilang dari pandangan mata. Mukanya diraup. Lelaki itu beristighfar dalam hati. Dia diserang rasa bersalah. Sungguh, dia tidak sedar dia melepaskan marahnya kepada Dhira. Gelabah pula Zafran ingin mencari ayat yang sesuai untuk meminta maaf. Sudah lama dia tidak dengar gadis itu berkata dengan nada sebegitu dengannya. Sejak mereka bertemu semula, tutur kata gadis itu lembut sahaja. Tidak seperti tadi. Argh, salahnya juga.

Fail di atas riba dan Samsung Note 10.1 disimpan semula ke dalam briefcase. Lelaki itu keluar dari bahagian penumpang lalu menuju ke bahagian pemandu. Ingin memandu semula. Kerjanya yang masih tinggal separuh akan disiapkan setelah tiba di rumah nanti. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Zafran mula gelisah apabila bayang Dhira masih tidak kelihatan setelah lima belas minit gadis itu meninggalkannya. Takkanlah Dhira tak nak naik kereta dia lagi? Mustahil! Macam mana pula gadis itu nak balik? Lagipun beg pakaian Dhira masih di dalam bonetnya. Beg tangan gadis itu pun masih di dalam kereta.

Setiap saat Zafran mengerling jam. Matanya mula meliar ke arah sekeliling. Mencari Dhira. Nak hubungi Dhira, telefon pintar gadis itu di dalam kereta pula. Masa terus berlalu. Zafran semakin gelisah. Enjin kereta terus dimatikan. Kemudian dia keluar dari kereta dan mula mencari Dhira. Laju kakinya melangkah. Risau! Mata melilau ke sana sini.

Lega hati Zafran apabila matanya tertancap pada tubuh Dhira yang baru keluar dari tandas wanita. Langkahnya mula perlahan mendekati Dhira. Perasaan risau mula bertukar perasaan cemas. Dadanya mula berdebar. Cemas nak berhadapan dengan Dhira setelah apa yang berlaku sebentar tadi. Gigi mula menggigit bibir bawah. Tanda dia teramat cemas.

Dhira sedikit terkejut apabila melihat Zafran. Geramnya masih belum hilang. Lambat-lambat dia mendekati Zafran. Wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Zafran.

"Saya bukannya sengaja lambat, okey. Ramai sangat yang beratur tadi," jelas Dhira setelah berdiri di hadapan Zafran. Terselit sindiran pada bicaranya.

Zafran memaniskan wajahnya. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada gadis itu.

"It's okay. Awak lapar tak? Nak makan dulu?" tanya Zafran memandangkan jam sudah pun menunjukkan pukul 6.30 petang. Manalah tahu gadis itu sudah kelaparan.

Dhira kembali melangkah. Menuju ke kereta.

"Tak payahlah. Awak kan ada kerja penting nak buat?" Gadis itu masih lagi memerli. Sengaja dia tekankan perkataan penting.

Zafran telan liur. Padan muka kau, Zafran. Dhira kalau dah marah, memang susah nak dipujuk. Kepala digaru perlahan.

"Jomlah makan dulu. Awak tak lapar ke?" Zafran masih lagi cuba memujuk. Lembut sahaja nadanya.

"Tak! Apa yang saya tahu sekarang ni, saya nak cepat-cepat sampai rumah. Meluat saya tengok muka awak."

Erk! Berubah terus wajah Zafran. Terus dia diam.

"Biar saya yang drive," ucap Zafran dengan nada mendatar apabila Dhira sudah menuju ke bahagian pemandu.

"Eh, tak nak buat kerja awak lagi ke?" Dhira yang tidak perasan akan perubahan di wajah Zafran masih lagi memerli.

Zafran diam. Dhira mencemik sebelum melangkah ke bahagian penumpang. Zafran kembali memandu keretanya. Suasana di dalam kereta berganda-ganda janggal. Tegang. Dhira masih lagi geram dengan kata-kata Zafran. Zafran pula masih terasa dengan kata-kata Dhira. Tidak semena-mena peristiwa lalu terlayar dalam fikiran Zafran.

Zafran cuba berbaik dengan Dhira. Memulihkan hubungan mereka. Cukuplah sekadar bersahabat kerana dia tahu mustahil untuk Dhira membalas rasa cintanya. Biarlah mereka bersahabat dan Zafran sudah berjanji dengan dirinya untuk memulihkan semula hubungan Dhira dan keluarga gadis itu. Namun melihat keadaan mereka sekarang, macam mustahil sahaja dia nak berbaik dengan Dhira. Gadis itu masih tidak boleh menerima dirinya. Sama seperti dulu.

Meluat saya tengok muka awak. Mungkin Dhira menuturkan kata-kata itu sebab dia sedang marah. Mungkin juga Dhira tidak memaksudkan kata-katanya itu. Namun begitu, bagi Zafran, kata-kata itu umpama pisau yang menikam hatinya.

Luka lama masih belum pulih dan kini datang pula luka yang baru. Bukan bererti dia cepat terasa. Bukan juga bererti dia seorang yang sensitif. Dia tahu Dhira menuturkan kata-kata itu disebabkan geram dengannya. Dia tahu dia yang buat gadis itu geram. Dia akui kesilapannya. Namun kata-kata Dhira mengingatkan dia pada bicara gadis itu enam tahun lepas.

Jangan berani muncul depan aku. Aku tak mahu jumpa kau lagi. Aku benci tengok kau. Aku benci kau, pembunuh!

Zafran melepaskan keluhan berat dalam hati. Wajahnya kelihatan sayu. Luka dalam hati cuba dirawat sendiri. Tidak mahu terlalu hanyut dengan perasaan.

Sepanjang perjalanan ke rumah, mereka berdua diam tidak bersuara. Perut masing-masing sudah lapar namun tiada siapa yang berani untuk suarakan. Geram Dhira sudah mula reda. Malah timbul pula rasa bersalah pada Zafran. Menyesal pula marah lelaki itu tadi. Keterlaluan pula dia sewaktu melepaskan geramnya.

Dhira, Dhira... Kenapalah kau tak mampu kawal rasa geram kau? Kenapa hamburkan semua rasa geram kau pada Zafran? Mood lelaki itu dah baik, kau pula buat hal. Lelaki itu dah ajak makan, kau tolak. Sekarang ni perut kau lapar, padanlah dengan muka kau.

Usai menyegarkan tubuh dan mengisi perut ala kadar dengan masakan ringkasnya, Dhira menghubungi Fei Fei. Panggilan video. Dia menghubungi Fei Fei menggunakan iPadnya. Puas sikit nak menatap wajah Fei Fei.

"Kenapa dengan muka you tu? Dah membeli-belah dekat outlet baru tu pun, muka monyok lagi," tegur Fei Fei sebaik sahaja menjawab panggilan Dhira.

"Sorrylah, girlfriend. Nanti I temankan you ke sana, okey. Janganlah marah I. I tengah sedih ni."

"Pernah ke I marah you betul-betul?" soal Fei Fei bersama kening yang terangkat. Kemudian, gadis itu mengukirkan senyuman.

"Kenapa you sedih? Siapa yang buat you sedih?"

"Diri I sendiri."

Fei Fei mengerutkan dahinya.

"Cuba you cerita dekat I. Apa yang berlaku sebenarnya?"

"I did the same thing to him," cerita Dhira.

"Him?"

"My ex-husband."

Mata Fei Fei membulat besar.

"You mean Zafran?"

Dhira angguk lemah.

"You terserempak dengan dia lagi ke? Apa yang you buat kat dia? The same thing? What do you mean by the same thing?" Bertalu-talu Fei Fei mengajukan soalan kepada Dhira.

Nafas ditarik dalam lalu dihela perlahan-lahan.

"Minggu ni kan I balik Melaka. Tidur rumah mama. I jumpa Ali kat sana. Oh, silap. I jumpa Zafran kat sana. Ali yang selalu mama sebut selama ni ialah Zafran. Bekas suami I. Zafran Ali bin Zainal."

Dhira mula menceritakan macam mana Zafran boleh rapat dengan keluarga arwah teman lelakinya. Kemudian gadis itu menceritakan bagaimana dia boleh balik dengan Zafran dan juga apa yang berlaku di dalam kereta sebentar tadi. Tiada rahsia antara dia dengan Fei Fei.

"Teruk kan I ni, Fei? I tak dapat nak kawal diri I tadi. I geram bila dia cakap dengan nada kasar dengan I. Terus I lost control. I tak tahu kenapa kalau dengan dia I tak boleh nak kawal diri I. Mulut I ni celopar sangat. Dia terus diam tau, Fei."

"And then you tahu tak... Even dia terasa dengan I, dia still hantar I sampai depan rumah tau. Dia kata dah malam. Bahaya I jalan seorang. Baiknya dia. Tapi I ni..." Dhira mengeluh.

"Lepas tu kan Fei, dia bagi I ni." Dhira tayang kasut tumit tinggi yang dia berkenan tadi.

"Bila dia hulur beg kertas Clarks, I automatik tahu apa dalam beg tu tau. I macam... Oh, Tuhan... Apa yang I dah buat?"

"Fei... I tak sangka dia belikan I kasut ni tau. I suka heels ni tapi I tak beli. I tak tahu bila I nak pakai. Sebab tu I tak beli. Tak nak membazir. Tapi Fei... I tak sangka dia belikan untuk I. I speechless, Fei. I segan sangat. I cakaplah I tak boleh terima pemberian dia. Then dia kata, kalau I tak nak, I boleh buang. Dia pun tak tahu nak buat apa dengan kasut tu. Nada suara dia lembut aje masa tu. Tak tegang pun."

Fei Fei menggeleng perlahan.

"Dhira, Dhira... I pun tak tahu nak cakap macam mana... You dah minta maaf belum?"

Laju Dhira mengangguk.

"Mestilah I minta maaf kat dia sebelum dia pergi. I rasa bersalah sangat Fei."

"Learn from mistake, Dhira. Jangan ulang lagi lepas ni. Cuba kawal diri you. Hmmm, dia cakap apa lepas tu?"

"Dia pun minta maaf sebab terkasar bahasa dengan I."

"Hmmm, inilah orang kata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." Fei Fei menghela nafas berat.

"Eh, betul ke peribahasa yang I sebut ni?"

"Betul, betul! Kali ni you betul." Dhira tergelak kecil. Tercuit dengan telatah Fei Fei. Suka berperibahasa tetapi kadang-kadang salah. Mujur kali ini betul. Kalau tidak memang kena bahanlah Si Fei Fei.

Fei Fei ikut gelak.

"Ha, kan comel sikit muka you bila gelak. Janganlah monyok lagi. You dah minta maaf. Dia dah minta maaf. Kosong-kosong. Yang penting, jangan ulang lagi. Hmmm, bila difikirkan balik, kuat betul jodoh you dengan bekas suami you," seloroh Fei Fei.

Mata Dhira terbuntang. Mulutnya ternganga.

"Kuat apanya, Fei? You jangan nak merepek eh malam-malam ni."

"Betul apa? Mama sibuk nak jodohkan you dengan Ali. Rupa-rupanya Ali tu bekas suami you. Kuatlah tu, jodoh you dengan dia."

"Sudah, sudah! Jangan nak merepek!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co